PERBUATAN YANG MENJADI PANTANG LARANG ORANG MELAYU PERLIS
Oleh: WAN NAN WAN MAHMUD
Pantang anak dara (gadis) menyanyi di dapur lalu dikatakan nanti anak dara (gadis) tersebut tidak akan dipinang orang. Atau dikatakan juga nanti jadi 'anak dara tua'.
TELAH diketahui umum, malah suku-sakat bangsa yang biasa menjajah negara ini pun telah mengakui bahawa orang Melayu mempunyai budi bahasa yang amat tinggi, lemah-lembut, bersopan dan macam-macam lagi nilai-nilai murni yang dapat digembar-gemburkan. Atas sikap demikianlah barangkali, maka negara ini telah dijajah oleh suku-sakat mereka hampir 500 tahun, satu masa yang agak lama.
Terbit dari sikap dan perangai lemah-lembut dan budi bahasa yang tinggi itulah maka lahir pula kata-kata berkias ibarat, perumpamaan, bidalan, pantun, teka-teki yang penuh dengan simbolik dan pengajaran/pendidikan di sebaliknya. Satu lagi unsur pengajaran/pendidikan yang bersifat simbolik ialah perbuatan-perbuatan yang menjadi pantang larang. Maksudnya ada perbuatan tertentu yang kelihatan hanya kecil sahaja, tetapi apabila ditegur, dinasihat sebagai pantang larang, secara simboliknya kalau diamati maksud di sebalik kata-kata 'larang' itu akan memberi pengertian, pengajaran atau pendidikan yang tersendiri.
Di bawah ini diperturunkan contoh-contoh perbuatan yang menjadi pantang larang seperti yang dimaksudkan:
1. Pantang anak dara (gadis) menyanyi di dapur lalu dikatakan nanti anak dara (gadis) tersebut tidak akan dipinang orang. Atau dikatakan juga nanti jadi 'anak dara tua'.
Padahal maksud di sebalik nasihat (pantang larang) itu ialah apabila sedang memasak di dapur perlulah berhati-hati, kalau lalai mungkin barang yang sedang di masak akan hangit, rentung, rosak dan sebagainya.
2. Pantang berjalan di waktu senja (biasanya ditujukan kepada kanak-kanak dan remaja) konon nanti dirasuk (ganggu) hantu syaitan kerana waktu senja banyak hantu syaitan sedang berkeliaran
Larangan ini bermaksud waktu senja adalah waktu penting kerana keluarga perlu berada di rumah. Di awal senja itu perlu mandi, bersihkan badan, menunaikan solat maghrib. Kemudian sama-sama menghadapi makan malam dengan keluarga dan mungkin selepas itu ada lagi aktiviti yang harus dilakukan seperti belajar agama di surau atau masjid, mengaji (belajar) AI-Quran, ulang kaji pelajaran dan sebagainya. Setidak-tidaknya untuk berehat bersama keluarga setelah sepanjang siang menjalankan kerja untuk mencari rezeki.
3. Dipantangkan (larang) juga menarik upeh atau pelepah kelapa dalam kampung (laman rumah). Konon nanti didatangi ular berbisa ke dalam kampung (laman rumah) itu.
Sebenarnya perbuatan menarik demikian menggambarkan kerja orang yang malas. Nasihat tersebut bertujuan supaya upeh , pelepah kelapa dan sebagainya hendaklah dipikul ke atas bahu dan dilonggokkan ke tempat pembakaran sampah. Kalau ditarik mungkin akan merosakkan jalan, merosakkan tanaman, kotor dan sebagainya.
4. Bersiul-siul dalam kampung: Samada lelaki (remaja/ belia) atau perempuan (gadis) memang tidak disukai oleh orang tua-tua melakukan perbuatan ini. Kalau dilakukan akan dianggap biadap dan buruk laku.
Kerana perbuatan bersiul-siul akan disebut 'hewan' yang bermaksud 'mengada-gada', 'sombong', 'berlagak'. Dan akan memberi makna juga sebagai 'signal' kepada pasangan masing-masing. Mungkin ada temujanji yang telah dibuat, atau hendak 'mengorat' anak gadis yang menjadi idaman hatinya. Kalau gadis pula yang melakukan demikian (bersiul-siul) akan dianggap gadis tersebut sebagai 'gatal', 'miang', 'ingin berlaki' dan sebagainya yang jelas membayangkan keburukan tingkah-lakunya.
Pantang larang demikian amat banyak tersimpan dalam khazanah budaya orang Melayu. Setiap pantang larang yang dikemukakan itu adalah mempunyai maksud tertentu sebagai nasihat kepada orang muda supaya sentiasa berkelakuan baik, berbudi bahasa, berhemah tinggi, mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi sebagai adat dan budaya hidup orang Melayu turun temurun. Insya-Allah jika ada kesempatan, kami akan memaparkan lagi jenis-jenis pantang larang demikian dalam keluaran akan datang.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001
