Accessibility Tools

SEJARAH PEMERINTAHAN TUANKU SYED AHMAD JAMALULLAIL Raja Negeri Perlis Yang Ke-2

SEJARAH PEMERINTAHAN TUANKU SYED AHMAD JAMALULLAIL Raja Negeri Perlis Yang Ke-2

Oleh: REJAB F.I.

SYED AHMAD JAMALULLAIL Ibni Almarhum Syed Hussain Jamalullail, raja Negeri Perlis yang kedua, ditabalkan menjadi raja oleh Raja Siam Chulalongkorn (Rama ke -V) di Bangkok pada 12 Muharam 1291, bersamaan awal bulan Mac 1874, selepas kemangkatan ayahanda baginda Tuanku Raja Syed Hussain Jamalullail pada bulan Disember 1873.

Baginda melantik pembesar-pembesar Negeri Perlis terdiri daripada: Datuk Wan Din bin Datuk Arau, bergelar Dato' Seri Lela Indera Dewa sebagai pembesar kanan baginda; Tuan Haji Muhammad bin Haji Abdul Latif menjadi Kadi Besar, Wan Mat Saman bin Dato' Belat bergelar Dato' Seri Lela Mahkota; Cik Lanang bin Dato' Belat bergelar Dato' Seri Perkasa; Cik Mat Saman bin Dato' Seri Pahlawan, bergelar Dato' Seri Pahlawan dan Wan Daud bin Haji Wan Mohammad Said, bergelar Dato' Indera Jaya.

Baginda begitu memberi perhatian kepada pemerintahan Negeri Perlis, sesuai dengan nasi­hat Raja Siam ketika baginda ditabalkan supaya berhati-hati memberi gelaran dan pangkat ke­pada seseorang yang benar-benar memberi pe­ranan kasih dan taat setia kepada negeri baginda.

Dalam menjalankan pemerintahan, baginda dibantu oleh adinda baginda Syed Haron Jama­lullail. Dato' Wan Din bin Dato' Arau merupakan Orang Besar yang berperanan penting mewujud­kan perpaduan dan kerjasama pembesar-pem­besar negeri, penghulu-penghulu dan kerabat­-kerabat diraja baginda. Beliau menjalankan urusan mengutip hasil pajak, kutipan ripai dan urusan-urusan yang berhubung dengan kerajaan Siam termasuk menguruskan persembahan ufti bunga emas dan perak kepada Raja Siam.

Meskipun baginda mempunyai beberapa orang isteri termasuk permaisuri baginda Sharifah Seha binti Syed Muhammad al Hadad, baginda dikurniakan hanya seorang putera iaitu Syed Alwi Jamalullail dan seorang puteri yang bernama Sharifah Tam. Akan tetapi putera tunggal baginda Syed Alwi Jamalullail itu tenggelam di laut dan

mangkat berdekatan Kuala Kedah pada tahun 1873. Hal ini menimbulkan masalah baginda untuk mencari waris memerintah Negeri Perlis.

Ketika itu juga adinda baginda yang bernama Syed Alwi juga dikenali dengan panggilan Tuan Cik Endut yang berlainan bonda, berminat untuk menjadi raja dan mewarisi takhta Kerajaan Negeri Perlis. Adinda baginda itu pula lebih berdarah raja dan begitu dekat pertalian darah dengan kerabat Diraja Kedah.

Untuk mengatasi hal tersebut baginda mendidik cucunda baginda Syed Saffi, anak Wan Tam bin Dato' Wan Ismail yang berkahwin den­gan Syed Muhammad Al-Jefri (Bendahari Ke­rajaan Kedah, adikWan MatSaman, Perdana Men­teri Kedah). Baginda meminta Kun Phra' Mo (Pesuruhjaya negeri-negeri naungan Siam dipantai barat Semenanjung Tanah Melayu) membawa Syed Saffi ke Bangkok untuk bersekolah dan ditabalkan menjadi bakal Raja Negeri Perlis.

Selama berada di Bangkok, Syed Saffi tinggal dalam istana Bangkok sebagai anak angkat Ka­lahum dan ditabalkan menjadi bakal Raja Perlis dengan gelaran Phra' Suntun. Syed Saffi juga be­lajar di sebuah sekolah bersama anak-anak pem­besar negeri Siam. Baginda mampu bertutur, me­nulis dan membaca bahasa Siam dengan baik.

Kalahum (pembesar istana Raja Siam) mengajar tentang pentadbiran negeri. Syed Saffi dikahwinkan dengan Michu, anak keluarga Kalahum, setelah memeluk agama Islam diberi nama Wan Saadiah. Perkahwinan itu memper­eratkan lagi perhubungan Perlis dengan Siam.

Syed Alwi juga dikenali dengan panggilan Tuan Cik Endut yang berlainan bonda, berminat untuk menjadi raja dan mewarisi takhta Kerajaan Negeri Perlis. Adinda baginda itu pula lebih berdarah raja dan begitu dekat pertalian darah dengan kerabat Diraja Kedah.

Setelah kira-kira sepuluh tahun Syed Saffi berada di Bangkok, apabila pulang ke Perlis baginda telah membantu pentadbiran nenenda baginda di samping Datuk Wan Din dan pembesar-pembesar negeri yang lain. Dalam tahun 1888 baginda telah berusaha mendirikan sebuah Sekolah Melayu yang pertama di Arau dan negeri Perlis.

Syed Saffi juga merupakan kekuatan peme­rintahan Tuanku Raja Syed Ahmad dan sebagai galang-ganti negeri Perlis daripada jatuh semula he tangan Kedah apabila negeri Kubang Pasu diperintah oleh Raja dan Raja Mudanya tidak sepakat dan sefahaman, setelah Tengku Anum mangkat (Raja negeri Kubang Pasu ) tanpa meninggalkan putera untuk mewarisi kerajaan negeri itu kerana putera tunggalnya Tuanku Mohammad mangkat terlebih dahulu daripada baginda.

Oleh kerana Syed Saffi telah ditabal oleh Raja Siam menjadi bakal Raja Perlis, hal tersebut tidak lagi menjadi kebimbangan baginda. Namun beg­itu, Tuanku Raja Syed Ahmad menghadapi masa­lah lain pula apabila seorang Inggeris yang ber­nama Tuan Dunlop diberi kebenaran membuka lombong arang batu di Bukit Arang, ditentang oleh Tuanku Yaacob (putera Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang memerintah Wilayah Setol).

 

LOMBONG

Bila kerajaan Siam menyiasat, ternyata ka­wasan lombong itu terletak dalam Negeri Perlis. Selesailah masalah tersebut.

Meskipun begitu berlaku pula masalah apa­bila Raja Chulalongkorn memperkenalkan dasar pemusatan kuasa di seluruh negeri Siam ter­masuk menyusun semula wilayah naungannya mengikut sistem `circle' iaitu mempunyai seorang Pesuruhjaya Tinggi tiap-tiap circle.

Mulai tahun1895 Kementerian Dalam Negeri Siam menyatukan pentadbiran negeri-negeri na­ungannya di selatan untuk memperkuatkan kawalan daripada tekanan kuasa Perancis dan Inggeris. Kerajaan Siam telah melantik Sultan Abdul Hamid, Raja Negeri Kedah, menjadi Pe­suruhjaya Tinggi bagi negeri-negeri Kedah, Perlis dan Setol.

Hakikat inilah menyebabkan pen duduk Perlis terkeliru menganggap baginda sebagai Yang Dipertuan bagi negeri Perlis, berpandukan peng­isytiharan Kerajaan Siam seperti berikut: 

 

“Ketiga-tiga negeri ini: Kedah, Perlis dan Setol adalah menikmati hak yang sama dan terdiri di atas tapak yang sama. Sesebuah di antara negeri­-negeri itu tidaklah boleh direndah-rendahkan oleh negeri-negeri yang lain. Dari itu kedudukan dan taraf baginda Sultan Abdul Hamid adalah sebagai Pesuruhjaya Tinggi bagi sebuah ‘mothon’ biasa saja selain daripada kuasa baginda sebagai pemerintah negeri Kedah. Tanggungjawab baginda terhadap negeri-negeri Perlis dan Setol adalah sebenar­-benarnya dari segi pentadbiran sahaja, yang mana tugas dan tanggungjawab ini boleh dilucutkan daripada baginda pada bila-bila masa sahaja sekiranya dikehendaki oleh Raja Siam.”

 

Kerana itu, ternyatalah tanggapan itu adalah salah. Yang Dipertuan Negeri Perlis adalah Raja Chulalongkorn, Sultan Kedah cuma sebagai Pesuruhjaya Tinggi kerajaan Siam.

Pada tahun 1890 Dato' Wan Din bin Dato' Arau meninggal dunia, Raja Syed Ahmad pula semakin uzur dan terlalu gering, pemerintahan negeri diserahkan kepada Raja Muda Tuan Cik Endut. Pemerintahannya tidak memuaskan, kerana itu Raja Syed Ahmad melantik Syed Saffi sebagai Pemangku Raja.

Pada 14 Ramadan 1314 bersamaan bulan Februari 1897, Tuanku Syed Ahmad Jamalullail mangkat di Arau, memerintah negeri Perlis selama 23 tahun. Jenazah Almarhum dikebumikan di Makam Diraja Perlis, di Arau. Raja Chulalongkorn telah menabalkan Syed Saffi menjadi Raja Negeri Perlis yang ketiga menggantikan takhta ayah­anda baginda.

Rujukan:

1.    "Sejarah Perlis", oleh Haji Buyong Adil, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.

2.    "A1=1'arikh Salasilah Negeri Kedah", oleh Muhammad Hassan bin Datuk Kerani Muhammad Arshad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1968.

3.    Kisalah Cikgu Ahmad Ismail "Mengenal Sejarah Negeri Perlis-Indera Kayangan".

4.    Risalah Tuan Haji Hussain Baba bin Mohamad "Sejarah Negeri dan Raja Perlis".

5.    "Kedah-Siam Relations, 1321-1905", oleh Sharom Ahmad, clalamJournal of theSiam Society, Jilid 59, bab I.

6.    "Memorandum by Mr. Strobel Respecting the Province of Setol", Foreign Office Confidential Print

 

SUMBER ARTIKEL 
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 4, 1992