Accessibility Tools

TENGKOLOK LAMBANG KETAMPANAN JEJAKA

TENGKOLOK LAMBANG KETAMPANAN JEJAKA

Oleh: ROSLAN BIDIN

Biarpun arus pembangunan zaman sekarang ini hebat melanda di sana sini, namun budaya tempatan masih lagi dipertahankan. Sama ada disimpan untuk tontonan anak-anak generasi pewaris atau masih lagi digunakan oleh masyarakat hari ini.

 

Tengkolok Diraja (alat kebesaran Diraja Perlis)

 

Tengkolok merupakan warisan yang masih lagi dipelihara sehingga kini. Pendek kata, selain songkok, tengkolok merupakan lambang ketampanan jejaka. Tidaklah lengkap jika seseorang itu hanya berbaju Melayu dan bersampin tetapi tidak pula memakai tengkolok, atau sekurang-kurangnya songkok.

Terdapat beberapa jenis tengkolok yang sering dipakai oleh masyarakat kita pada zaman dahulu. Antaranya ialah Tengkolok Terbang, Tengkolok Pacuk dan Tengkolok Helang serta berbagai-bagai jenis tengkolok yang terdapat di negara kita.

Tengkolok mempunyai beberapa bentuk tersendiri, antaranya ialah Tengkolok Terbang. Punca di kiri kanannya menyerupai sayap dan melengkung naik. Warnanya kemerah-merahan. Tengkolok ini biasanya dipakai oleh pendekar yang akan turun ke medan perang.

Tengkolok Pacuk pula berbentuk memuncung di bahagian atasnya, kemudiannya ianya kelihatan menurun di bahagian belakang. Tengkolok ini sering dipakai oleh penari di dalam majlis tari menari. Warnanya kemerah-merahan, mengikut tarian yang bakal dipersembahkannya.

Tengkolok Helang pula bentuknya seakan-akan paruh burung helang di bahagian atasnya. Tengkolok Helang sering dipakai oleh raja sehari. Tengkolok ini biasanya dihiasi dengan pelbagai hiasan yang indah-indah.

Setiap negeri ada mempunyai tengkolok yang tersendiri. Bentuknya berlainan di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Dengan itu, seseorang dapat mengenali dari manakah datangnya seseorang itu. Dari Kedah? Dari Perak? Atau mungkin juga datangnya dari negeri Perlis.

Menurut Pak Ca, seorang guru silat dari Kampung Penghulu Ja’far, Beseri Perlis, masyarakat Perlis sering memakai tiga jenis tengkolok. “Ketiga-tiga tengkolok itu ada kegunaannya. Ada tengkolok yang dipakai oleh pendekar; ada tengkolok yang dipakai untuk menghadap Kebawah Duli Tuanku Raja Perlis dan ada juga tengkolok yang dipakai oleh masyarakat biasa,” demikian bicara Pak Ca, menceritakan tentang tengkolok yang terdapat di negeri Perlis zaman dahulu.

Kata Pak Ca, Tengkolok Panglima terdapat lima lipatan di bahagian bawahnya. Lima lipatan itu melambangkan rukum Islam yang lima. Puncanya terdapat empat penjuru. Dua penjuru di hadapannya. Punca di bahagian belakangnya menegak naik dan kelihatan menurun dan melintang di sebelah kiri. Seperti Tengkolok Terbang, Tengkolok Panglima sering dipakai oleh panglima-panglima gagah di negeri Perlis.

Tengkolok yang dipakai untuk menghadap Kebawah Duli Tuanku Raja juga mempunyai empat penjuru puncanya yang menghala ke hadapan. Di bahagian tepinya berbentuk seakan-akan telinga seekor kucing. Mengikut keterangan Pak Ca, tengkolok ini juga mempunyai lima lipatan. Dua lipatan di bahagian atasnya dan tiga lagi di bahagian bawahnya.

Manakala tengkolok biasa pula menyerupai Tengkolok Pacuk. Tetapi menurut cerita Pak Ca, tengkolok ini tidak mempunyai lipatan. Puncanya terdapat dua di bahagian dalam dan dua lagi di bahagian luarnya.

“Hari ini kita dapat melihat pengantin yang memakai tengkolok kelihatan tampan sekali. Tetapi kebanyakan generasi kini langsung tidak mengenali apakah jenis tengkolok yang dipakai oleh pengantin tersebut,” keluh Pak Ca sambil melipat kembali kain tengkoloknya yang ditunjukkan ketika beliau dikunjungi pada suatu hari.

Tengkolok juga ada yang dibuat dengan benang sutera. Ianya mengikut warna baju yang bakal dipakai oleh si pemakainya. Selepas kedatangan Islam, tengkolok dihiasi dengan tulisan ayat-ayat suci Al Quran. 

Berbanding dengan tengkolok dari negara-negara luar seperti pernah kita lihat dari Sumatera Jawa yang dipaparkan dalam akhbar dan TV, tengkolok yang terdapat di negara kita adalah lebih cantik dan molek bentuknya. Mungkin itu adalah hasil daripada pandangan mata kita. Barangkali mungkin tengkolok dari negara-negara luar juga ada mempunyai nilai dan identitinya yang tersendiri mengikut adat dan budaya yang diwarisi oleh mereka sejak berzaman. Kesimpulannya, tengkolok adalah sejenis pakaian tradisi lama yang masih dihargai walaupun sudah berkurun-kurun lamanya dipakai oleh masyarakat kita.

 

Tengkolok yang dipakai oleh pengantin

 

Bunga raya merah warnanya,

Tumbuh mekar di dalam taman,

Pakai tengkolok di hari raya,

Pusaka warisan zaman berzaman.

 

PEMBETULAN / RALAT

Warisan Indera Kayangan Bilangan 7 Keluaran 1995 yang lalu ketinggalan rujukan untuk makalah ‘Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk – Kategori dan Spesifikasinya’ tulisan Rejab F.I oleh kerana keterbatasan halaman.

Di bawah ini dinyatakan rujukan tersebut :

  1. Encik Saad bin Man, Setiausaha Persatuan Seni Suara Burung Negeri Perlis (1994).

  2. Encik Johari Senawi, Kampung Telaga Nyiur Manis, Utan Aji, Perlis.

  3. Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Perlis.

  4. Buku Cenderahati Pertandingan Seni Suara Burung 1993.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8, 1996