SEJARAH ASAL KOMPLEKS PENYAYANG DR. SITI HASMAH
Oleh: ROSLAN BIDIN
Tidak siapa yang inginkan dirinya susah. Mengalami kecacatan. Dan disisihkan dari orang yang dikasihi. Kenyataan ini adalah kejadian yang berkehendakkan kita berserah kepada- Nya. Sesuatu kejadian itu adalah di bawah kehendakNya. Namun kita sebagai khalifah di muka bumi ini mesti menerima realiti ini.
Orang cacat, anak yatim, wanita teranaiya serta warga tua juga seperti insan-insan lain. Yang cacat perlukan bantuan, anak-anak yatim dahagakan kasih sayang ayah dan ibu, wanita teranaiya perlukan pembelaan, serta warga tua perlukan perhatian dari orang muda. Golongan seperti mereka perlukan tempat untuk berteduh. Di situ tersedia segala keperluan seperti makanan, pakaian didikan dan dicarikan peluang pekerjaan yang sesuai dengan mereka setelah dewasa kelak.
Di negeri Perlis, sebelum tahun 1995, golongan seperti ini amat memerlukan sebuah rumah yang selesa. Kes-kes dari Perlis yang diperlukan penjagaan institusi penjagaan orang tua, yang papa dan daif terpaksa dihantar ke rumah Seri Kenangan di Bedong, Kedah. Sementara itu, kes-kes pemulihan orang-orang cacat pula dihantar ke institusi jabatan atau pertubuhan sukarela yang terdapat di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan negerinegeri lain. Begitu jugalah dengan anakanak yatim yang terdapat di negeri Perlis.
Dengan kemajuan pembangunan perkhidmatan kebajikan sejajar dengan pembangunan negeri Perlis, perancangan untuk mewujudkan sebuah rumah Seri Kenangan oleh Kementerian Kebajikan Masyarakat bermula pada tahun 1979. la termasuk di dalam Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985). Urusan pengambilan tanah dan tindakan selanjutnya diteruskan oleh pihak kerajaan dalam agenda Rancangan Malaysia Kelima (1986 - 1990).
Permulaannya, kerajaan negeri Perlis telah dicadangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan yang diadakan di Kuala Lumpur pada 28 Disember 1989 untuk membina sebuah kompleks kebajikan sebelum Rumah Seri Kenangan dibina. Ini adalah disebabkan oleh faktor-faktor tertentu.
Dengan kos perbelanjaan sebanyak RM 3.5 juta yang ditanggung oleh pihak kerajaan negeri, pada tahun 1993, bermulalah kerja-kerja pembinaan kompleks ini. Kompleks yang tersergam indah itu telah siap dibina pada awal tahun 1995. Tahun yang sama juga, anak-anak yatim mula ditempatkan di sini. Ketika itu, jumlah anak-anak yatim seramai 67 orang. Pengurusan rumah anak-anak yatim ini diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Perlis yang dipengerusikan sendiri oleh Y.A. Bhg. Datin Seri Shamsiah bt. Mohd Yassin iaitu isteri kepada Y.A.B Dato' Seri Sahidan Kassim, Menteri Besar Perlis. Begitulah mengikut perlembagaan Pertubuhan Kebajikan Anak- anak Yatim, mestilah dipengerusikan oleh isteri kepada Menteri Besar.
Rumah kebajikan ini bertambah seri lagi apabila jumlah penghuninya kian meningkat. Gurauan para petugas jelas membayangkan rasa keikhlasan di hati yang suci untuk menaburkan bakti kepada mereka yang memerlukan. Dari jauh, terdengar jerit tangis anak-anak cacat dari kelas harian Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Indera Kasih yang juga ditempatkan di sini. Kenapa agaknya ? Di usik kawankah?

Nah! Sekarang, berdiri megah sebuah bangunan yang tersergam indah ini. Memang padanlah dengan namanya. Rumah Kebajikan atau ketika itu lebih dikenali dengan namanya “Kompleks Kebajiknn Negeri Perlis”. Kawasan ini menempatkan beberapa bangunan yang menyediakan perkhidmatan untuk mereka yang memerlukan.
Antara bangunan-bangunan itu termasuklah:
Asrama Anak-Anak Yatim
1. Pejabat & Rumah Pekerja
2. Asrama Putera
3. Surau
4. Bilik Bacaan
5. Asrama Puteri
6. Kantin
Pejabat Pertubuhan Orang Cacat
1. Pejabat Pertubuhan Orang Cacat
2. Bengkel (akan dibuka)
3. Bilik Komputer
4. Bilik Bacaan
5. Kantin
6. Bangunan HAWA
Kata orang, penantian itu adalah suatu penyiksaan, apatah lagi menunggu sesuatu yang sangat berharga bagi seseorang. "Bila rumah kita akan dirasmikan agaknya". Barangkali mungkin persoalan ini sedang bermain di fikiran mereka. Tanggal 12 April 1996, tibalah masa yang ditunggu. Pada tarikh bersejarah itulah, kompleks yang indah ini di rasmikan oleh Y.A. Bhg. Datin Seri Dr. Siti Hasmah bersempena lawatan Perdana Menteri ke Perlis.
Rasmilah sudah rumah kebajikan ini. Pada peringkat awal, kompleks ini diberi nama Kompleks Kebajikan Negeri Perlis. Kini namanya ditukar kepada Kompleks Penyayang Dr. Siti Hasmah, sesuai dengan suasana penghuninya yang sering mengamalkan budaya berkasih sayang sesama insan.
Menyentuh pula tentang Rumah Seri Kenangan Kangar, ternyata kerja-kerja pembinaan giat dijalankan. Pembinaanya diteruskan tanpa menghiraukan sebarang dugaan. Kos perbelanjaanya berjumlah RM6 juta ditanggung oleh kementerian. Sementara Rumah Seri Kenangan ini belum siap, Kompleks Penyayang ini menjadi tumpuan pelawat dari dalam dan luar negeri. Tidak hairanlah, nama kompleks yang cantik ini kian menjadi sebutan.
Siapa yang pernah menduga, di Kompleks Penyayang ini terkandung seribu kenangan yang sukar dilupakan. Kenangan semasa penghuninya bersama beramah mesra dengan pemimpin. Lebih-lebih lagi di sini sering dikunjungi sendiri oleh Y.A.B Dato' Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Besar Perlis pada 18 Jun 1998 yang lalu. Kompleks Penyayang ini juga dikunjungi pula oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.
Ucapan terima kasih diucapkan khas kepada:
Y.A. BHG. DATIN SERI SHAMSIAH BT. MOHD YASSIN
Isteri Kepada YAB. Menteri Besar
Selaku Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim
CIKGU MAT ZAIN HAMZAH
Selaku Timb.Yang DiPertua Pertubuhan Anak Yatim
Serta Mereka Yang Baik Budi kerana:
mengizinkan saya menuliskan rencana ini sebagai bahan di ruangan "Warisan Indera Ka-yangan" terbitan Perbadanan Perpustakaan Awam, Perlis. Biarlah rencana ini dituliskan oleh penghuninya sendiri. Sumbangan saya bukan untuk mendapat pujian dan nama, tetapi saya ingin memperjuangkan nasib mereka yang kurang bernasib baik.
MENJUNJUNG KASIH
Sempena Keberangkatan DYMM Tuanku Raja Perlis Ke Kompleks Penyayang Dr. Siti Hasmah
Ampun Tuanku ke Bawah Duli
Sudi apalah jua kupersembahkan karangan puisi indah
menjadi kenangan di dalam istana megah
tanda menjunjung kasih yang tidak ternilai
atas keberangkatan Tuanku ke teratak kami
Tibanya Tuanku di sini
sudilah kiranya membelai rambut yang kusut
seorang anak malang, yang cacat tercela
serta yang uzur membilang usia
Kompleks Penyayang ini bagaikan tersenyum riang
menerima kunjunganmu Tuanku
Kami penghuni rumah ini
bisa menanti saat gemilang sebegini
kemeriahan istiadatnya menambahkan nostalgia
membawa kami mengimbas kembali kisahmu
seorang raja yang berdaulat
di negeriku yang kaya budaya
Perlis Indera Kayangan
SUMBER RUJUKAN
Buku Cenderamata Hari Perasmian Rumah Seri Kenangan Kangar pada 30 September 1998 Oleh : YAB Menteri Besar Negeri Perlis
Bersama : YB Menteri Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat (JPNPMM)
Serta beberapa orang pekerja lama.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998
