ADAT ISTANA DI PERLIS
Oleh: RAMU ISMAIL
Bagi membincangkan mengenai adat istana di Perlis adalah sesuatu yang agak menyulitkan kerana dari asal perlantikan Raja Perlis, ia tidak diselitkan dengan adat-adat khas disebabkan keadaan semasa ketika itu. Perlis terasing dari Kedah pada tahun 1839 apabila Kedah yang ketika itu diperintah oleh Raja Siam bersetuju untuk menjalankan dasar "pecah perintah" negeri tersebut bagi mengatasi ancaman orang-orang Melayu terhadap pemerintahan Siam itu.
Di samping Perlis, turut terasing ialah Setul yang diserahkan kepada Tengku Bisnu, Kubang Pasu diserahkan kepada Tengku Hassan, Kedah kepada Tengku Anum dan Perlis pula diserahkan kepada Raja Long Krok, tetapi empat bulan kemudian, Raja Long Krok meninggal, Raja Siam melantik Syed Hussin menggantinya.
Semua mereka yang dilantik menjaga negeri-negeri tersebut bertaraf Gabenor. Bagi Syed Hussin, perlantikannya sebagai Gabenor Perlis adalah merupakan kenaikan pangkat dari asalnya sebagai Penghulu Mukim Arau.
Pada tahun 1843, Syed Hussin sekali lagi dinaikkan pangkat menjadi Raja Perlis yang pertama untuk memerintah Negeri Perlis selama kira-kira 30 tahun. Di sini jelas menunjukkan bahawa sejarah asal pertabalan Raja Perlis tersebut tidak mempunyai sebarang adat khusus, melainkan melalui pengisytiharan perlantikan daripada Raja Siam sahaja.
PERTABALAN
Syed Hussin bersama Gabenor Kubang Pasu, Gabenor Setul dan Gabenor Kedah telah pergi ke Bangkok untuk ditabal dan diiktiraf sebagai "pemerintah" keempat-empat negeri berkenaan oleh Raja Siam, Raja Nang Klau atau Rama Ill.
Pemerintah Negeri Kedah, iaitu Tengku Zainal Rashid diberi taraf pemerintah lebih ting gi bergelar "Sultan" sementara tiga yang lain termasuk Syed Hussin yang memerintah Perlis bergelar "Raja". Gelaran yang diberi kepada Raja Perlis ialah "Phya Songkram Wichit Wilis Asmara Phaya Pelit". "Phaya Pelit" ialah "Raja Perlis" sementara perkataan-perkataan lain berupa gelaran.
Syed Hussin kemudian mengemaskan pentadbiran dalam negeri dengan melantik adin danya, Syed Abdullah Ibni Syed Harun, dengan restu Raja Siam menjadi Raja Muda Perlis yang pertama. Ayahanda mertuanya, Tok Arau atau nama sebenar Datuk Muhamad Arshad Muhamad Yunus dilantik menjadi Menteri bergelar "Datuk Belat Paduka Seri Perdana Menteri". Baginda juga melantik beberapa orang lagi pembesar negeri.
RESTU
Syed Hussin kemudiannya memasyhurkan semula nama "Indera Kayangan" untuk diberi gelaran atau nama timang-timangan bagi Negeri Perlis. Menurut buku sejarah "Perlis Indera Kayangan" tulisan Ahmad Ismail dan Yazid Mat, gelaran tersebut diambil sempena nama oleh Sultan Dhauddin Mukarram Shah. Gelaran itu kekal hingga sekarang.
Selepas Raja Syed Hussin mangkat pada tahun 1873, putera baginda, Syed Ahmad dilantik menjadi Raja Perlis yang kedua. Pengisytiharan tersebut dibuat sebelum jenazah
Almarhum Raja Syed Hussin dimakamkan. Orang yang memainkan peranan penting dalam hal ini ialah Dato' Arau, kerana Syed Ahmad adalah cucunda kepada Dato' Arau sendiri.
Selepas tiga bulan menjadi Raja, Syed Ahmad bersama satu rombongan telah pergi ke Bangkok untuk mengadap Raja Chulalongkorn. Di Balai Penghadapan Istana Raja Siam, baginda ditabalkan menjadi Raja Perlis dan Syed Ahmad berjanji menghantar ufti kepada Raja Siam itu setiap tahun.
Setelah rombongan Syed Ahmad kembali, baginda disambut penuh istiadat. Satu majlis adat istiadat mengadap diadakan di Balairung, Istana Arau. Ramai pembesar negeri meng adap. Seorang pembesar negeri, Che Mat Saman Dato' Seri Lela Pahlawan mengadap dan membaca Surat Tera (surat pertabalan) yang dikurniakan oleh Raja Chulalongkorn.
Syed Safi, cucunda kepada Raja Syed Ahmad dilatih dalam lstana Raja Chulalongkorn di Bangkok selama sepuluh tahun. Dia kemudian dikahwinkan dengan puteri pembesar Siam bernama Michu dan diislamkan dengan nama Wan Saadiah. lstiadat perkahwinan diraja itu diadakan di Istana Kelohom, Bangkok dengan dihadiri oleh ramai orang kenamaan Siam.
Setelah pasangan pengantin tersebut pulang ke Perlis, mereka disambut oleh Raja Syed Ahmad dan Perma1suri Sharifah Seba, kerabat-kerabat diraja Perlis serta para pembesar negeri. Bagi meraikan perkahwinan itu, sekali lagi Raja Syed Ahmad mengadakan kenduri secara besar besaran di Istana Arau.
Pada 19 Februari 1897, Raja Syed Ahmad mangkat di lstana Arau. Syed Safi bertolak ke Istana Chulalongkorn di Bangkok dan kemudian ditabalkan dalam satu istiadat ringkas di istana berkenaan menjadi Raja Perlis yang ketiga. Baginda digelar "Phya Songkhram Ramu Wichit Wilis Asmara Phya Pelit". Syed Safi juga dikurniakan Surat Tera dan senjabat. Ketika itu baginda berusia 35 tahun.
ISTIADAT
Pada Disember 1904, Raja Syed Safi mangkat. Tempat baginda diganti oleh anakanda baginda, Syed Alwi. Surat yang ditandatangan oleh beberapa pembesar negeri seperti Tuan Chik Endut dan Tuan Syed Salim Al-Jafri menandakan persetuJuan mereka melantik Syed Alwi menjadi Raja Perlis yang keempat telah dihantar kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah di Istana Pelamin, Alor Setar.
Pada Februari 1905, Syed Alwi yang ditemani oleh beberapa pembesar negeri berangkat ke kota Bangkok untuk menghadap Raja Chulalongkorn supaya beliau ditabalkan menjadi Raja Perlis keempat. Pertabalan yang clibuat adalah mengikut adat istiadat Diraja Siam.
Ketibaan rombongan Raja Syed Alwi tersebut disambut penuh istiadat dengan beberapa ekor gajah menunggu di Haad Ya, dan terus berarak ke Istana Arau. Baginda mangkat pada 2 Februari 1943 setelah memerintah Negeri Perlis selama 39 tahun.
Sebelum jenazah dimal<:amkan, dilakukan adat mengangkat Raja pengganti. Tuan Syed Hamzah Ibni Almarhum Syed Safi menjadi Raja Perlis yang kelima. Kemudian jenazah itu di pangku oleh kerabat-kerabat diraja dan anak cucu Almarlium Raja Syed Alwi dari atas hingga ke bawah istana.
Apabila sampai di bawah, maka disambut pula kepala-kepala pekerja lalu diletak di atas Perusungan Raja Diraja. Pasukan Keysatsukang sedia menanti di hadapan istana. Kemudian jenazah Almarhum itu dibawa dari istana ke Makam Diraja Arau.
Pada 19 Februari 1897, Raja Syed Ahmad mangkat di istanha Arau. Syed Safi bertolak ke lstana Chulalongkorn di Bangkok dan kemudia ditabalkan dalam satu istiadat ringkas di istana berkenaan menjadi Raja Perlis yang ketiga.
Di atas Perusungan Raja Diraja itu, empat orang kerabat diraja berdiri memegang payung kuning di tiap-tiap penjurunya. Di samping itu, empat orang perempuan daripada anak orang baik-baik memegang penyiram air mawar dan bekas perasap.
Berjalan di hadapan sekali Pasukan Keysatsukang Perlis. Kemudian diikuti pula oleh Penghulu mukim, Haj1 dan Lebai serta Kepala Pekerjaan. Jenazah diusung oleh 40 orang rakyat dari tiap-tiap mukim, masing-masing memakai selendang kuning.
Di belakang jenazah diiringi oleh kerabat-kerabat diraja Perlis, dan diikuti pula oleh wakil tiap-tiap kaum, Cina, India, Siam, Sikh dan lainlain. Seterusnya diikuti pula oleh pegawai-pe gawai kerajaan, ketua-ketua kampung, guru-guru dan "orang-orang enam".
Setelah jenazah dimakamkan, Keysatsukang telah memberi penghormatan terakhir. Semua pejabat keraJaan dan sekolah ditutup pada han tersebut. Semua pegawai kerajaan dan guru sekolah dikehendaki hadir upacara pemakaman. Kerabat-kerabat diraja dan kepala-kepala pekerjaan dikehendaki memakai pakaian Melayu berwarna hitam sementara yang bukan Melayu memakai pakaian yang ditentukan. Tuan-tuan haji pula dikehendaki memakai jubah.
Kenduri arwah dan bacaan al-Quran diadafan dalam lstana Arau dan di Makam Diraja Arau selama 40 hari di bawah kelolaan Haji Ismail Kadi. Semua pegawai kerajaan dalam negeri dikehendaki berkabung selama tujuh hari dengan memakai kain warna putih satu inci lebar di sekeliling songkok di sebelah bawah.
Tuan Syed Putra ditabalkan menjadi Raja Perlis yang keenam selepas pemerintahan Raja Perlis kelima, Tuan Syed Hamzah dalam masa pemerintahan Jepun. Upacara pertabalan Tuan Syed Putra diadakan dengan meriah dan penuh beradat pada 12 Mac 1949 di lstana Arau. Turut ditabalkan, isteri Tuanku Syed Putra, iaitu Tengku Buariah binti Tengku Ismail menjadi Raja Perempuan Perlis. Hadir sama menyaksikan pertabalan ialah Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu, mewakili Raja lnggeris.
Istiadat pertabalan Tuanku Syed Putra tersebut diadakan d1 Istana Arau. Majlis itu di saksikan bersama oleh Menteri Besar, para pemimpin negeri, ketua kaum, penghulu mukim serta Sultan dan Yang Dipertua Negeri seluruh negara.
Ketibaan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bergilir-gilir selepas tiga minit dan dimainkan lagu kebangsaan negeri masing-masing. Mereka disambut oleh Pegawai lstiadat, diiringi ke tempat duduk yang dikhaskan di Balairung.
lstiadat bermula dengan perarakan kebesaran raja dari istana ke Balairung. Seorang kerabat menatang pedang kerajaan dan keris, diiringi oleh empat orang pelayan membawa payung kuning. Empat orang pelayan lain membawa tombak. Sebatang tombak lagi dipasang bendera negen Perlis.
Empat orang pelayan lain membawa keris. Empat orang pelayan perempuan pula membawa puan dan batil. Perarakan itu diiringi dengan bunyi-bunyian gamelan. Kehka sampai di Balairung, pedang kerajaan dan keris diserahkan kepada Pegawai Istiadat.
Pengiring dan pelayan-pelayan duduk di tempat yang dikhaskan. Kemudian bermula pula istiadat keberangkatan bakal Raja dan bakal Raja Perempuan dari istana ke Balairung, diiringi oleh juruiring baginda. Kedua-dua baginda disambut oleh Pegawai lstiadat. Sekalian yang hadir bangun.
Barisan kehormatan di hadapan anjung memberi hormat. Pasukan pancaragam memainkan lagu kebangsaan negeri Perlis "AminAmin". Setelah itu baginda berdua dipersilakan bersemayam di atas Panca Pertabalan. Apabila baginda berdua bersemayam barulah sekalian yang hadir duduk di tempat masing-masing.
Pegawai lstiadat tampil ke hadapan Panca Pertabalan, mengangkat sembah kepada baginda berdua lalu melafaskan makluman tentang istiadat pertabalan hendak dijalankan. Seterusnya Pegawai lstiadat mempersilakan bakal Raja berdiri. Ketika itu juga sekalian yang hadir bangun.
Pegawai Istiadat mempersembahkan keris. Bakal Raja menerima keris itu lalu disisip ke pinggangnya. Kemudian baginda menerima Pedang Kerajaan dan memegangnya. Pegawai Istiadat melafazkan sembah mengisytiharkan pertabalan baginda sambil mendoakan keberkatan dan berkekalan turun-temurun di samping meminta sekalian penduduk taat dan setia kepada baginda.
Selepas itu Menteri Besar mengangkat sembah lalu menyeru "Daulat Tuanku" diikuti oleh sekalian yang hadir, tiga kali berturut-turut. Barisan Kehormatan memberi hormat kepada baginda. Pancaragam memainkan lagu kebangsaan negeri Perlis. Meriam ditembak sebanyak 17 das.
Selesai upacara tersebut, Raja bertitah dengan mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana menyempumakan majlis pertabalan sambil berjanji akan menjalankan pemerintahan negeri ini dengan adil mengikut undang-undang. Kemudian baginda bersemayam dan sekalian yang hadir duduk di tempat masing-masing.
PERTABALAN
Seterusnya dijalankan pula istiadat pertabalan Raja Perempuan. Pengisytiharan dibuat oleh Pegawai lstiadat. Sekalian yang hadir memberi hormat diikuti oleh Pasukan Kehormatan. Pancaragam memainkan lagu kebangsaan negeri Perlis.
Selepas itu, Kadi Besar Negen membaca doa selamat. Seterusnya diikuti dengan ucapan tahniah kepada kedua-dua baginda. Ucapan pertama oleh seorang wakil Sultan, kemudian Menteri Besar Perlis bagi pihak rakyat. Selesai majlis ucapan, kedua-dua baginda turun dari Panca Pertabalan dan berangkat pulang ke istana diikuti oleh Sultan-Sultan, Menteri Besar dan semua yang hadir.
Pada waktu petang diadakan perarakan berbagai-bagai ciptaan penduduk semua mukim di Perlis. Malamnya diadakan Jamuan Agung di Balairung. Berbagai permainan dan pertunjukan juga diadakan di sekitar istana untuk hiburan rakyat. Esoknya dalam istiadat yang sama diadakan upacara mempersembahkan ucapan-ucapan daripada wakil pegawai kerajaan, pertubuhan Melayu, kaum India Islam, kaum Cina, kaum India dan kaum Siam.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri yang pertama di Perlis, Encik Mahyuddin Datuk Habib, adat menyembah di hadapan Raja tidak diamalkan, kecuali seseorang yang hendak menghadap Raja hanya menundukkan kepala sahaja Langkah ini adalah selaras dengan ajaran Sunnah-Wal Jamaah yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Sunnah di Perlis diasaskan oleh Allahyarham Haji Ahmad Haji Muhamad atau Haji Hakim, Allahyarham Haji Mokhtar Ismail dan Allaliyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd. Hashim.
Semasa pemerintahan Raja Syed Alwi dan Syed Safi, baginda duduk di atas kerusi rendah dan rakyat yang hendak mengadap baginda duduk bersila di hadapan. Istana di Arau dipanggil lstana Kuning. Selalu mereka yang terlibat mengadap Raja ialah ketua kampung, penghulu dan orang kenamaan negeri. Tempat mengadap di Balai Penghadapan.
lstiadat yang diadakan setiap tahun adalah untuk menganugerahkan bintang kepada mereka yang berjasa. Anugerah dikeluarkan semasa menyambut ulang tahun keputeraan Raja. Anugerah yang dikeluarkan pada masa dahulu hanya membawa gelaran "Datuk Bergelar". Bermula Raja Syed Putra, ditambah selain anugerah bintang yang membawa gelaran Datuk, juga dianugerahi pingat-pingat lain seperti Pingat Jasa Baik (PJB), Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Pingat Perkhidmatan Lama (PPL), Ahli Mahkota Perlis (AMP), Bintang Setia Mahkota Perlis (SMP) dan Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP).
Pada 21 September 1960, Tuanku Syed Putra dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Yang di-Pertuan Agong yang ketiga bagi Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan itu, baginda melantik empat orang menganggotai Majlis Pemangku Raja. Pada 30 Oktober 1960, Tuanku Syed Putra melantik putera sulung baginda, Tuanku Syed Sirajuddin menjadi Raja Muda.
Setelah menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun, Raja dan Raja Perempuan Perlis pulang ke Perlis. Pada masa itu, Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim memperkenalkan adat penghadapan di istana kerana dengan alasan jika di Istana Negara, baginda diberi penghormatan penghadapan begitu tinggi, adalah tidak wajar jika istiadat itu tidak diteruskan setelah baginda kembali menjadi Raja Perlis.
Istiadat penghadapan diamalkan di majlis ulang tahun keputeraan baginda setiap tahun. Ketibaan baginda berdua disambut dengan tembakan meriam 21 das dan kedua-dua baginda berjalan naik di atas Panca Persada.
Pegawai Istiadat kemudian tampil menyembah dan mengadap untuk memohon keizinan bagi memulakan majlis istiadat. Menteri Besar dititah mengadap untuk menyembahkan taat setia kaum kerabat kepada Raja dan Raja Perempuan.
Lagu Negeri kemudian dimainkan. Raja Perlis membalas tabik kehormatan daripada para anggota pasukan keselamatan dan kemudian memeriksa perbarisan kehormatan tersebut. Selepas itu, baginda sekali lagi naik di atas Panca Persada dan membalas tabik kehormatan kali kedua, dan kemudian turun dari Panca Persada untuk menemui kerabat-kerabat diraja dan para pembesar negeri di pentas belakang.
Kedua-dua baginda berehat seketika di ruang rehat lstana untuk menunggu persiapan bagi majlis istiadat penganugerahan bintang dan pingat-pingat kebesaran. Semasa masuk ke pintu istana, kedua-dua baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa lstiadat, dan isteri sementara lagu "funfair" dibunyikan oleh sekumpulan peniup trompet anggota-anggota polis.
Pegawai lstiadat kemudian mendahului baginda berjalan masuk ke Balai Penghadapan. Serunai lagu "Raja Berangkat" oleh Kumpulan Gendang Terinai Diraja ditiup, lalu kedua dua baginda berangkat masuk ke Balai Penghadapan lstana didahului oleh dua barisan pem bawa tombak, terus menaiki Singgahsana. Lagu rasmi negeri dimainkan.
Sebelum itu, sedia menunggu di tempat duduk khas ialah Raja Muda dan Raja Puan Muda, putera dan puteri baginda yang bergelar dan tidak bergelar, kaum kerabat diraja, Menteri Besar dan isteri, Hakim Mahkamah Tinggi dan isteri, Speaker Dewan Undangan Negeri dan isteri, para pembesar negeri dan penerima-penerima pingat serta bintang kebesaran.
Pegawai Istiadat kemudian tampil menyembah dan mengadap untuk memohon keizinan bagi memulakan majlis istiadat. Menteri Besar dititah mengadap untuk menyembahkan taat setia kaum kerabat kepada Raja dan Raja Perempuan.
Kemudian diikuti dengan titah ucapan Raja berupa pesanan dan nasihat kepada rakyat. Selepas itu bermulalah istiadat penganugerahan pingat dan bintang-bintang kebesaran. Setiap penerima anugerah perlu mematuhi aaat menghadap yang ditetapkan sebelum bergerak menerima anugerah daripada Raja di Singgahsana.
Setelah nama seseorang penerima itu dipanggil, dia harus bangun dari tempat duduknya dan menundukkan kepala ke hadapan tanda hormat kepada Raja. Sefepas itu dia akan keluar dari tempat duduknya serta bergerak ke hadapan Singgansana.
Di hadapan Singgahsana, seseorang penerima akan menyembah sekali kepada Raja, kemudian bergerak tiga langkah untuk sekafi lagi sembah. Penenma berkenaan kemudian terus melangkah menaiki tangga Singgahsana dan mengadap Raja untuk menerima anugerah yang dikurruakan kepadanya sama ada disematkan pada baju atau diberi dalam bentuk selendang.
ANUGERAH
Selepas menerima anugerah, penerima tersebut bersalaman dengan Tuanku Raja sambil berkata, "Patik menjunjung ampun kurnia Tuanku". Selepas itu, penerima berkenaan berundur sambil turun dari Singgahsana dan menyembah. Kemudian mengundur tiga langkah, sekali lagi sembah. Semua semban adalah dengan merapatkan kedua-dua tapak tangan yang diletakkan pada dahi dengan hujungjari menyenget sedikit ke hadapan.
Apabila selesai sembah terakhir, penerirna terlibat sekali lagi berundur tiga langkah dan kernudiannya barulah boleh berpusing untuk kernbali ke tempat duduk masing-masing.
Setelah semua penerima diberi anugerah bintang dan pingat kebesaran itu, Mufti Negeri dititahkan membaca doa selamat. Selalunya1 Mufti diapit oleh Kadi Besar negeri dan Penolong Kadi. Apabila semuanya berakhir, Pegawai Istiadat sekali lagi tampil mengadap dengan me maklurnkan bahawa ist1adat sudah berakhir.
Selepas itu, juruacara mengurnurnkan keberangkatan pulang Tuanku Raja dan Raja Pe rempuan. Lagu Negeri dimainkan, semua berdiri. Berakhir Lagu Negeri, Raja dan Raja Perempuan turun dari atas Singgahsana, didahului dengan dua barisan pembawa tombak diraja sambil diiringi dengan tiupan serunai lagu "Raja Berangkat".
Juruacara kemudian mengumumkan pula keberangkatan pulang Raja Muda dan Raja Puan Muda bersama putera-puteri dan kaurn kerabat diraja. Selepas, itu d1ikuti dengan Menten Besar, Hakim Mahkamah Tinggi, Speaker Dewan Undangan Negeri serta para pembesar negeri dan para penerima bintang dan pingat, meninggalkan Balai Penghadapan. Majhs kemudian bersurai. Jamuan ringan diadakan di Bilik Jamuan Istana.
Pada sebelah malam diadakan pula Jamuan Negeri di Bilik Jamuan Istana melibatkan orang orang kenamaan dan tetamu-tetamu khas. Pakaian semasa Jamuan Malam ialah baju Melayu serba hitam bagi lelaki Melayu dan "lounge suit" hitam bagi lelaki bukan Melayu. Bagi wamta pula hendaklah memakai pakaian labuh yang sesuai. Semua mereka yang pernah menerima pingat dan bintang kebesaran juga dikehendak:1 memakai bintang-bintang tersebut pada pakaian masing-masing.
Mengenai pakaian pada majlis istiadat penganugerahan tersebut, Tuanku Raja boleh memakai pakaian Melayu serba lengkap dengan tengkolok bermahkota dan keris diraja ataupun pakaian seragam tertinggi tentera. Raja Perempuan pula memakai baju kebaya labuh dan berkain serta mahkota di atas kepala.
Bagi rakyat jelata pula, orang Melayu lelaki dikehendaki memakai pakaian baju Melayu serba lengkap sementara perempuan pula berpakaian baju labuh dan berkain. Bag, penerima bukan Melayu lelaki pula dikehendak, memakai "lounge suit" serba hitam dan perempuan pula berpakaian Iabuh. Warna pakaian tidak ditetapkan, tetapi hendaklah bersesuaian dengan majlis. Bagaimanapun, warna yang dilarang dipakai oleh rakyat jelata ialah warna kuning.
Bagi para penerima yang terdir, daripada anggota-anggota pasukan berpakaian seragam pula dikehendaki memakai pakaian seragam mereka yang tertinggi. Kakitangan kerajaan yang mempunyai pakaian seragam juga disyaratkan memakai pakaian seragam mereka semasa menerima anugerah itu atau hadir di majlis penganugerahan.
Nota: Bahan rujukan:
I. Buku Sejarah Perlis Indera Kayangan oleh Ahmad Ismail dan Yazid Mat.
2. Encik Johari Darus, bekas Setiausaha Sulit Raja Perlis
3. Encik Rejab Ismail
4. Encik Mahyuddin Datuk Habib.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 6, 1994
