Accessibility Tools

Perkembangan Kesenian Tradisional Negeri Perlis Masa Kini

Perkembangan Kesenian Tradisional Negeri Perlis Masa Kini

Oleh: REJAB F.I.

NEGERI Perlis merupakan negeri yang terkaya kesenian tradisionalnya di Malaysia. Sekian banyak kesenian ini dipusakai oleh masyarakat atau rakyat negeri Perlis yang diperturunkan dari generasi ke generasi semenjak dahulu kala hingga masa kini. Kesenian inilah yang membendung hati nurani masyarakat Melayu dalam kehidupan mereka terutama dalam aspek kerjasama, perpaduan, kesopanan, hormat-menghormati dan toleransi. Selain daripada itu, aspek yang paling utama, kesenian tradisional ini menyemai rasa kecintaan kepada masyarakat membendung harga diri dan jati diri bangsa.

Kerana itulah membuktikan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu begitu kukuh aspek bekerjasama seperti bergotong-royong dalam pekerjaan atau dalam majlis kenduri perkahwinan mereka berpadu. Saling hormat-menghormati dengan penuh kesopanan. Dan ketika itulah jua kesenian tradisional ini mengambil peranan, dipersembahkan di samping menghibur hati masyarakat.

Ketika itu anak-anak muda dan kanak-kanak begitu menghormati orang tua-tua, bersama membantu kerja-kerja ibubapa seperti bersawah padi, menoreh getah, berdusun atau nelayan. Dan mereka juga begitu menghayati dan menghargai kesenian-kesenian tradisional ini kerana melalui persembahan kesenian mengajar mereka erti kesopanan dan bermasyarakat. Kerana Itu mereka begitu berbangga mempersembahkannya.

Bagaimana pula jika dibandingkan dengan anak-anak muda dan kanak-kanak masa kini setelah melalui zaman pembangunan ekonomi dan perkembangan sains dan teknologi?

Di antara persembahan kesenian tradisional yang terdapat di negeri Perlis dan masih popular ialah: Serangkaian tarian seperti Canggung, Cinta Sayang (merupakan tarian adik kandung tarian Canggung, pada mulanya di kenali sebagai Cinta Hati), Tarinai, Ayam Didik, Mak lnang Tua dan beberapa tarian lagi.

 

  

Suatu ketika dahulu, tarian-tarian tersebut dipersembahkan dalam majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis keramaian di raja dan yang paling popular dipersembahkan dalam temasya menuai padi. Musim inilah persembahan-persembahan kesenian tradisional termasuk tarian, hidup dan berkembang di istana, di kota terutama sekali di desa-desa.

Masyarakat begitu terhibur mengikuti tarian-tarian tersebut selepas penat menuai padi di sawah, apalagi setelah mengaut hasilnya. Tarian-tarian tersebut bukan saja sebagai pertunjukan akan tetapi masyarakat sendiri tu.rut terlibat dalam persembahan-persembahannya. Misalnya Tarian Canggung, masyarakat sendiri turut menarikan sama ada di kampung-kampung atau di tengah-tengah permatang sawah. Selain daripada rangkaian tarian, terdapat rangkaian persembahan kesenian tradisional sama ada secara individu atau berpasukan iaitu: Awang Batil, Selampit, Hadrah, Gendang Tarinai (pada mulanya dikenali sebagai Gendang Keling, diubah namanya oleh Allahyarham Datuk Jaafar Hassan, bekas Menteri Besar Perlis, dalam satu majlis "Malam Kuntum Indera" yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Perlis dalam tahun 1975 ), Berendoi, Alu Bunyi, Beduan dan Gendang Perlis.

Kesenian-kesenian tersebut masih terdapat hingga kini kecuali Selampit kerana tokoh persembahan tersebut tidak mempunyai keturunan untuk mewarisi tradisinya iaitu Encik Ismail Hassan atau Tok Selampit di Kampung Nisam, Bintong, Perlis cuma mempunyai anak perempuan.

Awang Batil merupakan persembahan penglipurlara secara individu. Persembahan ini begitu popular sebelum Perang Dunia Kedua atau sebelum Jepun memerintah Tanah Melayu. Ketika itu Awang Batil akan mengembara dari sebuah rumah ke sebuah rumah, dari desa ke desa atau dari sebuah negeri ke sebuah negeri (Kedah, Pulau Pinang dan Thailand).

Awang Batil mempusakai sekian banyak cerita rakyat atau cerita-cerita penglipurlara. Memang ternyata cerita-cerita Awang Batil begitu menghiburkan. Ketika Awang Batil membuka persembahannya para penonton akan ketawa. Namun sepanjang persembahannya, sekian banyak pula peristiwa sedih, pilu dan bersemangat terkandung dalam cerita-cerita tersebut.

Penglipurlara ini akan duduk di tengah-tengah rumah ( jika persembahannya di desa­ desa) atau di atas pondok kecil ( di rumah-rumah kenduri perkahwinan) atau di atas pentas( dalam majlis-majlis keramaian) bergemalah suara Awang Batil sambil memukul batil. Berdenting-denting bunyinya, disulami memakai topeng, Wak Nujum atau Hulubalang mem­ persembahkan cerita seperi Awang Ada Duit Semua Jadi, Jabat Jabit, Raja Berdarah Putih, Mak Lang Pak Lang, Malim Deman, Malim Dewa dan sekian banyak cerita lagi yang dipersem­ bahkan bersambung-sambung sehingga beberapa malam.

Setelah kematian Encik Mahmud Wahid di Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis, pada tahun 1995 yang merupakan tokoh Awang Batil masa kini, penglipurlara tersebut telah dipusakai oleh anaknya Encik Ramli. Bertuahlah Encik Mahmud kerana mempunyai anak lelaki mewarisi dan menyambung tradisi kesenian tradisionalnya.

Tokoh Selampit di negeri Perlis, Allahyarham Encik Ismail Hassan di Kampung Nisam, Bintong, Perlis, seusia dan sedekad persembahannya dengan tokoh Awang Batil. Sayang sekali beliau tidak mempunyai anak lelaki, maka terputuslah kesenian tersebut diwarisi oleh keturunannya. Dan sehingga kini pun kesenian tersebut tidak terdapat di Perlis.

Selampit juga merupakan penglipurlara yang mempersembahkan cerita-cerita rakyat. Ketika itu Encik Ismail mempersembahkan selampit suatu ketika dulu, beliau menggunakan asap kemenyan. Sepanjang asap kemenyan berkepulan selama itulah Selampit mempersembahkan cerita-cerita seperti Puteri Dewa Murni, Puteri Cempaka Gading, Puteri Cemara Intan Dewa Muda Laklin, Rusa Dani Tanduk Rencana, dan sekian banyak cerita lagi yang dipusakainya.

Dalam cerita-cerita tersebut selain menghiburkan, terdapat sekian banyak unsur-unsur pengajaran dan pendidikan, membendung hati nurani anak-anak muda dan masyarakat desa.

Hadrah merupakan kesenian tradisional Perlis secara berkumpulan. Seramai delapan sehingga dua belas orang ahli kumpulan Hadrah. Kesenian tersebut berkembang di Perlis sekitar tahun 1910 yang di bawa masuk dari Pulau Pinang (dipercayai berasal dari Timur Tengah). Semenjak itu kesenian halus ini terus berkembang di Perlis, sekian banyak kumpulan ditubuhkan di merata tempat dan mukim.

 

 

Persembahan Hadrah di Perlis amat berbeza dengan Hadrah di selatan tanahair. Di Perlis, pukulan gendang Hadrah iaitu pengibu, penganak dan peningkah, mengiringi penarinya seramai tiga atau empat orang ( lazirnnya lelaki berpakaian perempuan) digandingkan bersama seorang 'rasuk' iaitu seorang lelaki sama ada pelawak atau pengganding penari-penari tersebut. Hadrah akan memainkan lagu-lagu peringkat awalnya menggunakan senikata yang langsung tidak difahami oleh ahli-ahli Hadrah sendiri seperti lagu-lagu Ayohai Kampare, Mere Kuntum dan Hadami. Akan tetapi kini Hadrah di Perlis menggunakan senikata bahasa Melayu untuk lagu­ lagu Perpaduan, Rancangan Sungai Muda, Selamat Datang, Basmi Dadah, Demo La Ni ( lagu Dikir Barat) dan sekian banyak lagu lagi.

Kesenian ini dipersembahkan di rumah-rumah kenduri perkahwinan, dalam majlis-majlis keramaian, terutama sekali ketika menyambut ketibaan pembesar negeri atau negara untuk mengadakan sesuatu upacara perasmian.

Gendang Tarinai yang dipersembahkan secara berkumpulan, terdiri empat orang sepasukan, memainkan alat muzik iaitu gendang dua orang, gong dan tiupan serunai. Kesenian ini seperti juga Hadrah dipersembahkan di rumah-rumah kenduri perkahwinan, dalam majlis­ majlis keramaian dan yang lebih bererti kesenian ini dijadikan Kesenian lstana Raja Perlis, dimainkan ketika Raja berangkat dalam upacara pertabalan dan sebagainya.

Lagu-lagu yang dipersembahkan seperti Ampun Tuanku, Selamat Datang, Tarinai, Che lang, Anak Tiung, Canggung, Ayam Didik, Air Mawar, Cinta Sayang dan sekian banyak lagu temasuk lagu-lagu popular masa kini seperti lagu Endang, Sanggam dan Anak Lima yang menjadi kegemaran anak muda mengikuti persembahan Gendang Tarinai.

Gendang Tarinai sebenarnya merupakan kumpulan muzik untuk tarian Tarinai yang dipersembahkan ketika pengantin perempuan berinai. Tarian ini begitu menarik kerana penarinya berjaya melentur atau melayahkan badannya ke belakang untuk mengutip wang syiling yang dihamburkan di atas lantai. Berendoi pula merupakan persembahan berkumpulan berdasarkan nyanyian memuji kemuliaaan Rasulullah di samping sekian banyak lagu berunsurkan agama Islam penuh dengan nasihat terutama kepada kanak-kanak.

Sekian banyak kumpulan Berendoi terutama sekali terdapat di selatan negeri Perlis seperti kumpulan Berendoi Tok Pulau, Simpang Empat, Bohor Tui, Bongor Kudung dan Tambun Tulang. Kumpulan Berendoi terdiri daripada lelaki dan perempuan, lazimnya seramai empat orang sepasukan. Mereka mempersembahkan lagu sambil menghayun buaian, di dalamnya terdapat kanak-kanak yang baru berusia seminggu ( tujuh hari setelah diadakan upacara cukur kepala ).

Lagu-lagu yang dipersembahkan seperti Tidurlah Anak, Nasihat lbu, Menuntut Ilmu, Wanita Islam, Wajib Berpuasa dan termasuk lagu-lagu terkini iaitu Proton Saga dan Sejarah Langkawi. Sebuah lagi kesenian tradisional yang sesuai dengan negeri Perlis, kerana sebahagian besar penduduknya bersawah padi iaitu Alu Bunyi. Ternyata sekali seniman masa lampau begitu peka menghasilkan kesenian berdasarkan alatan kerja sehari-hari iaitu alu dan lesung yang digunakan untuk menumbuk padi. Rupa-rupanya kedua-dua alat tersebut boleh digunakan untuk mengeluarkan bunyi dan menghasilkan lagu.

Muzik atau kesenian Alu Bunyi dipersembahkan dalam temasya 'menumbuk emping' atau 'mengerek padi' ketika musim menuai. Seramai enam sehingga delapan orang berjaya menggunakan alu, menumbuk pada permukaan lesung yang kosong menghasilkan lagu yang sungguh mengasyikkan bunyinya seperti kesenian Gamelan.

 

 

Sebuah kesenian tradisional Perlis yang tertua ialah Beduan. Persembahan yang berpasukan terdiri daripada lapan sehingga sepuluh orang memukul gendang sambil melaung (amat unik persembahannya), dipercayai berusia dua ratus tahun yang lalu. Berabad yang lalu, Beduan dipersembahkan di rumah kenduri perkahwinan sebagai isyarat kepada tetamu menuju ke rumah tersebut, maklumlah rumah-rumah ketika itu berada di dalam hutan rimba dan berjauhan antara satu dengan yang lain. Setelah dikaji rupa-rupanya ketika mereka melaung sambil memukul gendang itu sebenarnya ahli-ahli Beduan saling berbalas pantun. Pantun pantun tersebut sebenarnya dapat dikesan oleh ahli-ahli Beduan sahaja!

Kesenian tradisional terakhir yang ingin dipaparkan di sini ialah Gendang Perlis. Kesenian ini merupakan kumpulan muzik bersilat terdiri daripada dua orang memukul gendang, seorang memukul gong dan seorang meniup serunai. Lagu yang dipersembahkan adalah lagu bersilat, bukan untuk para pesilat manusia akan tetapi untuk dua ekor kerbau yang sedang berlaga! Kesenian ini dipersembahkan untuk temasya 'laga kerbau'. Temasya tersebut merupakan suatu aktiviti hiburan bukan sahaja penduduk desa akan tetapi sehingga ke istana, raja turut bersama melibatkan diri dalam temasya tersebut.

Gendang Perlis dimainkan untuk merangsang kerbau yang sedang berlaga sehingga ke saat terakhir, menentukan menang atau kalahnya seekor kerbau. Kerbau yang kalah lazimnya akan melarikan diri atau terkorban ditanduk oleh si jaguh.

Demikianlah sekian banyak kesenian tradisional yang terdapat di negeri Perlis, merupakan identiti dan jati diri bangsa. Kesenian-kesenian ini masih dipelihara oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Pejabat Kebudayaan dan Kesenian serta Majlis Kebudayaan Negeri Perlis. Usaha pemupukan dan pemeliharaan kesenian ini, setiap tahun diadakan pertandingan iaitu kesenian-kesenian yang mendapat tempat di hati masyarakat seperti Hadrah dan Gendang Tarinai. Ketika itulah muncullah sekian banyak pasukan-pasukan baru kesenian tersebut.

Amatlah diharapkan pihak-pihak tersebut akan terus berusaha memperkembangkan kese­ nian ini kepada generasi muda dengan mengadakan bimbingan setiap jenis kesenian tradisional itu di Taman Budaya Negeri yang baru siap dibina. Mudah-mudahan akan terus bersemaraklah kesenian tradisional kita berganding dengan kepesatan kesenian moden yang begitu berkembang sekarang.

Kesenian merupakan suatu unsur kebudayaan. Bukankah kebudayaan itu nilai bangsa?

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001