Accessibility Tools

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU PERLIS: MERASI

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU PERLIS: MERASI

Oleh: ALDUL GHANI ON

Seiring detik yang berlalu, zaman pun turut diseret perubahan. Nilai kehidupan insan semakin tinggi. Dunia moden dengan segala kecanggihan teknologi memungkinkan kita menikmati kehidupan yang lebih selesa dan bermutu. Tetapi dalam keghairahan menghirup udara pemodenan, usah dipinggirkan warisan silam yang dilingkari adat resam dan pelbagai budaya. Adat merasi misalnya, sudah tidak lagi diamalkan di kebanyakan tempat di negeri ini.

Tidak diketahui dengan jelas mengapa terjadi demikian. Mungkin disebabkan oleh pergaulan bebas muda-mudi sekarang dan ajaran agama Islam yang menegah perbuatan tersebut. Ternyata, adat tersebut sedikit demi sedikit telah mulai dilupakan masyarakat mengikut arus peredaran masa. Walau apa pun, tanpa mengamalkan adat ini, adat perkahwinan masih tetap berjalan lancar dan sempurna.

Tetapi di sesetengah tempat yang masih kukuh dilingkungi oleh adat istiadat, amalan merasi ini masih tetap dipegang kuat dan masih diamalkan sehingga kini. Merasi adalah salah satu adat ramalan atau menilik bagi menentukan pasangan yang akan dijodohkan itu sesuai atau sebaliknya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang adat tersebut, saya berkesempatan menemu bual salah seorang penduduk tertua di Kampung Padang Gelam, Sanglang, Perlis iaitu Encik Shafie bin Hassan, berumur 96 tahun yang juga merupakan seorang bomoh tradisional. Menurut Encik Shafie, selepas selesai upacara merisik serta segala maklumat telah didapati melalui orang perantaraan dan gadis tersebut dirasakan sesuai menjadi pasangannya, maka pihak lelaki akan melakukan satu adat yang dinamakan adat merasi. Adat ini dilakukan untuk mengetahui sama ada bakal pasangan tersebut sesuai atau tidak. Adat ini biasanya dilakukan oleh bomoh atau bidan.

Ada banyak cara untuk merasi. Orang-orang tua dahulu sering mengamalkan unsur­-unsur alam untuk tujuan tersebut iaitu tanah, air, api dan angin. Unsur-unsur ini dipercayai berhubung kait dengan tabiat seseorang. Dari setiap unsur-unsur tersebut disertakan pula nama­-nama seseorang yang bermula dengan huruf Arab. Kalau namanya bermula dari salah satu dari huruf-huruf Arab itu, maka tabiat atau perangainya adalah seperti yang terkandung dalam unsur-unsur alam tersebut, jelas Encik Shafie lagi. Di bawah ini diperturunkan kaedah merasi yang sedikit sebanyak ada persamaan dan dipadankan dengan kandungan kitab Tajul Muluk. Huruf-huruf Arab yang berikut mewakili nama-nama seseorang, manakala unsur-unsur alam pula melingkari tabiat atau perangai seseorang itu:

 

 

Menurut Encik Shafie lagi, mula-mula nama pasangan tersebut hendaklah ditentukan mengikut salah satu dari empat unsur itu.

 

Upacara merasi sedang dijalankan oleh pihak lelaki

 

Contohnya kalau lelaki tersebut bernama Talhah, namanya bermula dengan huruf Arab ( ت ) maka tabiat atau perangainya tertakluk kepada unsur tanah. Manakala gadis bakal pasangannya Rozilah ( ر ) yang tertakluk dalam unsur air, maka dipercayai hidup mereka akan aman dan damai serta saling memahami. Baka! isterinya itu akan sentiasa patuh dan taat kepada perintahnya.

Kalau pasangan itu tertakluk pada unsur yang sama, seperti tanah dengan tanah, maka hidup mereka akan bahagia dan saling sependapat. Tetapi jarang sekali terjadi persamaan unsur-unsur tersebut. Kalau angin bertemu angin, mereka akan selalu bergaduh dan bertengkar kemudian berbaik semula. Jika unsur air bertemu air, diramalkan hidup mereka akan sepakat tetapi hanya sementara sahaja. Akhirnya kasih sayang mereka akan berakhir. Jika api bertemu api, perselisihan faham sering terjadi tetapi tidak akan berpanjangan ataupun perkahwinan mereka akan berakhir dengan perpisahan, jelas beliau lagi.

Seterusnya beliau menerangkan, sekiranya lelaki tadi berunsur air dan pasangannya tanah maka mereka akan saling memahami tetapi bakal isterinya itu akan mengawal urusan rumah tangga. Jika suaminya berunsur api manakala isterinya pula angin, diramalkan mereka tidak akan saling menyayangi tetapi kalau tercipta kasih sayang, hidup mereka akan bahagia dan suami akan tunduk kepada isteri.

Kalau si suami tanah dan isterinya berunsur api, simpulan kasih sayang di antara mereka hanya sedikit dan si isteri akan mengawal suami. Kalau suami berunsur angin dan isterinya pula air, dipercayai si suami akan menguasai isteri.

Tambahnya lagi, kalau suami berunsur air dan isteri berunsur api, mereka diramalkan sukar untuk saling memahami. Si suami akan mengawal isteri. Begitu juga kalau suami berunsur angin dan isteri berunsur api, si isteri akan sentiasa mengawal kehidupan suami.

Tapi pada masa sekarang, adat merasi ini jarang sekali dilakukan. Mungkin suatu hari nanti adat ini akan terus lenyap ditelan zaman. Lagipun agama kita menegah perbuatan tersebut. "Semua yang berlaku adalah atas kehendak Tuhan. Kita hanya mampu merancang, tapi Allah SWT yang menentukan", jelas Encik Shafie mengakhiri perbualan.

Apa yang dapat dirasakan ialah bahawa adat merasi ini sedikit demi sedikit telah mulai dilupakan oleh masyarakat masa kini. Ini terjadi mungkin disebabkan masyarakat itu sendiri sudah tidak memerlukannya lagi. Dalam keadaan masyarakat sekarang yang boleh dikatakan bebas dan moden, seseorang itu boleh mempelajari tabiat atau perangai pasangannya melalui pertemuan-pertemuan secara langsung atau tidak langsung dan akhirnya mereka dapat merasakan sama ada pasangannya itu serasi atau sesuai dengannya atau tidak. Ini menyebabkan keperluan untuk merasi tidak timbul.

 

BIBLIOGRAFI

I. Amran Kasimin - Istiadat Perkahwinan Melayu,

Satu Kajian Perbandingan. DBP, Kuala Lumpur. 1989.

2. Temubual dengan Encik Shafie bin Hassan - Kampung Padang Gelam, Sanglang, Perlis.

 

SUMBER ARTIKEL 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997