Enakmen

ENAKMEN PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERLIS

(Enakmen Bil. 5 Tahun 1985)
BETA SETUJU,
SYED PUTRA JAMALULLAIL
Raja Perlis

11hb Zulkaedah 1405

28 Julai 1985

Suatu Enakmen bagi memperuntukkan penubuhan satu Perbadanan yang dinamakan Perbadanan Perpustakaan awam Negeri Perlis dan juga perkara-perkara yang berhubungan dengannya.

11hb Januari 1985

MAKA DIPERBUAT UNDANG-UNDANG INI Oleh Dewan Undangan Negeri Perlis seperti berikut:

1. Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, 1984 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada 1hb Januari, 1985
   
2. Di dalam Enakmen ini kecuali kandungan ayatnya berkehendakkan maksud yang lain :
   
  “Buku” ertinya apa-apa jenis tulisan atau grafik termasuk tulisan-tulisan tangan, karya-karya bertaip, buku-buku, surat-surat khabar, majalah, muzik, gambar-gambar, peta-peta, cetakan-cetakan, lukisan-lukisan dan lain-lain bentuk lukisan grafik, filem-filem, potongan-potongan filem, rekod-rekod gramofon, pita-pita rakaman dan lain-lain rakaman atas kertas, filem atau lain-lain perkakas dan salinan-salinannya;
   
  “Kumpulan Wang” ertinya kumpulan wang yang ditubuh di bawah seksyen 16;
   
  “Lembaga” ertinya Lembaga Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis;
   
  “Negeri” ertinya Negeri Perlis;
   
  'Perbadanan' ertinya Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak yang ditubuhkan di bawah Seksyen 3;
   
  “Pengerusi” ertinya Pengerusi Lembaga yang dilantik di bawah seksyen 4;
   
  “ Perbadanan” ertinya Perbadanan Perpustakaan Awan Negeri Perlis yang ditubuh di bawah seksyen 3;
   
  “Perpustakaan Bergerak” ertinya perpustakaan yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat di dalam Negeri atas kenderaan yang digunakan bagi maksud-maksud tersebut;
   
  “Perpustakaan Awam” ertinya Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang ditubuh, diurus atau diselengggara oleh Perbadanan di bawah seksyen 9 dan termasuk perpustakaan-perpustakaan dan perpustakaan-perpustakaan bergerak yang ditubuh, diurus dan diselenggara di bawah seksyen 10.
3. (1) Bagi maksud-maksud enakmen ini adalah dengan ini ditubuhkan satu pertubuhan yang diberi nama “Perbadanan Perputakaan Awam Negeri Perlis” yang mana akan menjadi satu pertubuhan diperbadankan dengan turun temurun dan boleh mendakwa dan didakwa.
     
  (2) Perbadanan hendaklah mempunyai meteri dan dari masa ke masa boleh membuat, menukar, meminda atau membaharui meteri tersebut seperti yang difikirkan patut dan sehingga meteri itu disediakan di bawah seksyen ini satu setem melambangkan tulisan "Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis" boleh digunakan sebagai meteri.
     
  (3) Meteri atau setem Perbadanan ini hendaklah diakui sebenar.
     
4. (1) Perbadanan hendaklah ditadbirkan oleh satu Lembaga yang mengandungi ahli-ahli seperti berikut :
     
   
(a) Orang ahli atas nama jawatan iaitu :
     
  (i) Seorang Pengerusi iaitu orang yang pada masa itu menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis yang bertanggungjawab atas portfolio Kebudayaan, Belia dan Sukan;
     
  (ii) Seorang Timbalan Pengerusi iaitu orang yang pada masa itu memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Perlis;
     
  (iii) Pegawai Kewangan Perlis;
     
  (iv) Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis;
     
  (v) Pengarah Jabatan Kerja Raya Perlis; dan
     
  (vi) Pengarah Jabatan Kebudayaan Belia dan Sukan Perlis.
     
(b) (i) Seorang wakil Persatuan Perpustakaan Malaysia;
     
  (ii) Seorang wakil Perpustakaan Negara.
     
(c) 8 orang yang dilantik oleh Raja dalam Mesyuarat termasuk wakil-wakil Persatuan Penulis, Majlis Perbadanan Kangar, Majlis Belia dan Persatuan Ibubapa dan Guru-guru.
     
  (2) Ahli-ahli yang tersebut di perenggan (c) Seksyen kecil (1) hendaklah memegang jawatan bagi tempoh tidak lebih dari tiga tahun tetapi boleh dilantik semula.
     
  (3) Semasa ketiadaan Pengerusi, Timbalan Pengerusi hendaklah mempunyai semua kuasa-kuasa Pengerusi.
     
  (4) Semasa Pengerusi atau Timbalan Pengerusi ketidak upayaan sementara kerana sakit atau apa-apa sebab lain atau ketiadaan sementara dari Malaysia, Menteri Besar bolehlah melantik mana-mana ahli Lembaga manjadi Pengerusi sementara yang hendaklah mempunyai semua kuasa-kuasa Pengerusi.
     
5. Maka hendaklah ada seorang Setiausaha Lembaga iaitu seorang yang pada masa itu memegang jawatan Pegawai Perpustakaan Awam Negeri Perlis.
     
6. (1) Lembaga hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali dalam satu tahun kewangan.
     
  (2) Mesyuarat Lembaga hendaklah diadakan pada sekian-sekian waktu dan tempat-tempat yang ditetapkan, atau sehingga ditetapkan, seperti yang dipanggil bermesyuarat oleh Pengerusi.
     
  (3) Pengerusi boleh pada bila-bila masa memanggil mesyuarat Lembaga dan boleh, di atas permintaan bertulis dari tidak kurang lapan ahli, memanggil mesyuarat khas dalam masa sebulan dari tarikh permintaan tersebut.
     
  (4) Minit-minit tiap-tiap mesyuarat Lembaga hendaklah disimpan dan hendaklah Disah dan ditandatangani oleh Pengerusi secepat mungkin yang boleh pada mesyuarat yang berikutnya.
     
  (5) Lembaga boleh menjemput mana-mana orang yang bukan ahli untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Lembaga bagi maksud menolong atau menasihat Lembaga tetapi orang-orang yang dijemput itu hendaklah tidak boleh mengundi.
     
7. (1) Cukup koram bagi tiap-tiap mesyuarat Lembaga ialah lapan orang ahli.
     
  (2) Apa-apa perkara yang hendak diputuskan oleh Lembaga hendaklah dibuat undi lebih suara dan jika pengundian didapati sama banyak maka Pengerusi mempunyai undi pemutus bagi menambahkan kepada undinya yang asal.
     
8. (1) Ahli Lembaga tidak berhak sebarang gaji, tetapi boleh dibayar apa-apa elaun termasuk perjalan dan hadir mesyuarat, elaun hidup, elaun penginapan atau honararium sebagaimana yang ditetapkan oleh Raja dalam Mesyuarat.
     
  (2) Mana-mana orang yang bukan ahli Lembaga jika dijemput hadir mesyuarat di bawah Seksyen 6, Seksyen Kecil (5) boleh dibayar elaun sebagaimana yang ditetapkan oleh Raja dalam Mesyuarat.
9. Tugas-tugas Perbadanan hendaklah :
     
  (a) menubuh, melengkap, mengurus dan menyelenggara Perpustakaan Awam Negeri Perlis;
     
  (b) menganjur dan menggalakkan bacaan terutama sekali di dalam Bahasa Kebangsaan;
     
  (c) menganjurkan dan menggalakkan penggunaan buku-buku di Perpustakaan Awam untuk tujuan rujukan dan pinjaman dengan syarat dijaga dengan sempurna dari kerosakan dan kehilangan;
     
  (d) mendapatkan kutipan menyeluruh ke atas buku-buku yang bersangkutan dengan atau diterbitkan di dalam Negeri;
     
  (e) mendapatkan dan menyediakan maklumat-maklumat pusat di atas punca-punca dan perkhidmatan perpustakaan di dalam Negeri bagi pihak Perpustakaan Negara;
     
  (f) bertindak sebagai ejen penganjur bagi pinjaman dan pertukaran buku-buku berasaskan antara Negeri-negeri dan antara Perpustakaan Awam dan Perpustakan Negara;
     
  (g) menyediakan bahan-bahan rujukan, bibliografi dan perkhidmatan pinjaman antara perpustakaan kepada Jabatan-jabatan Negeri dan dewan undangan negeri;
     
  (h) membuat semua perkara dan benda sebagaimana yang perlu bagi menjalankan atau melaksanakan kesemua atau mana-mana enakmen ini.
     
10. Perbadanan boleh
     
  (a) menubuh, mengurus dan menyelenggara cawangan-cawangan Perpustakaan Awam di mana-mana bahagian dalam Negeri;
     
  (b) menyedia dan menyelenggara perpustakaan-perpustakaan bergerak;
     
  (c) menasihat perpustakaan-perpustakaan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri di dalam Negeri;
     
  (d) membeli, menukar, memajak dan menerima buku-buku dan lain-lain harta alih yang berdampingan dengan penubuhan dan pengurusan Perpustakaan Awam;
     
  (e) membeli, menukar, memajak dan memiliki tanah-tanah, bangunan-bangunan dan lain-lain harta takalih bagi penubuhan perpustakaan Awam dan bagi apa-apa tujuan yang perlu bagi menjalankan tugas-tugas Perbadanan;
     
  (f) mengambil alih mana-mana perpustakaan yang telah sedia ada dalam Negeri dengan kebenaran perpustakaan tersebut dan bagi tujuan itu bolehlah Perbadanan memasuki kontrak atau perkiraan yang munasabah dengan mana-mana orang, kelab, persatuan atau Kerajaan Tempatan, dengan kelulusan raja dalam Mesyuarat;
     
  (g) membuat perhubungan dan bekerjasama setakat mana yang boleh dan di atas syarat-syarat yang tertentu yang difikirkan mustahak dengan perpustakaan-perpustakaan lain, institusi-institusi pengajian tinggi atau mana-mana pertubuhan antarabangsa sama ada di Malaysia atau sebaliknya;
     
  (h) menyediakan latihan-latihan bagi seseorang menjalankan tugas-tugas pustakawan dan lain-lain kakitangan dalam kerja-kerja perpustakaan
     
  (i) melantik Jawatankuasa khas pada mana ianya boleh mewakilkan mana-mana tugas pentadbirannya;
     
  (j) memasuki mana-mana kontrak atau melakukan lain-lain tindakan atau kerja yang perlu dan berpatutan bagi melaksanakan maksud-maksud Enakmen ini.
     
11. Perbadanan, dari masa ke semasa boleh meminjam wang pada kadar faedah dan jangka masa tertentu dan menurut syarat-syarat tertentu berkenaan dengan masa dan cara pembayaran balik atau sebaliknya sebagaimana dibenarkan oleh Kerajaan Negeri apa-apa jumlah yang perlu bagi memenuhi mana-mana perbelanjaan modal seperti berikut :
     
  (a) Pampasan yang kena bayar oleh Perbadanan bagi pengambilan tanah;
     
  (b) Kos pengambilan tanah, bangunan atau lain-lainharta takalih bagi maksud Enakmen ini;
     
  (c) Kos membina bangunan-bangunan bagi Perpustakaan Awam dan membeli kenderaan bagi penubuhan perpustakaan bergerak atau mengubahsuai bangunan-bangunan atau kenderaan-kenderaan tersebut dan lain-lain kerja yang bersangkutan dengannya;
     
  (d) Kos pembelian buku-buku; dan
     
  (e) Lain-lain kos yang mustahak bagi menjalankan maksud-maksud Enakmen ini.
12. (1) menubuh, melengkap, mengurus dan menyelenggara Perpustakaan Awam Negeri Perlis;
     
  (2) Pegawai dan kakitangan Perbadanan hendaklah di bawah pentadbiran kawalan pentadbir Lembaga atau seorang pegawai yang dilantik oleh Lembaga
     
  (3) Ahli-ahli, Pegawai-pegawai dan kakitangan perbadanan hendaklah disifatkan sebagai penjawat awam menurut Kanun Kesiksaan.
     
  (4) Perbadanan dengan kebenaran Menteri Besar, boleh membuat peraturan-peraturan bagi menubuhkan satu Kumpulan Wang Simpanan Pencarum bagi pegawai dan kakitangan yang dilantik dibawah Enakmen ini.
     
13. Perbadanan dengan kebenaran Menteri Besar, boleh menggunakan dan membayar gaji penasihat-penasihat teknik atau professional seperti peguamcara, ahli bank, penilai atau pustakawan bagi menjalankan apa-apa pekerjaan tertentu atau membuat apa-apa tindakan khas yang dikehendaki dijalankan atau dibuat dalam perlaksanaan tugas-tugas Perbadanan atau di dalam melaksanakan maksud-maksud Enakmen ini dengan lebih berkesan dan membayar apa-apa caj dan perbelanjaan yang dilakukan.
     
14. Akta Perlindungan Pihakberkuasa Awam 1948 hendaklah dipakai kepada apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau perbicaraan terhadap Perbadanan atau terhadap mana-mana ahli, pegawai, kakitangan atau ejen Perbadanan berkenaan dengan apa-apa perbuatan, kelalaian atau kemungkiran yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan oleh Perbadanan atau orang-orang itu dengan sifat yang tersebut itu.
     
15. (1) Perbadanan hendaklah mengadakan ibu pejabatnya di Kangar atau pada suatu tempat yang ditentukan dari masa ke semasa oleh Perbadanan dan dibenarkan oleh Menteri Besar
     
  (2) Perbadanan bolehlah menubuhkan pejabat-pejabat lain sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Perbadanan.
16. Kumpulan Wang Perbadanan hendaklah mengandungi :
     
  (a) apa-apa wang yang dari masa ke semasa dicarumkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud tersebut;
     
  (b) apa-apa wang yang disumbangkan oleh mana-mana Pihakberkuasa bagi maksud-maksud Perbadanan;
     
  (c) apa-apa wang yang didermakan oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan, Kerajaan mana-mana Negeri atau leh mana-mana orang bagi maksud Perbadanan;
     
  (d) apa-apa jumlah wang yang boleh dikumpul oleh Perbadanan melalui pinjaman;
     
  (e) apa-apa jumlah wang yang dikutip oleh Perbadanan melalui yuran-yuran atau denda-denda;
     
  (f) semua keuntungan di atas pelaburan mana-mana bahagian Kumpulanwang
     
  (g) apa-apa jumlah wang yang didapati secara langsung atau tidak langsung dari harta-harta alih atau takalih yang dimiliki oleh Perbadanan.
     
17. Kumpulanwang Perbadanan boleh digunakan bagi menanggung bayaran-bayaran yang berikut :
     
  (a) membayar elaun ahli-ahli pada kadar yang tertentu yang dibenarkan oleh Raja dalam Mesyuarat;
     
  (b) gaji-gaji, yuran-yuran atau saraan pegawai-pegawai, ejen-ejen dan kakitangan dan penasihat teknikal atau lain-lain penasihat Perbadanan;
     
  (c) semua kos-kos, bayaran-bayaran dan perbelanjaan-perbelajaan Perbadanan atau yang berbangkit daripada menjalankan kuasa-kuasa Perbadanan di bawah Enakmen ini;
     
  (d) faedah-faedah yang terkumpul di atas mana-mana pinjaman yang secara sah ditanggung oleh Perbadanan;
     
  (e) jumlah wang yang dikehendaki bagi membayar balik wang-wang yang dipinjam;
     
  (f) apa-apa jumlah wang yang difikirkan patut diketepikan berkenaan dengan kesusutan nilai harta Perbadanan.
     
18. Perbadanan boleh melabur mana-mana bahagian daripada Kumpulanwang yang tidak berkehendak kegunaan segera dalam mana-mana pelaburan yang dibenarkan di bawah Akta Pemegang Amanah, 1949 atau mengikut cara yang dibenarkan oleh Menteri Besar.
     
19. (1) Sebelum bermula bulan Julai tiap-tiap satu tahun, Perbadanan hendaklah menghantar kepada Menteri Besar suatu anggaran perbelanjaan bagi tahun yang berikutnya mengikut apa-apa bentuk dan dengan mengandungi apa-apa butir sebagaimana yang dikehendaki oleh Menteri Besar; dan Menteri Besar hendaklah sebelum bermula bulan September tiap-tiap satu tahun memberitahu Perbadanan akan jumlah wang yang dibenarkan bagi tiap-tiap satu jenis perbelanjaan.
     
  (2) Perbadanan boleh pada bila-bila masa menghantar kepada Menteri Besar satu anggaran tambahan bagi mana-mana satu tahun dan Menteri Besar boleh membenarkan kesemua atau mana-mana bahagian perbelanjaan tambahan yang dimasukkan dalam anggaran tambahan itu.
     
  (3) Tidaklah boleh dilakukan perbelanjaan melainkan perbelanjaan itu telah dimasukkan dalam anggaran.
     
20. (1) Perbadanan hendaklah menyimpan sepatutnya akaun dan rekod lain berkenaan dengan urusniaga dan hal ehwalnya mengikut prinsip-prinsip perakaunan yang diterima umum dan hendaklah mengambil tindakan-tindakan perlu bagi memastikan bahawa semua pendapatan-pendapatan dimasukkira dengan sepatutnya dan semua perbelanjaan-perbelanjaan yang dikeluarkan dari Kumpulanwang , termasuk bayaran-bayaran berkenaan dengan gaji, saraan dan lain-lain faedah kewangan kepada ahli-ahli Perbadanan dan kakitangannya adalah dibenarkan dengan sepatutnyadan kawalan yang secukupnya hendaklah dipastikan bagi harta-harta dan tanggungan Perbadanan.
     
  (2) Tahun Kewangan Perbadanan hendaklah bermula pada 1hb Januari tiap-tiap tahun.
     
  (3) Akaun Perbadanan hendaklah diodit tiap-tiap tahun oleh Ketua odit Negara atau juruodit lain yang dilantik oleh Perbadanan dengan kebenaran Menteri Besar.
     
  (4) Perbadanan hendaklah dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya tiap-tiap satu tahun kewangan mengoditkan akaun-akaunnya dan menghantar kepada Menteri Besar dan Perpustakaan Negara bersama dengan satu salinan apa-apa laporan yang dibuat oleh Ketua Odit Negara atau Juru Odit yang dilantik di bawah seksyen kecil (3) atas apa-apa kenyataan atau atas akaun-akaun Perbadanan.
     
  (5) Menteri Besar hendaklah mengarahkan satu salinan bagi tiap-tiap penyata kewangan itu bersama satu salinan apa-apa laporan yang dibuat oleh Ketua Odit Negara atau Juru Odit yang dilantik di bawah seksyen kecil (3) atas apa-apa kenyataan atau atas akaun-akaun Perbadanan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri yang berikutnya
     
21. (1) Perbadanan hendaklah secepat mungkin yang dapat dilakukan selepas akhir tiap-tiap tahun kewangan menyebabkan supaya diperbuat dan dihaktar kepada Menteri Besar dan Perpustakaan Negara satu laporan menyentuh secara am kegiatan-kegiatan Perbadanan bagi tahun kewangan terdahulu dan mengandungi segala maklunat berhubung dengan perjalanan-perjalanan dan dasar Perbadanan sebagaimana diarahkan oleh Menteri Besar.
     
  (2) Satu salinan bagi tiap-tiap penyata itu hendaklah dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri.
22. Mana-mana orang yang di mana-mana bahagian Perpustakaan Awam yang ditubuh, diselenggara atau diurus oleh Perbadanan :
     
  (a) berkelakuan tidak senonoh;
     
  (b) menggunakan bahasa kasar, mencaci atau lucah;
     
  (c) membuat pertaruhan atau berjudi; atau
     
  (d) selepas diberi amaran enggan keluar dari perpustakaan selepas masa yang ditetapkan untuk menutup perpustakaan,
     
  adalah bersalah atas suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih dari tiga ratus ringgit atau dua bulan penjara, atau pada kes-kes kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda sebanyak tidak lebih dari enam ratus ringgit atau empat bulan penjara.
     
23. Mana-mana pegawai atau kakitangan Perbadanan yang dilantik di bawah seksyen 12 boleh menangkap tanpa waran :
     
  (a) mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan di hadapannya apa-apa kesalahan yang berlawanan dengan Enakmen atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya yang menyebabkan mengganggu keamanan;
     
  (b) mana-mana orang yang telah melakukan dihadapannya man-mana kesalahan yang berlawanan dengan Enakmen ini atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya dan ianya enggan atau gagal memberi nama dan alamatnya yang sepenuh dan benar apabila diminta berbuat demikian; atau
     
  (c) mana-mana orang yang dikeluarkan waran ke atasnya di bawah Enakmen ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya masih ada, walaupun waran itu tidak ada dalam miliknya,
     
  dan hendaklah orang itu dengan serta-merta dibawa atau menyebabkan ianya dibawa ke hadapan seorang pegawai polis.
     
24. Perbadanan, dengan kebenaran Menteri Besar boleh membuat perintah-perintah mesyuarat yang tidak bertelingkah dengan peruntukan Enakmen ini :
     
  (a) menentukan prosedur-prosedur di mesyuarat Perbadanan;
     
  (b) menentukan cara-cara bagaimana apa-apa jenis suratan dan suratcara hendak ditandatangani atau dilaksanakan bagi pihak Perbadanan;
     
  (c) menentukan tanggungjawab dan kawalan pegawai dan kakitangan Perbadanan;
     
  (d) menentukan keadaan-keadaan yang membolehkan pegawai-pegawai dan kakitangan Perbadanan mendapat perbelanjaan perjalanan, elaun sara hidup atau lain-lain elaun dan menetapkan kadar elaun-elaun tersebut;
     
  (e) pada amnya bagi menjalankan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Perbadanan di bawah peruntukan Enakmen ini.
     
25. (1) Perbadanan, dengan ketetapan yang dibuat di mesyuarat Lembaga, boleh
membuat kaedah-kaedah yang pada amnya bagi melicinkan lagi pemakaian maksud-maksud Enakmen ini dan pada khususnya dan tanpa menyentuh keluasan makna yang tersebut membuat kaedah-kaedah berikut :
     
   
(a) mengaturkan keahlian Pepustakaan Awam;
   
(b) menentukan borang permohonan untuk menjadi ahli Perpustakaan Awam;
   
(c) menghendaki jaminan atau cagaran dari orang yang menggunakan Perpustakaan Awam;
   
(d) menyediakan bagi penggantungan, pembatalan, penamatan atau ketidak-layakan keahlian Perpustakaan Awam;
   
(e) mengatur kegunaan Perpustakaan Awam dan menyediakan bagi penjagaan Perpustakaan Awam dan kandungannya dari kecederaan, kerosakan dan penyalahgunaan;
   
(f) mengatur bagi penyelenggaraan kesempurnaan taraf dan kelakuan ahli-ahli Perpustakaan Awam dan untuk mengurus di atas perlenggaraannya;
   
(g) memberi kuasa kepada pegawai dan pekerja-pekerja Perpustakaan Awam untuk mengeluarkan atau memindah orang-orang yang melakukan apa-apa kesalahan yang berlawanan dengan Enakmen atau Kaedah-Kaedah yang dibuat di bawahnya daripada kawasan-kawasan yang digunakan berhubung dengan Perpustakaan Awam;
   
(h) mengatur kemasukan kenderaan ke dalam kawasan Perpustakaan Awam dan mengawal lalulintas di dalamnya;
   
(i) menentukan penubuhan Jawatankuasa-jawatankuasa;
   
(j) menentukan cara-cara menggunakan, merujuk atau meminjam buku-buku dan tanggungan ahli Perpustakaan Awam apabila hilang atau rosak; dan
   
(k) bagi maksud-maksud lain, sama ada bersamaan dengan yang tersebut di atas atau tidak, perlu atau mustahak di dalam atau berkenaan dengan pengurusan Perpustakaan Awam
     
  (2) Mana-mana peraturan yang dibuat di bawah seksyen-kecil (1) tidak boleh berkuatkuasa kecuali disahkan oleh Raja dalam Mesyuarat dan disiarkan dalam Warta Kerajaan.
26. (1) Raja dalam Mesyuarat dengan perintah boleh menyiarkan dalam Warta Kerajaan mengarah supaya digulung dan dibubarkan Perbadanan.
     
  (2) Sebarang lebihan daripada penggulungan Perbadanan hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan Wang Negeri Yang Disatukan dan bagi sebarang kekurangan hendaklah dibayar daripada wang yang diperuntukkan oleh Dewan Undangan Negeri.
     
  (3) Penggulungan Perbadanan hendaklah dijalankan dengan cara yang ditentukan oleh Raja dalam Mesyuarat.
     
  (4) Tanpa mengira apa-apa yang terkandung di dalam Enakmen ini atau Kaedah-kaedah di bawahnya, dari tarikh diisytiharkan perintah di bawah seksyen-kecil (1) apa-apa hak dan keutamaan mana-mana ahli, pegawai atau kakitangan Perbadanan atau ahli Perpustakaan Awam hendaklah dianggap telah ditamatkan dengan sah.
27. (1) Enakmen Perbadanan Perpustakaan Umum Negeri Perlis, 1973 adalah dengan ini dimansuhkan.
     
Diluluskan dalam dewan Undangan Negeri pada 19hb Disember, 1984
     
SYED HASSAN BIN SYED AHMAD
Setiausaha, Dewan Undangan Negeri Perlis
     
17. Pindaan Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis 1984 Berkuatkuasa Pada 1hb. Januari, 1985 dan Perlantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis Bagi Tempoh 3 Tahun Mulai 20hb. Januari, 1989
     
  Majlis menimbang Kertas MMK. Bil. 116/1989 dan memutuskan seperti berikut :
     
  (i) dipinda seksyen 4 (1) (a) (i) Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis 1984 supaya Menteri Besar atau mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang dinamakan olehnya akan menjadi Pengerusi Lembaga.
     
  (ii) digantikan perkataan “pelajaran” dengan perkataan “pendidikan” di bawah seksyen 4 (1) (a) (iv) dan dibatalkan perkataan “kebudayaan” yang terdapat di bawah seksyen 4 (1) (a) (iv).
     
  (iii) dilantik mereka seperti yang disenaraikan di lampiran B menganggotai Ahli-ahli Lembaga mengikut seksyen 4 (1) (c) selama 3 tahun mulai 20 Januari 1988.
Kunjungi Kami

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis
Jalan Penjara,
01000 Kangar, Perlis, Malaysia

Hubungi Kami

Telefon: +604-976 4436
Faks: +604-976 0906
E-mel: perlislib@pnm.gov.my

Waktu Perkhidmatan

Isnin - Sabtu: 09:00 - 18:00

Ahad dan Cuti Umum: Tutup