SEJARAH DAN PERKEMBANGAN PANTUN
Oleh : REJAB F.I.
Pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang begitu popular di samping puisi-puisi tradisional yang lain seperti syair, gurindam, seloka, teromba, talibon dan dikir. Pantun mendapat tempat di hati orang-orang Melayu semenjak dahulu hingga masa kini jika dibandingkan dengan puisi-puisi tradisional yang lain. Pada masa kini, pantun masih digunakan oleh para pemimpin dalam sesuatu ucapan dalam majlis-majlis keramaian dan jamuan dan dalam majlis-majlis pertunangan atau perkahwinan di beberapa buah negeri di Malaysia.
Begitu juga para teruna dan dara jika mengirimkan surat-surat cinta lazimnya disulami dengan pantun, sama ada pantun yang sudah termasyhur ataupun pantun yang diciptanya sendiri.
Pantun juga memainkan peranan utama untuk lirik atau senikata lagu-lagu Melayu asli. Boleh dikatakan semua lagu-lagu Melayu asli menggunakan bait-bait pantun seperti lagu Tudung Periuk, Mak Inang Jawa, Joget Kain Batik, Serampang Dua Belas, Ayam Didik, Dondang Sayang, Joget termasuk Canggung dan Cinta Sayang. Sebagai contoh:
Nasi kunyit gulai la ayam,
Singgah makan Batu Melentang;
Senget topi berjalan la malam,
Abang nak cari Si Sanggul lentang.
(Senikata lagu Canggung)
Pantun adalah bahasa berirama yang indah, merdu dan menawan sukma.
Bahasa yang digunakan untuk mencipta pantun adalah bahasa tersendiri,
begitu berhati - hati dan mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu.
Dalam persembahan kesenian tradisional Melayu juga pantun begitu berperanan, misalnya dalam persembahan Hadrah, Awang Batil, Selampit, Beduan apa lagi persembahan muzik Gendang Tarinai, semua lagu-lagu yang dimainkannya menggunakan pantun.
Demikianlah pantun begitu berperanan dalam masyarakat kita, menyeluruh semenjak zaman dahulu hingga sekarang, sama ada di kampung-kampung dan di kota-kota. Kerana itu sewajarnya setiap individu Melayu mengetahui sekurang-kurang sebuah atau beberapa buah pantun sebagai mengenali sastera bangsanya, menghargai pusaka bangsanya dan sebagai jati diri / identiti dirinya.
APA ITU PANTUN ?
Pantun adalah bahasa berirama yang indah, merdu dan menawan sukma. Bahasa yang digunakan untuk mencipta pantun adalah bahasa tersendiri, begitu berhati - hati dan mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu. Untuk mencipta sebuah pantun yang indah dan harmoni iramanya, sewajarnya pula seseorang yang kreatif, berseni dan berwibawa. Pantun yang dicipta secara mudah tanpa menghalusi irama yang indah dan merdu, merupakan pantun yang kurang bernilai dan tidak bermutu - pantun yang hambar.
Kerana itu untuk mencipta sesebuah pantun wajarnya difikirkan, diperhalusi, diperdalami bahasa dan maksud/tema yang akan digunakannya, barulah bernilai atau bermutu irama dan maksud sesuatu pantun. Sebagai bangsa yang terkenal dengan kehalusan budi dan kesopanannya, maka seseorang Melayu atau individu yang ingin mencipta sesebuah pantun hendaklah penuh teliti dan difikirkan semurni-murninya bahasa dan maksud yang akan digunakannya, sehingga itulah akan tercipta sebuah pantun yang mempunyai irama yang merdu dan bermutu tinggi maksudnya.
Pantun digunakan ketika berbual, ketika menasihati seseorang,
ketika ingin menyindir, ketika menyampaikan rasa hati (kasih sayang),
ketika memberi semangat, teladan, saranan dan sebagainya.
Kita amat berharap agar sesiapa juga yang ingin mengguna dan mencipta pantun, berhati-hati dan hormatilah keindahan dan kesuciannya, ertinya tidak sebarangan, seolah-olah mempermudah dan mempermain-mainkan nilai dan keindahan pantun.
Dalam masyarakat kita, terutama masyarakat dahulu dan orang tua-tua, pantun begitu berperanan dalam penghidupan sehari-hari. Pantun digunakan ketika berbual, ketika menasihati seseorang, ketika ingin menyindir, ketika menyampaikan rasa hati (kasih sayang), ketika memberi semangat, teladan, saranan dan sebagainya. Sebagai contoh:
Sampan kuala muatan sarat,
Alih haluan ke Pulau Pandan,
Hentikan memuja budaya barat,
Janganlah susukan kera di hutan.
(Wan Khazim Wan Din)
Pantun juga digunakan dalam majlis peminangan. Suatu ketika dahulu, setiap peminangan menggunakan pantun. Bakal pengantin lelaki akan menyediakan beberapa buah pantun untuk menyampaikan maksudnya. Kerana itu, setiap keluarga bakal pengantin perempuan perlu pula bersedia dengan pantun untuk menjawab maksud bakal pengantin lelaki. Biasanya, kalangan bakal pengantin lelaki atau perempuan akan menyediakan seorang 'tokoh' pemantun agar kedua pihak dapat menyelesaikan sebarang pertanyaan dan jawapannya dengan baik. Sebagai contoh:
Soalan:
Sayang sembawa bijinya kembang,
Lalu bersemi dalam belanga;
Kami membawa seekor kumbang,
Bolehkah kami menyerikan bunga?
Jawapan:
Burung mengawan indahnya mega,
Buah berangan dipecah-pecahkan,
Hajat tuan, hajat kami juga,
Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.
Betapa harmoninya adap-sopan dan kesusilaan masyarakat kita zaman dahulu, akan tetapi buat masa sekarang kurang benar pantun digunakan dalam urusan peminangan itu, cuma terdapat setengah masyarakat dalam Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor yang masih menggunakan pantun.
PENGERTIAN PANTUN
Seperti yang ditegaskan tadi bahawa pantun mempunyai nilai tersendiri iaitu, setiap pantun mempunyai:
(a) Pembayang
(b) Maksud
(a) Pembayang
Sesebuah pantun yang baik, menurut pengkaji puisi tradisional, sewajarnya 'pembayang' yang diciptakan untuk sesebuah pantun itu ada hubung-kaitnya dengan 'maksud' sama ada secara langsung atau pun tidak langsung.
'Pembayang' ialah baris pertama dan kedua bagi pantun empat kerat (empat baris) iaitu baris-baris yang diperindah dan diperlengkapkan untuk mencipta irama, suasana, bayangan untuk disesuaikan bagi sesebuah pantun. Setengah pantun, ianya semata-mata merupakan 'pembayang' yang disesuaikan dengan irama dalam baris ketiga dan keempat yang tidak terdapat maksud atau isi sebenarnya.
Baris pertama dan kedua diperlengkapkan, untuk mencipta irama yang baik bagi sesebuah pantun. Namu begitu, baris-baris pembayang ini mempunyai nilai yang tersendiri, sewajarnya dihayati juga irama yang terkandung di dalamnya. 'Pembayang' memainkan peranan untuk mempertahankan irama atau nilai sesebuah pantun. Kadang-kadang pembayang juga mempunyai maksud yang tersendiri.
Sesebuah pantun yang indah dan bernilai juga terletak kepada keindahan bahasa atau irama yang terdapat dalam kedua-dua baris 'pembayang'. Kerana itu untuk menghasilkan pantun yang baik sewajarnya mencipta 'pembayang' yang baik, di samping maksud yang bernilai dan bermutu.
Sebagai contoh hayati pembayang pantun ini:
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
(Kumpulan Pantun Melayu DBP)
Betapa harmoninya pantun tersebut kerana terdapat pembayang yang senilai dengan maksudnya. Jika dihayati terdapat jua maksud yang tersirat dalam pembayang pantun itu. 'Akar keladi melilit selasih' menggambarkan keakrapan, suatu bayangan kepada maksud 'Mesra kenangan sepanjang zaman'.
(b) Maksud
Dalam sesebuah pantun, baris ketiga dan keempat itulah terdapat maksud, isi atau tema sebenarnya. Kedua-dua baris itulah yang mempunyai erti yang perlu dihayati. Jika kita membaca atau mendengar seseorang berpantun, telitilah baris ketiga dan keempat itu untuk mengetahui atau memahami maksudnya.
Sebagai contoh sebuah pantun yang baik:
Rumah limas anjung selatan,
Bunga kemuning tumbuh di taman;
Tangkainya emas bunganya intan,
Bolehkah ranting hamba patahkan.
(Sekalung Budi Seuntai Bahasa DBP)
Lihat betapa mendalamnya isi dan tema yang terkandung dalam kedua-dua baris 'maksud' dalam pantun tersebut.
Di sini, ternyatalah sesebuah pantun yang bermutu dan bernilai sewajarnya mempunyai maksud ‘dua lapis’ atau simbolik, yang tersirat, yang perlu difikirkan makna sebenarnya. Ternyata sekali pantun tersebut mempunyai pertalian antara ‘pembayang’ dan ‘maksudnya’. Di antara maksudnya ialah seorang teruna yang ingin melamar seorang gadis hartawan atau bangsawan, dia ingin mengetahui kerelaan gadis tersebut.
Mungkin terdapat maksud yang lain, yang juga perlu difikirkan.
Demikianlah pengertian sesebuah pantun, lain benar pengenalan jika dibandingkan dengan puisi tradisional kita iaitu 'syair'. Serangkap syair lazimnya terdiri daripada empat baris juga, akan tetapi tiap-tiap barisnya mempunyai maksud. Begitu juga gurindam, seloka, talibon atau teromba.
BENTUK PANTUN
Sebenarnya pantun terdapat beberapa jenis yang sering digunakan dalam masyarakat Melayu. Di antara jenis-jenis pantun itu ialah:
-
Pantun Dua Kerat (baris)
-
Pantun Empat Kerat (baris)
-
Pantun Enam Kerat (baris)
-
Pantun Lapan Kerat (baris)
-
Pantun Berkait
i. Pantun Dua Kerat (baris)
Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.
ii. Pantun Empat Kerat (baris)
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
iii. Pantun Enam Kerat (baris)
Apa diharap padi seberang,
Entah jadi entah tidak,
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap isteri orang,
Entah bercerai entah tidak,
Entah lagi bertambah sayang.
iv. Pantun Lapan Kerat (baris)
Kampung rotan di kota alam,
Ditebang dibelah empat,
Tumbuh serumpun di seberang,
Selasih muara sungkai;
Penglihatan usah diperdalam,
Pandang nan usah dipertepat,
Adik di dalam orang,
Maksud rasa takkan sampai.
v. Pantun Berkait
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Gunung Daik bercabang tiga,
Satu cabang arah ke hulu;
Budi yang baik dikenang juga,
Jika dikenang masa yang lalu.
Satu cabang arah ke hulu,
Satu cabang arah ke hilir;
Jika dikenang masa yang lalu,
Air mata jatuh mengalir.
Terdapat juga pantun sepuluh baris, 14 baris dan 16 baris akan tetapi amat jarang kita gunakan, kecuali masyarakat zaman dahulu yang amat mencintai dan berkebolehan mencipta dan menggunakan pantun. Cukuplah sekadar bentuk-bentuk pantun tersebut yang sewajarnya kita hayati dan dapat pula menciptanya.
VARIASI ATAU RIMA
Sesebuah pantun terdapat variasi atau rimanya. Variasi atau rima inilah yang mengindahkan bahasa sesebuah pantun. Di sinilah juga terdapat syarat utama bagi puisi tradisional pantun Melayu. Ketepatan yang perlu dicipta secara teliti, barulah bermutu atau bernilai pantun tersebut.
Variasi atau rima yang dimaksudkan itu terletak pada suku kata akhir pada baris setiap pantun. Jika syair suku kata akhir setiap baris mempunyai rima yang sama, misalnya a-a-a-a; pantun pula berselang seli rima yang sama itu. Rima tersebut terdapat pada baris pertama berselang dengan baris ketiga, sementara baris kedua sama dengan rima akhir baris keempat. Kerana itu, bererti rima pada sesebuah pantun ialah a-b-a-b. demikianlah keaslian pantun.
Sebagai contoh :
Baik-baik mengail tenggiri,
Takut terkena ikan parang;
Baik-baik merendah diri,
Jangan menjadi hamba orang.
(Sekalung Budi Seuntai Bahasa DBP)
Pantun yang lebih menarik dan menurut kelazimannya
ialah rima akhir setiap baris adalah berselang-seli.
Dalam pantun tersebut ternyata bahawa rima suku kata akhir baris pertama sama bunyi atau rimanya dengan suku kata akhir baris ketiga. Sementara suku kata akhir baris kedua sama dengan sukukata akhir baris keempat. Begitulah variasi atau rima yang terdapat pada setiap pantun. Namun begitu, terdapat juga rima akhir setiap baris sama bunyinya, akan tetapi masih terdapat syarat utama sesebuah pantun iaitu terdapat dua baris pembayang dan dua baris maksud atau isinya. Pantun yang lebih menarik dan menurut kelazimannya ialah rima akhir setiap baris adalah berselang-seli.
TEMA ATAU JENIS PANTUN
Terdapat sekian banyak jenis atau tema dalam puisi tradisional pantun sepertimana banyaknya corak kehidupan orang Melayu dalam masyarakatnya. Jenis atau tema pantun ini adalah mengikut jenis dan corak kehidupan iaitu :
-
Pantun anak-anak
-
Pantun orang muda
-
Pantun orang tua
i. Pantun anak-anak
Pantun anak-anak lazimnya lebih mudah daripada pantun biasa. Pantun tersebut terdapat pantun dua baris atau empat baris. Bahasanya sederhana dan mudah difahami, kadang-kadang terdapat tiga perkataan saja pada satu baris. Misalnya :
Buai laju-laju,
Sampai balik sana;
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga sena.
ii. Pantun orang muda
Pantun orang muda terdapat sekian banyak tema yang digunakan dalam kehidupan masyarakat, sepertimana terdapat sekian banyak pengalaman yang dihadapi dalam kehidupan orang muda seperti perkenalan / usik-mengusik, bermesra / berjauhan dan kecewa / putus asa. Sebagai contoh :
Padi bernama padi baluk,
Benihnya datang dari Palembang;
Ambil galah mari dijolok,
Supaya dapat bunga yang kembang.
Anak punai anak merbah,
Sambil terbang membawa sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Kononlah pula hatinya orang.
(Puisi Melayu Tradisional DBP)
iii. Pantun orang tua
Dalam kehidupan orang tua sekian banyak pengalaman yang diharungi atau dihadapi. Di antara pengalaman-pengalaman itu seperti : budi, nasib, dagang, jenaka, sindiran dan teka-teki. Sebagai contoh pengalaman itu melalui pantun :
Ramai orang di Kuala Sawah,
Masak nasi janganlah hangit;
Sedikit budi bukannya mudah,
Seberat bumi antara langit.
Dari Gersik ke Surabaya,
Pagar siapa saya sasarkan;
Wahai nasib apakan daya,
Pada siapa saya sesalkan.
(Puisi Melayu Tradisional DBP)
KESIMPULAN
Demikianlah 'Penghayatan pantun', sebuah puisi tradisional Melayu yang tak kering dek panas dan tak lekang dek hujan, puisi yang sewajarnya kita warisi bersama-sama sebagai menunjukkan jati diri dan peribadi bangsa kita. Jika bangsa Jepun terkenal dengan puisi tradisional 'Haiku', dihayati dan perkembangkan oleh seluruh masyarakat Jepun termasuk para pemimpin sehingga keluarga di raja Jepun sendiri, masyarakat kita sendiri, mengapa tidak?
Kita mengharapkan, di samping pembangunan ekonomi, sains dan teknologi mendepani zaman globalisasi, bangsa kita juga tidak lupa kepada kesenian dan kebudayaan bangsanya termasuk pantun. Jika Jepun membangun dengan ekonomi, sains dan teknologi, seimbangkan dengan pembangunan budaya, termasuk puisi Haikunya, kita juga sewajarnya turut bersama berbuat begitu.
Hayati dan pergunakanlah pantun kerana sekian banyak nilai pendidikan dan kehalusan budi terdapat di dalamnya.
RUJUKAN
-
"Puisi Melayu Tradisonal", Harun Mat Piah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989.
-
"Kumpulan Pantun Melayu", Diselenggarakan oleh Zainal Abidin Bakar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1984.
-
"Sekalung Budi Seuntai Bahasa", Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990.
-
Temuramah, Encik Wan Khazim Wan Din (Tokoh Pemantun Perlis), Kampung Bawah Bukit Chuping, Mata Ayer, Perlis, 15 September 2004.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.XVII, 2005
