Accessibility Tools

BAGAIMANA PERLIS MENDAPAT NAMA

BAGAIMANA PERLIS MENDAPAT NAMA

Oleh: Muhamad bin Harun

Negeri Perlis merupakan sebuah negeri yang terkecil sekali di Malaysia. Negeri Perlis terletak diantara Garisan Lintang 6 Dan 7 Utara, panjangnya 32 batu dan lebarnya 15 batu. Keseluruhan luasnya lebih kurang 316 batu persegi dan mempunyai penduduk seramai 220,000 orang. Seperti diketahui umum Negeri Perlis dahulunya merupakan sebuah jajahan Kerajaan Kedah dan dalam tahun 1839 Perlis menjadi sebuah negeri berdaulat.

 

 

Negeri Perlis sudah lama menjadi tarikan manusia untuk berhijrah ke sini. Sejak zaman Pra Sejarah dan Zaman Batu Negeri Perlis telah didiami oleh manusia. Ini berdasarkan bukti terjumpanya tinggalan manusia purba di Gua Tegun Lembu (Beseri) dan juga Gua Kurung Batang (Bintong). Cikgu Alwi Sudin bersama dengan beberapa pelajar Sek. Men. Putra juga telah menemui kapak batu di Gua Gergasi Bukit Besi Hangit. Kapak batu itu sekarang ini disimpau di Muzium Negara. Ini menjadi asas Perlis menjadi tarikan sejak zaman dahulu lagi. Sultan Kedah juga telah membina istana di kawasan Kayang dan tempat itu sekarang ini dikenali sebagai Al Marhum Kayang.

Apa yang ingin kita bicarakan kali ini ialah “Bagaimana Perlis mendapat nama.” Terdapat beberapa hipotesis atau versi dan cerita lisan bagaimana Perlis mendapat nama. Sehingga kini terdapat 7 versi yang sering diperkatakan. Keraguan juga timbul difikiran kita versi manakah yang betul. Dalam kajian sejarah kita tidak boleh menolak sesuatu hipotesis atau versi tanpa fakta dan asas yang kukuh. Penolakan sesuatu versi mestilah berdasarkan fakta yang boleh dipercayai tanpa keraguan. Tujuh versi yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh sejarah dan juga melalui cerita-cerita lisan adalah berbeza di antara satu sama lain. Sebagai pencinta sejarah kita patut mengkaji versi manakah yang mempunyai asas yang kukuh berdasarkan fakta-fakta yang meyakinkan.

Versi pertama ialah yang dikemukakan oleh YB Dato' Yazid B. Mat seorang tokoh sejarah Negeri Perlis. Beliau menyatakan Perlis mendapat nama daripada sejenis pokok yang dipanggil ‘Pokok Perlis’. Beliau mengemuka beberapa hujah untuk hipotesisnya. Menurut beliau kegunaan pokok atau tumbuhan bagi orang Melayu sangat banyak dan meliputi pelbagai aspek keperluan seharian seperti pengangkutan, ubat-ubatan, senjata dan sebagainya. Selain itu kebanyakan nama-nama di alam Melayu seperti Melaka, Ipoh, Pulau Pinang, Bagan Serai, Bukit Mertajam, Lumut dan sebagainya berasal daripada tumbuhan atau pokok. Dato’ Yazid berkata Kota Sena iaitu kota terawal di Perlis juga mengambil sempena nama pokok. Jadi tidak mustahil negeri Perlis juga berasal daripada sejenis pokok “Pokok Perlis” ini mungkin sudah tidak wujud lagi atau jika wujud mungkin panggilan atau namanya berubah mengikut peredaran zaman. Boleh jadi juga buahnya tidak enak dimakan atau tidak ada kegunaan bagi manusia dan ianya tidak begitu dipedulikan dan terus dilupakan. Generasi seterusnya tidak lagi mengingatinya.

Versi kedua yang juga mempunyai asas ialah berasal daripada perkataan “Tanah Peroleh” atau tanah pemberian. Sebelum ini Perlis dikenali sebagai Kayang. Sultan Kedah memerintah Kedah, Perlis hingga ke Satun (Setul) dan mempunyai istana di Kayang. Dalam Tahun Masihi 1798 Sultan Kedah Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dikatakan telah menganugerahkan kawasan Arau kepada Syed Harun Jamalullail yang juga menantunya. Syed Harun dijadikan penghulu dan memerintah Arau. Akibat daripada pemberian ini ia dikenali dengan nama ‘Tanah Peroleh’ iaitu tanah pemberian daripada Sultan Kedah. Lama kelamaan apabila disebut dengan loghat utara ‘Tanah Peroleh’ menjadi Perlis.

Versi ketiga bagaimana Perlis mendapat nama ialah daripada perkataan Siam “Prow-Loi” bermaksud kelapa hanyut. Dalam abad ke 15 dan ke 16 ramai perdagang dari Siam telah datang berniaga ke Kedah dan juga Melaka. Dalam pelayaran mereka selalu singgah di Kuala Perlis yang mereka namakan ‘Prow-Loi’ kerana terdapat banyak kelapa hanyut dan terdampar di pantai Kuala Perlis. Lama kelamaan perkataan ‘Prow-Loi’ menjadi Perlis apabila disebut oleh orang tempatan.

Versi keempat yang sering diperkatakan ialah perkataan “Perlus”. Negeri Perlis dikaitkan dengan perkataan ‘Tanah Perlus’ atau ‘Perelus’. Negeri Perlis dikatakan mempunyai tanah berlumpur yang luas. Kaki kita akan ‘terperlus’ masuk ke dalam tanah Lumpur apabila kita

memijaknya. Menurut Kamus Dewan ‘Perlus’ bermaksud termasuk (terperosok) ke dalam lubang. Kaki yang masuk ke dalam lumpur akan dipanggil ‘terperlus’. Apabila selalu disebut ‘perlus’ akhirnya menjadi Perlis.

Versi kelima bagaimana Perlis mendapat nama ialah melalui perkataan “Peran Leh”. Peran atau pelawak amat popular suatu ketika dahulu dan mempersembahkan persembahannya sehingga ke istana. Di katakan pada zaman itu terdapat seorang pelawak atau peran yang bernama Salleh. Dikalangan masyarakat Melayu ‘Salleh’ selalu dipanggil ‘Leh’ iaitu singkatan

yang lebih mesra. Peran Leh membuat persembahan sehingga ke negeri lain dan orang luar lebih mengenali negeri ini atau tempat asal Peran Leh sebagai menjadi negeri “PeranLeh”. Akhirnya peranleh menjadi Perlis.

Versi keenam berasal daripada perkataan “Perlit” yang bermaksud batu. Di katakan terdapat seketul batu besar berdekatan dengan muara Sungai Perlis. Batu ini dikatakan menjadi asas kononnya Perlis mendapat nama daripada perkataan ‘Perlit’. Apabila selalu disebut ‘Perlit’ akhirnya menjadi ‘Perlis’.

Versi ketujuh “Bagaimana Perlis mendapat nama” ialah daripada seorang yang bernama “Tok Perlis”. Tidak diketahui siapakah Tok Perlis atau apakah jawatan. Tiada siapa ketahui peranan yang dimainkannya sehingga ada yang menyatakan Perlis mendapat nama daripada namanya Tok Perlis.

Sekarang kita telah mengetahui tujuh versi bagaimana Perlis mendapat nama dan sehingga kini tiada siapa mengetahui kebenarannya. Semua versi ini berdasarkan kajian orang perseorangan dan juga cerita-cerita lisan yang perlukan kajian lebih teliti untuk mengetahui kesahihannya. Kajian teliti dan menyeluruh hendaklah dilakukan oleh pengkaji dan peminat sejarah untuk mengetahui asal usul negeri Perlis supaya tidak timbul keraguan. Setiap versi yang dipaparkan mempunyai asas yang tersendiri dan boleh diperdebatkan.

 

Rujukan

  1. Ahmad Ismail & Yazid Mat. Perlis Indera Kayangan
    Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat. Kangar: Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis, 1992
  2. Buyong Adil. Sejarah Perlis, Kuala Lumpur: DBP, 1981
  3. Zakiah Hanum. Asal-Usul Negeri-Negeri di Malaysia, KL: Times Book, 1989

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 14, 2002