PERANAN KERIS
DALAM MASYARAKAT MELAYU PERLIS
Oleh : RAMLI ISMAIL
Keris memainkan peranan yang cukup penting dalam masyarakat Melayu. Malah jika disebut keris, ianya secara langsung mempunyai kaitan dengan orang Melayu. Hanya dalam rumpun masyarakat Melayu di Nusantara ini sahaja yang tahu mengguna atau memiliki keris.

Sebagaimana masyarakat Melayu di negeri-negeri atau negara-negara rantau Nusantara lain, keris juga memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu di Perlis. Sejak zaman dahulu, keris merupakan senjata utama digunakan untuk mempertahankan diri. Boleh dikatakan setiap rumah penduduk Perlis masa dahulu mempunyai sekurang-kurangnya sebilah keris.
Seringkali juga sesebuah rumah keluarga Melayu pada masa itu mempunyai sebilah keris pusaka. Ia merupakan keris pusaka turun temurun. Selalunya keris pusaka tersebut diberikan kepada anak lelaki yang sulung. Ia diperturunkan terus kepada anak-anak lelaki sulung bagi waris-waris berikutnya.
Disamping itu, ada juga yang mencari keris milik mereka sendiri. Selain daripada dijadikan alat untuk mempertahankan diri, keris juga menjadi lambang status kepada seseorang pemimpin masyarakat samada imam, ketua kampung, orang-orang kanan penghulu, penghulu-penghulu hingga ke peringkat atasan, raja pemerintah dan keluarga diraja.
Bagi raja mempunyai “keris batang tubuh”. Umpamanya pemasyhuran Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin ibni Syed Sirajuddin pada 12 Oktober 2000 lalu, sebuah keris peribadi DYTM Raja Muda diwujudkan sebagai status Raja Muda Perlis. Keris itu akan djadikan keris pemakaian pada masa akan datang, siapa sahaja yang akan menjadi Raja Muda.
Keris tersebut dipersembahkan oleh Menteri Besar, YAB. Dato Seri Shahidan Kasim sebagai ketua kerajaan dan wakil rakyat jelata, kepada DYTM Raja Muda.
Pernah berlaku di Perlis pada masa dahulu, keris mewakili seorang keluarga diraja untuk meminang gadis orang kebanyakan (rakyat biasa). Di majlis perkahwinwan, keris juga mewakili keluarga diraja tersebut bersanding di atas pelamin dengan pengantin perempuan orang kebanyakan itu. Ini adalah bertujuan untuk menjaga martabat keluarga diraja tersebut sedangkan perkahwinan mereka kerana jodoh yang sudah ditakdirkan.Dalam masyarakat ketika itu sememangnya menyifatkan pengantin lelaki daripada keluarga diraja tidak sepadan untuk bersanding di atas pelamin bersama pengantin perempuan orang kebanyakan. Dalam mengatasi situasi inilah, keris diletakkan sebagai pengganti tuan tubuh kepada pengantin lelaki keluarga diraja tersebut untuk bersanding diatas pelamin. Sementara itu keris juga menjadi “alat kuasa” untuk menjalankan satu perintah. Misalnya, bagi memanggil orang-orang tertentu mengadap, keris itu menjadi “surat kuasa” untuk mengarahkan seseorang mengadap sama ada raja atau penghulu.
Orang Melayu menganggap keris mempunyai “semangat”. Sebab itulah ada keris-keris yang tidak diizinkan dibawa ke sebarangan tempat atau dicuba-cuba atau diacu-acu kepada seseorang. Dengan sebab demikian juga, terdapat orang Melayu tidak berani memakai keris kerana takut sesuatu yang tidak baik berlaku ke atas dirinya. Terdapat keris tertentu yang diasap kemian untuk menjaga “semangat”nya. Lantaran itulah keluar perkataan mengadakan “asam limau” keris untuk memperkukuhkan “semangat” keris.
Difahamkan tedapat keris yang boleh berbunyi di dalam sarung apabila pencuri masuk ke dalam rumah tuannya pada waktu malam. Pada masa dahulu keris diletak di hujung kepala semasa tuannya tidur kerana keris itulah yang akan memberi “alamat” mengatakan ada orang jahat atau pencuri masuk dalam rumah atau dalam kawasan rumah. Keris ibarat “pistol” kepada orang Melayu.
Saiz keris ada berbagai bentuk. Ada keris “mata sepukal” yang matanya lurus tanpa lok. Ada keris “berlok”, iaitu matanya berlekok. Selalunya jumlah lok tersebut ganjil. Paling kurang tiga lok dan seterusnya sama ada lima, tujuh, sembilan, sebelas dan seumpamanya mengikut panjang keris. Lok-lok itu ada maknanya yang tersendiri.
Keserasian keris dengan pemiliknya tidak sama antara seorang pemilik dengan pemilik yang lain. Ada keris yang serasi dengan seseorang tetapi tidak serasi dengan orang lain. Kalau tidak serasi, pemakai keris terbabit akan merasai sesuatu tidak senang. Malah jika digunakan juga, ia boleh terlupa untuk menghunus atau tidak boleh sama sekali menghunus keris tersebut semasa diserang musuh.
Dikatakan keserasian keris kepada seseorang merupakan ukuran tertentu mengikut bentuk badan pemilik terbabit. Dengan sebab demikian, tiap-tiap seorang yang hendak memakai keris, dia akan mengukur keserasian dengan peribadinya. Ini selalu dilakukan semasa hendak membeli atau membuat keris.
Penggunaan keris di Perlis wujud sejak zaman dahulu lagi. Ketika askar Siam menyerang Perlis yang berada di bawah pemerintahan Kedah pada masa itu, askar-askar negeri ini menggunakan keris sebagai senjata utama menentang musuh. Keris juga digunakan semasa gerakan menentang penjajah British.
Sebab itulah, ketika Jepun memerintah Malaya termasuk Perlis, dibuat gerakan besar-besaran merampas segala senjata daripada orang-orang Melayu, terutamanya keris kerana tentera Jepun takut orong-orang Melayu mengamuk menggunakan keris menentang mereka.
Ekoran tindakan pihak pemerintah Jepun itulah, bilangan keris di kalangan masyarakat Melayu di negeri ini berkurangan. Jepun menggunakan segala bentuk kekerasan untuk merampas semua senjata termasuk keris daripada orang-orang Melayu. Mereka mengarahkan “tali barut” atau “kompetai” (polis rahsia) bagi menakutkan orang-orang Melayu kononnya Jepun mempunyai alat mengesan setiap keris yang disimpan di dalam rumah.
Dengan sebab demikian, semua orang Melayu terpaksa menyerahkan keris mereka. Kalau ada yang selamat pun apabila mereka menyembunyikannya di tempat-tempat lain di luar rumah seperti dalam gua atau ditanam dalam tanah. Difahamkan berpuluh-puluh ribu keris orang Melayu ketika itu habis dirampas.
Keris Perlis mempunyai identitinya yang tersendiri. Ianya dapat dikenali melalui bentuk “sampir”nya dan juga ulunya yang dikenali dengan panggilan “kepala anak ayam deman” atau “jawa deman”. Kedua-dua bentuk ulu keris tersebut dipanggil “kepala pekaka”. Perbezaan keris antara satu negeri dengan negeri lain dapat dikenali dengan melihat pada “sampir” dan ulunya.


Inilah sebahagian daripada koleksi keris Dato' Selamat Saad. Keris Perlis di tempat ke 10 dan 11 dari kiri
Sebenarnya keris Perlis hampir sama bentuk dengan keris Kedah. Kecantikkannya bergantung kepada hiasan “pendokoh” di kaki ulu keris. Ia diukir dengan berbagai bentuk ukiran, bergantung kepada kebolehan seseorang tukang keris atau kehendak pemiliknya.
Selalunya kepala dan sarung keris dibuat daripada kayu kemuning. Ada juga dibuat dari kayu angsena. Paling baik kayu kemuning batu yang tumbuh di bukit. Di samping itu, ada juga yang dibuat dari teras kayu nangka, saga atau kayu hitam. Kayu-kayu itu dipilih kerana ianya tidak mudah pecah dan keadaan kayunya pula seperti berbunga, menambahkan serinya sementara daging kayunya pula halus, dan nampak begitu licin sekali.
Sementara itu mata keris dibuat daripada pelbagai jenis besi. Bagaimanapun paling baik ialah besi hitam yang tidak karat dan isinya padat serta berat. Keris mempunyai pelbagai nama mengikut bentuk mata, bentuk sarung dan ulu serta saiz panjang pendeknya. Harga keris bergantung kepada kualiti keris dan hiasannya.
Kualiti keris pula dinilai kepada mata keris dan sarung bersama hiasannya. Ada keris yang dijual pada hari ini berharga hingga RM 35,000 sebilah. Bagaimanapun, didapati ramai tukang keris di Perlis telah meninggal. Di antaranya ialah Allahyarham Pak Leh (Salleh) Tukang Keris dan Allahyarham Abdul Samad Tukang di Padang Pauh dan Allahyarham Salleh Jusoh di Behor lnai. Pada masa dahulu boleh dikatakan sctiap mukim di Perlis mempunyai tukang kcris atau tukang besi. Tetapi sekarang, untuk mendapatkan keris yang berkualiti, terpaksa ditempah di negeri-negeri tertentu di luar Perlis.
SUMBER RUJUKAN
Dato' Haji Selamat bin Saad
Bekas Exco Kerajaan Negeri Perlis
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 12, 2000
