Accessibility Tools

BUNGA EMAS – PERSEMBAHAN RAKYAT PERLIS UNTUK NEGARA SIAM

BUNGA EMAS – PERSEMBAHAN RAKYAT PERLIS UNTUK NEGARA SIAM

Oleh : OMAR YAACOB

Sebagai sebuah negeri di bawah pertuanan Siam, Negeri Perlis dikehendaki mempersembahkan ufti bunga emas dan perak kepada Raja Besar Siam di Bangkok. Semenjak tahun 1843 (II 1259) mulailah dihantar bunga emas dan perak ke Bangkok. Ia dihantar tiap-tiap 3 tahun sekali. Setelah wujudnya Negeri Perlis di bawah naungan Kerajaan Siam, negeri ini telah mempersembahkan ufti bunga emas dan perak sebanyak 22 kali ke Kota Bangkok dan yang terakhir pada tahun 1909 dipersembahkan ke London.

Bunga emas dari Negeri Perlis mempunyai 3 tingkat dan Kedah sebanyak 5 tingkat. Perbezaan kadar tingkat dan ciri-ciri bunga emas ini dipercayai ditentukan berdasarkan keluasan dan kekayaan negeri-negeri tersebut. Bagi menyediakan persembahan bunga emas dan perak ini, perbelanjaannya didapati daripada penduduk-penduduk di dalam Negeri Perlis. Mereka dikenakan membayar ‘duit ripai’ iaitu sejenis cukai kepala yang dipungut tiap-tiap tahun oleh seorang pegawai berkuasa yang dipanggil ‘kweng’  atau ‘kwinag’. Tiap-tiap seorang lelaki lelaki dan wanita yang berkahwin dikehendaki membayar ‘duit ripai’ sebanyak satu ringgit setahun. Bayaran ‘duit ripai’ ini dikecualikan bagi mereka yang belum berkahwin, ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai masjid serta pembesar-pembesar negeri.

Sebenarnya yang dikatakan persembahan ufti bunga emas dan perak itu adalah persembahan anika kelengkapan yang berupa sepohon bunga emas, sepohon bunga perak dan perkakas-perrkakas periringan yang berupa berjenis-jenis senjata dan kain-kain yang semuanya dipersembahkan mengikut jenis-jenis dan kadar-kadar yang tertentu sebagaimana disyaratkan oleh pihak Raja Siam sendiri.

Pohon-pohon bunga emas dan bunga perak serta segala perkakas periringan tersebut diisikan ke dalam peti-peti yang diperbuat daripada sejenis kayu. Apabila masa telah sampai Penghulu Bunga Emas, kerabat-kerabat diRaja dan pembesar-pembesar serta beberapa orang panglima akan diperintahkan membawa persembahan tersebut ke Kota Bangkok. Mereka menaiki gajah dari Istana Arau sehingga ke Pelabuhan Singgora di selatan Negeri Siam.

Bunga ini berbentuk seakan-akan sebatang pohon bunga berdahan bertingkat-tingkat, diperbuat daripada emas dan perak yang bermutu.

Raja Singgora dan pegawai-pegawainya akan meneliti bunga emas ini sebelum dibenarkan dihantar ke Bangkok. Dari Singgora rombongan Perlis ini membawa bunga emas dengan kapal laut ke Bangkok.

Bunga ini berbentuk seakan-akan sebatang pohon bunga berdahan bertingkat-tingkat, diperbuat daripada emas dan perak yang bermutu. Daun-daunnya diperbuat daripada kepingan emas dan perak yang ditempa nipis seperti daun inai dan panjangnya lebih kurang 2.5 cm. Pohon yang menirus ke atas ini berdahan empat. Setiap dahan mempunyai tiga ranting yang diselitkan dengan sehelai daun di pangkalnya dan empat helai lagi diletakkan di setiap ranting. Di hujung ranting diletakkan kuntum-kuntum bunga yang tiap-tiap satunya berkelompok empat. Biasanya di puncaknya diletakkan lambing seekor burung merbuk. Batang pohon itu diperbuat daripada kayu cengal bersalut emas dan kepingan perak yang ditempa nipis.

 

 

Replika Bunga Emas yang kini dipamerkan di Muzium DiRaja Arau

 

Pohon yang tinggi tidak kurang daripada 1.8 m, termasuk tapaknya, asalnya mempunyai nilai yang berbeza antara satu negeri dengan negeri lain, bergantung pada kemewahan dan jumlah penduduk negerinya. Bunga emas dari Negeri Perlis ditafsirkan bernilai RM 2000. Sementara Negeri Kedah bernilai melebihi RM 5000.

Persembahan bunga emas dan perak oleh Negeri Perlis bermula sejak daripada masa pemerintahan Raja Syed Hussin dan berakhir semasa awal pemerintahan Raja Syed Alwi. Semasa pemerintahan Raja Syed Hussin, Negeri Perlis telah mempersembahkan ufti sebanyak 10 kali, semasa Raja Syed Ahmad dipersembahkan sebanyak 8 kali manakala pemerintahan Raja Syed Saffi sebanyak 3 kali. Semasa pemerintahan Raja Syed Alwi telah dipersembahkan hanya sekali sahaja ke Bangkok iaitu dalam tahun 1906. Inilah kali terakhir dihantar ke Bangkok. Jumlah yang dihantar ke Bangkok ialah 22 kesemuanya. (Lihat Jadual di sebelah).

Bunga emas dan perak kali kedua semasa Raja Syed Alwi iaitu pada tahun 1909 telah dihantar ke London melalui Singapura. Ini merupakan kiriman terakhir sejarah bunga emas Perlis.

Penghantaran bunga emas ke London ini adalah mengikut Perjanjian Bangkok (1909) antara Inggeris dan Siam. Ini ternyata dalam perjanjian itu yang menyatakan “perpindahan kuasa, pertuanan, naungan, pentadbiran kawalan dan barangan apa pun berpindah dari kerajaan Siam ke Inggeris.”

 

Perarakan Bunga Emas ke Perkarangan Istana Arau sempena Hari Pertabalan Raja Syed Alwi (1949) - Bunga Emas adalah sumbangan rakyat tempatan

 

JADUAL PENGIRIMAN BUNGA EMAS SEMASA PEMERINTAHAN RAJA PERLIS KEPADA RAJA SIAM (1845-1906)

 

 

Menurut Dato’ Yazid Mat rupa bentuk asal bunga emas ini sukar dilihat oleh rakyat negara ini kerana menjadi simpanan pihak Diraja Siam di Bangkok. Yang dapat kita lihat ialah replikanya sahaja seperti terdapat di Muzium Kota Kayangan (Kuala Perlis), Muzium Negara di Kuala Lumpur dan beberapa muzium kita yang lain.

Persembahan bunga emas oleh rakyat Perlis (dari tahun 1843 hingga 1909) boleh dikatakan membebankan rakyat yang hidup sederhana. Ia menjadi tanda ‘berkasih-kasihan’ Perlis-Siam di samping janji perlindungan dari Siam sekiranya Perlis diserang musuh (seperti ancaman Bugis dan Burma di Kedah yang berjiran). Bila Inggeris campur tangan di negeri-negeri utara Semenanjung, Perlis dimasukkan di bawah Inggeris (Negeri Melayu Tidak Bersekutu) dan bila merdeka (1957) dimasukkan dalam negara Persekutuan Tanah Melayu bersama 10 negeri lain. Episod pengiriman bunga emas Perlis ke Negeri Siam (1843-1906) seperti juga negeri-negeri lain di utara Semenanjung menjadi igauan pedih rakyat negeri ini bila berhadapan dengan satu kuasa besar dan berjiran pula. Sama-samalah kita renungi.

 

RUJUKAN

Yazid Mat / Ahmad Ismail, Perlis Indera Kayangan : Pembentukan sebuah Negeri Berdaulat (1992) PPANPs Kangar.

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Jilid 1 : DBP K.Lumpur (1994)

Perbincangan dengan Dato’ Yazid Mat di PPANPs Kangar, 13 April 2005

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.XVII, 2005