ASAL USUL NAMA KAMPUNG SANTAN KOTA
Oleh : OMAR BIN YAACOB dan NORASMAH HASSAN
ASAL usul nama sesuatu tempat adalah berkaitan dengan satu-satu kejadian atau peristiwa yang mungkin tidak diketahui oleh ramai orang, apa lagi dari generasi muda. Setengahnya berkaitan dengan satu-satu kepercayaan. Melalui pelajaran sejarah kita mengetahui asal usul tempat-tempat seperti Singapura, Melaka, Taiping, Kuala Lumpur dan sebagainya.
Melalui tulisan ini kami cuba mencari asal usul nama Kampung Santan Kota, yang letaknya lebih kurang 5 km dari bandar Kangar. Sebahagian besar penduduknya terdiri dari orang-orang Melayu. Ramai yang menjadi petani dan bekerja sendiri.
Ramai orang menganggap nama Santan ada kaitan dengan pohon kelapa yang boleh menghasilkan santan. Mereka mengatakan dahulunya kampung ini terdapat banyak pokok kelapa. Ada pula menafikan dengan mengatakan banyaknya pokok kelapa di kampung ini tidak jauh beranya dengan kampung lain. Melalui pertemuan dengan seorang tua di kampung ini, Pak Ismail Dahaman, diperolehi satu gambaran yang lain.
Menurut Pak Ismail, nama Santan berpunca dari air. Pada masa dahulu iaitu semasa kampung ini mula diteroka, penghuninya menghadapi masalah air. Sungai belum lagi didapati. Kerana itu mereka menggali telaga-telaga untuk mendapatkan air. Ada telaga yang digali mengeluarkan air yang tidak jernih seperti di tempat-tempat lain. Air ini dikatakan berwarna putih susu yang menyerupai santan. Ada yang merasakan air telaga ini mengatakan rasa airnya lemak seperti rasa santan. Selepas peristiwa ini kampung tersebut dikenali sebagai Kampung Santan.

Peta kawasan ke kota Santan
Menurut Pak Ismail lagi Kampung Santan ini berkembang lebih luas dan penduduknya kian bertambah ramai. Kemudian dipecahkah kepada dua bahagian iaitu Bahagian Hilir dikenali sebagai Kampung Santau Kola (sekarang meliputi kawasan km 2, Jalan Santan) dan Bahagian Hulu dikenali nama sebagai Kampung Santan Baruh (sekarang meliputi kawasan antara km 5 hingga km 7, Jalan Santan menghala ke Padang hati.
Seterusnya Pak Ismail menceritakan bagaimana nama Kampung Santan Kota mendapat namanya. Pada satu masa dahulu kampung ini didiami oleh seorang tokoh agama yang dikatakan keramat, namanya Tok Haji Bahri. la sangat dihormati dan mempunyai ramai pengikut. Beliau juga mempunyai persahabatan dengan penduduk selatan Siam. Terjalinlah perhubungan yang erat antaranya dengan pemerintah Siam. Tetapi keadaan ini tidak kekal. Perselisihan faham timbul antaranya dengan pemerintah Siam. Pihak orang-orang Siam cuba menyerang kampung ini dan menangkap Tok Haji Bahri mengetahui rancangan Siam ini, beliau meminta pengikut-pengikutnya mempertahankan serangan musuh ini. Pengikut-pengikutnya membina satu kawasan yang agak tinggi seperti bukit kecil dan di atas didirikan satu kota untuk perlindungan.
Pihak Siam berjaya sampai ke kampung ini dan mencari tempat perlindungan Tok Haji Bahri. Akhirnya mereka menemui tempat yang dicari itu. Tetapi Tok Haji Bahri ialah seorang yang taat pada Allah dan memohon agar ia terselamat. Khabarnya beliau hilang begitu sahaja tanpa dapat ditawan oleh pihak Siam. Pengikut-pengikut beliau sukar menemuinya lagi. Ada yang mengatakan tokoh ini menuntut ilmu ghaib dan dapat menjelma menjadi berbagai makhluk. Ramai yang berpendapat tokoh agama in! hilang sahaja selepas peristiwa ini.
Kawasan bukit kecil yang dibina oleh pengikut-peugikut Tok Haji Bahri kemudiannya dikenali sebagai Kampung Kota. Kawasan ini sekarang dijadikan kawasan perkuburan yang dikelilingi oleh kawasan sawah yang luas. Seluruh kawasan ini sekarang dinamakan sebagai Kampung Santan Kota.
Begitulah asal nama Kampung Santan Kota ini diperolehi iaitu dari sumber Pak Ismail Dahaman. Mungkin ada banyak lagi pandangan dari orang lain tentang asal usul tempat yang dibincangkan. Terpulanglah pula pada pengkaji lain untuk membicarakannya dengan lebih terperinci atau dalam variasi yang sama sekali berlainan.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 4, 1992
