Accessibility Tools

SEJARAH BUKIT CHUPING

SEJARAH BUKIT CHUPING

Oleh : RAMLI ISMAIL

BUKIT Chuping Gua Berangin,

Tempat orang mengambil baja,

Putih kuning jangan dok ingin,

Banyak orang yang balik saja.

Demikianlah bunyi serangkap pantun asli Perlis yang popular dan sering didendangkan dalam lagu-lagu tempatan.

 

Bukit Chuping membekalkan batu kapur untuk kilang simen (CIMA) Perlis.

 

Seringkali pantun tersebut didendangkan dalam lagu "Canggung", sebuah lagu tradisional Negeri Perlis Indera Kayangan ini. Maksud pantun ini adalah berkaitan rapat dengan corak peng­hidupan masyarakat tempatan, tetapi apa yang hendak diperbincangkan di sini ialah mengenai "Bukit Chuping".

Bukit Chuping yang letak di kawasan Chuping, kira-kira 14 kilometer dari Kangar mempunyai sejarahnya yang tersendiri. "tempat paling tinggi kira-kira 270 meter. Paling istimewa bagi bukit tersebut, ialah gua-gua yang terdapat di situ.

Bukit Chuping mempunyai enam buah gua besar. Salah satu daripada gua tersebut ialah Gua Berangin, sebagaimana yang tersebut dalam pan­tun pada awal rencana ini tadi. Inilah gua paling tinggi yang terdapat di Bukit Chuping itu.

Gua tersebut terletak kira-kira 270 meter di atas bukit berkenaan. Walaupun letaknya begitu tinggi, tetapi terdapat jalan untuk sampai ke Gua Berangin.

Menurut seorang penduduk tua di Kam­pung Bawah Bukit Chuping, Haji Arshad Haji Dahaman, 79, Gua Berangin pernah dijadikan tempat persembunyian penduduk tempatan dari­pada keganasan askar-askar Siam dalam "Pepe­rangan Musuh Bisik" awal tahun 1800-an dahulu.

Penduduk Perlis ketika itu menamakan peperangan tersebut dengan panggilan "Pe­perangan Musuh Bisik", kerana masing-masing terpaksa berbisik untuk memberi maklumat kedatangan musuh.

Mereka bertindak sedemikian untuk men­gelak daripada diketahui oleh askar Siam, kerana seseorang yang disyaki oleh askar Siam akan ditangkap dan ditebuk telinga dengan rotan untuk di6awa ke tempat tahanan.

Apabila mengetahui kedatangan musuh dari Thailand tersebut, para penduduk tempatan terpaksa menyembunyikan diri, dan salah satu tempat persembunyian mereka ialah di dalam Gua Berangin atas Bukit Chuping berkenaan. Dengan sebab demikian, tidak lama dahulu pernah dijumpai sejumlah mangkuk kerang yang dipercayai digunakan oleh penduduk tempatan semasa lari daripada "Peperangan Musuh Bisik" dahulu.

 

Ha ji Arshad bin Haji Dahaman.

 

Bagaimanapun, kata Haji Arshad, adalah tidak dinafikan, Gua Berangin kemungkinan mempunyai kesan sejarah lebih lama dari itu ke­rana di dalamnya juga terdapat batu seperti sepasang pengantin sedang bersanding di atas belakang gajah.

Di samping Itu, terdapat juga kesan batu seperti lesung hindik yang digunakan oleh penduduk tempatan zaman dahulu untuk meng­indik padi, bagi mengeluarkan beras.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Gua Berangin memberi perkhidmatan kepada pen­duduk tempatan sebagai tempat orang mengambil baja tahi kelawar. Baja tersebut digunakan bagi pembajaan di sawah padi sebelum adanya subsidi baja oleh kerajaan sekarang.

Di samping Gua Berangin, di Bukit Chuping itu juga terdapat sebuah lagi gua yang dipanggil Gua Tengah. Gua Tengah letaknya setinggi kira­-kira 67 meter. Paling istimewa bagi gua berkenaan ialah tempat membekalkan sendawa, iaitu sejenis tanah yang digunakan sebagai salah satu bahan campuran bagi membuat belerang yang diguna­kan untuk bahan letupan peluru senapang.

Senapang yang digunakan itu ialah sena­pang sumbat. Senapang tersebut dipanggil senapang sumbat kerana menggunakannya, peluru disumbat di bahagian laras hadapan ber­sama belerang tadi dan kemudian dinyalakan untuk menembaknya.

Gua ketiga terdapat di bukit tersebut ialah Gua Lima. Gua ini adalah merupakan gua yang ramai orang mengambil baja tahi kelawar dan baja tanah bukit. Gua tersebut dipanggil Gua Lima kerana pada tahun 1946 dahulu, 5 orang penduduk tempatan yang sedang mengambil baja, mati tertimbus di dalam gua itu.

Satu lagi gua yang tidak kurang menarik di Bukit Chuping ialah Gua Sami. Gua itu dikatakan tempat sami Buddha Siam bertapa. Tingginya kira-kira 17 meter. Di sebelahnya pula terdapat Gua Kembar juga setinggi 17 meter. Gua ini dinamakan Gua Kembar kerana kedudukan­nya berkembar dua lubang pintu pada satu gua.

Gua keenam yang terdapat di bukit itu ialah Gua Penangin. Gua tersebut setinggi 67 meter adalah merupakan tempat penduduk tempatan menjulang penangin. Penangin adalah sejenis permainan tradisi masyarakat tempatan zaman dahulu dan seringkali dimainkan pada musim kemarau, selepas penuaian padi.

Bukit Chuping sepanjang kira-kira 1.6 kilometer itu juga suatu ketika dahulu merupa­kan tempat penginapan Penghulu Allahyarham Wan Ali. Di kaki bukit tersebut dijadikan tempat pasung orang salah setelah dijatuhi hukuman oleh Penghulu Wan Ali.

Di samping itu, tidak jauh dari kawasan berkenaan terdapat tempat penduduk tempatan mencelong gajah. Celong gajah adalah merupakan kerja-kerja bagi menjinakkan gajah sebelum ia dapat digunakan bagi kerja-kerja pengangkutan. 

Hampir keseluruhan Bukit Chuping ter­dapat batu kapur. Batu kapur tersebut digunakan sebagai salah satu bahan campuran membuat simen. Dengan kemudahan yang disediakan itu, sebuah kilang simen diwujudkan berhampiran bukit tersebut. awal tahun tujuh puluhan dahulu. 

Setiap hari batu kapur di Bukit Chuping dipecahkan untuk dibawa ke kilang simen. Kesannya semakin hari, Bukit Chuping menjadi semakin rendah. Malah di bahagian kepalanya dekat kilang simen sudah menjadi paras. Bukit itu sudah pasti akhirnya akan bertambah pendek. 

Dari jangkaan yang dibuat, Bukit Chuping boleh membekalkan bahan batu kapur kepada kilang simen tersebut dalam tempoh 200 tahun. Tetapiberdasarkepadakemajuanpesatkerja-kerja yang dijalankan setiap hari, kemungkinan besar Bukit Chuping akan lenyap dalam tempoh tidak sampai masa sebagaimana yang dijangkakan itu. 

Kemungkinan suatu masa nanti, Bukit Chuping hanya akan tinggal sebutan dalam pan­tun sahaja, sedangkan bukit yang sebenar sudah tidak ada lagi di sebalik pembangunan yang sedang dilaksanakan dalam negeri masa kini.

 

SUMBER ARTIKEL 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 4, 1992