Accessibility Tools

ALAT KEBESARAN DIRAJA NEGERI PERLIS

ALAT KEBESARAN DIRAJA NEGERI PERLIS

Oleh : REJAB F.I.

ALAT-ALAT kebesaran diraja negeri Perlis merupakan alat-alat yang paling unggul, dihormati dan ada di antaranya dianggap suci dan berdaulat. Alat-alat kebesaran ini digunakan sepenuhnya di dalam adat istiadat pertabalan seseorang raja.

Dalam istiadat atau upacara kebesaran yang lain seperti upacara perayaan menyambut Hari Ulang tahun Keputeraan Raja, hanya sebahagian saja digunakan dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Alat-alat kebesaran ini sering ditambah dari masa ke semasa, contohnya singgahsana dan lambang pada tengkolok diraja.

 

 

TENGKOLOK DIRAJA

Tengkolok diraja diperbuat daripada kain tenunan warna hitam bersulamkan benang emas. Bentuk ikatannya dinamakan Putera Kayangan. Di bahagian hadapan tengkolok itu dipasang lambang negeri Perlis iaitu ukiran tangkai padi, basil utama negeri Perlis. Lambang ini diperbuat daripada emas putih.

 

 
 
TIARA

Tiara diraja yang bertatahkan batu permata, terdapat ukiran dua bentuk tangkai padi, hasil utama negeri Perlis. Tiara ini diperbuat daripada emas putih iaitu perhiasan kebesaran yang dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis ketika diadakan upacara-upacara rasmi diraja.

 

 

GENDIK

Gendik atau tali pinggang diraja ini dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dalam istiadat pertabalan dan majlis kebesaran diraja.

 

KERIS PENDEK

Keris ini dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja ketika diadakan pertabalan dan upacara rasmi kerajaan negeri.

 

 

SUNDANG 

Keris panjang, dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja ketika diadakan upacara pertabalan dan hari-hari kebesaran.

 

PEDANG

Pedang yang berasal daripada Raja Pattani iaitu nenekanda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan, digunakan dalam upacara pertabalan seseorang raja.

 

 

PAYUNG DIRAJA

Payung diraja diperbuat daripada kain berwarna kuning diraja. Terdapat lambang negeri Perlis berwarna hijau. Selain daripada payung diraja yang digunakan ketika keberangkatan raja, terdapat 12 kaki payung berwarna kuning yang digunakan dalam adat istiadat pertabalan dan 12 kaki payung berwama putih yang digunakan dalam adat istiadat kemangkatan seseorang raja yang memerintah.

 

 

TEPAK SIRIH

Digunakan dalam adat istiadat perkahwinan diraja, terdiri daripada 11 bekas termasuk bekas sirih, pinang, kapur gambir yang diperbuat daripada perak.

 

TOMBAK DAN LEMBING

Alat yang digunakan oleh pengiring raja; mengiring raja berangkat terutama ketika diadakan upacara pertabalan dan dalam sesuatu majlis rasmi diraja.

 

AL-QURAN

Alat kebesaran dan kesucian yang unggul lambang seorang raja beragama Islam memerintah negeri Perlis

 

GENDANG TARINAI DAN NAFIRI

Nafiri, muzik khusus dibunyikan ketika keberangkatan tiba diraja ke Balai Penghadapan terutama sekali pada hari pertabalan. Gendang Tarinai dimainkan ketika raja berangkat, dalam upacara-upacara pertabalan dan majlis-majlis perkahwinan.

 

SINGGAHSANA

Merupakan tempat bersemayam raja; lambang takhta kerajaan negeri Perlis. Singgahsana ini dibina pada tahun 1986 dengan menggunakan kayu jati pertama yang terdapat dalam negeri Perlis.

 

RUJUKAN

1.      YB. Encik Selamat Saad, ADUN Sena.

2.      Encik Johari Darus, bekas Setiausaha Sulit DYMM Tuanku Raja Perlis.

3.      Encik Yaakob Cha, bekas Setiausaha Sulit DYMM Tuanku Raja Perlis

4.       Encik Hamid bin Hashim, Pengelola Istana Arau.

5.       Buku Cenderamata 'Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis' 28 Mac 1971.

6.        Buku Cenderamata Majlis Pembukaan Rasmi Sekolah Menengah Raja Puan Muda Tengku Fauziah, 14 Februari 1990.

7.      Unit Protokol, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

8.      Album Diraja: Tuanku Syed Putra, terbitan khas sempena Jubli Emas pemerintahan Tuanku Syed Putra oleh Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis 1995.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997