ALU BUNYI AKTIVITI HIBURAN PETANI PERLIS
Oleh: Rejab F. l.
ALU Bunyi merupakan salah satu aktiviti hiburan petani (bersawah padi) di negeri Perlis suatu ketika dulu - para petani begitu berusaha mencungkil hiburan dengan menggunakan alatan dalam penghidupan mereka sehari-hari. Seperti Awang Batil (Awang Belanga) menggunakan alatan belanga/batil sebagai alat muzik gandingannya, begitu juga alu dan lesung dijadikan alat muzik di kalangan para petani.
Betapa kreatifnya para petani kita mencipta hiburan!
Permainan ini merupakan muzik yang benar-benar menggunakan beberapa batang alu dan lesung. Alu-alu tersebut dihentak pada lesung serta mengeluarkan bunyi dan irama yang tersendiri. Bunyinya seperti alatan muzik gamelan, sungguh merdu dan mengasyikkan, dimainkan oleh beberapa orang yang berkemahiran.

Pemain-pemain Alu Bunyi sedang mempersembahkan permainan mereka. (Gambar : Rejab F.I.)
SEJARAH DAN ASAL USUL
MENURUT sejarah, permainan ini berasal dari Indocina. Penduduk Indocina yang mengembara ke Alam Melayu, menyusuri pantai dan memudiki sungai. Ketika itulah mereka memainkan alu bunyi sehingga mempengaruhi petani-petani tempatan termasuk orang-orang Melayu.
Dalam sejarah perkembangan kesenian di negeri Perlis, pada permulaan abad ke-19, ketika pemerintahan Tuanku Raja Syed Alwi, pertumbuhan kesenian begitu pesat. Sekian banyak kesenian seperti Hadrah, Gendang Tarinai, Bangsawan, Dike, Awang Belanga, Selampit termasuk Alu Bunyi dipelihara dan disebarluaskan oleh baginda untuk hiburan rakyat.
Alu Bunyi bersama permainan-permainan itu akan dimainkan ketika diadakan temasya musim durian dan temasya memungut manisan lebah selain dimainkan ketika temasya musim menuai padi.
Penubuhan Kumpulan Alu Bunyi
MENYEDARI betapa indah dan murninya kesenian kita, pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis telah mencungkil dan menghidupkan kembali permainan ini yang selama ini sudah luput ditelan zaman.
Sebuah kumpulan Alu Bunyi telah berjaya ditubuhkan iaitu di Kampung Santan, kira-kira 6 kilometer di utara bandar Kangar. Kumpulan ini diketuai oleh Haji Kasim bin Mohd. Noh, di bawah pimpinan jurulatihnya, Encik Saad bin Senapi.
Menurut Haji Kasim, permainan Alu Bunyi ini hanya terdapat di kampung tersebut. Tidak terdapat kumpulan-kumpulan Alu Bunyi yang lain di sekitar negeri Perlis. Lazimnya, kumpulan Alu Bunyi di kampung tersebutlah dijemput bermain di kampung-kampung lain terutama sekali ketika musim menuai padi.
Ahli-ahli kumpulan Alu Bunyi ini terdiri daripada Encik Bakar Salleh, Encik Yahya Hitam, Encik Hamdan Ismail, Encik Johari Ismail, Encik Amni Ismail, Encik Othman Jusoh, Encik Khairul Anuar Che Mohd. Husin, Encik Johari Kasim, Encik Abdullah Mohamad, Encik Yahya Bakar dan Encik Ramli Mohamad.
Mereka telah berusaha menubuhkan kumpulan kira-kira setahun yang lalu dan pernah dijemput mempersembahkan permainan Alu Bunyi itu pada Pesta Budaya Negeri Perlis 1993, dalam majlis menyambut pelancong di Padang Besar dan dalam majlis keramaian di Sekolah Kebangsaan Santan.
Alatan
PERMAINAN Alu Bunyi memang hanya menggunakan 'alu' dan' lesung'. Alu dan lesung yang digunakan untuk permainan ini diperbuat khas untuk muzik Alu Bunyi.
Alu
SETIAP pasukan yang memainkan Alu Bunyi ini terdiri daripada 4, 6, 8 sehingga 12 orang. Kerana itu alu-alu disediakan sehingga 12 batang. Alu tersebut diperbuat daripada kayu tui, jawi atau retak duri. Kayu-kayu jenis ini ringan dan dapat mengeluarkan bunyi mengikut ukuran panjang dan pendek alu-alu tersebut.
Terdapat tiga jenis alu mengikut nama dan panjang ukurannya iaitu:
- Gong Besar - panjangnya 83 inci/210 sm
- Penganak - panjangnya 73 inci/ 185 sm
- Peningkah - panjangnya 54 inci/137 sm
Lilitan kepala alu-alu tersebut berukuran 16 inci/41 sm, pinggannya sebesar 6 inci/14 sm.
Bunyi tiap-tiap alu tersebut memang berbeza. Alu 'Gong Besar' bunyinya benar-benar seperti bunyi gong. 'Penganak' dan 'peningkah' begitu keras clan kuat bunyinya.
LESUNG
LESUNG ditebuk berlopak di tengah, berubing seperti lesung biasa, akan tetapi tidaklah digunakan untuk menumbuk padi. Lesung ini dibuat khas untuk permainan Alu Bunyi. Hanya sejenis kayu yang sesuai dibuat lesung ini iaitu kayu 'temak'. Menurut para pemain Alu Bunyi, selain kayu temak, kayu-kayu yang lam tidak dapat mengeluarkan bunyi yang baik sepertimana yang dikehendaki.
Ukuran lesung ini: Garisan pusatnya sepanjang 16 inci/41 sm, lilitannya 48 inci/122 sm, tinggi 16 inci/40 sm, rubing/pinggirnya setebal kira-kira 2 inci/4 sm.

Bentuk lesung yang diperbuat daripada kayu temak. (Gambar : Rejab F.I)
Persembahan
AHLI-AHLI Alu Bunyi yang sudah terlatih dan berkemahiran akan menggunakan alu-alu tersebut secara berpasukan. Mereka akan 'menumbuk' atau menghentak alu-alu tersebut ke permukaan lesung, sama ada di tengah-tengah lesung atau rubing/tepi lesung tanpa serentak atau melaga-lagakan alu tersebut.
Ketika itu akan terdengarlah tingkahan atau rentak-rentak bunyi yang sungguh mengasyikkan. Rentak-rentak bunyi itu dinamakan:
- Rentak selapis
- Rentak dua lapis
- Rentak tiga lapis
- Anak camur (selerak)
Sebagai contohnya 'Tingkah Selapis' bunyinya :
Cak ting, cak tung, cak tung... Cak, cak ting, cak, cak tung ...
Cak, cak ting, cak, cak tung, cak tung ...
Lagu-lagu yang terdapat dalam permainan Alu Bunyi ini ialah lagu :
- Gong Dua
- Kuda Kepang
Ketika permainan ini dimainkan biasanya salah seorang pemain iaitu pemain yang menggunakan 'gong besar' akan berkelakar. Dia akan menari sekeliling lesung sambil menumbuk/meningkah alunya mengikut irama yang dimainkan.
Permainan Alu Bunyi ini lazimnya dipersembahkan ketika musim menuai padi, diganding bersama dengan temasya 'mengeret padi'. Dalam temasya tersebut terdapatlah aktiviti menumbuk 'emping' dan ringi'.
Dalam temasya 'menyeret padi' ini, para pengeret akan menyanyikan lagu 'Padang Lembah' di samping berbalas-balas pantun.
Ketika itu juga diadakan jamuan 'serawa buah nangka' dan 'sira belingai' kerana kebetulan pada musim menuai (timur) itulah buah belingai masak.
Permainan Alu Bunyi mi akan dimainkan sehingga pukul dua atau tiga pagi.

Kumpulan Alu Bunyi mempamerkan alu masing-masing. (Gambar : Rejab F.I)
KEPERCAYAAN
MENURUT kepercayaan para petani suatu ketika dulu, tujuan mengadakan permainan Alu Bunyi ini selain untuk hiburan para petani setelah berpenat lelah menuai padi, permainan ini juga berperanan untuk 'memanggil semangat padi'.
Mereka percaya apabila Alu Bunyi dimainkan 'semangat padi' akan datang ke kampung mereka dan tinggal dalam 'jelapang' padi masing-masing. Ia akan memakmurkan padi mereka, jauh daripada musuh sepert1tikus, burung dan ketam, yang merosakkan padi.
Kerana itu jua permainan ini akan dijemput bermain dari sebuah kampung ke sebuah kampung dan dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Apabila Alu Bunyi dimainkan 'semangat padi' akan datang ke rumah tersebut dan seterusnya akan makmurlah hasil padinya.
Mengikut kepercayaan mereka juga, terdapat pemain-pemain Alu Bunyi yang berkebolehan menggunakan 'minyak jampi. Minyak tersebut akan disapu kepada alu dan lesung. Kerana itu siapa yang mendenganya akan tertawan dan begitu asyik mendengar per mainan mereka.
Terdapat juga ahli-ahli pemain yang pandai menggunakan ilmu sehingga pasukan lain tidak dapat mempersembahkan permainan mereka dengan baik kerana alu-alu yang dihentak sering berlaga-lagaan!
Tokoh Alu Bunyi
PERMAINAN Alu Bunyi ini sebenarnya terdiri daripada lelaki dan perempuan. Mereka akan bermain secara bergilir-gilir. Ada pasukan yang terdiri daripada lelaki sahaja, perempuan sahaja atau bersama lelaki dan perempuan.
Suatu ketika dahulu, terdapat beberapa orang tokoh Alu Bunyi yang begitu terkenal dan handal persembahan mereka. Di antaranya ialah Encik Ismail Tam, Ismail Jaafar dan Sudin Mat Isa.
Sementara tokoh wanita pula Puan Bedah Mat, Che Nah Derani, Merah Mat Isa dan Puan binti Sudin. Kini ramai di antara mereka telah meninggal dunia.
Penutup
DEMIKIANLAH 'Alu Bunyi' yang merupakan salah satu permainan asli para petani negeri Perlis. Sesungguhnya negeri Perlis memang kaya dengan kesenian-keseniannya yang tersendiri seperti Awang Batil, Beduan, Gendang Tanani, Hadrah clan Canggung.
Permainan-permainan ini tidak terdapat di negeri-negeri lain, jika terdapat pun ada perbezaannya atau pengaruh dari negeri ini seperti tarian 'Cinta Sayang', 'Berendoi' dan 'Gendang Tarinai'.
Usaha menghidup dan memperkembangkan kembali kesenian-kesenian ini memanglah baik dan sewajarnya dialu-alukan kerana negara-negara yang maju seperti Jepun dan Korea begitu berbangga dengan seni budaya masing-masing di samping mempertingkatkan kemajuan sains dan teknologinya.
Negara kita jua yang begitu pesat pembangunannya dan berusaha menjadi sebuah negara maju, sewajarnya akan terus mempertahankan kesenian bangsa. Jika dari sekarang kita tidak mempertahan dan memperkembangkannya suatu masa nant1 kita akan ketandusan kesenian sepertimana yang berlaku di negara-negara yang telah maju seperti Amerika dan Britain.
Sesungguhnya kesenian inilah jiwa dan akar umbi keperibadian sesuatu bangsa !
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 6, 1994
