POKOK-POKOK NADIR DI PERLIS
(Bahagian Pertama)
Oleh : RAMLI ISMAIL
Perlis memang mempunyai banyak pokok nadir. Ini disebabkan suatu masa dahulu sebahagian besar bumi Perlis merupakan kawasan hutan. Kalau ada kawasan perkampungan pun, di sekelilingnya terdapat hutan. Justeru setelah dibuka kawasan perkampungan, pokok-pokok lama dibiarkan terus hidup.
Ada diantara pokok-pokok nadir tersebut berguna kepada manusia, sama ada buah, daun, pucuk atau kulitnya. Diantara pokok nadir yang buahnya boleh dimakan ialah pokok komoi, mundu, kandis, keriang burung, keriang dot, goncar, janggus, ibus, kerekuk, ceri, petai belalang, pinang, kote mamak, durian belanda, mempelam telur dan mentajam.
Di samping itu terdapat juga pokok yang tidak mempunyai buah untuk dimakan, tetapi berguna kepada manusia di bahagian-bahagian lain seperti pucuk, daun, kulit dan batang. Pokok- pokok tersebut seperti pokok mentalun, gelam, halban, mengkuang, putat, jarak, maru, tui, mengkudu, bongak, sireh, geti, miding, piai dan telipuk.
Terdapat juga pokok-pokok nadir yang tidak memberi sebarang kegunaan kepada manusia seperti pokok bintong, tampang, rengas, kangar, melangit, kelompang, ara, sena, pukul lima dan tunjong. Banyak tempat atau kampung di Perlis diberi nama mengikut nama-nama pokok.
Pokok-pokok yang buahnya boleh dimakan kebanyakannya sudah atau hampir pupus. Pokok komoi merupakan sejenis pokok yang sederhana tinggi. Ia mempunyai buah sebesar biji guli. Jika muda, buahnya yang berwarna hijau amat keras, tetapi setelah masak, ia berwarna kuning, lembut dan isi di dalamnya boleh dimakan. Dalam tinjauan yang dibuat didapati pokok ini sudah tidak ada lagi sekarang.
Sama nasibnya dengan pokok mundu, tidak keterlaluan jika dikatakan pokok tersebut juga sudah pupus. Pokoknya seperti pokok manggis. Begitu juga dengan buahnya. Apa beza ialah rasanya. Kalau buah manggis rasanya manis, tetapi buah mundu rasanya masam. Ia hanya boleh dibuat asam.
Pokok kandis juga boleh dikatakan hampir pupus. Pokoknya tinggi dan buahnya sebesar buah limau siam. Jika muda, buah kandis berwarna hijau tetapi setelah masak kulitnya berwarna kuning. Namun, sama seperti buah mundu, rasa buah kandis juga masam. Kebiasaannya ia dibuat asam keping atau dimasak kari.
Dalam tinjauan yang dibuat didapati pokok keriang burung juga sukar diperolehi. Pokoknya tinggi. Buahnya sebesar biji tasbih. Jika muda, buah keriang berwarna merah dan setelah masak ia bertukar menjadi warna hitam. Rasanya manis-manis buah. Sesiapa yang memakannya akan menyebabkan giginya juga menjadi hitam untuk sementara waktu.
Begitu juga dengan buah keriang dot. Tetapi bezanya buah keriang dot lebih besar dan bentuknya bujur seperti buah kana. Kedua-dua pokok keriang ini sedang berhadapan dengan kepupusan dan sukar lagi dicari sekarang.
Seringkali kita ketahui bahawa ramai wanita yang mengandung mengidam untuk memakan buah-buah masam. Salah sejenis buah yang boleh memenuhi selera tersebut ialah buah goncar.
Keadaan buahnya seperti biji rempah dan terkumpul pada satu-satu tangkai. Selalunya kaum wanita membuat air asam yang dipanggil gincok untuk dimakan bersama buah goncar tersebut. Pokok goncar adalah jenis pokok yang tinggi, tetapi ia juga sukar diperolehi sekarang.
Pokok janggus atau gajus juga merupakan sejenis pokok lama di Perlis. Bagaimanapun kita masih boleh mendapatnya dengan mudah, namun tidak mustahil satu hari kelak ia juga akan turut hilang. Jumlahnya sekarang tidak sebanyak zaman dahulu.
Pokok janggus mempunyai banyak kegunaan kepada penduduk di negeri ini. Buahnya boleh dimakan mentah atau dibuat kari ataupun kerabu. Bijinya pula boleh dibakar dan dimakan isi di dalamnya sementara pucuknya boleh dibuat ulam.

Pokok ibus ini sudah matang dan menunggu masa untuk mengeluarkan buah
Orang tua-tua dahulu menggunakan kulit batang janggus untuk menyamak benang sama ada bagi membuat jala atau tali wau. Kononnya dengan menyamak kulit janggus, benang yang putih menjadi warna merah tua akan lebih tahan.
Sementara itu pokok ibus juga sudah hampir pupus. Ia hanya terdapat di beberapa kawasan sahaja. Itupun sudah terlalu tinggi dan menunggu masa untuk mati. Pokok ibus memberi jasa kepada manusia sejak kecil hingga ke tua.
Semasa kecil, daun ibus digunakan untuk membuat tikar ataupun karong. Ketika meninggi dan berbuah, buahnya boleh dimakan. Selepas berbuah, dia tidak akan hidup lagi dan akan mati secara beransur-ansur. Buah kerekuk memang diminati oleh burung. Tetapi manusia juga memakannya. Namun untuk mengambilnya, perlu lebih berhati-hati kerana batang dan dahannya berduri. Buahnya sebesar biji guli kaca. Ia juga berhadapan dengan kepupusan. Begitu juga dengan buah ceri la amat diminati oleh burung. Walaupun buah ceri boleh dimakan oleh manusia, tetapi kanak-kanak sekarang jarang memakannya berbanding kanak-kanak zaman dahulu.
Pokok petai belalang lnsya Allah tidak akan pupus buat masa sekarang kerana ia mudah membiak. Kecuali apabila tanah-tanah dibangunkan, ketika itu pokok tersebut akan pupus kerana tidak ada tempat untuk ia tumbuh. Buah petai belalang muda dibuat ulam dan yang tua juga boleh dimakan.

Pokok tui yang memang sukar diperolehi sekarang Dihadapanrya anak pokok ibus
Pokok pinang turut berhadapan dengan masalah kepupusan. Jarang-jarang terdapat pokok pinang di Perlis sekarang. Walaupun penggunaannya sudah berkurangan, tetapi ia masih diperlukan untuk tujuan-tujuan tertentu.
Namanya pelik, pokok kote mamak Tapi itulah pokok petai bukit. Begitu juga dengan buahnya yang panjang seperti buah petai bukit. Tapi warna buahnya hitam. Isinya boleh dimakan. Rasanya manis.
Kalau petai bukit, ada kawannya di kampung dipanggil petai belalang, maka durian bukit juga ada kawannya dipanggil durian belanda. Saiz maksima buahnya sebesar buah kelapa muda. Isinya padat dan berbiji kecil, keras. Kulitnya hampir sama seperti kulit durian bukit, tetapi tiada berduri. Buahnya yang masak boleh dimakan dan yang muda boleh dibuat gulai.

Pokok petai belalang yang buahnya sudah masak. Di sebelahnya pokok kelapa
Pokok mempelam telur memang merupakan antara pokok popular suatu ketika dahulu. Ia adalah sejenis pokok yang tinggi, mengeluarkan buah mempelam sebesar telur ayam. Rasanya ada yang manis dan ada yang masam. Semasa musim buahnya masak, ia sering menjadi tumpuan kanak-kanak untuk mengadu kepakaran melastik buah mempelam tersebut. Mereka yang handal boleh melastik buah dan gugur ke bumi walaupun dari jarak yang tinggi dan tangkai buahnya pula kecil.
Namun kehadiran pokok-pokok mempelam moden sekarang seperti harumanis, nam dok mai dan intan syafinaz, menyebabkan pokok mempelam telur hampir dilupai. Pokok-pokok yang tua beransur mati, dan tiada siapa berusaha menanamnya sebagai ganti dan kesannya mungkin berhadapan dengan masalah kepupusan.
Pokok mentajam juga menerima nasib yang sama. Tinjauan cuba dibuat untuk mencarinya, tetapi memang sukar ditemui. Buah mentajam memang boleh dimakan. Semasa muda ia berwarna hijau dan ketika masak berwarna hitam. Bentuknya bujur sebesar biji kurma.
Di samping buahnya boleh dimakan, pucuk mentajam juga mujarab untuk mengubati sakit kepala. Petua orang tua-tua, jika sakit kepala berdenyut-denyut, hanya sekadar mengambil lima enam helai pucuk mentajam yang lembut, diramas di dalam air dan disapu di keseluruhan kepala. Insya Allah akan sembuh. Saya sendiri pernah mencubanya semasa kecil dahulu. Alhamdulillah menjadi.
Sumber-sumber rujukan:
- Tok Lebar Arshad, Bintong
- Lebai Darus Mat, Abi
- Hamid Salleh, Bintong
- Hajah Rahmah Hasan, Bintong
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 14, 2002
