Accessibility Tools

PERUSAHAAN MEMBUAT ROKOK PUCUK NIPAH

PERUSAHAAN MEMBUAT ROKOK PUCUK NIPAH

Oleh: RAMU ISMAIL

Perusahaan membuat rokok pucuk nipah memang telah lama wujud di negeri Perlis. Walaupun perusahaan tersebut bukan merupakan suatu bidang komersial yang boleh memberi kekayaan kepada mereka yang mengusahakannya, tetapi jasanya tetap wujud sebagai sumber rezeki para pengusaha berkenaan.

Kawasan paling banyak terbabit dengan perusahaan itu ialah Kampung Belanga Pudak, Telok Kachang, Tebing Tinggi, Panggau, Kota Keran, Tok kuning dan kawasan-kawasan sepanjang Sungai Perlis yang banyak terdapat pokok nipah.

Banyak mereka yang berjaya dalam penghidupan sekarang, berasal dari kampung-kam­pung terbabit telah membesar dan mendapat didikan dan saraan ibu bapa mereka yang menjual rokok pucuk nipah sebagai sumber pendapatan tambahan.

Bagaimanapun kebanyakan mereka tidak mengetahui lagi cara-cara ibu bapa atau datuk mereka mengusahakan rokok tersebut. Walaupun masih ada segelintir penduduk di kampung­-kampung berkenaan menjalankan usaha pengeluaran rokok itu, tetapi kebanyakan pengusaha asas telah lama meninggal dunia.

Sebenarnya mengusahakan pengeluaran rokok pucuk nipah memerlukan banyak kesabaran. Ini di sebabkan kerja-kerjanya agak rumit yang terpaksa meredah masuk ke dalam hutan nipah untuk mengambil pucuknya hingga akhirnya dikeringkan untuk dijual.

Bagi tatapan generasi masa kini, maka di sini diperturunkan cara-cara menghasilkan rokok pucuk nipah tersebut, dari awal hingga ianya boleh dijual.

 

 

Pada mulanya, seseorang pengusaha rokok itu perlu masuk ke dalam hutan nipah dan mencari pucuk nipah yang belum berkembang di bahagian hujung atasnya untuk memastikan pucuknya lembut.

Pucuk yang elok kemudian dipotong di bahagian pangkalnya lalu dihimpunkan di satu tempat dalam hutan nipah. Disebabkan kebanyakan kawasan hutan nipah berpaya, para pengusahanya perlu mencari kawasan tinggi yang tidak ditenggelami air sebagai tempat mengumpul pucuk-pucuk nipah itu. Apabila siap dikumpul, pucuk nipah yang bulat tersebut kemudian dikoyak menggunakan pisau untuk mendapatkan helaian pucuk. Cara mengeluarkan helaian pucuk itu ialah dengan ditetak bertingkat-tingkat dari pangkal hingga ke hujung pucuk dan ditinggalkan kira-kira satu meter supaya tidak diambil helaian pucuk yang terlalu pendek dan kecil.

Helaian pucuk yang diasingkan itu kemudian dikumpul dan diikat supaya mudah dibawa pulang ke rumah. Pada masa dahulu, para pengusahanya hanya menanggung ikatan helaian pucuk berkenaan untuk dibawa pulang. Selepas itu ada yang menggunakan basikal atau motosikal supaya tidak terlalu membebankan.

Di rumah, pucuk-pucuk nipah itu dikoyak helaiannya untuk mengasingkan 'kalat' atau lapisan tebal supaya menjadi nipis dan mudah bergulung semasa dijemur di panas matahari. Peringkat mengoyak pucuk nipah inilah memerlukan kemahiran, kerana jika tidak pandai mengoyaknya, 'kalat' tidak keluar dan pucuk itu tidak boleh digunakan.

Selepas dibuang 'kalat', pucuk tersebut dikumpul antara 10 atau 15 helaian untuk diikat atau dipanggil 'unting'. Pucuk yang diunting itu kemudian digantung pada panas pagi supaya ia beransur kering dan mudah bergulung.

Setelah berada di gantungan kira-kira satu atau satu setengah jam, untingan pucuk tersebut dijemur pula pada panas terik. Pada masa dahulu, untingan daun pucuk nipah itu dijemur di atas tikar ibus supaya cepat kering dengan haba tikar di bahagian bawah di samping panas matahari di bahagian atas.

Bagaimanapun disebabkan tidak ada lagi tikar ibus sekarang, iaitu tikar yang diperbuat daripada pucuk ibus, untingan pucuk nipah tersebut dijemur di mana sahaja termasuk di atas jalan tar asalkan ia cepat kering.

Pucuk nipah itu akan menjadi tinggi kualitinya jika ia benar-benar kering. Kualiti yang tinggi apabila pucuk nipah berkenaan berwarna putih bersih dan gulungannya sempurna, tanpa terbuka di mana-mana tempat.

Di sinilah yang dikatakan rumitnya membuat rokok pucuk nipah tersebut. Jika ia terkena sedikit tumpukan hujan rintik, sudah pasti warnanya akan menjadi merah dan bertahi lalat. Jika demikian halnya ia tidak laku dijual atau dibeli dengan harga murah. Dengan sebab demikian, mereka akan lebih berhati-hati memastikan pucuk yang dikeringkan itu tidak terkena air sedikit pun.

Selepas dikeringkan, pucuk rokok berkenaan dibawa masuk ke dalam rumah. Langkah seterusnya ialah mengerat pucuk yang kering tersebut menjadi panjang empat atau lima inci. Alat pengukur khas yang diperbuat daripada buluh disediakan supaya setiap ukuran menjadi sama.

Setelah dipotong, pucuk tersebut yang kini sudah menjadi rokok diikat menggunakan tali daun ibus. Bagaimanapun, perkembangan semasa sekarang, tali daun ibus sudah tidak digunakan lagi dan diganti dengan ikatan menggunakan tali getah. Saiz ikatan itu sebesar kira-kira secekak tangan orang dewasa.

Apabila siap diikat, daun rokok berkenaan kemudian dipotong sekali lagi di bahagian hujungnya, menggunakan pisau "kepar" yang cukup tajam. Pemotongan kali kedua itu dipanggil "paras"

bertujuan supaya keadaannya benar-benar sama dan elok dipandang. Ikatan tersebut kemudian dikumpul dan diikat mengikut kehendak pembeli. Jika dijual kepada pembeli borong, sering kali ianya diikat dalam 100 ikatan tadi menjadi "gegendang".

Kalau sekitar tahun enam puluhan dan tujuh puluhan dahulu, harga seikat daun rokok tersebut sebanyak 10 ke 20 sen, tetapi kini meningkat kepada 60 ke 70 sen seikat. Kenaikan harga rokok ekoran kenaikan cukai rokok dan tembakau oleh kerajaan, memberi harapan cerah permintaan rokok nipah akan semakin meningkat.

Rokok daun nipah digunakan untuk membalut tembakau. Tembakau pula terdapat pelbagai jenis. Ada tembakau "keras" yang paling mabuk, ada tembakau "lembut" yang tidak mabuk dan ada tembakau "pintal" yang serba sederhana, sesuai untuk mereka baru hendak belajar merokok.

Sebagaimana dinyatakan oleh salah seorang pengusaha rokok nipah, Abdul Hamid Salleh, 56, dari Kampung Belanga Pudak, apa yang memeningkan sekarang ialah hutan nipah semakin berkurangan. Beliau menyarankan suatu program pemuliharaan pokok nipah perlu dilakukan supaya ia tidak terus pupus di bumi Perlis.

 

RUJUKAN

Abdul Hamid Salleh (Pengusaha rokok nipah) Saadan Ismail (Pengusaha rokok nipah)

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001