Accessibility Tools

SEJARAH PEMERINTAHAN TUANKU RAJA SYED ALWI JAMALULAIL

SEJARAH PEMERINTAHAN TUANKU RAJA SYED ALWI JAMALULAIL

Oleh: REJAB F.I.

Syed Alwi Jamalullail Ibni Almarhum Syed Saffi  Jamalullail, raja negeri perlis yang keempat, dilahirkan pada 12 Jamadil Awal 1298 bersamaan bulan April 1881, dan bersekolah di St. Xavier Institution, Pulau Pinang. Bonda baginda berketurunan Siam dari Istana Bangkok (memeluk agama Islam) diberi nama Wan Saadiah.

Baginda bertolak ke Bangkok dan ditabal menjadi Raja Perlis oleh Raja Chulalongkorn (Rama ke V) di Istana Bangkok pada bulan Zulhijjah 1323 bersamaan bulan Februari 1905 dengan gelaran "Phya Songkhram Rama Wichit Wilis Asmara Phya Pelit". Adinda baginda Syed Mahmud Jamalullail diperkenan menjadi Raja Muda Perlis.

Baginda berangkat ke Bangkok diiringi oleh adinda baginda Syed Mahmud Ibni Almarhum Syed Saffi Jamalullail, Syed Salim bin Syed Mahmud Al-Jefri, Datuk Wan Teh bin Datuk Belat dan Abdullah bin Cik Saad. Ketika itu baginda berusia dua puluh enam tahun.

Baginda berangkat pulang dari Bangkok melalui Songkhla, berarak dengan gajah dari bandar Hadyai ke Istana Arau dan disambut dengan penuh kebesaran oleh pembesar-pembesar dan rakyat negeri Perlis.

Sekembali dari Bangkok, baginda melantik pembesar-pembesar negeri terdiri daripada: Tuan Syed Hassan bin Syed Alwi, Datuk Wan Teh bin Datuk Belat, Tuanku Abdullah bin Tuanku Mat Saman, Tuan Syed Abdullah bin Syed Alwi, Tuan Syed Abdullah bin Syed Ismail, Tuan Haji Kassim bin Haji Ali dan Wan Ishak bin Datuk Wan Daud.

Ketika pemerintahan baginda, kesenian tradisional Melayu berkembang pesat. Permainan dan persembahan seperti Hadrah, Beduan, Alu Bunyi, Gendang Keling, Bangsawan, Dike, Makyong, Selampit dan Awang Batil bukan saja menjadi persembahan istana akan tetapi baginda berusaha menyebarkan ke kampung-kampung untuk hiburan rakyat.

Dalam usia pemerintahan bagindalah berlaku peralihan kuasa bagi negeri Perlis - kuasa naungan Siam kepada kuasa pemerintahan British - disebabkan berlakunya kegentingan kewangan dan perbelanjaan untuk pemerintahan.

Pada peringkat permulaan pemerintahan baginda lagi kerajaan Perlis mengalami kekurangan wang dan perbelanjaan, sepertimana yang dilaporkan oleh W.W Skeat :

"The total annual revenue of Perlis amounted to $27,000 which was not enough to pay the expense of government"

Kerana itu Kerajaan Perlis berusaha untuk rneminjam daripada kerajaan Siam, Kerajaan Siam memberi pinjaman sebanyak $230,000 pada 4 Qktober 1905. Surat "Perjanjian Hutang" (Loan Agreement) telah ditandatangani oleh Kerajaan Perlis dengan Kerajaan Siam, dikenakan faedah 6 peratus setahun. Pihak Kerajaan Perlis bersetuju menerima perkhidmatan seorang Pegawai Penasihat bagi membantu urusan pentadbiran kewangan sehingga hutang itu diselesaikan. Pihak Raja Perlis bersetuju mematuhi nasihat Pegawai Penasihat itu.

Pada masa itulah, Kerajaan Siam telah menghantar seorang pegawai Inggeris bernama A.H. Duke ke Perlis menjadi Penasihat Kewangan (Financial Adviser) Kerajaan Perlis.

Kerajaan Siam berharap supaya dengan nasihat pegawai Inggeris itu, Kerajaan Perlis akan beroleh wang dan menghapuskan perbelanjaan yang membazir.

Sebelum itu seorang Penasihat Kewangan kepada Sultan Kedah yang bernama G.C.Hart telah datang ke Perlis menubuhkan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri (State Council). Persidangan pertama diadakan pada 8 November 1905, dipengerusikan oleh Raja Perlis sendiri, dan G.C.Hart menjadi Pemangku Setiausaha. Pada persidangan kedua, 2 Disember 1905 A.H. Duke menjadi Setiausaha.

Bermulalah era campur tangan Siam dalam hal ehwal luar dan dalam negeri Perlis. "Perjanjian Hutang" itu juga telah membelenggu pentadbiran negeri. Pegawai Penasihat (Siam-British) itu mernpunyai kuasa penuh daripada kerajaan Siam bagi menasihat hal-hal yang berhubung dengan kewangan. Peranan Pegawai Penasihat ini hampir-hampir sama dengan “British Resident” yang telah dihantar ke Negeri-Negeri Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) Menurut Fr. A. Swettenham:

"Whose advice must be asked and acted upon in all question other than those touching Malay religion and custom"

Kini kuasa raja dan pembesar-pembesar negeri Perlis telah ditentukan dan terhad. Keadaan ini juga bermulanya keinginan British untuk menguasai negeri Perlis dan Kedah. Pihak British segera bertindak menempatkan pegawai konsolnya Mr. Meadow Frost (yang pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu semenjak tahun 1898) di Alor Setar pada awal tahun 1906: Beliau telah membuat laporan tentang negeri Perlis:

Raja Negeri Perlis sekarang, Syed Alwi dalam usia 27 tahun sahaja. Baginda begitu lemah dan nampaknya ayahanda saudara baginda Syed Salim, telah menjalankan urusan-urusan kerajaan. Keluarga baginda mempunyai pertalian darah clengan keluarga Diraja Kedah. Mr. Duke, Pegawai Penasihat, telah mampu menjalankan apa saja penyelesaian terhadap tiap-tiap jabatan kerajaan. Seluruh negeri ini luasnya tidak lebih iiaripada sebuah jajahan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Hasil pendapatan negeri lebih kurang $100,000 setahun. Mr. Duke banyak berusaha dalam pentadbiran kerana sebelumnya sangat lemah. Malangnya, Mr. Duke terlalu mengenakan paksaan terhadap kakitangan kerajaan.

Laporan tersebut menunjukkan sikap Mr. Meadow Frost ingin mencantumkan kembali negeri Perlis dengan negeri Kedah. Beliau menyarankan kepada pihak British supaya Mr. Duke juga menjadi Pegawai Penasihat bagi Negeri Setol untuk mengelakkan kedua-dua negeri itu daripada menjadi wilayah

Siam sebenar-benarnya. Namun begitu, pentadbiran negeri Perlis berjalan agak sistematik di bawah pentadbiran "State Council". Akan tetapi wang yang dipinjam daripada Kerajaan Siam itu belum dapat dibayar pada tiap-tiap bulan seperti mana yang disyaratkan kerana pada akhir tahun 1906, masalah kewangan bertambah rumit.

Perbelanjaan lebih banyak dan lebih besar daripada pendapatan. Jumlah faedah terkumpul meningkat sehingga $16,100.63. Ternyata Mr. Duke tidak dapat mengatasi masalah, kerana itu pada 25 Februari 1907 dibuat perjanjian sekali lagi, berhutang kepada Kerajaan Siam sebanyak $150.000.00 dibayar dalam masa lima tahun, dengan faedah berjumlah $130,190.63.

Menurut surat perjanjian tersebut, pihak Siam akan menyemak dan meneliti hal-hal yang lebih terperinci tentang perbelanjaan wang keluar masuk kerajaan negeri Perlis pada tiap-tiap tahun. Raja dan pembesar Perlis kini cuma mempunyai nama dan gelaran; kuasa pemerintahan berada di tangan Mr. A.H.Duke daripada pinjaman kedua, masalah kewangan beransur pulih. Mr. Duke, menurut surat Mr. Frost dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

Pada bulan Mac 1909, Perjanjian Siam-Perancis ditandatangani: Mr. Strobel, Penasihat Am (General Adviser) kepada Kerajaan Siam di Bangkok, mencadangkan kepada Mr. Ralph Paget, Menteri Kerajaan British di Bangkok, supaya kerajaan British membuat pula surat perjanjian dengan Kerajaan Siam melibatkan Negeri-Negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Negeri-negeri tersebutlah menyebabkan kekacauan, kesusahan dan kebimbangan Kerajaan Siam. Wilayah-wilayah tersebut tidak bernilai serta tidak menyumbang apa-apa hasil kepada Bangkok; tambahan pula sukar dikawal kerana kedudukannya yang terlalu jauh dari Bangkok.

Cadangan Mr. Strobel itu mendapat sambutan pihak Pejabat Luar British di London kerana bimbangkan pengaruh Jerman di Negeri Siam. Wujudlah persidangan rasmi antara kedua-dua pihak.

Rundingan demi rundingan di jalankan, akhirnya negeri Perlis dimasukkan bersama (pada mulanya tertinggal) kerana faktor geografi dan latar belakang sejarahnya, juga termasuk negeri Kedah, Kelantan dan Terangganu, tetapi tidak termasuk Setol.

Pihak British memasukkan wilayah asingnya ke atas wilayah-wilayah Kerajaan Siam. Hutang Negeri Perlis dijelaskan daripada sumber kewangan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Berakhirlah zaman naungan Kerajaan Siam di negeri Perlis iaitu selama kira-kira 70 tahun. Malangnya pcrjanjian tersebut tidak diberi tahu langsung kepada Tuanku Raja Syed Alwi dan Sultan Kedah. Kedua Baginda cuma mendengar khabar-khabar angin.

Demikianlah bermulanya era pemerintahan British di negeri Perlis. Pelaksanaan perjanjian tersebut dikuatkuasakan di negeri Perlis, Kedah dan Kelantan pada 15 Julai 1909, dalam era pemerintahan Tuanku Raja Syed Alwi Jamalullail.

Dalam era tersebut, Syed Mahmud Ibni Almarhum Syed Saffi Jamalullail dilantik menjadi Raja Muda Perlis, akan tetapi baginda mangkat pada tahun 1919. Putera baginda yang bernama Syed Hassan Jamalullail dilantik menjadi bakal Raja Perlis.

Enam belas tahun kemudian, pada tahun 1935 baginda pula meninggal dunia. Dengan persetujuan Raja Syed Alwi Jamalullail dan Majlis Mesyuarat Negeri, melantik putera Almarhum yang bernama Raja Syed Putera menjadi bakal Raja Perlis.

Pada tahun 1942, tentera Jepun menduduki seluruh Malaya termasuk negeri Perlis. Ketika tentera Jepun menduduki dan memerintah Perlis pada 2 Februari 1943, Tuanku Raja Syed Alwi Jamalullail, Raja Perlis yang keempat itu mangkat.

Pihak berkuasa Jepun mengenepikan Raja Syed Putera bakal Raja Perlis itu lalu melantik Syed Hamzah Jamalullail Ibni Almarhum Syed Saffi Jamalullail, saudara seayah kepada Almarhum Syed Saffi Jamalullail menjadi Raja Perlis.

Raja Syed Putera dengan isteri baginda Tengku Budriah berangkat ke Kelantan kerana baginda tidak suka melihat pemerintahan tentera Jepun yang zalim itu.

Rujukan:

  1. Sejarah Perlis”, Haji Buyung Adil, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.
  2. Cikgu Ahmad lsmail (Tokoh Sejarah Perlis).
  3. "Perlis Indera Kayangan, Sejarah Pembentukan Sebuah,Negeri Berdaulat Ahmad Ismail & Yazid Mat, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Kangar, 1992.
  4. "Reminiscences of the Cambridge Universiti Expedition to the North Eastern Malay State 1989-1990," W.W. Skeat, JMBRAS, Jilid JMBRAS, lilid XXVI, 1953.
  5. “British Malay” Fr. A. Swettenham, London, 1929.
  6. “Perlis Annual Report” tahun 1909-1910  “Surat Mr. Frost kepada Mr. Paget”
  7. Surat Konsol Frost kepada Mr. Backett, bertarikh 8 Ogos 1906, Foreign Offices Confidential Print, Bab XXI
  8. Salinan “Surat Perjanjian Hutang Perlis-Siam, 1907”.
  9. Salinan “Surat Konsol Frost kepada Mr. Backett” bertarikh 4 Sep.1906, Foreign Office Confedential Print, Bab XXI
  10. “The Development of North-Western Malay State of Malaya 1909-1941”, Thamsook Ratanapon, Hong Kong University, M.A. Thesis Tahun 1961.
  11. Salinan “Treaty between Great Britian and Siam”, signed of Bangkok, 10th March 1909.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998