Accessibility Tools

BEDUAN MUNGKIN LENYAP DI PERLIS

BEDUAN MUNGKIN LENYAP DI PERLIS

Oleh: ABD. GHANI ON dan ADNAN JAHAYA

NEGERI Perlis, seperti negeri-negeri yang lain juga mempunyai perkembangan budayanya yang tersendiri, Cuma beberapa unsur kesenian dinegeri ini saja yang mempunyai jalinan-jalinan budaya dan kesenian dari negeri-negeri lain.

Pertumbuhan kesenian di negeri Perlis yang paling pesat adalah sekitar tahun 1904 hingga tahun 1943. Sekitar tahun tersebut merupakan zaman pertumbuhan budaya rakyat yang pesat dan berkembang dengan baik. Akan tetapi setelah melewati zaman tersebut, unsur-unsur kesenian ini tidak lagi menjadi perhatian rakyat. Kebanyakan generasi muda masa kini lebih menggemari unsur-unsur kesenian dan hiburan yang diimport dari barat terutama sekali apabila terdapat media hiburan seperti radio, televisyen dan wayang gambar. Maka kini, kesenian-kesenian tersebut dipertontonkan dalam sesuatu majlis keramaian atau pada masa-masa yang tertentu sahaja.

Salah sebuah kesenian tradisi Melayu Perlis yang popular sejak 200 tahun lalu ialah "Beduan" yang dikhuatiri akan lenyap beberapa tahun lagi berikutan tiada generasi pelapis yang mampu mewarisi kesenian tersebut.

Para pewarisnya mendakwa kini hanya terdapat antara 9 hingga 12 orang yang berkebolehan bermain beduan yang masing-masing berumur antara 55 hinga 80 tahun.

"Kami sudah tua.... kematian kami kelak akan melenyapkan permainan beduan  ini," keluh seorang pewaris kesenian itu iaitu Encik Yob Yusuf, 57 tahun dalam satu pertemuan dengannya di Kampung Teluk Jambu. Keluhan itu menjadi kenyataan dengan kematian beliau tidak beberapa lama selepas itu.

"Kami sudah tua.... kematian kami kelak akan melenyapkan permainan beduan  ini," keluh seorang pewaris kesenian itu iaitu Encik Yob Yusuf, 57 tahun dalam satu pertemuan dengannya di Kampung Teluk Jambu. Keluhan itu menjadi kenyataan dengan kematian beliau tidak beberapa lama selepas itu.

Hasil pertemuan kami semasa hayatnya, Allahyarham Encik Yob menceritakan, kali ter­akhir mereka mengadakan persembahan ialah kira-kira 16 tahun Iepas sempena pertandingan hadrah dan gendang keling anjuran kerajaan negeri di Stadium Datuk Sheikh Ahmad.

Menurut beliau lagi, beduan berasal dari perkataan “beduan” dan menurut sejarah kira-kira 200 tahun dahulu seorang pemotong kayu bernama Tok Itam Kumbang telah menjumpai dua orang pemburu yang tersesat dalam sebuah hutan dinegeri itu.

 

PEMOTONG KAYU

Kerana keletihan kedua pemburu itu memukul banir (perdu pokok) tempat mereka berehat dan kebetulan Tok Itam Kumbang yang terdengar nyanyian itu telah menjumpai mereka yang “berduaan” itu dan menunjukkan jalan keluar.

Tok Itam Kumbang yang berminat dengan lagu yang dinyanyikan itu telah meminta mereka mengulanginya semula sehingga dapat dihafal dan kemudiannya beliau mencipta gendang mengiringi nyanyian itu.

Allahyarham Encik Yob, seorang petani yang juga merupakan generasi keturunan Tok Itam Kumbang menceritakan bahawa beduan dinyanyikan secara berkumpulan yang terdiri daripada lapan orang iaitu enam orang memukul gendang penggerun (gendang berbentuk gendang kompang tetapi saiznya lebih besar) dan masing-masing seorang memukul gendang peningkah dan gendang peangganak.

“Kami adalah pewaris terakhir. Jika kami bertemu sesama sendiri, kami akan bercerita mengenai beduan,” kata Encik Nopiah Kachoh, 66 tahun dari Kampung Teluk Jambu.

Menurut beliau lagi, keengganan dan kesukaran untuk membawakan lagu-lagu beduan dikalangan anak-anak muda adalah antara faktor kesenian itu menghadapi saat-saat ter­akhirnya.

"Kami menyanyi sambil memukul gendang. Dalam nyanyian ada pantun dan bagi orang-orang tua, mereka dapat memahaminya apabila kami memerlukan sesuatu seperti hidangan nasi dan kopi melalui pantun yang kami selitkan itu," sambungnya lagi.

Beliau menambah, kira-kira lima orang pemain beduan masih terdapat di Teluk Jambu iaitu Encik Rejab Kachoh, Encik Ibrahim Doi, Encik Kamis Md. Isa dan Encik Othman Senawi di samping beliau sendiri manakala yang lainnya telah meninggal dunia. Kira-kira empat hingga tujuh orang lagi terdapat di Abi tetapi menurut­nya nama-nama mereka sudah tidak diingati kecuali gelarannya sahaja.

"Kami masih mampu bermain tapi banyak gendang yang telah rosak. Jika kami dijemput untuk mengadakan persembahan, mungkin kami terpaksa menolak. Tapi jika ada pihak yang sang­gup menyumbangkan gendang-gendang itu, kami boleh mempersembahkannya dengan baik," sambungnya lagi bersungguh-sungguh.

Beliau berpendapat, kesenian itu hanya boleh diselamatkan jika kerajaan berusaha menghidupkannya semula sama ada menubuh­kan sebuah kumpulan atau membuat rakaman video untuk tatapan generasi akan datang. Sehubungan dengan ini maka pihak kerajaan menerusi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan Majlis Kebudayaan Keseni­an Negeri seharusnyalah memberi perhatian dalam usaha-usaha memperkembang, memper­tahan dan mempopularkan kembali setiap aspek kesenian ini dalam usaha menghidupkan kem­bali kesenian Melayu kita.

Sama-samalah kita memelihara keunggulan warisan budaya tradisi Melayu yang terpenting dan amat berharga ini.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 4, 1992