NAMA BANGUNAN DATO’ MAHMUD MAT DIAMBIL SEBAGAI MENGENANG JASA ALLAHYARHAM DATO’ MAHMUD MAT
Oleh : RAMLI ISMAIL
Nama Bangunan Dato’ Mahmud Mat diambil daripada nama Allahyarham Dato’ Mahmud bin Mat, seorang yang begitu berjasa di Negeri Perlis dan mempunyai sejarah tersendiri dalam hidupnya, baik semasa berkhidmat di negeri Perlis mahupun di tempat-tempat lain di negara ini.
Bangunan tersebut yang dibina sekitar tahun 1970an mempunyai dua blok yang masing-masing setinggi tiga tingkat. Blok A menempatkan Pejabat Anggota Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri di tingkat bawah, tingkat satu Pejabat Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pejabat Penasihat Undang-Undang, tingkat dua menempatkan Pejabat Perancang Bandar dan Desa serta Unit Pentadbiran Daerah (UPD) sementara tingkat tiga menempatkan Pejabat JPS bahagian pentadbiran.

Allahyarham Dato’ Mahmud Mat
Nama bangunan tersebut diambil daripada nama Dato’ Mahmud bin Mat sebagai mengenang jasanya semasa berkhidmat di negeri ini. Beliau yang berasal dari Pekan, Pahang ialah datuk saudara kepada Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abd. Razak Hussain, iaitu dua beradik dengan nenek Allahyarham Tun Abdul Razak. Beliau ditugaskan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Bersekutu pada tahun 1935 untuk datang ke Perlis bagi membantu menyelamatkan tanah orang-orang Melayu di negeri ini.
Nama bangunan tersebut diambil daripada nama Dato’ Mahmud bin Mat sebagai mengenang jasanya semasa berkhidmat di negeri ini.
Sebelum datang ke Perlis, beliau menjadi Pegawai Daerah di Grik, Perak. Kedatangannya ke Perlis amat diperlukan kerana pada masa itu, banyak tanah Melayu di negeri ini tergadai kepada seorang ceti yang menjalankan kegiatan mengeluarkan ‘wang bunga’ kepada penduduk tempatan yang kesempitan wang dengan cagaran tanah.
En. Wan Ahmad Bin Che Abdullah
Dikatakan pada masa itu, hampir separuh daripada tanah orang Melayu di negeri ini ‘jatuh’ ke tangan ceti tersebut apabila mereka tidak mampu membayar balik pinjaman pada tempoh masa yang ditetapkan.
Ekoran suasana yang kurang menyenangkan itulah, Dato’ Mahmud Mat telah dihantar oleh Kerajaan Negeri-negeri Bersekutu pada masa itu untuk membantu Perlis mengatasi masalah yang sedang berlaku.
Tugas yang diberikan kepada beliau semasa berada di Perlis ialah sebagai Pesuruhjaya Tanah dan Galian di negeri ini. Beliau telah ‘membuat’ Undang-Undang Tanah Simpanan Melayu Negeri Perlis Tahun 1356 Hijrah. Antara lain undang-undang tersebut mensyaratkan sebarang tanah milik orang-orang Melayu dan keturunan Siam tidak boleh dijual kepada orang lain bukan Melayu dan Siam. Bagaimanapun orang-orang Melayu dan Siam boleh membeli tanah daripada bukan Melayu dan bukan Siam.

Ini adalah Blok A Bangunan Dato’ Mahmud Mat
Sejak daripada itu terselamatlah tanah-tanah milik orang Melayu di negeri ini daripada berpindah ke tangan ceti. Semasa di Perlis juga, Dato’ Mahmud yang berkelulusan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak ditugaskan oleh Penasihat British di Perlis ketika itu, C.R. Howitt menjadi penulis surat-surat rasmi untuk dihantar kepada Gavernor Inggeris di Singapura. Beliau berada di Negeri Perlis hingga tahun 1938. Dari Perlis beliau dilantik menjadi Pegawai Daerah Tapah, Perak dan kemudiannya memegang jawatan-jawatan lain yang lebih penting.
Ini adalah Blok B Bangunan Dato’ Mahmud Mat
Di antara jawatan lain yang dipegangnya termasuk Menteri Besar Negeri Pahang pada tahun 1948 hingga 1951. Pada tahun 1951, beliau dilantik pula menjadi Ahli Tanah Lombong dan Perhubungan Persekutuan. Tahun 1953 beliau pergi ke London untuk berkursus menjadi Speaker Majlis Perundangan Persekutuan. Semasa berada di London, beliau telah dianugerahkan Bintang Knight Hood of British Empire oleh Ratu Elizabeth yang membawa gelaran Sir (sama seperti gelaran Tun di Malaysia).
Allahyarham Dato’ Mahmud Mat (tengah), kiri ialah En. Wan Ahmad Che Abdullah
Beliau menjalani kursus tersebut selama enam bulan, kemudian pulang ke tanah air dan menjadi rakyat negara yang pertama sebagai Speaker Federal Legislative Council atau Majlis Perundangan Persekutuan hingga Negara mencapai kemerdekaan tahun 1957.
Papan tanda bangunan Dato’ Mahmud Mat yang terletak di antara Blok A dengan Blok B
Mengenang kepada jasa-jasa yang pernah dicurahkannya semasa di Perlis, pada tahun 1967 beliau dianugerahkan Bintang Dato’ Paduka Mahkota Perlis (DPMP) oleh Raja Perlis, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang membawa gelaran Dato’. Beliau meninggal dunia di Kuantan, Pahang pada 1971.
Rujukan
Encik Wan Ahmad bin Che Abdullah
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.XVII, 2005
