BEDIANG
AMALAN TRADISIONAL ZAMAN SEBELUM MERDEKA
Oleh : MOKHTAR A.K.
Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, amalan tradisional 'bediang' telah dipraktikkan secara menyeluruh oleh masyarakat Islam di bandar mahupun di kampung-kampung. Bagi mereka yang akan bersalin atau 'beranak', bidan-bidan kampunglah yang utama dicarinya. Dan pada zaman itu memang tidak ada bidan kerajaan yang berperanan di kampung-kampung. Pada dekad itu, bidan-bidan kampung yang berpengalaman agak sukar dicari. Di dalam satu-satu kawasan atau mukim, mungkin terdapat seorang atau dua orang sahaja bidan-bidan yang berpengalaman. Contohnya, di Behor Temak terdapat seorang bidan yang bernama Tuk Mas Mala dan di Telok Berembang, Kuala Perlis, namanya Hjh. Halimah.
Apabila seseorang memerlukan bidan, ianya terpaksa berjalan jauh, berjalan kaki dari satu kampung ke kampung yang lain kerana tidak ada kemudahan jalan raya. Kalau berlaku atau memerlukan bidan pada waktu malam, maka ianya agak lebih sukar. Terpaksa berjalan menggunakan lampu 'topiang', dan memakan masa sejam dua untuk sampai ke sesuatu destinasi. Kalau pada waktu siang, tok bidan itu akan pulang sendiri. Kalau waktu malam terpaksa dihantarnya ke rumah.

Gambarajah Gerai Bediang
Tok bidan mula berperanan ke atas ibu yang mengandung itusejak ibu itu mengandung tujuh bulan,
dan sehinggalah ibu itu bersalin serta beberapa hari pula selepas bersalin.
Bagi seseorang perempuan yang sudah berbadan dua ‘bunting’ tujuh bulan, si suaminya atau keluarga mula menyediakan kayu api. Lumrahnya, kayu api yang digunakan untuk tujuan bediang adalah daripada pokok gorah. Kayu gorah merupakan nilai terbaik bagi kegunaan bedian, kerana kayunya itu ada getah dan kesan panas. Kayu api itu perlu digunakan selama empat puluh empat hari, dan ianya dibakar bagi memanaskan badan bagi orang yang baru bersalin.
Keperluan bekalan kayu api disediakan kira-kira sepohon pokok gorah bagi digunakan sepanjang empat puluh empat hari. Persiapan awal amat diperlukan kerana untuk mengambil masa bagi mengeringkan kayu atau dahannya. Kayu itu dipotong dan dikeringkan. Kawasan tempat simpanan kayu itu perlu disediakan, sehingga membolehkan menyimpan kayu api daripada sepohon pokok yang besar. Sebuah bangsal perlu disediakan bagi mengelakkan daripada terkena hujan.
Pentas atau ruang dapur sementara untuk membakar kayu api tadi dibina seluas tiga kaki atau empat kaki persegi yang menyerupai dapur kecil yang dibina khas untuk tujuan bediang. Di sekeliling dapur itu dihadang atau disendat dengan batang pisang untuk mengelak daripada merebaknya bara api itu ke kawasan lain. Dan di bawahnya pula dialaskan dengan tikar-tikar mengkuang atau tikar ibus yang usang atau lama, kemudiannya diratakan dengan tanah dan di atas tanah itu pula ditaburi abu.
Kayu api dibakar di atasnya mengikut keperluan dan masa tertentu. Api yang menyala itu dipadamkan setelah kayu itu menjadi bara. Gerai bagi orang yang bersalin itu ditempatkan di sebelah dapur. Orang di atas gerai itu akan bergerak mengikut posisinya bagi membolehkan ianya mendapat haba panas daripada api itu.
Ketika mengandung tujuh bulan, si suami perlu menyiap atau menyediakan sebuah 'bujam penggeras', yang diperbuat daripada daun ibus atau daun menerung dan saiznya kira-kira 60 cm x 60 cm (meliputi tinggi dan lebarnya).
Pada hari bersalin, bujam atau kecong akan diberikan kepada bidan sebagai sumbangan atau pengupah.
Bahasa dahulu disebut dengan ‘penggeras’.
Dalam bujam atau kecong itu perlu diisikan segantang beras, sebiji kelapa yang telah dikupaskan dan sehelai tikar lampin. Bujam atau kecong itu diikat dengan benang mentah di bahagian atas atau dijentu di permukaan atasnya. Setelah semua keperluan itu diisikan ke dalam bujam atau kecong, maka digantung pula bekas itu di kawasan berdekatan tempat bediang. Bujam atau kecong itu dibiarkan tergantung sehingga si yang mengandung itu bersalin atau 'beranak'.
Setelah mengandung tujuh bulan, tok bidan akan mengadakan 'mandi tian' atau 'mandi perut' kepada ibu yang mengandung itu. Amalan ini sudah menjadi satu tradisi atau budaya sejak turun temurun. Mandi tian atau mandi perut hanya dikenakan kepada ibu yang mengandung anak sulung sahaja. Tok bidan hanya menggolek-golekkan kelapa yang dikupas licin itu ke atas perut, disamping membaca doa mentera. Buah kelapa itu dibiarkan bergolek ke bawah dan si yang mengandung itu menendang buah kelapa ke lantai. Apabila buah kelapa itu terdampar pada dinding itu pecah, maka si yang mengandung itu akan mudah dan senang bersalin.
Tok bidan mula berperanan ke atas ibu yang mengandung itu sejak ibu itu mengandung tujuh bulan, dan sehinggalah ibu itu bersalin serta beberapa hari pula selepas bersalin.
Tok bidan mula mengurut badan si yang bersalin itu pada hari pertama tanpa berubah tempat. Pada hari pertama itu juga ia dimandi dengan air suam. Air suam itu direbus serentak dengan daun pucuk pisang kelat. Si yang bersalin akan mampu menungku sendiri selepas mandi. Ia akan menungku sambil berbaring di atas gerai.
Pada hari bersalin, bujam atau kecong akan diberikan kepada bidan sebagai sumbangan atau pengupah. Bahasa dahulu disebut dengan ‘penggeras’. Si suami akan membayar wang tunai sebagai hadiah atau 'duit penggeras' berjumlah RM 15.15 atau membayar RM 20.15 bersama-sama dengan sebuah bujam atau kecong yang berisi itu. Wang lima belas sen itu wajib disertakan.
Si ibu dikenakan pantang larang dari segi pemakanan dan tidak boleh makan sebarangan. Beberapa peringkat pantang harus dipatuhi. Mengikut amalan yang pernah dipraktikkan, si ibu hanya makan nasi berlaukkan ikan pelotan kering atau ikan seludu kering yang dibakar. Ikan kering yang dibakar itu hendaklah dihancurkan (haluskan) dan digaul bersama nasi panas, kemudian ditaburi pula dengan lada hitam.

Encik Mat Amin Ahmad
Ketika berada dalam pantang, masih di atas gerai, si ibu tidak boleh keluar dari rumah. Pada zaman tersebut, tandas berada jauh di luar rumah. Dengan keadaan sedemikian, si ibu terpaksa membuang air besarnya melalui celah-celah lantai atas rumah. Dan di bawah rumah itu najis akan berkumpul di satu tempat itu. Bagi si suami yang rajin, yang peka kepada kebersihan dan kesihatan, najis itu dibuang atau dibersihkan tiap-tiap hari serta ditanam. Bagi mereka yang malas, najis itu bertambun di situ, dan biasanya najis itu tidak kekal lama, kerana anjing-anjing peliharaan tuan rumah dan ayam akan makan hingga habis. Di bawah rumah pula ada ternakan ayam, kambing dan lembu.
Lumrahnya lantai rumah pada zaman itu diperbuat daripada buluh atau batang pinang yang telah dipotong. Dinding rumah pula diperbuat daripada buluh. Ada juga dinding rumah disusun dengan mengkawan-mengkawan atap nipah. Namun demikian masyarakat zaman itu dapat hidup dengan tenteram dan terhindar dari pelbagai penyakit. Kehidupan mereka aman damai.
RUJUKAN
Encik Mat Amin Bin Ahmad, 75 Tahun
Kampung Panggau, Kangar, Perlis.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.XVII, 2005
