Accessibility Tools

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SYED ALWI KAYANG, PERLIS

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SYED ALWI KAYANG, PERLIS

Sedetik masa berlalu bererti terciptalah satu sejarah dalam denyut nadi kehidupan manusia serta ketamadunannya

 

 

Begitulah yang didapati dalam lipatan sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi Kayang, Perlis. Sekolah yang terletak tujuh kilometer dari bandar Kangar itu telah mencipta sejarahnya sendiri apabila menerima seorang pengetua wanita pada tanggal 16 November 1995. Beliau ialah Puan Hajah Azmiyah Binti Othman. Mulai dari tarikh tersebut, sekolah ini telah mengalami perubahan demi perubahan selaras dengan perkembangan masa. Bilangan staf akademiknya sudah mencapai angka 69 orang dan kakitangan bukan akademik pula seramai 26 orang berbanding dengan detik awal penubuhan sekolah tersebut.

Menyingkap kembali sejarah penubuhan sekolah tersebut, tentu tiada siapa akan menduga bahawa ia hanyalah sebuah sekolah menengah yang menumpang menggunakan bilik-bilik Sekolah Kebangsaan Kayang di tapak sekarang ini. Detik awal penubuhannya, sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Menengah Kayang dengan bilangan murid seramai 192 orang. Sekolah itu dibuka pada 1 Januari 1965.

 

Papan tanda Sek. Men. Keb. Syed Alwi, Kayang

 

Bilangan murid ke sekolah tersebut semakin bertambah. Kemudian pada tahun 1966, bilangan pelajarnya bertambah menjadi 366 orang dan sebahagian pelajarnya terpaksa pula menumpang menggunakan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Padang Besar (S) Jalan Kuala Perlis. Apabila bilangan pelajarnya meningkat kepada 591 orang pada tahun 1967, sebahagian daripada mereka ditumpangkan pula di Sekolah Kebangsaan Utan Aji, Utan Aji, Perlis. Sehinggalah pada akhir tahun 1967 sekolah ini mendapat bangunannya sendiri.

Pada 13 Mei 1968, terpatrilah sejarah perasmian Sekolah Menengah tersebut oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan diberi nama Sekolah Menengah Syed Alwi, Kayang (SMKSA). Perasmian itu turut dihadiri oleh Menteri Pelajaran, En. Mohd. Khir B. Johari. Pada peringkat awal penubuhannya, ia adalah sebuah sekolah akademik saja dan ditadbir oleh seorang guru besar yang juga pada masa yang sama mentadbir Sekolah Kebangsaan Kayang. Guru besar yang diberikan tanggungjawab tersebut ialah Encik Abdul Malik Bin Haji Abdul Ghani, seorang guru dari Sekolah Inggeris Derma Kangar, Perlis.

 

Bangunan asal Sekolah Kebangsaan Kayang yang ditumpangi SMKSA dulu.
Kini ia telah diubah suai untuk tujuan lain

 

Lembaga pentadbir yang pertama bagi Sekolah Menengah Kayang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Encik Yusoff B. Abu Bakar, Speaker Majlis Undangan Negeri Perlis bermula pada 13 Januari 1965 dan kemudiannya dimansuhkan pada tanggal 20 November 1965 kerana wujudnya Jawatankuasa Lembaga Pentadbir Sekolah pada tahun 1966.

Pentadbiran kemudian diambil alih oleh Encik Yahya Man @ Othman pada 1 Februari 1972 bagi menguruskan perjalanan Sekolah Menengah Kayang itu.

Menurut Tuan Syed Othman Bin Syed Ali, seorang penduduk tempatan, sekolah itu asalnya terdiri daripada dua blok bangunan untuk menampung pelajar-pelajar sekolah menengah rendah, dan mempunyai kemudahan dua bilik makmal, pada tahun 1967.

"Masa itu belum ada elektrik. Padang permainan pun kecil tetapi bolehlah untuk aktiviti riadah pelajar-pelajar tu daripada tak ada langsung, "jelas Tuan Syed Othman.

Memang benar kata Tuan Syed itu kerana pada masa ini, sekolah itu sudah pun mempunyai sepuluh blok bangunan konkrit dengan sebuah padang bola sepak, sebuah gelanggang pelbagai guna dan sebuah padang bola jaring di atas kawasan seluas 4.04 hektar (10 ekar) seperti yang dijelaskan oleh Pengetuanya sekarang, Puan Hajah Azmiyah Bt. Othman sewaktu ditemui di pejabat beliau. Sekolah itu juga telah mempunyai dua blok bangunan asrama yang boleh menampung dua ratus pelajar dan sebuah surau dengan populasi pelajarnya mencapai angka 1,264 orang.

 

  Puan Hajah Azmiyah Othman,
Pengetua wanitapertama Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kayang

 


Tuan Syed Othman b. Syed Ali bersama isteri sewaktu memberi keterangan tentang sejarah SMKSA

 

Kini sekolah tersebut mengorak langkah yang lebih cemerlang dalam semua bidang baik akademik, sukan mahupun kokurikulum sehingga muncul sebagai salah sebuah sekolah menengah ternama di negeri Perlis.

Sekolah tersebut kini mempunyai aliran sains, aliran sastera dan aliran sains sosial

 

Rujukan:

I.  Tuan Syed Othman Bin Syed Ali, Kampung Dato', Behor Lateh, 0 I000 Kangar, Perlis.

2.       Puan Hajah Azmiyah Bt. Othman, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, 0 I000 Kayang, Perlis.Behor Lateh, 01000 Kangar, Perlis.

3.      Draf sejarah sekolah-sekolah Perlis.

 

SUMBER ARTIKEL 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997