PERANAN SIRIH DALAM KEBUDAYAAN MELAYU DI PERLIS
Nukilan : WAN NAN WAN MAHMUD (FAWANA)
SIRIH ialah sejenis pokok menjalar. Ia boleh hidup subur di kawasan tropika yang memerlukan cuaca panas dan juga hujan.

Dalam kebudayaan Melayu khasnya di Negeri Perlis, malah mungkin juga hampir sama berlakunya amalan demikian di negeri-negeri lain, di mana daun sirih begitu berperanan dalam amalan hidup seharian bagi sebilangan besar masyarakat pada zaman dulu. Mungkin juga hingga ke pada masa kini amalan makan sirih dan lain-lain peranan berasaskan sirih masih lagi diamalkan bagi sebahagian penduduk di negeri ini. Kalau rokok menjadi bahan hisapan yang menagihkan, maka amalan memakan sirih juga boleh dikategorikan sebagai makanan sampingan yang seolah-olah menagihkan.
Untuk melengkapkan ‘sepiak’ sirih bagi sekali suapan, resepi yang harus diadun ialah sehelai daun sirih ( kalau kecil mungkin lebih dari sehelai ), sekacip pinang, sedikit kapur makan yang telah dibancuh pekat dan sedikit gambir. Semua bahan tersebut diletakkan ke dalam daun sirih; kemudian daun tersebut dilipat, seterusnya dimakan.
Selain menjadi makanan sampingan, ‘sirih pinang’ atau lebih dikenali sebagai sirih jampi juga digunakan untuk mengubat orang sakit. Resepi ‘sirih jampi’ sama juga seperti menyediakan sirih untuk makan seperti yang tersebut di atas, iaitu :
- Beberapa helai daun sirih yang segar dan tidak koyak atau cacat.
- Beberapa keping pinang yang telah dikacip
- Kapur makan (mengikut keperluan )
- Sedikit gambir
‘Sirih jampi’ yang hendak dimakan itu tidak boleh dibilang berapakah jumlahnya. Sudah memadai hanya sekadar antara 8 hingga 12 helai sahaja. Sebaik-baiknya ‘sirih jampi’ yang hendak digunakan itu mestilah urat-urat di kiri kanannya seakan-akan bertemu antara satu sama lain.
‘Sirih jampi’ ini sering digunakan oleh ‘bomoh’ atau ‘pawang’ sewaktu hendak mengubati orang-orang sakit. Zaman dulu peranan ‘bomoh’ atau ‘pawang’ adalah amat penting dalam masyarakat Melayu dalam usaha mengubati orang yang sedang sakit. Malahan amalan memohon pertolongan kepada ‘bomoh’ atau ‘pawang’ dalam usaha untuk menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu masih lagi wujud dan diamalkan di kampung-kampung walaupun pada masa kini perubatan secara moden telahpun diiktiraf sebagai cara terbaik dalam menyembuhkan segala jenis penyakit.
Konon melalui ‘sirih jampi’ atas firasat dan pemerhatian ‘bomoh’ dan ‘pawang’ yang sedang berusaha mengubati penyakit seseorang pesakit itu akan mengetahui apakah penyakit sebenar yang dihadapi oleh pesakit berkenaan. Daripada firasat dan pemerhatian itu, ‘bomoh’ atau ‘pawang’ akan memberi arahan kepada pesakitnya supaya mencari ubat-ubatan (biasanya dari ramuan beberapa jenis akar kayu) yang perlu dimakan, disapu dan sebagainya. Dalam peringkat awalnya rawatan demikian disebut sebagai ubat ubat ‘penawar’ (percubaan) sahaja. Akar kayu ramuan tadi perlulah pesakit memakan bersama ‘sirih jampi’ yang telah dijampi oleh ‘bomah’ atau ‘pawang’ tersebut. Demikian jugalah jika untuk disapu atau direbus dan sebagainya, pesakit berkenaan perlulah mengikut arahan. Jika sesuai (pesakit mulai beransur pulih ) usaha selanjutnya dengan beberapa jenis ramuan lagi akan diteruskan sehinggalah pesakit tersebut sembuh. Bagi setiap kali urusan berubat hendak dilakukan, pesakit berkenaan perlu juga membawa ‘sirih jampi’ seperti mana di peringkat awalnya.
Bagi upacara meminang dalam adat Melayu di negeri ini juga sering digunakan tepak sirih yang harus dibawa bersama sebagai ‘pelengkap adat’ pada hari upacara meminang tersebut. Dalam majlis pinang-meminang itu kedua-dua belah pihak (pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan) akan bertukar-tukar bekas tepak sirih bagi dimakan oleh wakil masing-masing.

Daun sirih yang telah disusun 20 helai bagi setiap sesusun
Manakala pada hari majlis perkahwinan pula ‘sirih junjung’ digunakan sebagai penyeri majlis dengan diiringkan bersamanya wang hantaran belanja perkahwinan serta barang-barang iringan yang lain. Walaupun pada masa kini adat-adat seperti yang disebutkan di atas sudah berkurangan diamalkan oleh masyarakat Melayu di negara ini, namun demikian di kawasan-kawasan tertentu masih lagi wujud dan dapat dilihat ianya masih lagi berperanan.
Yang lebih menarik, tepak sirih seolah-olah alat berkomunikasi serta menjadi penghubung silaturahim antara masyarakat setempat pada zaman dulu. Apabila ada tetamu bertandang ke sesebuah rumah, tepak sirih harus diletakkan di hadapan tetamu. Mereka berbual mesra, merancang sesuatu sambil mengunyah sirih. Kadang-kadang perbualan mereka akan membawa hingga ke larut malam (kalau tetamu tersebut bertandang pada waktu malam).

Seorang wanita sedang mengikat daun sirih. Lima susun bagi setiap satu ikat (seberkas)
Sirih juga boleh dianggap sebagai salah satu bahan yang menjadi punca mata pencarian (ekonomi) bagi masyarakat Melayu di negeri ini. Terdapat beberapa kawasan perusahaan menanam sirih di Negeri Perlis ini masa dulu, seperti di kampung Padang Lati (sekitar Tasik Melati), Chuping, Bukit Keteri dan lain-lain. Daun-daun sirih yang dipetik (pungut) akan disusun, kemudian diikat (diberkas). Sebanyak lima susun bagi satu ikat (seberkas) yang mengandungi 100 helai semuanya (20 helai pada setiap sesusun ). Sirih-sirih tersebut akan dibawa ke pasar atau pasar minggu (nat) untuk dijual. Sirih Perlis biasa dibawa untuk dijual di pasar minggu Padang Sera dan Tunjang di Negeri Kedah pada zaman dulu. Para peraih membawa sirih-sirih tersebut dengan basikal dari kampung masing-masing kerana pada masa itu tidak ada motokar ataupun motorsikal (zaman sebelum negara ini mencapai kemerdekaan).

Daun sirih yang telah diikat menjadi seberkas
Kesimpulannya, sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa sirih adalah sejenis bahan yang amat berperanan dalam kebudayaan masyarakat Melayu di Negeri Perlis ini khasnya dan mungkin juga di negeri lain amnya.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 12, 2000
