Kod Etika Kerja

KOD ETIKA KERJA PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERLIS

Nilai Utama Dalam Etika Kerja

 

Amanah

  • Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya
  • Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri dari mengatasi kepentingan tugas dan
  • Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa,  sumber kewangan dan peralatan serta tenaga kerja.

Tanggungjawab

  • Menerima hakikat bahawa akauntabiliti akhir adalah terhadap tuhan, di samping pekerjaan dan majikan
  • Melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan buruknya iaitu sentiasa berwaspada dan jujur
  • Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila saja diperlukan
  • Bercita-cita untuk tidak mengkhianati kepentingan organisasi/ institusi/ awam dalam menjalankan tugas dan
  • Bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara

Ikhlas

  • Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan balasan dari manusia
  • Mempunyai niat bertugas kerana tuhan untuk mencari rezeki yang halal serta mencari keredhaanNya dan
  • Mengikis sebarang unsur kepentingan diri dalam melaksanakan tugas sebagai asas pengisian amanah

Benar

  • Jujur dalam melaksanakan tanggungjawab
  • Bercakap benar dan menepati janji
  • Cermat dan berhemah dalam membuat keputusan
  • Bertindak berasaskan profesionalisme
  • Patuh dan setia dalam melaksanakan tugas dan sanggup menerima teguran dan nasihat.

Sederhana

  • Menjamin perseimbangan dalam diri dan tugasan
  • Bersederhana dalam setiap amalan hidup, tindakan dan tingkahlaku.

Tekun

  • Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam tugas dan kehidupan
  • Rajin berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk membaiki taraf hidup
  • Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan sehingga mencapai tahap cemerlang.

Bersih

  • Mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan tugas seharian
  • Mengamalkan kebersihan pakaian, bangunan dan alam sekitar sebagai satu cara hidup
  • Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas
  • Membuat pertimbangan yang teliti dan adil dalam membuat keputusan dan menjauhi  hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi  pekerjaan dan pemikiran dalam membuat  keputusan.

Berdisiplin

  • Mengetahui kepentingan dan mengutamakan yang lebih penting
  • Menilai tinggi masa dan janji
  • Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang.
  • Mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.

Bekerjasama

  • Mengamalkan sikap tolong menolong dalam melaksanakan kerja
  • Sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi sebagai  usaha untuk mempertingkatkan semangat kerjasama
  • Mengamalkan permuafakatan dalam semua perkara untuk kepentingan bersama
  • Mengelakkan konflik atau pertembungan kepentingan berdasarkan peribadi dan mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan kepentingan Organisasi, Agama, Bangsa dan Negara.

Berperibadi mulia

  • Bermanis muka sepanjang masa.
  • Bertimbang rasa dan bertolak ansur
  • Menghormati sesama insan dan
  • Sentiasa memulakan pertanyaan dengan tujuan untuk menolong

Bersyukur

  • Bersyukur kerana dapat melakukan tugas untuk menjamin kesejahteraan hidup sebagai seorang anggota penjawat awam
  • Berkecenderungan untuk melihat keadaan dengan lebih positif yang boleh mengerakkan semangat untuk lebih berusaha gigih
  • Menghayati budaya kerja yang bersopan dan tidak bertentangan dengan nilai-nilai agama dan kerohanian
  • Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat
  • Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia
  • Berkhidmat sebagai satu ibadah yang mulia
  • Bercita-cita menjadi manusia yang dapat memberikan  sumbangan yang berfaedah kepada masyarakat ,Negara dan Agama

Bermuafakat

  • ‘Muafakat Membawa Berkat’. Itulah slogan yang harus dipegang oleh setiap  penjawat awam sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum yang telah lama terjalin. 

Bertimbang Rasa

  • Perasaan bertimbang rasa adalah sebahagian daripada sikap terpuji yang perlu ditunjukkan tanpa mengira perbezaan latar belakang, kedudukan dan pangkat.

Bersatu Padu

  • Pengamalan berterusan budi bahasa dan nilai-nilai murni akan membawa kepada kesepaduan dalam sesebuah organisasi

Beretika

  • Semangat berertika akan lahir kepada setiap individu sekiranya ia mempunyai nilai budi perketi yang tinggi.

Tidak Mementingkan Diri Sendiri

  • Seseorang yang kaya dengan budi pekerti dan teguh dengan amalan nilai-nilai murninya tidak akan mementingkan  diri sendiri.

Tiada Perasaan Curiga / Syak Wasangka 

  • Perasaan curiga / syak wasangka tidak akan mudah wujud dalam setiap individu yang mempunyai nilai-nilai murni

 

KOD ETIKA KAKITANGAN AWAM NEGERI PERLIS

Sebagai kakitangan yang mendokong dan menjayakan dasar-dasar kerajaan, adalah penting bagi semua kakitangan awam di negeri Perlis menumpukan segala khidmat bakti secara kolektif, bersifat amanah, telus, bertanggungjawab serta berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kepentingan rakyat, negeri dan seterusnya negara.

Kod Etika Kakitangan Awam di Negeri Perlis akan bertindak dan memberi satu garis panduan secara dasar kepada semua kakitangan awam untuk melaksanakan tanggungjawab selaras dengan Aku Janji yang dibuat. Kod Etika adalah penting kerana akhlak dan sebarang tindakan kakitangan awam samada secara rasmi atau peribadi akan mencerminkan kewibawaan pentadbiran kerajaan dan mempunyai impak yang sangat besar kepada masyarakat, negeri dan negara.

Kakitangan awam yang berkhidmat sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan perlu memberikan perkhidmatan yang cemerlang sesuai dengan kehendak dan ekspektasi rakyat yang semakin sofistikated dan berpengetahuan, menjaga nama baik individu dan kerajaan serta tidak terbabit dalam sebarang perlakuan jenayah, unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa.

Dalam konteks ini kejujuran, dedikasi dan integriti adalah menjadi tonggak penting Kod Etika Kakitangan Awam Negeri Perlis yang turut menerapkan prinsip-prinsip penting Rukun Negara, Tonggak Dua Belas Penerapan Nilai, Norma dan Etika Perkhidmatan dan lain-lain perkara yang terkandung di dalam Perintah-Perintah Am Bab A hingga Bab G.

 

PENGENALAN

Kakitangan Awam yang telah mengikrar dan menandatangani sumpah Aku Janji akan dengan jujur dan dengan segala upayanya menumpahkan taat setia kepada DYMM Tuanku Raja, Kerajaan Negeri Perlis dan akan memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaannya.

Kemuliaan sesebuah kerajaan adalah terletak pada keutuhan pentadbiran dan kakitangannya dan penghormatan dapat dilihat dari sudut imejnya secara keseluruhan (kolektif), ketrampilan dan kewibawaannya serta sikap tanggungjawab terhadap rakyat.

Penghormatan terhadap kakitangan awam dilihat pada sudut tatakelakuan yang beretika, berdisiplin, integriti perkhidmatan yang tinggi, kesungguhan melaksanakan tugas, bertangungjawab dan sikap profesionalisme yang tinggi.

Tujuan Kod Etika Kakitangan Awam digubal bagi membolehkan kakitangan awam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya bagi mencapai hasrat dan objektif sesuatu dasar yang digariskan oleh Kerajaan Negeri.

 

KEWAJIPAN

Kewajipan Terhadap Kerajaan

  1. Kakitangan Awam Negeri Perlis hendaklah memahami sepenuhnya dasar dan peraturan yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis atau keputusan yang dikeluarkan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis bagi membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih berkesan serta komited terhadap tugas.
  2. Kakitangan Awam Negeri Perlis hendaklah bertanggungjawab kepada Kerajaan Negeri melalui peranan aktif, objektif, positif dan bijaksana dalam menjalankan tugasnya.
  3. Kakitangan Awam Negeri Perlis hendaklah menghadirkan diri untuk bertugas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
  4. Kakitangan Awam Negeri Perlis hendaklah pada setiap masa berkelakuan yang boleh meningkatkan kepercayaan dan penghormatan rakyat terhadap integriti dan kewibawaan Kerajaan Negeri.

 

PERILAKU ATAS SIFAT

Kakitangan Awam Negeri Perlis hendaklah:

  1. Sentiasa menunjukkan penampilan sahsiah dan peribadi yang mulia dan terpuji.
  2. Menumpukan segala kecekapan, ketekunan dan komitmen secara proaktif dalam menjalankan tugas dan memberikan segala khidmat bakti yang diperlukan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dan pencapaian matlamat serta dasar kerajaan.
  3. Sentiasa bertanggungjawab dan bertugas dengan tahap integriti yang tinggi dan menghindar dirinya dari menggunakan kedudukannya bagi faedah peribadi.
  4. Sentiasa berhemah tinggi dan mengamalkan pendekatan  Mesra Rakyat dan Mesra Pelanggan dan hendaklah sentiasa prihatin, peka dan responsif terhadap maklum balas dan permasalahan rakyat atau pelanggan.
  5. Menghormati nilai budaya dan kepercayaan semua kaum di Malaysia dalam melaksanakan urusan rasmi.

 

PERILAKU SECARA AM

Kakitangan Awam Negeri Perlis hendaklah:

  1. Sentiasa mengamalkan sikap adil, amanah, telus, jujur dan berhemah tinggi.
  2. Sentiasa berintegriti tinggi dan berperibadi mulia dalam kapasiti rasmi mahupun kapasiti sebagai seorang individu.
  3. Mempunyai sikap sentiasa bertangggungjawab di atas segala tindakannya.
  4. Mengamalkan sikap yang professional dalam melaksanakan tugas dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dari masa ke semasa.
  5. Mengamalkan gaya hidup mengikut kemampuan diri sendiri.

 

ELEMEN-ELEMEN PENTING DALAM PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI DI DALAM KOD ETIKA KAKITANGAN AWAM NEGERI PERLIS

Penerapan nilai-nilai murni dan budi bahasa yang tinggi samada melalui komunikasi, ucapan, pertuturan, panggilan, perlakuan boleh dipraktikkan dalam institutsi-institusi seperti berikut:-

  • Kekeluargaan
  • Kemasyarakatan
  • Pembelajaran
  • Perkhidmatan

Sebagai kakitangan awam, penerapan nilai-nilai murni hendaklah dilaksanakan di dalam institusi perkhidmatan seperti berikut:-

  1. Hubungan antara ketua dengan kakitangan bawahan
    • Layanan mesra dan saling hormat-menghormati dapat melahirkan satu suasana bekerja yang harmonis selaras dengan matlamat membangunkan organisasi/jabatan.
    • Ketua seharusnya bermurah hati dalam memberi tunjuk ajar kepada kakitangan bawahan dan melayan kakitangan sebagai seorang insan.
    • Ketua sepatutnya menunjukkan nilai pekerti dan budi bahasa yang tinggi untuk diteladani.
    • Mempunyai sikap saling berbaik sangka.
    • Penampilan dan memberi teguran secara berhemah dan tertib
  2. Hubungan Kakitangan Bawahan Dengan Ketua
    • Mematuhi segala arahan selagi tidak melanggar peraturan dan undang-undang.
    • Menepati masa untuk menyelesaikan tugasan yang diberi oleh Ketua dengan mematuhi segala peraturan.
  3. Hubungan Sesama Rakan Sekerja
    • Saling hormat-menghormati dan membina setiakawan yang teguh.
    • Menunjukkan budi pekerti dan sikap timbang rasa sesama rakan setugas.
    • Mengamalkan sikap bantu membantu dan muafakat.
    • Menerima teguran dan memberi nasihat serta tunjuk ajar dengan hati yang terbuka.
    • Menghormati rakan setugas dan bergaul dengan tertib dan gerak geri yang sesuai dengan peringkat umur.
  4. Hubungan Sebagai Kakitangan Organisai Dengan Pelanggan
    • Terima kedatangan pelanggan dengan mesra dan hormat serta ucapan selamat yang bersesuaian dengan nada riang dan ramah.
    • Pastikan nada suara lembut dan jelas dalam menanyakan sesuatu urusan.
    • Lihat wajah apabila berurusan dan beri perhatian kepada apa yang cuba dijelaskan oleh pelanggan.
    • Selesaikan urusan dengan cekap, mesra dan cepat.
    • Layan pelanggan mengikut giliran yang sepatutnya dan jangan membezakan status pelanggan.
    • Jika terdapat sebarang kesilapan semasa berurusan, beritahu dengan baik.
    • Jika terdapat kelewatan yang tidak dapat di elakkan, berikan sebab yang munasabah dengan cara yang tertib.
    • Memaklumkan pelanggan tentang prosedur dan proses kerja dan tindakan yang sepatutnya di ambil secara berhemah.
    • Jika berurusan di telefon, bercakap dengan lembut, jelas dan mesra.
    • Elakkan dari kedengaran seperti bosan atau letih ketika menyambut panggilan dan melayan panggilan pelanggan.
    • Jangan biarkan pelanggan menunggu di talian dalam jangkamasa yang lama.

Waktu Perkhidmatan

Isnin – Khamis
9.00 pagi hingga 6.00 petang

Jumaat
9.00 pagi hingga 12.00 tengahari
2.45 petang hingga 6.00 petang

Sabtu minggu ke 2 dan ke 4
9.00 pagi hingga 6.00 petang