Accessibility Tools

PERANAN PONDOK DAN PENGAJIANNYA DI PERLIS

PERANAN PONDOK DAN PENGAJIANNYA DI PERLIS

Oleh: RAMLI ISMAIL

PERANAN pengajian sekolah pondok di Negeri Perlis sejak awal tahun 20-an dan 30-an dahulu arnat penting dalam membentuk keperibadian serta nilai-nilai hidup anak muda ketika itu untuk menjadi insan yang berguna dalam bidang agama dan kerohanian.

Pada masa itu terdapat lima buah sekolah pondok yang memberi pengajaran mengenai agama Islam di Negeri Perlis. Sekolah-sekolah pondok tersebut ialah sekolah pondok Haji Rawi Md. Jamil di Kampung Sena, Tok Paduka, Kangar, sekolah pondok Haji Md. Rejab di Kampung Darat, Beseri, sekolah pondok Haji Ghazali (adik haji Md. Rejab) di Jejawi, sekolah pondok Haji Had di Mata Ayer dan sekolah pondok Behor Mali dekat Simpang Empat.

Pengajian sekolah pondok tersebut diasaskan oleh tokoh-tokoh agama di sesuatu tempat. Kebanyakan mereka mempunyai asas ilmu keagamaan dan mempunyai semangat serta dorongan untuk mencurahkan ilmu yang dimiliki kepada anak-anak muda Islam keseluruhannya.

 

MENCURAHKAN

Mereka sanggup menyediakan ruang tanah milik sendiri di kawasan sekeliling rumah mereka untuk dijadikan tapak membina rumah-rumah kecil dalam bentuk pondok bagi menempatkan pelajar-pelajar yang datang dengan tujuan membina ilmu agama.

Kebanyakan sekolah pondok menyediakan pengajian tersebut untuk pelajar-pelajar lelaki sahaja, tetapi ada juga setengah pondok seperti pondok di Behor Mali menempatkan juga pelajar­ pelajar wanita.

Pelajar-pelajar sekolah pondok tinggal di pondok yang disediakan oleh guru mereka tanpa sebarang bayaran, bagaimanapun segala makan minum dan keperluan seharian ditanggung oleh pelajar-pelajar itu sendiri.

Soal bayaran bil elektrik dan air, tidak timbul kerana pada masa itu air yang digunakan adalah air perigi sementara untuk menerangi dalam pondok pada waktu malam pula mereka menggunakan lampu minyak tanah.

Bagi memasak makanan seharian, mereka menggunakan dapur kayu. Dengan demikian, segalanya tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan sesuai sekali dengan kehadiran pela­ jar-pelajar berkenaan untuk menumpukan perhatian mereka kepada ilmu keagamaan.

Kebanyakan ilmu fikah yang diajar oleh guru-guru sekolah pondok ketika itu adalah berasaskan kepada fahaman Mazhab Shafe. Di samping itu, murid-murid terlibat juga diajar tafsir serta membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Salah seorang tokoh agama yang berjaya membuka madrasah dan sekolah pondok di Negeri Perlis ialah Allahyarham Haji Muhamad Rawi bin Haji Muhamad Jamil yang berasal dari Rokan, Bengkalis, Sumatera, Indonesia.

Beliau adalah anak ketujuh daripada Japan adik beradik. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah tempatan di bawah sistem pemerintahan Belanda. Haji Muhamad Rawi kemudian belajar al-Quran daripada abangnya sendiri yang terkenal dengan ahli al-Quran di kampungnya.

Mereka sanggup menyediakan ruang tanah milik sendiri di kawasan sekeliling rumah mereka untuk dijadikan tapak membina rumah-rumah kecil dalam bentuk pondok bagi menempatkan pelajar-pelajar yang datang dengan tujuan membina ilmu agama.

Pada tahun 1918, beliau berhijrah dari kampungnya, singgah di Singapura, kemudian ke Malaya dan merantau di beberapa buah negeri sebelum mengakhiri perantauan di Negeri Perlis yang letak paling utara di Malaya. Turut bersamanya dalam pengembaraan itu ialah abang sulungnya sendiri, Haji Mohd. Sharif Md. Jamil.

Pada tahun 1924, Haji Mohd. Rawi bersama abangnya telah menunaikan fardu haji di Makkah. Setelah tamat musim haji, abangnya dan anak-anak jemaah lain yang pergi bersama mereka pulang ke Malaya, tetapi Haji Mohd. Rawi tidak pulang.

Di Makkah, beliau mendalami pengetahuannya dalam bidang agama Islam daripada beberapa orang guru terkenal termasuk Sheikh Amin Rawa yang mengajar di Masjid Al­ Haram. Beliau tinggal di rumah tersebut dengan membantu jemaah haji yang datang dari Asia Tenggara setiap kali tiba musim haji.

Setelah 10 tahun berada di Makkah, pada tahun 1934, Haji Mohd. Rawi kembali ke Malaya dan tinggal dengan abangnya, Mohd. Sharif di Kampung Mata Ayer, 13 kilometer dari bandar Kangar.

 

MENGAJAR

Tidak lama kemudian, beliau berkahwin dengan seorang gadis bemama Puteh, anak kepada imam Masjid Alwi Kangar, iaitu Haji Adam. Setelah berkahwin, Haji Mohd. Rawi tinggal di kampung mertuanya di Tok Paduka, Kangar.

Haji Adam telah mewakafkan kawasan kampungnya di Tok Paduka untuk dijadikan tapak bangunan bagi sesuatu kegiatan berbentuk keagamaan yang boleh memberi seorang yang berpendidikan agama, lalu digunakan kesempatan tersebut untuk membuka sekolah pondok pengajian Islam.

Sebuah bangunan madrasah dibina secara gotong-royong dengan kerjasama tukang­ tukang rumah tempatan untuk dijadikan tempat mengajar agama Islam. Bagi kemudahan tempat pelajar-pelajar pula, sebanyak 15 buah rumah kecil yang dipanggil pondok dibina, juga secara gotong-royong.

Sebuah bangunan madrasah dibina secara gotong-royong dengan kerjasama tukang­ tukang rumah tempatan untuk dijadikan tempat mengajar agama Islam. Bagi kemudahan tempat pelajar-pelajar pula, sebanyak 15 buah rumah kecil yang dipanggil pondok dibina, juga secara gotong-royong.

Akhirnya, wujudlah sekolah pondok di Kampung Sena, Tok Paduka tersebut yang diberi nama Al-Madrasah Al-Khairiah Al-Diniyah. Sejak mula dibuka, pondok itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat Islam, bukan sahaja di Perlis, malah juga dari luar Perlis.

Di antara pelajar yang datang dari luar Perlis termasuk dari Negeri Sembllan, Perak, Kelantan, Pahang dan juga dari wilayah Setul, selatan Thailand dan Jambi serta Acheh, Indonesia.

Bimbingan yang diberi oleh Haji Mohd. Rawi kepada rnurid-muridnya adalah mengenai amal ibadat, hukum-hukum agama, tafsir alQuran dan segala ilmu fikah yang berpegang kepada Mazhab Imam Shafie. Di samping mengajar di sekolah pondok, Haji Mohd. Rawi juga dilantik menjadi imam Masjid Alwi, Kangar, menggantikan tempat bapa mertuanya.

Beliau memberi pengajaran dengan berpandu kepada beberapa kitab seperti Al-Mis­ bahum Munir, Arbaien Imam Nawawi, Tafsiran Al Jalalin, Bulugul Maram, Fathil Muaiyin, Fathul Karib, Fathul Ghayah, Hidayah AI-Salikin, Matlail Badrin dan Mata Um Ibrahim.

Pengajaran yang diberi dua kali sehari iaitu selepas waktu sembahyang Subuh dan selepas waktu sembahyang Maghrib hingga menjelang masuk waktu sembahyang Isya'.

Bimbingan yang diberikan adalah percuma, tanpa dikenakan sebarang bayaran. Semasa tiba musim menuai padi, murid-murid sekolah pondok yang berumur belasan dan 20-an keluar beramai-ramai ke sawah untuk mengambil upah memotong atau membanting padi. Upah ini menjadi sumber pendapatan mereka selain bantuan kewangan oleh keluarga di kam­ pung.

Bagi guru pula, seringkali diberi padi zakat semasa musim penuaian padi. Melalui pem­ berian zakat tersebut, dapatlah dijadikan wang belanja oleh guru pondok berkenaan untuk menguruskan pentadbiran sekolah pondok mereka.

Sesuatu yang baik dengan adanya sistem pengajian pondok ini apabila ia dapat mengasuh keperibadian unggul di kalangan mereka yang belajar di sekolah-sekolah pondok berkenaan. Selain ditanam dengan didikan keagamaan, pelajar-pelajar sekolah pondok juga dilatih berdikari sama ada untuk memasak makanan, membasuh pakaian, mengemas rumah dan sebagainya.

Dengan sebab demikian, tidak hairanlah suatu ketika dahulu, bekas-bekas pelajar sekolah pondok cukup mudah mendapat jodoh kerana ibu bapa kepada seseorang anak gadis lebih berminat menjadikan mereka menantu untuk menjamin masa depan anak mereka sendiri.

 

JODOH

Kebanyakan mereka yang tamat pengajian di sekolah pondok, menjadi guru agama di sekolah-sekolah pondok yang sama atau sekolah-sekolah pondok lain, menjadi imam dan sebagainya. Malah mereka yang datang dari Setul, selatan Thailand telah pulang ke kampung sendiri dan membuka pula pondok di tempat masing-masing.

Di samping Haji Mohd. Rawi, turut membantunya mengajar agama kepada pelajar-pelajar sekolah pondoknya itu, beberapa orang guru pembantu. Di antara mereka ialah Ustaz Abdul Hadi Kamal dari Sabak Bernam, Selangor.

Ketika itu terdapat kira-kira 75 pelajar yang belajar di pondoknya. Semuanya pelajar lelaki. Tiap sebuah pondok boleh mengisi kira-kira lima pelajar. Tenaga pengajar lain yang turut memberi sumbangan ialah Yahya Baginda semasa pemerintahan Jepun.

Di antara bekas pelajar sekolah pondok tersebut yang masih terus berbakti dalam bidang keagamaan di Negeri Perlis sekarang ialah bekas Mufti Negeri yang sekarang menjadi Imam Masjid Alwi Kangar, Haji Abdul Rahman Ismail dan penolongnya, Ustaz Hashim Adam.

Apabila muncul pegangan Sunnah di Perlis, kedudukan sekolah-sekolah pondok di negeri ini- mula terjejas, termasuk juga Pondok Haji Mohd. Rawi di Kampung Sena, Tok Paduka, Kangar kerana ajaran mereka agak berbeza daripada ajaran Sunnah.

Pada tahun 1952, Haji Mohd. Rawi meninggal dunia dan tugas mengendalikan sekolah pondok di Kampung Sena dikendalikan oleh abangnya, Haji Mohd. Sharif. Anak Haji Mohd. Sharif, Ustaz Jamil yang sekarang menjadi Imam Masjid Mata Ayer turut membantu mengajar.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian, iaitu tahun 1954, Haji Mohd. Sharif pula meninggal dunia. Kematiannya menyebabkan sekolah pondok Tok Haji Mohd. Rawi tersebut semakin kurang tenaga pengurusan.

Pengajian sekolah pondok di Perlis benar-benar berakhir pada tahun 1960-an disebabkan masyarakat Islam ketika itu sudah kurang berminat menghantar anak-anak mereka belajar ke sekolah-sekolah tersebut apabila memikirkan masa depan mereka yang kurang terjamin.

Sebaliknya, ibu bapa lebih berminat menghantar anak masing-masing ke sekolah agama Al-Madrasah AI-Alawiyah Addiniah di Arau yang membuka persiapan untuk seseorang yang cemerlang melanjutkan pengajian tinggi ke universiti-universiti di Timur Tengah.

Berikutan itu, pengajian sekolah pondok di Perlis semakin berakhir. Bagaimanapun, bangunan-bangunan madrasah dan pondok di setengah tempat masih boleh dilihat hingga sekarang seperti Madrasah Haji Md. Rejab di Beseri yang kekal berfungsi apabila ia dijadikan pusat aktiviti kelas agama mingguan.

 

Sumber Rujukan:

I.    Haji Nahma Jamil Mohd. Rawi

2.   Encik Mahyuddin Datuk Habib

3.   Haji Yahya Baginda

4.   Haji Jamil Mohd. Sharif

 

SUMBER ARTIKEL 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 6, 1994