PENGKISAHAN SEKOLAH INGGERIS DERMA KANGAR
Dari awal-awal lagi sehinggalah masa lepas perang dunia kedua, tahun 1945 tidak ada sebuah sekolah Inggeris pun yang wujud dalam negeri Perlis ini. Yang ada pada masa itu hanyalah Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Arab iaitu Sekolah Menengah Agama Alawiyah Aran Perlis. Bagi ibu bapa yang ingin anak-anak mereka mendapat pelajaran Inggeris terpaksalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Inggeris di Pulau Pinang seperti Penang Free School.
Dan pada ketika itu juga ada dua tiga orang murid yang telah dihantar belajar dengan biasiswa kerajaan Negeri Perlis ke Maktab Melayu Kuala Kangsar yang ketika itu disebut `Babuddarajat', selepas itu dikenali pula sebagai MCKK (Malay College Kuala Kangsar Perak). Penuntut-penuntut yang tersebut itulah yang kembali menjawat jawatan-jawatan Pentadbir Negeri Perlis ini. Dengan keadaan itu hanya segelintir ibu bapa sahaja yang mampu menghantar anak-anak mereka ke luar negeri. Mereka itu tergolong daripada Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Negeri Perlis, manakala anak-anak orang miskin tdak dapat peluang yang tersebut itu.
Apabila berakhir peperangan dunia kedua, iaitu selepas Semenanjung Tanah Melayu berada di bawah pemerintahan tentera Jepun selama tiga tahun lapan bulan maka pemikiran orang-orang Melayu pun berubah terhadap politik, ekonomi dan pelajaran. Sebilangan orang-orang Melayu di negeri Perlis ini telah sedar betapa pentingnya pelajaran Inggeris kepada anak-anak mereka. Pada ketika itu juga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dengan bersungguh-sungguh mendorongkan dan menyedarkan keseluruhan rakyat negeri Perlis ini supaya berikhtiar dan berusaha bagi mewujudkan sebuah sekolah Inggeris dalam negeri Perlis ini. Dengan dorongan dan kesedaran itulah maka sebuah jawatankuasa induk telah ditubuhkan dalam satu perjumpaan pada tahun 1946. Jawatankuasa yang terlantik itulah yang membuat perancangan untuk mendapatkan wang yang secukupnya bagi mewujudkan sebuah sekolah Inggeris dalam negeri Perlis ini.
JAWATANKUASA YANG DILANTIK
Pengerusi: Allahyarham Encik Abdul Wahab Haji Abdullah. (Majistret Negeri Perlis)
Setiausaha: AllahyarhamTuan Sheikh Ahmad Mohamad Hashim. Pegawai Audit Negeri Perlis. (Tan Sri Dato' Sheikh Ahmad Mohamad Hashim, bekas Menteri Besar Perlis)
Bendahari: Allahyarham Encik Harun Ayop (Pegawai Kewangan Negeri Perlis)
Ahli Jawatankuasa:
1. Allahyarham Wan Ahmad Wan Daud, (Dato' Wan Ahmad Bin Wan Daud), Pegawai Syarikat Kerjasama Negeri Perlis)
2. Allahyarham Tuan Syed Bahaldin Syed Noh, (Penolong Pegawai Syarikat Kerjasama Negeri Perlis)
3. Allahyarham Encik Taharim Haji Ibrahim, (Pegawai Kerani Kerajaan)
4. Allahyarham Encik Hashim Abdul Rahman, (Wakil Pejabat Pelajaran Perlis)
5. Allahyarham Cik Abdullah Ahmad, (Timbalan Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Perlis-Wakil Pejabat Tanah dan Galian)
6. Semua Penghulu Mukim.
6.1. Allahyarham Encik Ahmad Musa, (Penghulu Mukim Sanglang/Kayang. Bekas Pemangku Menteri Besar Perlis)
6.2. Allahyarham Encik Omar Said, (Penghulu Mukim Kuala Perlis)
6.3. Allahyarham Encik Abdul Rahim Haji Yadali, (Penghulu Mukim Bintung/Abi/ Padang Pauh/Paya)
6.4. Allahyarham Encik Taib Haji Mohamad Saad, (Penghulu Mukim Beseri/Titi Tinggi)
6.5. Allahyarham Encik Ahmad Samah, (Penghulu Mukim Kurung Anai)
6.6. Yang Mulia Tengku Adnan Tengku Yahaya, (Penghulu Mukim Arau)
6.7. Allahyarham Tuan Syed Osman Syed Mohamad, (Penghulu Mukim Jejawi/Sungai Adam/Sena)
6.8 Allahyarham Encik Ahmad Mat Saman, (Penghulu Mukim Utan Aji/Seriab)
6.9. Encik Mustaffa Mohamad Saad, (Penghulu Mukim Chuping/Oran/ Ngulang) Dato' Indera Perkasa Mustaffa Mohamad Saad
Penghulu-penghulu yang terlibat dalam jawatankuasa induk telah menubuhkan jawatankuasa kecil di Mukim masing-masing.
KEWANGAN (DERMA):
1. Kutipan Daripada Pesawah-Pesawah:
Derma yang terbanyak sekali terkumpul ialah daripada pesawah-pesawah Mukim Sanglang/Kayang iaitu sebanyak RM50,000.00. Derma itu diperolehi daripada pesawah-pesawah dalam mukim ini yang telah menyahut seruan Penghulu mereka iaitu Encik Ahmad Musa, Penolong Penghulu Encik Jafar Bin Hassan (Dato' Jaafar Hassan - Bekas Menteri Besar Perlis) dan setiausahanya Tengku Abdullah Tengku Mahamud dengan mengusahakan sebahagian sawah mereka selama tiga tahun (3 musim padi) yang mana semua hasilnya adalah khas untuk derma yang dimaksudkan. Begitulah caranya dibuat hingga mendapat jumlah tersebut. Wang RM50,000.00 itu telah diserahkan kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis di dalam satu upacara khas yang diadakan di Sekolah Melayu Simpang Empat Perlis pada tahun 1947. Pesawah-pesawah dalam mukim lain di seluruh negeri Perlis pula menderma hasil padi mereka mengikut yang termampu selama tiga tahun juga. Derma-derma ini diserahkan melalui Penghulu masing-masing.
2. Kutipan Daripada Pegawai-pegawai Kerajaan Dan Guru-Guru:
Semua kakitangan kerajaan dan guru di negeri Perlis ini dengan rela hati telah menderma sebanyak 3 peratus daripada gaji masing-masing dengan cara potongan gaji tiap-tiap bulan selama 2 tahun.
3. Derma Perseorangan:
Ada juga penderma perseorangan menghulurkan derma peribadi mereka secara sekaligus sahaja kepada jawatankuasa yang dilantik.

J/Kuasa Induk dan para penderma bergambar di hadapan bangunan asas Derma English School sempena pembukaan rasminya pada tahun 1949 oleh DYMM Tuanku Raja Perlis.
PEMBINAAN SEKOLAH
Dengan derma yang terkumpul yang dianggarkan lebih RM70,000.00 itulah digunakan untuk mendirikan sebuah sekolah. Bangunan sekolah itu dibina di atas tapak yang ada sekarang berhampiran dengan tapak penjara. Bangunan itu berdindingkan buluh, beratap rumbia dan berlantaikan simen. Tingkapnya dibuat daripada dinding buluh juga, dibuka dengan cara menolak keluar dan ditungkat dengan kayu, supaya tetap terbuka. Bangunan ini mengandungi empat bilik darjah sahaja.
PEMBUKAAN RASMI
Setelah siap bangunan sekolah itu pada awal tahun 1949, maka Encik Jaafar Hassan telah ditugaskan oleh jawatankuasa induk untuk menyelenggarakan persiapan pembukaan rasmi, akhirnya pada awal tahun 1949, pembukaan rasmi sekolah tersebut telah disempurnakan oleh kc bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan dengan ini nama "Derma English School Kangar" dirasmikan dengan mengambil sempena bahawa kewangan untuk mendirikan bangunan sekolah dan penyelenggaraannya hanyalah datang daripada derma rakyat negeri Perlis. Maka dengan itu wujudlah sebuah Sekolah Inggeris yang terulung di Negeri Perlis Indera Kayangan in. Turut hadir dalam majlis pembukaan itu ialah Dato' S. Thuraisinggam. Beliau berucap sebagai Ahli bagi Pelajaran Kerajaan Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu.
LAIN-LAIN
Selain daripada membina sebuah Sekolah Inggeris di Kangar, dengan wang kutipan derma itu juga pihak jawatankuasa telah menyewa sebuah rumah di Alor Star, Kedah yang dikenali dengan nama "Derma Home" dijadikan sebagai rumah asrama bagi beberapa orang murid dari negeri Perlis ini yang dihantar belajar di Sultan Abdul Halim College Alor Star atas perbelanjaan daripada wang derma itu juga.
Butir-butir yang saya sebut ini adalah secebis daripada pengkisahan Derma English School yang begitu panjang. Kisah selanjutnya akan dikisahkan oleh anak-anak murid saya iaitu YB Senator Hajah Rosnah Salleh, Drs Hassan Mohamad, Encik Johan Mohd Darns dan Encik KS Maniam.
Oleh:
Haji Hussain Bin Abdul Rahman
Bekas Guru Derma English, School Kangar, Perlis. (Telah dibentangkan di dalam Siri Pengkisahan Sejarah Derma English School pada 12 September 1992 anjuran Perpustakaan Awam Negeri & Arkib Negara Malaysia)
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 4, 1992
