Pengenalan dan Lokasi Bandar Kangar
Oleh: SHUKOR BIN MAT
Kangar merupakan bandar purba yang terus berkembang dan kekal sehingga ke hari ini sejak dari zaman awal pertubuhannya pada awal abad ke 16 (1506). Walaupun peranannya dahulu dan sekarang berbeza, tetapi apa yang seharusnya diberi perhatian ialah keadaan dan kedudukannya yang terus mantap hingga ke hari ini. laitu daripada sebuah pengkalan perahu tambang berkembang menjadi pengkalan tongkang sehinggalah menjadi ibu negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

Kedudukan bandar Kangar asalnya di tebing Sungai Perlis iaitu di tapak Bangunan Telekom dan Majlis Perbandaran Kangar sekarang (dahulunya bangunan market lama). Kini saiznya membesar akibat pembinaan bangunan kerajaan dan gedung-gedung perniagaan. Pesatnya perkembangan bandar ini kerana lokasinya yang strategi, dari segi keselamatan dan perdagangan. Banjaran Bintang yang memanjang dari utara Perlis merentasi bahagian barat daya dan barat Perlis menjadikannya benteng semulajadi yang kukuh dan selamat dari serangan musuh. Manakala di bahagian tengah Perlis iaitu di utara bandar Kangar terdapat Bukit Besi Hangit sebagai tembok tinggi yang dihubungkan dengan kota tanah ke Bukit Lagi sebagai sebagai Benteng Timur. Di bahagian selatannya pula, terdapat Sungai Perlis yang seolah-olah menjadi benteng air bagi menangkis serangan musuh. Sungai Perlis ini asalnya luas dan dalam, menganjur dari kawasan tadahan Banjaran Bintang nenuju ke kawasan tanah pamah di bahagian tengah Perlis melalui bandar Kangar ke Kuala Perlis (Lihat Peta Lokasi Bandar Kangar ).
Di tebing Sungai Perlis yang jaraknya kira-kira 500 meter dari Kepala Bukit Lagi itulah lahirnya sebuah pekan purba yang dahulunya dikenali sebagai Pekan Atap yang kemudiannya bertukar nama menjadi Pekan Kangar. Ramai orang tidak mengetahui asal usul namanya dan sejarah penerokaannya. Dinamakan Pekan Atap kerana gerai-gerai jualan dan tempat menyimpan barang yang dibuat tiangnya daripada kayu bulat dan dinding bersama atapnya dibuat daripada atap daun nipah.
Kangar merupakan bandar aman dan makmur atau ringkasnya bandar sejahtera memandangkan keamanannya tidak tergugat dan kemakmurannya tidak pernah terhakis. Aman bermaksud bebas daripada keadaan kacau-bilau seperti peperangan, pergaduhan, permusuhan dan sebagainya (1).Makmur bermakna mempunyai hasil yang banyak atau mempunyai penduduk yang banyak dan cukup kehidupannya.(2).Nilai-nilai aman dan makmur, senang dan tenteram atau terpelihara daripada bencana seperti kesusahan dan gangguan bermaksud sejahtera (3). Sesungguhnya Kangar telah banyak menyimpan rekod bersejarah yang menunjukkan dan membuktikan ianya bandar sejahtera sejak awal penerokaannya sehingga kini. Ini semuanya akan dihuraikan kemudiannya secara terperinci menurut disiplin sejarah.
Kemunculan bandar Pekan Atap yang kemudiannya dikenali sebagai Kangar adalah seiringan dengan pembukaan negeri Indera Kayangan yang kemudiannya diberi nama Perlis. Persoalan nama tempat seperti nama bandar dan nama negeri bukanlah perkara mainan atau mudah bagi orang-orang dahulu kala kerana ianya melibatkan soal hidup dan matinya seseorang itu. Bagi mereka raja mempunyai daulat dan raja juga dianggap sebagai wakil Tuhan di muka bumi (4). Oleh itu sebarang aktiviti termasuklah di dalam memberi nama kepada bandar atau negeri, perlu mendapat izin dan perkenan daripada raja. Jika tidak seseorang itu dianggap menderhaka kepada raja. Menderhaka kepada raja hukumannya cukup berat. Begitu jugalah halnya dengan nama Kangar dan Perlis, bukan sebarangan orang yang boleh menamakannya melainkan dia adalah raja. Hukum ini berjalan sejak zaman purba sehinggalah campur tangan British secara rasmi pada tahun 1874. Kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada raja ini dapat dijelaskan begini: Perkataan “Kerajaan” yang bererti hanya keadaan yang mempunyai raja mencerminkan dengan jelas tentang pentingnya raja kepada wujudnya sesebuah masyarakat. Tanpa seorang raja yang berdaulat, tiadalah negara. Dalam keadaan itu manusia terpaksa hidup dalam keadaan berpecah belah dan amat primitif (5).

Sejarah Melayu ada menyatakan nama negeri Melaka dan nama beberapa buah bandar di Selatan telah diberi nama yang dicadangkan oleh Sultan Melaka. Apa yang terjadi di Perlis juga mengambil contoh tersebut. Menurut sumber lisan yang boleh dipercayai iaitu hasil temubual yang dibuat pada tahun 1967 di Kampung Tok Paduka berhampiran Kangar telah dikenalpasti seorang raja yang telah meneroka dan memberikan nama kepada bandar Kangar. Namanya Tok Paduka dan gelaran penuhnya Datuk Paduka Maharaja Inderajaya. (6)
Penerokaan Kangar dan Negeri Indera Kayangan
Sumber lisan yang boleh dipercayai, menyatakan bandar Kangar wujud serentak dengan kelahiran Negeri Indera Kayangan. Tarikhnya tidak dapat ditentukan tetapi penerokanya dikenalpasti iaitu Tok Paduka (Tua) bersama-sama dengan orang-orangnya yang telah membina bangsal daripada atap dan dengannya juga menyebabkan kawasan ini dipanggil Pekan Atap. Tok Paduka dan orang-orangnya yang meneroka Pekan Atap tersebut tinggal di kampung Sena tempat di mana kemudiannya dibina Kota Sena. Tok Paduka berasal dari Indonesia yang kemudiannya berangkat ke negeri Perak (7).
Sebelum pembinaan Pekan Atap, tidak ada manusia yang tinggal di persekitarannya kerana penuh dengan hutan rimba yang tebal. Cuma di Kampung Sena sahaja yang ada orang tinggal dan perhubungan dibuat dengan menaiki gajah atau perahu. Penerokaan Pekan Atap ini bertujuan untuk membuka negeri baru yang belum ada nama. Tok Paduka sebagai pemerintah (raja) negeri baru ini mendapat perkenan membuka negeri baru daripada Raja Indera Kayangan bernama Marhum Pak Pendek yang tinggal di Kampung Sena. Indera Kayangan adalah sebuah jajahan taklukan Kedah (8).
Bukan mudah bagi Tok Paduka untuk diizinkan menjadi raja bagi membuka sebuah bandar dan negeri baru. Beliau terpaksa melalui satu ujian kehandalan membelah buah tembikai supaya sama besar dan sama berat timbangannya setiap sebelah. Kebolehan Tok Paduka yang luar biasa menyebabkan ia berjaya membelah buah tembikai seperti yang dikehendaki. Akhirnya Marhum Pak Pendek telah menunaikan janjinya iaitu melantik Tok Paduka menjadi raja dengan gelaran Datuk Paduka Maharaja Indera Jaya (9). Tujuan Marhum Pak Pendek melantik raja di kawasan baru itu ialah untuk menahan Siam daripada menyerang Kedah dengan mudah kerana di utara belum ada negeri. Jika ada negeri baru, ini akan menjadi penghalang utama kemaraan Siam ke selatan. Tok Paduka dan orang-orangnya menebas untuk meneroka negeri baru yang belum ada nama dan pekan. Parang yang digunakan untuk membelah buah tembikai itulah yang digunakan untuk memugar hutan. Tok Paduka bukan menebas sangat tetapi parangnya yang menebas sendiri iaitu menggunakan kuasa jin yang dimilikinya. Setelah selesai meneroka hutan, dibinalah beberapa buah bangsal di tepi sungai. Bangsal ini dibuat dari atap daun nipah untuk tujuan perniagaan. Lama-kelamaan ramailah orang masuk ikut Kuala Perlis membawa barang dagangan ke Pekan Atap. Orang India dan Cina masuk dengan tongkang. Dengan itu wujudlah sebuah bandar dan negeri baru yang tiada bernama. Kemudian Tok Paduka bermesyuarat dengan orang-orangnya untuk memberi nama kepada Pekan Atap tadi. Ketika sedang bermesyuarat terdengar bunyi burung tang di atas pokok besar yang tinggi dengan bunyi "kangok...... . "kangok".
Tok Paduka mendengar bunyi tersebut, lalu mencadangkan supaya diberi nama "Kangok" kepada Pekan Atap. Nama "kangok" ini telah diterima dan digunakan oleh orang ramai. Sebutan "kangok" ini berubah menjadi "kangar" apabila orang Inggeris mula menuturkannya dan akhirnya orang ramai pun terikut-ikut dengan sebutan tersebut sehingga ke hari ini. Begitu juga halnya dengan nama negeri; Tok Paduka yang mencadangkannya supaya diberi nama Perlis memandangkan kawasan atau negeri baru itu diperoleh daripada Marhum Pak Pendek, Raja Indera Kayangan yang menjadi salah sebuah daripada jajahan Kedah (10).
Sebagai nostalgia kepada Tok Paduka, telah diciptakan oleh anak cucunya sebuah pantun empat kerat yang berbunyi :
Datuk Paduka Raja Perlis
Pekan teratur tepi sungai
Rupa paras bagai ditulis
Sayang sedikit budi perangai (11)
Melalui penghuraian yang telah diberikan itu dapatlah disimpulkan bahawa pambukaan Kangar adalah lebih awal daripada tarikh pembinaan Kampung Sena dalam negeri Indera Kayangan. Pembinaan Kota Sena dimulakan dalam tahun 1063 H(1652 M) dan siap dalam tahun 1065 H(1654 M) (12). Dianggarkan pemerintahan Tok Paduka Tua (Wan Long Aru) bermula di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II iaitu 1506 M-1602 M. Selepas itu pemerintahan Indera Kayangan dipegang oleh Tok Paduka Muda (Wan Long Salleh) yang menjadi bapa mertua kepada Sultan Muhyiddin Mansor Shah, Sultan Kedah yang ke22 (13).
Kewujudan bandar Kangar dan nama negeri Perlis lebih awal daripada yang dijangkakan melalui catatan yang dibuat oleh seorang pedagang Portugis yang belayar melalui Kuala Perlis pada abad ke 16 iaitu Firano Mendes Pinto yang berbunyi "anchored at the mouth of the Perlis River near Alor Star to trade 1539" (14). Ini membuktikan bahawa negeri Perlis telah pun wujud pada tahun 1539 yang juga bermakna pada masa yang sama sudah ada bandar Kangar kerana menurut kajian sejarah pemberian nama Kangar sama masanya dengan pemberian negeri Perlis Indera Kayangan.
Beberapa Catatan Awal Mengenai Keunggulan
KANGAR Sebagai
BANDAR SEJAHTERA
Pada tahun 1850 Michael Topping seorang pengembara Inggeris telah menggambarkan keadaan aman dan makmur di Kangar sebagai “Pekan” (Kangar) letaknya 4 atau 5 batu daripada jalan masuk (Kuala Perlis), lebih kurang antara setengah ke satu batu di sekelilingnya dipagari oleh bukit curam (Bukit Lagi dan Bukit Besi Hangit). Raja kemudiannya telah memilih tempat ini sebagai kediaman rasminya, kerana banyak kapal-kapal dan pengunjung singgah (15).
Gambaran tentang kebahagiaan hidup di bandar juga dinyatakan oleh seorang penyelidik dari University Cambridge bernama William Walter Skeat dalam tahun 1900 sebagai berikut “Di Kangar Skeat tinggal di rumah rehat. Beliau menggambarkan Rumah Rehat Kangar terdiri daripada dua tingkat bangunan bata dan genting yang kos pembinaannya berjumlah RM 8,000 (lapan ribu ringgit). Terdapat meja kayu mahogani, kerusi malas daripada kayu dan katil besi dengan tilam spring. Bagi tahun 1900 keadaan rumah rehat begini dikira sebagai sangat mewah" (16).
Skeat menambah lagi kenyataannya mengenai pertumbuhan penduduk dan bilangan rumah sebagai “Pada jalan utama Kangar, Skeat menemui kawasan perumahan yang mengandungi lebih kurang 62 buah rumah, kebanyakannya dimiliki oleh orang-orang Cina. Terdapat lebih kurang 8 buah kedai Melayu yang dibuat daripada papan dan beratap nipah. Beliau juga mendapati ada rumah pasung dan penjara” (17)
Kangar juga menjadi tempat yang selamat bagi pentadbiran Kedah pada tahun 1771 apabila Kuala Kedah diserang dan ditawan oleh orang-orang Bugis akibat persengketaan dikalangan kerabat diraja Kedah. Mereka juga kemudiannya telah berjaya menawan Alor Setar, ibu negeri Kedah. Sultan Muhammad Jiwa sebagai pemerintah Kedah ketika itu tidak dapat bertindak balas kerana tidak bersedia. Baginda terpaksa berundur ke Kangar di daerah Perlis (18).
Pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 1772 sekali lagi bandar Kangar menjadi perhatian Kedah dan Inggeris sebagai tempat yang selamat untuk menjalankan rundingan seperti yang dinyatakan ini “Asas rundingan antara pihak Kedah dan East India Company telah bermula di Kangar, di mana Edward Monkton, wakil gabenor Madras dan rombongannya telah sampai di Kangar pada 13 April 1772, kerana pihak Kedah telah memohon bantuan daripada East India Company dari Madras untuk mematahkan serangan orang-orang Bugis yang sedang bermaharajalela di Kedah pada masa itu. Bermula daripada rundingan-rundingan awal di Kangar inilah kamudiannya menjadi asas rundingan-rundingan dan tawar-menawar antara kedua belah pihak sehinggalah membawa kepada penyerahan pelabuhan Kuala Kedah kepada East India Company pada 22 April 1772 dan akhirnya kepada pendudukan Pulau Pinang oleh British pada tahun 1786. (19)
Kebijaksanaan pemimpin Perlis pada akhir abad ke 19 telah mengekalkan kesejahteraan bandar Kangar. Ini berkaitan dengan satu peristiwa yang berlaku pada pertengahan tahun 1897, apabila Dato' Wan Muhammad Saman datang ke Perlis melalui Sungai Perlis ke Pekan Kangar bersama-sama dengan pengiring-pengiringnya. Tujuan mereka ialah untuk mengambil balik Perlis sebagai hak Kedah. Akhirnya Wan Muhammad Saman telah mengambil keputusan pulang ke Kedah apabila Raja Syed Safi menunjukkan Surat Tera dan Senjabat yang diberikan oleh Chulalongkorn kepadanya (20).
Susunan pentadbiran Perlis yang berpusatkan bandar Kangar adalah bersistem dan teratur seperti yang diceritakan oleh Dr. Iskandar Kamel (Ibrahim Hj. Yaakob) yang melawat Perlis pada tahun 1940an. Beliau menggambarkan bandar Kangar seperti berikut: “Kangar adalah sebuah pekan kecil sepanjang kira-kira satu batu, di sinilah letaknya Pejabat Kerajaan yang mentadbirkan negeri Perlis dan tempat duduknya Penasihat Bangsa Inggeris yang memberi nasihat berhubung dengan pemerintahan negeri Perlis.
Ada sebuah rumah pasung (Balai Polis), sebuah Pejabat Pos yang dipunyai oleh kerajaan Kedah dan sebuah kelab bagi pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan (Kelab Indera Kayangan). Pemerintahan negeri dijalankan dengan memakai sebuah Majlis Mesyuarat Negeri yang diketuai oleh Yang Maha Mulia Raja dan seorang Naib Yang Di Pertua. Anggota-anggota yang lain ialah Hakim Besar, Kepala Syarikat Kerajaan, Mufti dan Penasihat British. Bahasa rasminya ialah Bahasa Melayu tulisan Jawi (21).
Ibrahim Hj. Yaakob juga menjelaskan mengenai kemakmuran dan kesenangan hidup di pekan Kangar sebagai : “Hasil dalam negeri yang besar adalah dari hasil bijih (timah). Di bandar Kangar kelihatan beberapa kedai Cina membeli bijih yang mendapat lesen daripada kerajaan. Perniagaan di negeri kecil ini di tangan ahli-ahli perniagaan Cina dan India. Pihak orang Melayu banyak bersawah padi, menangkap ikan, berkebun serta lain-lain pekerjaan kuli yang mana dapat dikerjakannya. Kehidupan orang Melayu purata sederhana sahaja. Mereka itu berkeadaan senang dan berpuas hati dengan tanah sawah sejenjang dua, dua tiga ekor lembu. Belanja hidup jauh lebih murah pula. Padi beras, ikan jakut, sayur-sayuran dan lain-lain barang makanan adalah murah harganya" (22).

Perlis sebagai sebuah negeri pertanian telah berusaha memajukan bidang tersebut dengan melancarkan Expo Pertanian untuk dilihat oleh orang ramai di bandar Kangar. Hal ini dijelaskan oleh petikan berikut: “Pada 14 dan 15 Mei 1927 telah dibuat satu pertunjukan (show) pertukangan dan kepandaian dan benda-benda tanaman rakyat di dalam negeri Perlis. Pertunjukan ini bertempat di Kangar dan dibuka kepada semua orang” (23).
Dari segi ekonomi didapati kehidupan penduduk Kangar berubah. Terutama sekali penduduk yang tinggal di Kampung Sena dan Kampung Assam, taraf hidup mereka telah meningkat. Jika dahulu kebanyakan mereka membuat bendang (bersawah), berkebun buah-buahan, mengarik nira nipah, membuat manisan nipah, membuat cuka nipah, membuat daun rokok, membuat tudung daun nipah dan membuat atap nipah; kini keadaannya telah berubah.
Generasi di sini telah berkembang dan menjalankan berbagai aktiviti ekonomi. Selain bekerja dengan kerajaan mereka menjadi usahawan, pemborong dan peruncit di kedai-kedai yang banyak didirikan di sekitar Lembah Bukit Lagi.
Pembinaan rumah kedai dan rumah kediaman dibuat sehingga ke kawasan paya yang dahulunya dikenali sebagai Alor Kangar. Umpamanya bangunan KWSP, Bangunan Bank Islam dan Kawasan Perumahan di sekitar Bangunan Darul Farah yang letaknya berhampiran dengan Kepala Bukit Lagi. Begitu juga dengan pembukaan gedung perniagaan yang banyak di sekitar Panggung Mahkota. Lain-lain kawasan perumahan dan perniagaan baru ialah di Padang Katong, Pengkalan Assam dan persekitaran Simpang Tiga [sekarang dibina bulatan besar ke empat persimpangan iaitu ke Kaki Bukit, Arau, Kangar dan Desa Pulai (Jalan Padang Behor)]. Ini ditambah lagi dengan pembesaran Hospital Besar Kangar dan taman perumahan di Jalan Sekolah Derma. Begitu juga halnya dengan pembesaran jalan dan pembinaan pusat jualan dan perumahan di Jalan Guar Syed Alwi.
Perkembangan pendidikan juga tidak dapat dinafikan kerana Pendidikan di Perlis seperti juga dengan sekolah-sekolah di lain-lain negeri di Semenanjung, yang memulakannya dengan sekolah atap. Selepas kemerdekaan hingga sekarang boleh dikatakan hampir kebanyakannya pendidikan formal melalui sekolah-sekolah kerajaan. Jika sebelum kemerdekaan dulu didapati cuma ada sebuah sahaja sekolah menengah di Kangar iaitu Sekolah Inggeris Derma, tetapi sekarang sudah menjadi lima buah iaitu Sekolah Menengah Putra, Sekolah Menengah Syed Hassan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) dan Sekolah Menengah Pertis. Manakala bilangan sekolah rendah tidak perlu dijelaskan lagi kerana hampir setiap kampung di Perlis mempunyai sekolah.
Untuk pembangunan manusia, bidang kerohanian juga tidak dilupakan. Masjid Alwi diperluaskan hampir setiap tahun kerana pertambahan penduduk Kangar yang begitu pesat sekali. Kini dibina sebuah Kompleks Islam bersebelahan dengan Masjid Alwi bagi memudahkan kerja-kerja pentadbiran agama Islam dan juga boleh menyediakan ruang yang luas bagi majlis-majlis yang berkaitan dengan agama Islam. Tokoh-tokoh agama di zaman silam dikenang jasa mereka seperti pembinaan Jalan Abu Bakar dan projek naik taraf jalan di sekitar rumah Sheikh Abu Bakar Asshaari yang menjadi tokoh ajaran Ahli Sunnah Waljamaah Perlis dalam tahun 70an. Perlis juga mempunyai rekod sebagai negeri yang bebas daripada ajaran sesat di samping menjadi negeri tunggal yang memasukkan Fahaman Ahli Sunnah Waljamaah di dalam perlembagaan negerinya. Aktiviti dan usaha ke arah memupuk ajaran Assunnah banyak bermula dan dikembangkan di Kangar.
Kerajaan Negeri dengan bantuan Kerajaan Pusat telah membekalkan keperluan asas penduduk Kangar seperti bekalan air, bekalan tenaga elektrik, pembinaan jalan raya dan kemudahan telefon. Begitu juga dengan kemudahan rekreasi yang semakin bertambah akibat pertumbuhan penduduk yang pesat. Kemudahan ini disediakan di perkarangan tebing Sungai Perlis berhampiran titi Pengkalan Assam dan persekitaran stadium Dato' Sheikh Ahmad. Begitu juga dengan denai larian berhampiran Pasar Borong Kangar. Pembinaan Gelanggang Olahraga di Sekolah Syed Hassan dan pembinaan Stadium Utama Kangar berserta dengan Kompleks Sukan Kangar telah memberi inspirasi kepada golangan remaja untuk maju di dalam sukan negara.
Dari segi keselamatan didapati tidak ada kes jenayah yang serius berlaku di Kangar. Tidak ada gerakan merompak, menyamun atau percubaan membunuh diri seperti yang selalu terjadi di bandar-bandar lain di negara ini. Begitu juga bandar Kangar khasnya dan negeri Perlis amnya bebas dari ajaran sesat dan daripada gerakan-gerakan yang menggugat ketenteraman negara seperti menyerang balai polis dan tentera. Bandar Kangar juga bebas dari rekod rusuhan kaum.
Akhir kata kemungkinan besar kepesatan perkembangan bandar Kangar menjadi bandar pentadbiran dan tempat kediaman yang selamat adalah berpunca daripada kedudukannya yang kelihatan selamat dari segi geografi, kemudahan mendapatkan pekerjaan dan persekitarannya yang cantik melahirkan nilai-nilai kebahagiaan hidup yang sejati. Contohnya projek pemuliharaan dan baikpulih Rumah Tetamu bersebelahan dengan Dewan Warisan dan baikpulih Rumah Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis yang dahulunya merupakan istana Raja Muda Perlis. Kerja membaikpulih dan pembinaan kedua-dua bangunan ini menunjukkan betapa tingginya keyakinan pemerintah dan pentadbir Perlis terhadap keunggulan Kangar sebagai bandar sejahtera iaitu bandar yang aman, selamat dan makmur sejak dahulu hingga kini.
(1) Sidang Editor diketuai oleh Hajjah Noresah bt Baharom, Kamus Dewan Edisi Kctiga DBP, CetakanPertamaEdisi Ketiga 1994, K. Lumpur,hal.33
(2) Kamus Dewan Edisi Ketiga, hal. 848.
(3) Kamus Dewan Edisi Kctiga, hal.1208.
(4) Sidang Pengarang Sejarah Malaysia Tingkatan 5, D.B.P, K Lumpur 1993, ha124.
(5) Kobkua Suwannathat Pian, Asia Tenggara Hubungan Tradisional Serantau, D.B.P., K.Lumpur 1997, hal. 29
(6) Mokhtar A.K, Tuk Paduka Pahlawan Sejarah Di Indera Kayangan, Bil 3, 1991 Warisan Indera Kayangan, hal. 28
(7) Temubual dengan En. Wan Ishak Wan Mahmud, pesara JKR, mengakui keturunan Tok Paduka dan menyatakan sebenarnya ada dua orang Tok Paduka; yang tua bernama Wan LongAru, yang muda bernama Wan Long Salleh.
(8) Temubual dengan En. Wan Ishak Wan Mahmud
(9) MokhtarA.K.,Warisan lndera Kayangan Bi1 3 1991,hal. 28-29.
10) Temubual dengan En. Wan Ishak Wan Mahmud
11) Menurut En. Wan Ishak Wan Mahmud “sayang sedikit budi perangai” bermaksud perangai Tok Paduka yang cepat pemarah.
12) Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muammad Arshad, Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah, D.B.P., K. Lumpur, Cetakan Pertama 1968, ha1. 75.
13) Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad, hal. 74.
14) Ahmad Ismail dan Yazid Mat, Perlis Indera Kayangan, Per.UPCAS, Alor Setar 1992 hal.3.
(15) Ahmad Ismail dan Yazid Mat, Perlis Indera Kayangan, Per.UPCAS, A.Star 1992, hal. 48
(16),(17) Dato' Wan Ibrahim b. Wan Soloh-Skeat's reminiscences of visits, Kedah Dari Segi Sejarah Jilid 4, April 1970, hal. 20-21.
(18) Zainal Abidin b Abdul Wahid dan rakan-rakan, Sejarah Tingkatan 2, DBP 1995, hal. 2-3.
(19) Ahmad Ismail dan Yazid Mat, Perlis Indera Kayangan, hal. 6-7.
(20) Ahmad Ismail dan Yazid Mat, Perlis Indera Kayangan, hal. 74-75
(21) Ahmad Ismail dan Yazid Mat, Perlis Indera Kayangan, hal. 157-158
(22) Ahmad Ismail dan Yazid Mat, Perlis Indera Kayangan, hal. 158
(23) -----------------, Majalah Al Ikhwan, Jilid 1, 16Mei 1927, hal. 148
RUJUKAN
A. Temubual:
- Temubual dengan En. Wan Ishak b. Wan Mahmud, pesara JKR, penduduk asal Kg. Cik Lah.
B. Buku-buku bacaan:
- Ahmad Ismail dan Yazid Mat, Perlis Indera Kayangan Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Percetakan UPCAS AIor Setar, Cetakan Pertama 1992.
- Muhammad Hassan b. Dato' Kerani Muhammad Arshad, Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah, DBP K. Lumpur 1968.
- Muhammad Isa Othman, PolitikTradisional Kedah 1681-1942, OBP K.Lumpur 1990.
- Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah Darul Aman, Cetera, Jilid 12, Bil. 1, Januari 1995.
- Sidang Pengarang Sejarah Malaysia Tingkatan 5, DBP, K. Lumpur, 1993.
- Zainal Abidin b. Abdul Wahid dan rakan-rakan, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Sejarah Tingkatan 2, DBP K.Lumpur 1995.
- Kobuka Suwannathat, Asia Tenggara Hubungan Tradisional Serantau, DBP K.Lumpur 1997.
- Sidang Editor diketuai oleh Hjn. Noresah bt. Baharom, Kamus Dewan Edisi Ketiga, DBP K.Lumpur, Cetakan Pertama Edisi Ketiga 1994.
C. Majalah:
- Al lkhwan Jilid 1, 1927, Acheen Street, Pulau Pinang.
- Dato' Wan Ibrahim b. Wan Soloh, DPMK, BCK, JP, Kedah Dari Segi Sejarah Jilid 4, Bil. 1, April 1970.
- Mokhtar A.K. Warisan Indera Kayangan, Bil. 3, 1991, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.
- Perlis Giat Membangun,Jabatan Penerangan Malaysia. Tetuan Negeri, K.L 1982.
- Peta Jalan Raya Negeri Perlis, dicetak oleh Direktorat Pemetaan Negeri, Malaysia 1993.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 12, 2000
