Accessibility Tools

KOLAM DI JALAN KOLAM BANYAK BERJASA KEPADA PENDUDUK TEMPATAN

KOLAM DI JALAN KOLAM BANYAK BERJASA KEPADA PENDUDUK TEMPATAN

Oleh : RAMLI ISMAIL

Kolam di Jalan Kolam, Kangar banyak berjasa kepada penduduk tempatan. Kolam tersebut terletak di perkarangan Kompleks Warisan Negeri dan Muzium Negeri sekarang. Walaupun saiznya hanya seperti perigi biasa, tetapi airnya dikatakan tidak pernah kering termasuk pada musim kemarau teruk melanda Perlis.

        Pada asalnya ia adalah sebuah perigi yang dibina semasa pemerintahan British dahulu lagi. Bangunan Muzium Negeri sekarang merupakan Kediaman Rasmi Penasihat British yang kemudian menjadi Kediaman Rasmi Menteri Besar. Bagaimanapun bangunan tersebut telah diubahsuai.

        Menurut tokoh sejarah tempatan, Cikgu Abd. Malek Abd. Ghani, seingat beliau, sekitar awal tahun tiga puluhan, perigi tersebut sudah terdapat di situ.

       Difahamkan peringkat awal ianya digali, perigi tersebut menyediakan bekalan air kepada penghuni di Kediaman Rasmi berkenaan. Air diangkut daripada perigi itu ke Kediaman Rasmi untuk kegunaan memasak, membasuh dan mandi.

 

Inilah bangunan Kediaman Rasmi Penasihat British dan Menteri Besar Perlis yang diubahsuai menjadi Muzium Negeri terletak berhampiran perigi tersebut. 

 

       Apabila bekalan air paip mula diwujudkan di negeri ini, peranan perigi berkenaan sebagai pembekal air kepada Kediaman Rasmi pemerintah negeri terhenti. Namun peranannya kepada masyarakat tetap berterusan kerana peringkat awal air paip hanya dimasukkan ke rumah-rumah orang kenamaan sahaja.

 

Inilah Jalan Tebing Tinggi atau Jalan Syed Safi tetapi lebih dikenali dengan panggilan Jalan Kolam.

 

       Pada masa dahulu terdapat beberapa buah kedai makan bersebelahan perigi tersebut. Orang ramai yang datang membeli makanan di kedai berkenaan pasti membawa bekas untuk mengisi air yang diambil daripada perigi itu.

       Sesuatu yang menghairankan, jika perigi di kawasan persekitaran digali, airnya ada yang masam dan ada yang payau, tetapi air dari perigi tersebut tetap tawar. Jesteru sekiranya musim hujan, penduduk persekitaran mengambil air daripada perigi itu untuk minuman sementara untuk mandi dan membasuh mereka gunakan air di perigi masing-masing walaupun airnya masam atau payau.

       Bagaimanapun jika musim kemarau, kebanyakan perigi kawasan persekitaran kering kontang, orang ramai akan berpusu-pusu datang membawa bekas untuk mengambil air dari perigi di Jalan Kolam tersebut. Kebanyakan mereka datang menggunakan basikal pelantar besar untuk memudahkan mereka membawa bekas air.

Sesuatu yang menghairankan, jika perigi di kawasan persekitaran digali,
airnya ada yang masam dan ada yang payau, tetapi air dari perigi tersebut tetap tawar.

 

Inilah kolam yang banyak memberi khidmat bakti kepada penduduk di kawasan sekitarnya.

 

       Di samping penduduk kawasan berhampiran seperti Kampung Teluk Kachang, Padang Katong dan Pengkalan Asam, terdapat juga penduduk daripada Kampung Jarak, Belanga Pudak, Teluk Jambu, Nesam malah hingga ke Tebing Tinggi, Wang Ulu dan Wang Besar datang mengambil air daripada perigi berkenaan.

       Seringkali mereka berbaris panjang menunggu giliran. Penulis sendiri pernah terlibat mengambil air dengan berbaris di perigi tersebut sekitar awal tahun enam puluhan dahulu.

       Pada mulanya sekeliling kawasan perigi tersebut hanya tanah dan rumput. Kalau musim hujan, ia menjadi becak. Namun selepas itu ia dibina simen di sekelilingnya sementara perigi itu pula dimasukkan kok supaya airnya menjadi lebih bersih.

       Apa yang menjadi nostalgia kepada penulis tentang peranan perigi tersebut bukan sahaja membekalkan air kepada orang ramai, tetapi juga mengajar manusia pada masa itu mendisplinkan diri dengan berbaris untuk menunggu giliran. Mungkin ada juga pasangan yang mendirikan rumah tangga setelah bertemu di tempat mengambil air di perigi tersebut. Ada dikalangan anak gadis yang membawa pakaian untuk membasuh di perigi itu. Pada masa yang sama, datang teruna untuk bertegur sapa dan kemudiannya jatuh cinta hingga membawa ke gerbang perkahwinan.

Kini perigi atau kolam di jalan tersebut hanya tinggal kenangan.
Semasa kawasan itu terbabit dengan perlaksanaan projek Muzium Negeri dan
Kompleks Warisan Negeri, mulut perigi tersebut ditutup untuk keselamatan.

Dengan jasa-jasa yang begitu banyak diberikan oleh perigi tersebut, penduduk tempatan tidak memanggilnya perigi, tetapi memanggil kolam yang bermaksud lebih besar daripada perigi.

            Apabila bekalan air paip semakin banyak dibekalkan kepada penduduk tempatan dan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai bekalan air paip, peranan perigi tersebut sebagai pembekal air sudah terhenti sejak awal tahun tujuh puluhan.

            Bagaimanapun jalan yang melalui kawasan perigi itu dipanggil Jalan Kolam. Walaupun terdapat beberapa panggilan lain pada jalan tersebut seperti Jalan Tebing Tinggi dan Jalan Raja Syed Saffi, namun bagi orang-orang tua lebih mengenalinya dengan panggilan Jalan Kolam.

 

Di tempat inilah terdapat kedai makan tempat orang ramai berehat sambil menunggu giliran untuk mengambil air dari kolam tersebut.

 

       Kini perigi atau kolam di jalan tersebut hanya tinggal kenangan. Semasa kawasan itu terbabit dengan perlaksanaan projek Muzium Negeri dan Kompleks Warisan Negeri, mulut perigi tersebut ditutup untuk keselamatan. Syukur alhamdulillah kerana wajah perigi masih wujud dan tidak ditimbus tanah. Dengan ini dapat juga ia menjadi nostalgia terutama kepada mereka yang pernah terlibat secara langsung dengan perigi berkenaan.

 

RUJUKAN

1.         Cikgu Abd. Malek Abd. Ghani

2.         Hajjah Rahmah Hassan

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.XVII, 2005