Accessibility Tools

ALAT-ALAT MENANGKAP IKAN AIR TAWAR

ALAT-ALAT MENANGKAP IKAN AIR TAWAR

Nukilan: WAN NAN WAN MAHMUD

Dalam keluaran yang lalu dalam siri ini telah dikemukakan dua jenis alat menangkap ikan air tawar yang terdapat di negeri ini atau yang sering digunakan oleh penduduk setempat iaitu Serkap dan Taut. Dalam keluaran ini turut dikemukakan pula beberapa alat yang sedemikian yang sering digunakan bagi menangkap ikan air tawar.

JALA

Jala ialah sejenis alat penebar yang sering digunakan oleh penangkap ikan air tawar (malah boleh juga digunakan di pinggiran pantai untuk menangkap ikan laut dan udang). Keseluruhan jala dibuat daripada benang yang kuat. Pada zaman dahulu digunakan benang kampul (benang gedung) jenis kasar sedikit (bukan benang jahitan). Tetapi pada masa ini jala disirat daripada benang naylon. Ianya lebih kuat dan tahan lama.

 


Jala sedang digantungkan untuk dikeringkan selepas digunakan.
Sebaik-baiknya dibuka tali kanditnya supaya terumbai.

 

Cara Menyediakan Jala

Untuk menyirat sepucuk jala memerlukan:

1)                Tali penggantung atau tali penghimbau;

2)                Benang (mengikut saiz yang dikehendaki);

3)                Batu jala (gelung besi kecil yang berangkai);

4)                Cuban Uarum sirat jala)

Kayu nipis atau bilah buluh untuk membentuk mata jala.

 

 

Benang yang hendak disirat digantungkan pada tali penghimbau sebagai hujung pucuk jala. Kemudian dengan menggunakan 'cuban' dan kayu nipis atau bilah buluh untuk membentuk mata jala (yang lebar kayu/buluh itu mengikut pilihan pengguna. Biasanya satu inci atau dua inci jika untuk jala ikan. Jika jala untuk menangkap udang mungkin setengah inci lebih kurang) dan benang perlu disirat sedikit demi sedikit dari pucuk hinggalah membentuk sepucuk jala mengikut saiz yang dikehendaki. Dari pucuk jala ia disirat makin mengembang ke bawah. Saiz panjang jala adalah mengikut pilihan pengguna berkenaan.

Biasanya antara 6 hasta ke 9 hasta. Kecuali jala yang disirat khas untuk digunakan oleh kanak-kanak; lebih pendek saiznya.

Apabila siap disirat mengikut saiz yang dikehendaki, pada kaki (di bawah) jala tersebut akan digantung pula dengan batu jala (gelung besi kecil yang berangkai) dengan tujuan apabila ditebar, jala tersebut akan cepat jatuh lalu tenggelam ke dasar sungai atau laut. Keberatan batu jala ini juga mengikut saiz dan pilihan pengguna jala itu sendiri.

 

Rumah Kandit

Supaya ikan yang masuk ke dalam jala terperangkap dan tidak dapat melepaskan diri, lebih kurang 11/2 kaki dari hujung mulut jala, dibuat pula 'rumah kandit' dengan jarak lebih kurang satu kaki antara satu dengan lain. Pada setiap gelung batu jala yang bersetentang dengan 'rumah kandit' itu diikat pula 'tali kandit'. Apabila jala itu hendak digunakan, 'tali kandit' itu akan diikat pada 'rumah kandit' (ikut sebelah dalam mulut jala). Setelah diikat demikian pada semua 'rumah kandit' itu, akan terbentuk seolah-olah buaian-buaian kecil di sekeliling mulut jala itu. Apabila ditebar, ikan nanti akan terperangkap di dalam 'kandit' tersebut.

Batu jala yang berat itu selain daripada untuk membolehkan jala cepat terendam dan memerangkap ikan, ianya juga dapat membantu jala terbuka lebar apabila ditebarkan. Harus diingat, bahawa jala tidak boleh terkoyak kerana ikan akan dapat melepaskan diri melalui lubang jala yang terkoyak itu. Oleh itu, setiap jala yang terkoyak perlu disirat (tampung) semula. Menyirat jala yang koyak disebut 'buboi' (membuboi jala).

Ada dua jenis jala yang biasa digunakan oleh penangkap ikan air tawar, iaitu jala ikan dan jala udang. Jala udang lebih kerap siratan mata jala tersebut dari siratan mata jala ikan. Tetapi jala udangjarang digunakan (kecuali menjala udang di pinggiran pantai laut).

Lebih kurang 1 kaki atau 2 kaki dari hujung pucuk jala, pada hujung tali penghimbau dipasangkan sebiji 'kili' kecil (kili ini biasanya diperbuat daripada tanduk atau kayu keras yang dibuat seperti gelung, bergaris pusat lebih kurang 1 inci). Pada kiri kanan 'kili' tersebut ditebuk lubang kecil (semuat tali penghimbau). Lubang pertama untuk digantung tali dari pucuk jala, dan yang sebelah lagi bagi tali sambungan. Panjang tali tersebut adalah mengikut pilihan pengguna. 'Kili' digunakan agar tali penghimbau tidak berbelit (berkeming mengikut dialek Perlis) apabila jala dihimbau. Pada hujung tali penghimbau dibuat pula gelung semuat penumbuk orang dewasa. Tujuannya supaya dapat dimasukkan tangan ke dalamnya supaya apabila ditebar, jala itu nanti tidak terjatuh (terhimbau) ke dalam air atau hilang kerana hujung tali masih tersangkut pada tangan si penjala.

Tali penghimbau itu juga bertujuan untuk menarik jala yang telah memerangkap ikan di dalamnya lalu di bawa ke atas tebing.

 

Cara Menebar Jala

Sebelum jala digunakan, harus dipastikan semua tali kandit telah diikat kuat pada rumah kandit. Untuk menebar jala, sebahagian mulut jala dipegang (cekak) dengan sebelah tangan, dan bahagian yang baki diletakkan di atas bahu tangan yang sebelah lagi. Kemudian semua isi jala tersebut dihimbau dengan satu cara yang tersendiri supaya jala itu dapat terbuka dengan elok. Bagi orang yang pandai (biasa) menjala, cara menebar jala supaya terbuka kemas tidak menjadi masalah lagi. Setelah dipastikan ikan sudah terperangkap di dalamnya, jala itupun ditarik perlahan-lahan dengan tali penghimbau hinggalah naik ke atas tebing (darat). Dan, ikan yang terperangkap itu akan dipungut lalu dimasukkan ke dalam raga atau beg (bekas untuk mengisi ikan).

 

Menyirat dan Membuboi Jala


Plastik nipis untuk menentukan saiz mata jala.

 

Untuk menyirat jala atau 'membuboi' jala jika jala tersebut terkoyak agak besar digu­ nakan 'cuban' Uarum penyirat jala yang diperbuat dari tanduk atau buluh atau plastik nipis dan keras). Dan bagi menentukan saiz 'mata jala' (lubang benang yang disirat) digunakan bilah nipis (sama ada bilah buluh, kayu atau plastik) yang diraut mengikut lebar (besar mata jala yang dikehendaki). Menyirat jala juga memerlukan bakat, tidak semua orang tahu menyi­ rat jala, tetapi mungkin ramai yang tahu menebar jala.

 

BUBU

Bubu adalah sejenis alat untuk menangkap ikan dan juga udang air tawar. Cuma ada sedikit perbezaan cara membuatnya antara bubu untuk menangkap ikan dengan bubu untuk menangkap udang.

 

Bagi menyediakan sebiji bubu memerlukan:

1)            Bilah buluh atau kulit pelepah rumbia atau juga kulit bemban (untuk bubu udang);

2)            Akar penjalin atau tali yang sesuai dan

3)            Rotan atau besi penyengkang.

 

Cara Menyediakan Bubu

Bilah buluh atau kulit pelepah rumbia diraut licin mengikut saiz yang hendak dibentuk. Jika bubu untuk menangkap ikan buluh yang digunakan hendaklah buluh yang tua. Sebaik-baiknya sebelum dibelah buluh tersebut direndamkan ke dalam air untuk beberapa hari kerana dengan berbuat demikian bilah buluh akan lebih tahan lama dan tidak dimakan serangga (bubuk). Panjang bubu juga mengikut pilihan pengguna berkenaan, biasanya antara 2 1/2 kaki hingga 4 kaki dengan garis pusatnya antara 1-1 1/2 kaki.

Bilah buluh yang sudah diraut licin itu akan diikat (jalin) pada rotan atau besi penyengkang berbentuk gelung bulat mengikut saiz yang dipilih. Pada masa dahulu akar yang boleh didapati di dalam belukar atau hutan digunakan sebagai penjalin bilah-bilah tersebut. Tetapi sekarang digunakan dawai atau tali nylon yang sesuai. Biasanya digunakan tiga penyengkang pada setiap bubu, iaitu pada kedua-dua mulut bubu itu dan di bahagian tengahnya.

Pada mulut dan pada penyengkang bahagian tengah bubu akan dipasangkan pula 'unjap', iaitu bilah buluh yang diraut lebih halus sedikit dari bilah dinding bubu, dijalin bahagian mulutnya sama besar dengan mulut bubu (bulatan dinding bubu) kemudian mengecil (tirus ke bahagian belakang) sepanjang lebih kurang 8"-12". Tujuannya ialah apabila ikan masuk ke dalam bubu tersebut, ia tidak dapat keluar semula ikut mulut bubu itu. Manakala bahagian belakang bubu ditutup mati dengan bilah buluh juga, kecuali pada pintu kecil yang penutupnya dibuat dengan papan nipis. Dari pintu kecil itulah ikan-ikan yang ter­ perangkap akan dipungut atau dituang ke luar.

Demikian jugalah cara menyediakan bubu udang air tawar. Tetapi bentuk jalinan dan bilah dinding sahaja yang agak berbeza. Ianya dijalin lebih kerap dan bilahjuga lebih nipis. Bubu udang biasanya ditahan di tali-tali air dan juga gelung-gelung pematang sawah.

Bubu yang telah sempurna itu akan direndam ke dalam air (di sungai atau tali air) dengan diikat pada kayu kecil yang dicacak kuat ke dalam tanah supaya bubu tersebut tidak dibawa arus deras (laju). Bubu tersebut akan direndam di dasar sungai atau tali air itu 24 jam (sehari semalam) di situ. Pengguna akan datang melihat bubu tersebut pada mana-mana waktu yang dipilihnya. Biasanya pada waktu pagi, tengah hari dan petang. Ikan-ikan yang terperangkap akan diambil, kemudian bubu tersebut dipasangkan semula (direndam) di situ. Memasang (menahan) bubu juga ada musimnya, kerapkali ialah pada musim hujan dan air sungai atau tali air penuh digenangi air. Pada ketika begini ikan banyak dan jinak. Agak mudah untuk masuk ke dalam bubu atau sebarang perangkap.

Selain daripada bubu yang tersebut di atas, terdapat juga dua jenis alat menangkap ikan yang biasa digunakan oleh penduduk di negeri ini iaitu 'bubu tong' atau 'bubu duduk' dan 'bilai'. Kedua-dua jenis alat ini digunakan untuk menangkap ikan-ikan kecil seperti ikan puyu, sepat, ikan putih dan anak-anak ikan lain yang terdapat di sawah dan tali-tali air.

 

BUBU TONG ATAU BUBU DUDUK

 

Diperbuat daripada tong kayu (seperti tong sabun, tong susu dan sebagainya). Tong yang berdinding rapat di tiap-tiap sempadan ini akan ditebuk lubang kecil dengan saiz antara 4" x 3" di bahagian rusuk sebelah bawahnya. Kemudian diikatkan 'unjap' di mulut lubang tersebut seperti 'unjap' bubu juga. Di bahagian rusuk atas disediakan pintu bertutup bagi memungut (tuang) ikan yang terperangkap di dalam tong tersebut.

 

BILAI

'Bilai' ialah sejenis alat menangkap ikan kecil yang diperbuat daripada dawai mata punai berlubang saiz kecil. Ia dibentuk seperti raga, tetapi bahagian mulutnya dilipat ke dalam (di kedua bahagian dinding yang bertentangan) dengan tujuan sebagai 'unjap' semula jadi (iaitu jalan bagi ikan masuk ke dalam'bilai' tersebut.

Sama ada bubu, bubu tong atau bilai, ianya sering digunakan ketika air besar (waktu hujan lebat) dan air bergenang di dalam sungai, tali air atau sawah. Ketika musim begini ikan banyak dan jinak.

 

 

SUMBER ARTIKEL 

Jurnal Warisan Indera Kayangan BiI 9, 1997