Accessibility Tools

MUZIK TRADISIONAL Satu Kajian Peralatan

MUZIK TRADISIONAL
Satu Kajian Peralatan

Oleh : REJAB F.I.

PERALATAN untuk muzik tradisional Melayu begitu besar peranan dan pengaruhnya terutama sekali dalam konsep penghiburan, perkembangan budaya dan sastera. Tanpa peralatan ini muzik tradisional kita kurang begitu bererti dan mempengaruhi jiwa penonton. Sesungguhnya antara, kedua faktor ini muzik dan penonton mempunyai hubungan yang erat sekali. Meskipun terdapat alat-alat muzik tradisional kita yang dipergunakan semata-mata untuk hiburan sendirisendiri akan tetapi muzik tersebut begitu kuat pula mempengaruhi hati dan nurani pendengar-pendengarnya. 

 

 

Peralatan untuk muzik tradisional kita boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:

  • Peralatan muzik solo
  • Peralatan bergandingan
  • Peralatan bergabungan 


PERALATAN MUZIK SOLO

Peralatan muzik solo termasuklah: Seruling, bangsi buluh, Rebab, Serunai, Serunai Batang Padi, Bangsi Batang Padi dan biola. Alat-alat muzik tersebut mempunyai fungsi-fungsi tertentu yang dimainkan oleh pemuzik-pemuzik tersebut. Seruling umpamanya (bagi penduduk di Utara Malaysia alat ini dikenali sebagai ‘Bangsi’) mempunyai fungsi yang tersendiri pula. Alat muzik ini biasanya direkabentuk dan dicipta sendiri oleh pemuzik itu, akan tetapi begitu ringkas jika dibandingkan dengan seruling yang kedapatan dijual di kedai-kedai alat muzik sekarang.

Alat muzik “Bangsi” ini lazimnya diperbuat daripada seruas buluh, biasanya daripada buluh “temiang” di mana terdapat ruasnya begitu panjang jika dibandingkan dengan buluh-buluh jenis yang lain. Seruas buluh yang dibubuh tumbulnya dan bertebuk lubang yang besar di bahagian bawahnya serta beberapa lubang-lubang kecil di bahagian atasnya (biasanya terdapat tujuh lubang) maka pemuzik tersebut sudah bisa meniupnya.

Pemuzik-pemuzik ini biasanya terdiri daripada anak-anak muda lelaki. Mereka meniupnya ketika-ketika menjaga kerbau di pematang-pematang sawah atau untuk menghiburkan hati ketika senggang atau di waktu malam di bawah sinar bulan purnama. Sesungguhnya alat ini begitu besar peranannya mempengaruhi hati nurani manusia ketika itu. Selain untuk menghibur hati pemuzik tersebut kerana kesepian atau dilanda duka nestapa atau diamuk rindu, muzik atau lagu-lagu tiupannya juga dapat menghubungkan perasaan antara dua jiwa-jiwanya dengan jiwa kekasihnya.

Alat ini sesungguhnya, pada zaman lampau mempunyai suatu kuasa atau daya penarik yang amat berkesan. Sering benar diceritakan bahawa seseorang pemain yang bijak (seseorang teruna/lelaki) menjadikan alat tersebut sebagai hantaran belanja kahwin untuk seseorang dara/wanita yang meminati kebolehannya itu.

 

 

Tidak kurang pula alat tersebut dapat meruntun hati seseorang dara/wanita, sehingga apabila mendengar tiupannya melompat keluar melalui jendela, diluar kesedarannya menemui peniupnya! 

 

BANGSI / SERULING BULUH

Di samping “Bangsi/Seruling”, “Serunai Batang Padi” juga merupakan alat muzik solo yang begitu popular suatu masa dulu. Di pematang-pematang sawah, ketika padi sedang mengeluarkan buahnya atau di muzim panen, di mana-mana juga para petani meniup serunai, meliuk-lintuk bunyinya di sana sini. Dan ketika itu, begitu terhibur hati para petani menantikan padinya untuk dituai.

Ketika itu beralunlah lagu-lagu: Makan Sirih, Kuala Deli, Seri Siantan, Anak Tiung, Layang Emas dan sebagainya. 


Serunai padi ini sebenarnya terdapat dua jenis:

  • Bangsi Batang Padi
  • Serunai Batang Padi 

 

Bangsi Batang Padi serupa bentuknya dengan bangsi/Seruling yang diperbuat daripada buluh. Seruas batang padi yang elok, dibuang tangkainya dan dipotong berhampiran dengan buku batang padi tersebut. Batang padi ini direncong kulitnya sebagai lubang terbesar di bahagian bawah kemudian dibuatkan lubang-lubang kecil di bahagian atasnya yang merupakan lubang-lubang nada alat tersebut.

Kebolehan mencipta dan meniup Bangsi Batang Padi ini juga setara peranannya dengan Bangsi Buluh tadi. Akan tetapi alat ini tidak kekal lama kerana cepat mengecut dan terus rosak.

 

BANGSI / SERULING BATANG PADI 

Berbeza pula dengan “Bangsi Batang Padi”, ‘Serunai Batang Padi” diperbuat daripada seruas batang padi juga, akan tetapi dilengkarkan dengan sehelai daun rumbia atau daun ibus yang muda (daun tersebut dibuang lidinya) dijadikan sebagai serombong di bahagian hujung serunai tersebut.

Serunai ini apabila ditiup kedengaran lebih kuat dan nyaring. Fungsinya juga untuk menghibur, menghilangkan rasa sepi kegelisahan dan sebagainya. 

 

 

Peralatan muzik solo ini biasanya dipergunakan bahan-bahan tempatan yang mudah diperolehi di mana-mana ketika itu. Meskipun begitu alat-alat tersebut adalah dari penyesuaian alat-alat muzik yang dipengaruhi oleh bangsa-bangsa mendatang khususnya dari pengaruh Hindu. Penyesuaian in terdapat dengan jelas jika diperbandingkan dengan serunai orang-orang Hindu sendiri.

R.O.Winstedt dalam artikelnya "The Indian Influence in The Malay World" JSBRAS (1944) menegaskan bahawa, “Boleh dikatakan bahawa sampai abad ke 19, orang Melayu memperolehi segala-segalanya dari India: Agama, sistem politik, astrologi, perubatan, sastra, seni dan pertukangan.” 

 

PERALATAN MUZIK BERGANDINGAN

Muzik tradisional kita sesungguhnya merupakan suatu unsur memperkembangkan sastera lisan yang amat berpengaruh. Penglipurlara-penglipurlara seperti Selampit dan Awang Batil (yang terdapat di negeri Perlis) sebagai bukti yang jelas bahawa muzik tradisional itu mempengaruhi dan menyebarluar sastera-sastera lisan ini.

Penglipurlara Selampit misalnya begitu erat perhubungannya dengan “Rebab”. Tanpa Rebab cerita-cerita yang disampaikan oleh penglipurlara itu tentulah kurang menarik dan berkesan.

“Rebab” merupakan muzik bergandingan yang dimainkan bersama pensembahan cerita-cerita penglipurlara kita seperti: Hikayat Terung Pipit, Hikayat Siti Zubaidah, Puteri Lindungan Bulan Kedah Tua, Hikayat Si Miskin, Hikayat Seri Rama dan sebagainya.

Rebab, sejenis alat muzik tradisional kita yang diperbuat sendiri oleh tukang-tukang Melayu daripada bahan-bahan tempatan. Bahan-bahannya terdiri daripada kayu, tali dan penggesetnya. Alat ini digeset mengikuti rentak irama cerita yang disampaikan oleh Penglipurlara tadi. Alat ini juga adalah dari peniruan atau penyesuaian alat muzik yang digunakan oleh orang-orang Parsi. Meskipun begitu keaslian yang tersendiri diciptakan oleh tukang-tukang muzik kita.

Suatu alat muzik lagi yang merupakan peralatan bergandingan dalam memperkembangkan cerita-cerita penglipurlara kita ialah “Batil” Penglipurlara “Awang Batil” yang masih popular menyebar luas sastera lisan di Perlis sekarang ini hanya mempergunakan sebiji batil yang dipukulnya dengan tangan, merupakan alat muzik bergandingan sesuai dengan cerita-cerita yang dipersembahkannya.

“Tanpa batil ,” menurut Encik Mahmud bin Wahid, 71 tahun, dari Kampung Sena, Mata Air, Perlis, “Saya tidak dapat menyampaikan cerita-cerita saya kepada orang ramai,” jelas Encik Mahmud.

Baginya, pukulan batil itu merupakan suatu kuasa hikmat mengingatkan kembali jalan cerita sesebuah penglipurlara yang akan dipersembahkannya dan juga sebagai daya penarik kepada para audience.

Alat ini adalah bahan dapur yang sering dipergunakan untuk bekas air dan bahan-bahan cecair yang lain. Akan tetapi “Batil” Encik Mahmud ini adalah batil pesaka yang dipergunakan oleh Awang-Awang Batil sebelumnya.

Pukulan batilnya adalah dengan nada tersendiri ketika mempersembahkan cerita-cerita seperti: Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Lang, Awang Angan-angan dan beberapa buah cerita lagi.

Sebahagian pula, terdapat muzik bergandingan ini terdiri daripada beberapa alat. Dalam bahagian ini termasuklah kumpulan-kumpulan muzik untuk: Wayang Kulit, Manora, Dike, Makyong dan lain-lain lagi.

Fungsi utama alat tersebut adalah untuk menimbulkan suasana yang lebih realistik di dalam sesuatu adegan cerita yang dipersembahkan dalam permainan-permainan itu. Wayang Kulit umpamanya menggunakan alat-alat muzik seperti: Serunai, 2 buah gendang, sepasang gong, sepasang geduk, sebuah canang iaitu 5 atau 7 buah gong kecil yang diletakkan dalam sebuah pemidang kayu, sebuah gedebak dan sitegerik (dua keping gangsa kecil dan leper).

Alat-alat tersebut dimainkan dengan irama-irama tertentu dan disesuaikan dalam sesuatu babak yang tertentu pula. Misalnya apabila watak-watak dari Hikayat Seri Rama, Ramayana atau Mahabarata ditayangkan pada kain galirnya, titiran geduk serta ditingkah dengan pukulan gong dan tiupan serunai yang menyertai gerakan bayang-bayang itu menimbulkan suasana ketenangan, kecemasan dan sebagainya.

Demikian juga untuk Manora, Dike dan Makyong dimana permainan ini yang berasal dari pengaruh Siam. Makyong mempergunakan alat-alat seperti: Rebab, 3 biji gendang, serunai, gong, buluh gereset dan cerek tembaga.

Alat-alat ini juga biasanya diperbuat dari bahan-bahan tempatan yang dicipta oleh tukang-tukang tempatan juga. Umpamanya gendang diperbuat daripada kayu dan belulang lembu atau kambing. Serunai daripada kayu. Kecuali gong yang diperbuat daripada gangsa yang banyak sekali terdapat di negeri-negeri di Tenggara Asia.

Menurut cerita China gong ini terdapat pada awal kurun keenam. Di Tanah Jawa dalam kurun yang Kesembilan. Seratus tahun kemudian barulah alat-alat ini tersibar di Kepulauan Melayu.

Gendang-gendang pula terdapat berbagai-bagai bentuk, juga berasal dari pengaruh pengaruh luar seperti gendang nobat berasal dari Parsi. Gendang yang bulat dan panjang berasal dari Turki. Sejenis lagi alat muzik kita ialah rebana yang berasal dari Arab. Rebana ini dipasang kulitnya sebelah saja, terdiri daripada rebana besar dan rebana ubi.

 

PERALATAN MUZIK BERGABUNGAN 

Muzik bergabungan merupakan permainan tradisional kita yang begitu popular dan mempunyai pengaruh yang amat luas.

Dalam kategori ini sesebuah kumpulan muzik itu menggabungkan nyanyian dan tarian. Dengan penggabungan ini adalah lebih menarik minat para audience dan memerlukan ramai penyertaan muzik tersebut.

Kumpulan-kumpulan muzik dalam kategori ini diantaranya termasuklah: Nobat, Gendang Keling, Biduan, Canggung, Kompang, Dondang Sayang, Alu/Lesung Bunyi dan Hadrah.

Peralatan Muzik bergabungan ini memperlihatkan betapa dedikasi pemain-pemain alat tersebut secara berkumpulan tanpa nota-nota lagu disediakan. Mereka bermain secara ingatan dengan kebolehan serta kemahiran yang tersendiri.

 

Di antara kumpulan-kumpulan muzik tersebut terdapat dua kategori pula: 

  • Kumpulan muzik tanpa penyanyi dan tarian
  • Kumpulan muzik diiringi dengan nyanyian dan tarian.  

 

Kumpulan muzik tanpa penyanyi dan tarian ini termasuklah: Nobat, Gendang Keling, Kompang dan Alu/Lesung Bunyi. Kumpulan-kumpulan muzik ini memainkan lagu-lagu yang tersendiri dan mempunyai fungsi-fungsi yang tersendiri juga.

Nobat, adalah merupakan kumpulan muzik yang tertua dan terkenal sekali pada zaman lampau. Kumpulan ini merupakan pancaragam beradat diistana raja. Muzik ini khususnya dimainkan ketika pertabalan-pertabalan raja. Menurut sejarah Nobat yang pertama sekali diperkenalkan di istana Raja Melaka pada awal kurun ke limabelas iaitu pada masa Sultan Melaka mula-mula menganut Agama Islam.

Alatannya terdiri daripada : Tiga buah gendang  gendang nobat, gendang negara, dan gendang biasa, nafiri, serunai dan gong.

Kumpulan Kompang pula biasanya dimainkan semasa perarakan terutama sekali dalam perarakan pengantin. Permainan kompang mempergunakan alatan rebana semata-mata. Bilangannya terpulanglah kepada kemampuan masing-masing, sekurang-kurangnya 10 buah rebana. Rebana-rebana tersebut juga merupakan alat tempatan, seperti juga alatan gendang yang lain yang diperbuat daripada belulang dan kayu. Sekarang, terdapat juga Kompang yang diiringi dengan nyanyian.

Demikian juga Hadrah, fungsi dan tujuan permainan alat-alat tersebut adalah memeriahkan sesuatu perarakan terutama perarakan pengantin. Akan tetapi kini kumpulan Hadrah telah diganding bersama dengan nyanyian dan tarian terutama sekali kumpulan-kumpulan Hadrah yang terdapat di negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia. Alat-alat yang dipergunakan dalam kumpulan Hadrah ini ialah 10 buah gendang Hadrah seperti rebana, 3 atau 4 pasang penari, dan seorang “Rasuk” ( pengikut tari ). Biasanya penaripenari itu terdiri daripada lelaki berpakaian perempuan.

Berbeda dengan Kompang dan Hadrah kumpulan muzik “Gendang Keling” satu-satunya kumpulan muzik tradisional yang terdapat di negeri Perlis dan Kedah yang mempermainkan lagu-lagunya secara instrumental tanpa tarian dan nyanyian.

Kumpulan muzik ini biasanya dijemput bermain di majlis-majlis perkahwinan dan mempersembahkan lagu-lagu seperti : Timang Burung, Anak Tiong, Mula Pasang, Cang Tergantung, Kucing Berlaga, Kutip Siput dan sebagainya.

 

Alat-alat yang dipergunakan adalah:

  • Serunai Biasanya diperbuat daripada kayu merbau atau pun kayu cabai yang ditebuk lubang di dalamnya. Di bahagian peniupnya terdiri dari alat-alat: sebatang timah yang dileburkan dinamakan ‘genaling’, sebidang penahan angin dan dipangkalnya dibubuh pipit untuk meniupnya. Pipitnya diperbuat daripada daun tai. Di bahagian hujungnya diperbuat seperti serombong. Serunai ini mempunyai tujuh lubangnya dan biasanya diukir berbunga-bunga.
  • Dua biji gong Gong besar dinamakan ‘betina’ (suara/bunyinya besar/garuk) dan gong kecil dinamakan ‘jantan’ (suaranya kecil)

 

Selain daripada kegunaan Gendang Keling alat-alat ini juga dipergunakan untuk bersilat terutamanya sekali silat ‘Penari’ dan silat ‘Kelantan’.

Kumpulan muzik ‘Biduan’ merupakan muzik tradisional kita yang juga dimainkan dalam majlis-majlis perkahwinan. Kumpulan ini semata-mata menggunakan gendang iaitu sepuluh buah gendang biasa, sebuah gendang peningkah dan sebuah gendang penganak. Di samping memukul gendang pemain-pemain tersebut mengalunkan lagu dengan suara yang nyaring seperti melaung. Suara yang nyaring itu berguna benar sebagai panduan tetamu menuju ke rumah tersebut. Sebagaimana yang kita maklum bahawa rumah-rumah pada zaman lampau diselang seli dengan hutan dan dusun buah-buahan dan berjauhan antara satu dengan yang lain.

Suatu lagi muzik tradisional kita yang mementingkan peranan bunyi semata-mata ialah: alu/lesung Bunyi. Kumpulan pemain alu/Lesung Bunyi ini begitu popular suatu masa dulu. Permainan ini merupakan sejenis hiburan kepada petani-petani khususnya. Ketika musim menuai, di bawah sinaran bulan purnama misalnya petani-petani yang mempunyai kemahiran yang tersendiri meningkahkan lagu-lagu dengan mempergunakan beberapa batang alu menumbuk pada sebuah lesung yang kosong.

Pemain-pemain alat ini terdiri daripada dua, tiga atau empat orang sama ada lelaki ataupun perempuan. Mereka menggunakan alu yang mempunyai nada bunyi yang berlain-lainan seperti nada rendah (besar atau garuk), nada sederhana dan nada tinggi (kecil/halus bunyinya). Alu-alu tersebut ditumbuk/hentak pada lesung kosong itu bertingkah-tingkah antara nada-nada tersebut sehingga menghasilkan bunyi yang menarik dan tersendiri pula.

Kayu yang digunakan untuk membuat alu-alu ini seperti kayu halban, sena, jenirih, cemara, nangka dan sebagainya. Alu-alu ini biasanya daripada kayu yang ringan dan dipergunakan semata-mata untuk permainan alu bunyi bukan untuk menumbuk beras, tepung atau lain-lain.

Dalam kategori yang akhir ini eloklah pula dibicarakan muzik-muzik tradisional kita yang diganding bersama dengan nyanyian atau tarian seperti: Canggung, Dondang Sayang dan Ghazal.

Kumpulan-kumpulan muzik ini merupakan kumpulan muzik yang masih terdapat buat masa akhir-akhir ini di mana alat-alatnya sudah dipengaruhi alat-alat moden sekarang. Kumpulan muzik Canggung dan Dondang Sayang umpamanya mempergunakan alat-alat yang terdiri daripada : Sebuah biola, dua buah gendang dan sebuah gong. Di samping alat-alat tersebut ada pula diganding bersama dengan gitar, ekodian, piano dan sebagainya sebagai pembaharuan.

Kecuali Dondang Sayang, Canggung terdapat penari-penari yang menari sambil berbalas balas pantun dengan irama Canggungnya. Akan tetapi Dondang Sayang biasanya terdapat nyanyian Dondang Sayang dan berbalas-balas pantun antara dua orang peserta.

Kumpulan muzik Ghazal pula mempunyai sebuah alat muzik tradisional iaitu gambus di samping alat-alat lain yang terdapat dalam kumpulan muzik bergabungan tadi. Alat gambus yang berbentuk seperti sebelah buah labu ini adalah berasal dari Arab dan dimainkan seperti gitar. Alat ini begitu berpengaruh dalam muzik Ghazal dan Gabus sendiri.

Selain daripada kumpulan muzik yang mempergunakan alatan terdapat pula kumpulan kumpulan penyanyi tradisional kita tanpa mempergunakan sebarang alat seperti : Dikir Barat, Dikir Maulud, Berendui dan sebagainya. Kumpulan-kumpulan ini juga merupakan suatu jenis hiburan tradisional kita yang begitu besar pengaruh dan peranannya kepada bangsa kita pada zaman yang lampau. Muzik dan jenis-jenis hiburan inilah menggantikan pancaragam, kugiran, okestra atau radio, televisyen dan wayang gambar buat masa ini.

Betapa harmoni dan murninya muzik-muzik tradisional kita itu memegang peranan menghibur dan menjalin rasa hati bangsa kita yang belum dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang mencengkam kesenian kita. Dan betapa jauh bezanya peranan dan keadaannya jika dibandingkan dengan muzik-muzik kita yang terdapat pada masa sekarang. 

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 14, 2002