Accessibility Tools

BAJA TAHI KELAWAR MASIH BERFUNGSI SEBAGAI BAHAN PENYUBUR

BAJA TAHI KELAWAR MASIH BERFUNGSI SEBAGAI BAHAN PENYUBUR

Oleh: ADNAN JAHAYA

KELAWAR sejenis mamalia yang sering dikaitkan dengan kisah-kisah ngeri dan tahyul. Mamalia bersayap itu juga sering dimusuhi manusia kerana menjadi perosak buah-buahan. Meskipun mamalia itu dianggap musuh yang perlu dibunuh namun ia sebenarnya memberi sumbangan besar kepada kegiatan pertanian sejak zaman batu lagi.

Kelawar yang menghuni gua-gua batu kapur menjadi penyumbang utama pengeluaran baja yang dikenali sebagai baja tahi kelawar. Ketika manusia belum mengenali baja kimia, baja tahi kelawar menjadi sumber utama sebagai bahan penyubur tanaman. Di Perlis, baja tahi kelawar dikeluarkan secara besar-besaran sejak awal abad ke 20 dan kegiatan itu mula perlahan pada dekad tujuh puluhan. Hampir semua bukit telah dijelajahi oleh para pencari baja tahi kelawar. Mencari baja tahi kelawar merupakan sebahagian daripada pekerjaan penduduk Perlis kerana ia memberi pulangan yang lumayan. Dekad tujuh puluhan menyaksikan baja tahi kelawar kian menghadapi saingan baja-baja kimia yang moden.

Pada masa ini, beberapa kawasan yang masih menjadi tumpuan para pencari baja tahi kelawar ialah di sekitar kawasan Chuping dan Felda Mata Ayer. Kegiatan itu dilesenkan oleh Jabatan Tanah dan Galian (PTG) tetapi ada kegiatan yang dilakukan secara haram. Baja tahi kelawar boleh didapati dengan banyaknya di dalam gua-gua batu kapur yang gelap. Ribuan kelawar yang menghuni gua akan menghasilkan baja setiap hari.

Kaedah mendapatkan baja adalah melalui pelbagai cara bergantung kepada lokasi gua.

Sebagai contoh, kegiatan pengambilan baja tahi kelawar di paras yang rendah lebih mudah. Para pencari baja hanya perlu membawa lampu, penyodok dan karung sahaja untuk mengisi baja. Baja itu dimasukkan ke dalam karung sebelum dijual atau dibawa pulang untuk kegunaan sendiri.

Jikalau baja itu hendak dijual, sudah ada peraih yang sedia menunggu di situ. Untuk pengambilan baja di gua-gua yang terletak lebih tinggi hingga ratusan atau puluhan meter daripada paras bumi, para pencari baja akan menggunakan kaedah yang lebih sukar dan berisiko. Untuk sampai ke pintu gua yang lebih tinggi, mereka perlu menyediakan tangga dan tali. Mereka akan memastikan kedudukan tangga tidak membahayakan begitu juga tali yang perlu kukuh. Untuk membawa turun baja dari gua yang tinggi, mereka menggunakan takal. Komponen utama takal ialah kabel dan alat pelaras pergerakan kabel. Beberapa penyangkut karung dipasang pada kabel berkenaan.

Takal dikendalikan oleh sekurang-kurangnya dua tenaga manusia iaitu yang berada di pintu gua dan yang berada di bahagian bawah. Karung yang penuh berisi baja disangkut pada penyangkut takal yang kemudiannya akan ditarik ke bawah. Karung yang kosong akan dibawa naik melalui kaedah yang sama. Kaedah menurunkan baja menggunakan takal lebih selamat dan cepat berbanding menurunkannya secara biasa kerana ia penuh dengan risiko seperti hilang imbangan dan tergelincir.

Meskipun kehadiran pelbagai jenis baja kimia di pasaran semasa namun baja tahi kelawar masih lagi diperlukan. Permintaan terhadap baja-baja berkenaan menyebabkan kegiatan memunggah baja tahi kelawar secara komersial masih dijalankan di Perlis. Meskipun tanpa jenama yang indah, baja tahi kelawar sentiasa mendapat tempahan oleh para penduduk untuk kegunaan mereka di sawah atau menyuburkan pokok-pokok bunga.

Gua-gua yang terdapat di beberapa buah bukit seperti di Bukit Chuping, Bukit Keteri, Bukit Jernih, Bukit Lagi, Bukit Mata Ayer dan Bukit Tunku Lembu adalah antara yang begitu popular sebagai tempat mengambil baja.

Sebuah pantun tradisional pernah mengaitkan Bukit Chuping sebagai tempat mengambil baja. Pantun berkenaan berbunyi:

Bukit Chuping gua berangin,

Tempat orang mengambil baja,

Putih kuning jangan dok ingin,

Banyak orang dab balik sahaja.

Pantun yang indah itu masih popular sehingga kini malah Bukit Chuping yang kian dimamah industri kuari itu akan tetap meninggalkan kenangan pahit bagi beberapa keluarga pencari baja di situ. Lebih 20 tahun lalu, beberapa pencari baja di sebuah gua di Bukit Chuping terbunuh dan tidak ditemui apabila gua berkenaan runtuh. Mencari baja tahi kelawar sebenarnya penuh dengan risiko tetapi ia masih tetap diburu oleh para pencarinya. Persoalannya sampai bilakah kehebatan baja tahi kelawar itu mampu bertahan?

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001