Oleh : RAMLI ISMAIL

Sejarah awal kewujudan aktiviti perkastaman secara tradisional di Perlis dipercayai bermula sejak abad ke-16 lagi. Menurut catatan buku sempena perasmian Kompleks Kastam Negeri Perlis, Jalan Kampung Pondok, Kangar, pada waktu itu Sultan Muzaffar Shah II yang memerintah Negeri Kedah antara tahun 1544 hingga 1602 telah menjadikan Kuala Perlis sebagai “pelabuhan” utama bagi Negeri Kedah.
Seorang pedagang Portugis, Fernao Mendes Pinto yang singgah di Perlis pada waktu itu telah merakamkan kunjungannya di Kuala Perlis melalui catatannya Anchored at the mouth of the Perlis River near Alor Setar to trade, 1539 antara lain menceritakan bahawa “kerana kesibukan, ramailah pedagang yang berkunjung dan melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan di Kuala Perlis pada waktu itu”.
Seorang ahli sejarah tempatan, Allahyarham Cikgu Ahmad Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mat Tawarikh pernah memaklumkan, sebahagian besar pedagang yang menggunakan Kuala Perlis adalah dari Negeri China. Di samping itu, terdapat juga pedagang-pedagang dari Semenanjung Arab, Gujerat dan India menggunakan pelabuhan tersebut sebagai tempat menjual barang dagangan mereka sebelum ianya dibawa pula ke China dan Kemboja.
Pada masa itu perdagangan laut merupakan jalan perdagangan utama di mana rangkaian pelabuhan Kuala Perlis, Kuala Sungai Baru dan Kuala Sanglang menjadi pelabuhan yang sibuk dan penting. Terdapat juga aktiviti pemindahan barang di antara Pulau Pinang dan Kangar melalui pelabuhan Kuala Perlis.
Di sebelah utara, Pekan Padang Besar yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand semakin berkembang ekoran bermulanya perkhidmatan keretapi antara Sistem Perkhidmatan Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dengan Sistem Keretapi Siam pada 1 Julai 1918.









