Oleh : RAMLI ISMAIL

Sejarah awal kewujudan aktiviti perkastaman secara tradisional di Perlis dipercayai bermula sejak abad ke-16 lagi. Menurut catatan buku sempena perasmian Kompleks Kastam Negeri Perlis, Jalan Kampung Pondok, Kangar, pada waktu itu Sultan Muzaffar Shah II yang memerintah Negeri Kedah antara tahun 1544 hingga 1602 telah menjadikan Kuala Perlis sebagai “pelabuhan” utama bagi Negeri Kedah.
Seorang pedagang Portugis, Fernao Mendes Pinto yang singgah di Perlis pada waktu itu telah merakamkan kunjungannya di Kuala Perlis melalui catatannya Anchored at the mouth of the Perlis River near Alor Setar to trade, 1539 antara lain menceritakan bahawa “kerana kesibukan, ramailah pedagang yang berkunjung dan melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan di Kuala Perlis pada waktu itu”.
Seorang ahli sejarah tempatan, Allahyarham Cikgu Ahmad Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mat Tawarikh pernah memaklumkan, sebahagian besar pedagang yang menggunakan Kuala Perlis adalah dari Negeri China. Di samping itu, terdapat juga pedagang-pedagang dari Semenanjung Arab, Gujerat dan India menggunakan pelabuhan tersebut sebagai tempat menjual barang dagangan mereka sebelum ianya dibawa pula ke China dan Kemboja.
Pada masa itu perdagangan laut merupakan jalan perdagangan utama di mana rangkaian pelabuhan Kuala Perlis, Kuala Sungai Baru dan Kuala Sanglang menjadi pelabuhan yang sibuk dan penting. Terdapat juga aktiviti pemindahan barang di antara Pulau Pinang dan Kangar melalui pelabuhan Kuala Perlis.
Di sebelah utara, Pekan Padang Besar yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand semakin berkembang ekoran bermulanya perkhidmatan keretapi antara Sistem Perkhidmatan Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dengan Sistem Keretapi Siam pada 1 Julai 1918.
Aktiviti perkastaman secara moden mula dipraktikkan di sini dengan dagangan dari Siam yang hendak dieksport ke Tanah Melayu dan Singapura menggunakan keretapi wap, dikirimkan lebih dahulu di Stesen Kastam Padang Besar yang dibuka secara rasmi pada akhir 1918.
Pentingnya aktiviti perkastaman di Padang Besar dapat dibuktikan dengan termeterainya The 1922 Agreement of Facilitation The Working of Railway Traffic antara Kerajaan British dengan Kerajaan Siam. Perjanjian yang ditandatangani pada 6 November 1922 ini adalah berhubung dengan kerjasama Kastam di antara Tanah Melayu dan Siam di Stesen Keretapi Padang Besar.
Pejabat Kastam di Kangar dipercayai wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Menurut seorang tokoh tempatan, Wan Ahmad bin Che Abdullah, selain daripada Pejabat Tanah, Pejabat Kastam merupakan satu-satunya Jabatan Kerajaan yang paling banyak memungut hasil bagi negeri Perlis.
Wan Ahmad berkata, pejabat-pejabat luar kastam menempatkan kerani dan Pegawai Luar Kastam atau Outdoor Officer. Mereka lebih dikenali dengan panggilan “Chinteng”. Selain daripada berfungsi sebagai pemungut hasil dan cukai, mereka juga bertanggungjawab ke atas kawalan penjualan candu yang halal penggunaannya pada masa itu.
Selepas kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, pentadbiran Kastam telah beberapa kali mengalami perubahan dari segi struktur dan organisasinya. Kastam Negeri Perlis pernah diletakkan di bawah pentadbiran Kastam Wilayah Utara dan kemudiannya di bawah Kastam Kedah/Perlis yang berpusat di Alor Setar.
Pertumbuhan ekonomi negara yang begitu menggalakkan pada akhir dekad 1980-an telah meningkatkan aktiviti import dan eksport di Padang Besar dan Kuala Perlis. Berdasarkan perkembangan tersebut, Kerajaan Pusat telah memisahkan pentadbiran Kastam Negeri Perlis daripada Kastam Negeri Kedah pada 1 Januari 1990.
Dengan menyewa ruang pejabat di Menara Kemajuan (kini Bangunan KWSP), Kastam Negeri Perlis mula beroperasi dengan tujuh orang pegawai dan Encik Zainal Rahman bin Abdullah sebagai Pengarah Kastam Negeri Perlis yang pertama.
Ibu Pejabat Kastam dan Eksais Diraja Malaysia kemudiannya meluluskan pembinaan Kompleks Kastam Perlis di Jalan Kampung Pondok, Kangar. Projek bernilai RM15.226 juta itu siap sepenuhnya pada 27 Mei 1995 dan mula digunakan secara rasmi pada 1 Jun 1995.
Kini perkhidmatan Kastam di Perlis juga mempunyai pejabat cawangannya di Kuala Perlis, Padang Besar dan Wang Kelian membabitkan 285 anggota keseluruhannya diketuai oleh seorang Pengarah.
RENUNGAN
“Pandanglah kepada orang yang lebih rendah daripadamu; kerana yang demikian lebih baik agar kamu tidak memperkecilkan pemberian Allah kepadamu.” (Maksud al Hadith)
“Siapa menziarahi kubur kedua atau salah seorang ibu bapanya sekali pada setiap Jumaat, nescaya diampunkan dosanya dan dia dituliskan sebagai orang yang berbakti kepada kedua ibu bapanya.” (Maksud al Hadith)
Sumber Artikel
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil. 11 - 1999
