Accessibility Tools

ADAT & PANTANG LARANG: ZIARAH MENZIARAHI

ADAT & PANTANG LARANG: ZIARAH MENZIARAHI

Oleh: NORDIN SAAD

Amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi yang diamalkan oleh masyarakat kita ini juga mempunyai adat dan pantang larangnya....

 

Salam bersalaman apabila ziarah menziarahi

 

Ziarah menziarahi atau kunjung mengunjungi di kalangan anggota keluarga, jiran, sahabat handai dan kenalan sudah menjadi sebati dengan masyarakat kita.

Jika seseorang itu tidak pernah ziarah menziarahi atau kunjung mengunjungi satu sama lain, maka tindakan sedemikian dianggap sebagai tindakan yang tidak baik dan tidak harus diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya, amalan ziarah menziarahi atau kunjung mengunjungi yang telah wujud sejak zaman turun temurun ini ternyata mampu merapatkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan anggota keluarga, jiran, sahabat handai dan kenalan ini.

Malah, bagi anggota keluarga yang uzur atau sakit pula sudah pasti akan terasa 'kurang sakitnya' apabila dikunjungi atau diziarahi oleh kaum keluarga atau sahabat handai seperti ini.

Walau bagaimanapun, amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi yang diamalkan oleh masyarakat kita ini juga mempunyai adat dan pantang larangnya.

Kebiasaannya apabila kita mengunjungi rumah seseorang jiran, saudara mara atau sahabat handai yang beragama Islam, maka kita memberikan salam sebaik sahaja tiba di rumahnya.

Ketika mengunjungi rumah orang-orang bukan Islam pula, biasanya kita memanggil namanya dan mengucapkan selamat pagi, tengah hari, petang ataupun malam.

Tuan rumah yang dikunjungi pula akan menjawab salam atau ucapan tetamunya itu sambil mempersilakannya naik atau masuk ke rumah dengan wajah yang berseri-seri atau tersenyum.

Adalah kurang elok jika seseorang tuan rumah itu menyambut tetamunya dengan 'muka masam' kerana ini menggambarkan seolah-olah tuan rumah tersebut tidak menyukai kedatangan tetamunya itu.

Sebelum memasuki rumah yang diziarahi itu, kita hendaklah membuka kasut terlebih

dulu. Waiau bagaimanapun pada zaman dahulu orang-orang kampung jarang memakai kasut, maka tetamu yang berkunjung akan membasuh kakinya menggunakan air yang disediakan di hadapan rumah terlebih dahulu sebelum memasuki rumah yang dikunjungi itu.

Semasa berkunjung ke rumah jiran, sahabat handai dan kenalan seperti ini, eloklah membawa sesuatu buah tangan kerana ini sudah menjadi satu amalan bagi arang Melayu. Buah tangan ini biasanya diserahkan kepada tuan rumah sebelum melangkah masuk ke rumah mereka.

Bagi masyarakat Melayu di Perlis, kebiasaannya buah tangan yang dibawa itu adalah terdiri daripada makanan atau buah-buahan. Buah tangan ini selalunya dibawa dari rumah dan basil usahanya sendiri.

Setelah masuk ke dalam rumah, sekiranya ada-tetamu lain di rumah tersebut, maka pengunjung itu hendaklah memperkenalkan dirinya dan bersalaman.

Jika tuan rumah menghidangkan minuman atau makanan, maka pengunjung tidak baik menolaknya. Sebaliknya, jika sudah kenyang, eloklah dijamahnya walaupun sedikit. Minuman atau makanan yang hendak dihidangkan kepada para tetamu itu biasanya dibawa dengan menggunakan talam dan adalah kurang manis jika ianya ditatang begitu sahaja.

Bagi pengunjung yang merokok pula, adalah tidak elok jika membuang abuk rokok sesuka hati walaupun di dalam bekas makanan. Buangkanlah abuk rokok tersebut di dalam bekas abuk rokok yang disediakan.

Pengunjung yang membawa anak-anak kecil, eloklah mengawasi anak-anak mereka agar tidak mengganggu peralatan atau perhiasan yang terdapat di rumah tersebut.

Selain daripada itu, jika seseorang lelaki berkunjung ke rumah jiran atau sahabat handainya secara bersendirian, maka elakkan diri daripada memasuki rumah tersebut jika isteri tuan rumah tinggal bersendirian.

Begitu jugalah jika seseorang wanita itu berkunjung ke rumah jiran atau sahabat handainya ketika si isterinya atau orang lain tiada di rumah. Janganlah memasuki rumah tersebut kerana perbuatan ini dianggap kurang manis dan boleh menimbulkan fitnah.

 

BIBLIOGRAFI

1.      AZIZ DERAMAN DAN WAN RAMU MOHAMAD, 1995, Adat dan Pantang Larang Orang Melayu, Shah Alam, Fajar Bakti Sdn. Bhd.

2.      Temuramah dengan PUAN ZABIDAH ZINI (Tambun Tulang) dan PUAN JAMALIAH SALLEH (Kg. Jarak)

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 11, 1999