Di Sinilah Bermulanya BANDAR KANGAR
Oleh: RAMLI ISMAIL
KANGAR adalah ibu negeri Perlis Indera Kayangan yang kini sedang berkembang maju. Perkembangannya amat ketara sekali hingga begitu cepat meninggalkan titik-titik sejarah yang mungkin tidak diketahui jika tiada sesiapa yang mahu mengambil tahu tentangnya.
Bagi anak-anak muda masa kini, apa yang mereka ketahui, bandar Kangar adalah bandar sebagai mana wujud pada masa kini. Ia mempunyai bangunan tinggi, hotel, kompleks perniagaan, bangunan-bangunan pejabat dan jalan perhubungan yang begitu selesa.
Lantaran itu, tidak ramai di antara mereka, mungkin juga yang sudah berumur tiga atau empat puluhan yang tidak mengetahui di manakah sebenarnya pusat pertumbuhan bandar Kangar.
Dalam hal ini, saya cuba membuat penyelidikan di kalangan mereka yang lebih mengetahui. Salah seorang yang sempat ditemui ialah bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim.
Beliau yang dimaksudkan ialah Wan Ahmad Abdullah, 74 yang tinggal di Taman Ira, Kangar. Menurutnya, tapak bermulanya bandar Kangar ialah di sekitar kawasan Balai Polis lama dan berhampiran tapak bekas Pejabat Telekom, Jalan Besar, Kangar.

Sahagian kanan gambar ini; di hujung Jambatan Jalan Raja Syed Alwi,
merupakan tapak bangunan Pejabat Kastam Negeri Perlis
Di tapak Balai Polis lama, terletak Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang yang dibina sekitar tahun 1939. Di bangunan pejabat lama itu ditempatkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Pejabat Perbendaharaan Negeri, Pejabat Pentadbiran Raja Perlis, Pejabat Penasihat British dan Pejabat Syarikat Kerjasama. Bangunan itu bermula di tapak Pejabat Polis Cawangan Trafik sekarang hingga ke tapak Balai Polis lama. Bangunan tersebut hampir sama dengan bangunan Rumah Tetamu di Jalan Kolam, Kangar. Bangunan Rumah Tetamu asalnya adalah rumah kediaman
Residen British dan kemudian menjadi rumah kediaman rasmi Menteri Besar. Selepas itu, ianya dirobohkan dan dibina bangunan Muzium Negeri seperti terdapat sekarang.
Menurut Wan Ahmad, sesiapa yang sempat melihat bangunan Rumah Tetamu di Jalan Kolam, maka bentuk bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Jalan Besar Kangar itu adalah hampir menyerupainya.

Dato' Setia Bakti Haji Nordin Ismail

Di sinilah tempat pendaratan tongkang-tongkang besar memunggah barang dagangan
selepas jambatan di Jalan Raja Syed Alwi Kangar dibina
Di bahagian belakang bangunan pejabat pentadbiran lama itu pula ditempatkan bangunan Mahkamah. Selepas itu, bangunan Mahkamah dijadikan Pejabat Pos Kangar dan akhir sekali menjadi bangunan Perpustakaan Awam Negeri yang kemudian dijadikan bangunan Restoren Rakyat sebelum dirobohkan pertengahan tahun 1997 kerana terbabit dengan projek pembangun an rumah kedai.
Di bahagian hadapan sebelah kiri bangunan Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri itulah terdapat bangunan Pejabat Kastam Negeri Perlis. Ketika itu, pentadbiran Kastam Negeri diletakkan sepenuhnya di bawah kuasa negeri. Segala kutipan hasil adalah merupakan basil negeri.
Sememangnya, sejarah awal kewujudan aktiviti perkastaman secara tradisional di Perlis dipercayai bermula sejak abad ke-16 lagi. Pada masa itu Sultan Muzaffar Shah II yang memerintah negeri Kedah antara tahun 1544 hingga 1602 telah menjadikan Kuala Perlis sebagai pelabuhan utama bagi negeri Kedah.
Sebahagian besar pedagang yang menggunakan Kuala Perlis adalah daripada negeri China. Di samping itu, terdapat juga pedagang daripada Semenanjung Arab, Gujerat dan India dalam perjalanan mereka ke China dan Kemboja.
Di samping itu, ada juga di antara barang dagangan tersebut dibawa untuk dijual di Perlis selain daripada barang dagangan yang dibawa daripada Pulau Pinang. Barang-barang tersebut dibawa menggunakan tongkang besar, mudik melalui Kuala Sungai Perlis ke Tebing Tinggi dan terus ke bandar Kangar.
Pejabat Kastam di bandar Kangar mengendalikan kutipan cukai pelbagai jenis barangan termasuk juga candu yang ketika itu disahkan penjualannya oleh Penjajah British. Encik Wan Ahmad pernah bertugas sebagai kerani di Pejabat Kastam Kangar selepas ia dipindahkan ke Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang.
Di tingkat bawah bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang ditempatkan Pejabat Kastam Negeri, Pejabat Perbendaharaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Pejabat Bandaran dan Pejabat Syarikat Kerjasama.
Sementara di tingkat atas pula ditempatkan Pejabat Kerja Raya Negeri, Pejabat Audit Negeri dan Pejabat Penasihat British.
Seorang lagi yang sempat ditemui ialah bekas Mubaligh Jabatan Agama Islam Negeri, Dato' Setia Bakti Nordin bin Ismail, 74 dari Kampung Sena, Tok Paduka Kangar. Katanya tidak jauh daripada Pejabat Kastam itu pula terdapat bangunan Balai Polis Perlis.
Bangunan itu terletak di persimpangan Jalan Besar Kangar ke Jalan Penjara, di hadapan bangunan Hotel Ban Chong sekarang.
Kemudahan jalan perhubungan dalam bandar Kangar adalah jalan tar batu kasar. la bermula daripada bulatan Simpang Tiga sekarang hingga ke hadapan bekas bangunan Pawagam Empire Kangar. Selepas itu, barulah dibina jalan keluar dari bandar Kangar ke Kaki Bukit, Arau, Tebing Tinggi dan Kuala Perlis.
Apabila Jambatan Jalan Raja Syed Alwi dibina, tongkang besar yang sebelumnya berlabuh di Pejabat Kastam berhadapan Kedai Mohd. Kassim, menggunakan tempat pendaratan baru di kawasan berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sekarang.
Tapak bangunan MPK itu pula pada masa dahulu adalah merupakan tapak Pasar Besar Kangar. Di antara tapak Pasar Besar dan tapak bangunan lama Pejabat Telekom Kangar terdapat pula bangunan Pejabat Penerangan Perlis. la menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai bahan maklumat.
Semasa ditemui, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Negeri, YB. Haji Yazit Mat mengakui bahawa kawasan antara bangunan MPK sekarang hingga ke bangunan hadapan Hotel Ban Chong Kangar adalah merupakan tapak asas wujudnya bandar Kangar.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Negeri Perlis berkata, kewujudan Pejabat Tanah dan Pejabat Kastam di kawasan terbabit merupakan penyumbang utama kepada hasil negeri. Tambahan pula di bangunan Pejabat Pentadbiran Negeri itu ditempatkan Pejabat Pentadbiran Raja dan Penasihat British.
Menurut beliau, jika ada cadangan untuk mendirikan mercu tanda bandar Kangar, sudah semestinya kawasan persekitaran yang dimaksudkan itu menjadi pilihan untuk dijadikan tapaknya.
Sumber rujukan
I. Encik Wan Ahmad Abdullah.
2. Dato' Setia Bakti Haji Nordin bin Ismail.
3. YB. Tuan Haji Yazid bin Mat
4. Buku cenderamata sempena perasmian Kompleks Kastam Negeri Perlis.

Di kawasan Balai Polis inilah terletaknya bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri
Perlis yang pertama tahun 30-an dahulu
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997
