Rencana Kesenian
SEJARAH DAN PERKEMBANGAN PERMAINAN HADRAH DI PERLIS
Oleh : REJAB F.I
HADRAH sebenarnya suatu permainan yang tumbuh dan berkembang di negeri-negeri selatan dan utara Semenanjung Malaysia, akan tetapi corak persembahan antara kedua tempat ini adalah berlainan. Di negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia permainan ini tanpa tarian, sebaliknya di negeri-negeri utara Semenanjung khususnya di negeri Perlis (sekarang ini permainan tersebut begitu popular) bukan sahaja mempunyai tarian tetapi juga mempunyai puteri-puterinya yang tersendiri.
Mengikut sejarah - yang ditinjau dari orang tua-tua bahawa Hadrah ini berasal dari perkataan Arab iaitu 'Hijrah' iaitu berunsur suatu permainan dari sejarah Islam ketika penduduk Kota Madinah menyambut Nabi Muhammad s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun Masihi 622.
Memang dapat diyakini permainan ini berasal dari tanah Arab kerana terdapat banyak lagunya berunsurkan Islam dan menggunakan perkataan-perkataan Arab. Meskipun begitu terdapat senikatanya langsung tidak dapat dimengertikan (Hadrah yang terdapat di Utara Semenanjung) mungkin menggunakan perkataan-perkataaan Arab klasik atau pengaruh-pengaruh lain seperti Parsi dan sebagainya.
Sebagai contohnya diperturunkan sebuah lagu yang menggunakan senikata tersebut iaitu sebuah lagu yang diberi nama ‘Tawe Tara Fasa’:
Tawe tara fasa
laeh rana la to riya
a heh paryo parih ti
ala maku lika ya Id ya lil
Rangit waspi rana ha
hiya mirah a he la
sad ka ti a-la kunliha
ya lil ya lil.
Menurut seorang tokoh Hadrah di negeri Perlis, Encik Saari Haji Hashim dari Kampung Batas Lintang, Simpang Empat, Perlis (beliau juga sebagai pemimpin Hadrah di kampung tersebut dan sangat terkenal di negeri Perlis sekarang) menegaskan bahawa datuk beliaulah iaitu Encik Mat Salleh yang mula-mula memperkenalkan Hadrah di negeri Perlis.
Beliau menegaskan bahawa perkembangan Hadrah di utara Semenanjung adalah kira-kira pada pertengahan abad ke-19 dan di negeri Perlis pula bertumbuhnya kira-kira pada tahun 1910.

Sebuah kumpulan Hadrah sedang mempersembahkan lagu-lagunya.

Sebuah kumpulan Hadrah di Perlis sedang mempersembahkan tariannya.
Puteri-puteri tarian ini terdiri daripada lelaki berpakaian wanita.
Dari keterangan yang diperolehi sendiri oleh Encik Shaari dari datuknya menyatakan mula-mula tertubuhnya hadrah di negeri Perlis ialah di kampung Sungai Baru. Hadrah ini dibedung bersama oleh Encik Mat Salleh dengan Haji Bok dan kemudian menjalar pula ke kampung Abi, Perlis.
Ketika mula-mula munculnya Hadrah itu tanpa penari dan puteri-puterinya. Akan tetapi bila tibanya seorang tokoh Hadrah dari Pulau Pinang bernama Tuan Haji Mat Nasir maka barulah tarian dan puteri-puteri Hadrah disertakan, sebelum itu cuma pukulan gendang dan nyanyiannya sahaja.
Apa yang menjadi tradisi dan masih dipertahankan oleh kumpulan-kumpulan Hadrah sekarang, para puteri itu adalah terdiri daripada lelaki yang terpilih, dilatih dan dihias seperti perempuan. Meskipun begitu kebanyakan puteri ini dapat mempersembahkan tariannya dengan lemah-lembut mengikut ‘ulaitarti’ atau variasi-variasi yang tersendiri- seperti puteri-puteri ghazal persembahan negeri-negeri utara Semenanjung.
Setiap persembahan Hadrah mestilah terdiri daripada 3 atau 4 orang penari dan 1O orang pemukul gendang Hadrahnya. Penari-penari `perempuan' berpakaian baju kurung atau kebaya labuh. Kadang-kadang memakai mahkota iaitu pada masa menari lagu `Menyembah Duli'.
VARIASI-VARIASI
Pada mulanya setiap persembahan Hadrah mestilah terdiri daripada 3 atau 4 orang penari dan 10 orang pemukul gendang Hadrahnya. Penari-penari `perempuan' berpakaian baju kurung atau kebaya labuh. Kadang-kadang memakai mahkota iaitu pada masa menari lagu 'Menyembah Duli'. Kipas, selendang dan saputangan juga digunakan ketika menari mengikut sesebuah lagu yang bersesuaian dengan bahan-bahan tersebut.
Lelaki biasanya memakai baju Melayu dan bersongkok. Oleh kerana mengikut peredaran masa, hadrah yang dipersembahkan sekarang ini hanya menyediakan 3 atau 4 orang puterinya sahaja (tanpa pasangannya) dan kadang-kadang ditambah dengan seorang penari lelaki yang dikenali sebagai 'rasuknya'.
Pada masa dahulu Hadrah ini mendapat sambutan ramai dan sering dimainkan ketika mengikuti pengantin berarak. Sehingga kini hadrah masih lagi digemari ramai dan dimainkan di majlis perkahwinan, di majlis keramaian, upacara-upacara sambutan seperti menyambut ketibaan pembesar membuka sesuatu majlis dan sebagainya.
Pada tahun-tahun 1972, 1974 dan tahun 1990 kerajaan negeri Perlis mengadakan pertandingan hadrah yang bertujuan untuk mempopularkan kembali hadrah ini dan terbukti mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kini pasukan-pasukan Hadrah di Perlis telah sering disambut dalam upacara-upacara keramaian yang diadakan di ibu negara, pesta-pesta kebudayaan dan di universiti-universiti ketika mengadakan sesuatu keramaian.
Oleh kerana begitu pesat perkembangannya pada masa akhir-akhir ini banyak lagunya menggunakan senikata dalam Bahasa Malaysia serta disesuaikan pula dengan perkembangan serta pembangunan negara. Jika dibandingkan persembahan hadrah di negeri-negeri utara Semenanjung, maka Hadrah di Perlis begitu jauh berkembang dan mengikut peredaran masa.
PEMBANGUNAN
Kalau dulu senikata-senikata yang dipergunakan langsung tidak dimengertikan oleh para penonton termasuk pemain-pemain hadrah sendiri maka gubahan senikata baru telah diciptakan, misalnya dalam lagu ‘Wahai Kawan’:
Wahai kawan handai dan taulan
Marilah kita hidupkan kesenian
Di samping teknologi menuju haluan
Untuk kedaulatan dan kemajuan.
Rukunegara dasar utama
Lima prinsip terkandung di dalamnya
Marilah kita amal bersama
Semoga bahagia rakyat jelata.
Perpaduan rakyat azam bersama
Tak kira bangsa atau agama
masyarakat adil di mana-mana
kemakmuran negara milik bersama.
Pembangunan negara sedang dikembangkan
Agar ekonomi dapat disamakan
Tumpukan masa teguh keazaman
Supaya terhindar dari kemiskinan.
Lagu-lagu dalam persembahan Hadrah ini sebenarnya mempunyai nama dan rentaknya yang tersendiri. Di antaranya: Gerum Panjang (irama lambat dan perlahan), Gerum Pendek (Irama Rancak), Gerum Satu, Gerum Dua, Cang Gantung dan lain-lainnya.
Selain itu tercipta juga lagu-lagu: Rancangan Malaysia, Pembangunan Negara, Merak Hijau, Cantik manis, Terang Bulan, Muda Rencana, Selamat Datang, Tabik Encik dan lain-lain lagi.
Lagu-lagu dalam persembahan Hadrah ini sebenarnya mempunyai nama dan rentaknya yang tersendiri. Di antara rentak-rentak itu dinamakan : Gerum Panjang (irama lambat dan perlahan), Gerum Pendek (Irama Rancak), Gerum Satu, Gerum Dua, Cang Gantung dan lain-lainnya.
Meskipun orang-orang kampung yang mempusakai Hadrah ini tidak mengetahui nota lagu sepertimana ahli-ahli muzik sekarang namun dapat memastikan rentak-rentak tersebut dalam ingatan masing-masing.
Sebagai kelaziman permainan-permainan asli kita yang lain, hadrah juga sebelum dipersembahkan upacara jampi dan doa diadakan dengan maksud minta dijauhkan daripada bahaya. Biasanya jampi dan doa ini dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.
Di negeri Perlis sekarang ini mempunyai ramai kumpulan Hadrah (terutama selepas diadakan pertandingan beberapa tahun yang lalu). Di antara kumpulan-kumpulan itu ialah di kampung. Batas Lintang, Sungai Baru, Bohor Temak, Utan Aji, Padang Pauh, Semadung, Santan, Kubang Paya, Nisam, Abi dan beberapa kumpulan lagi.
Kita berharap permainan tradisi ini akan terus hidup dan berkembang memperkayakan kebudayaan kita meskipun menghadapi berbagai-bagai jenis permainan dan hiburan moden kerana sesungguhnya kebudayaan itu adalah nilai bangsa.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 4, 1992
