SETELAH TIGA DEKAD BERKUBUR
GENDANG PERLIS
DIHIDUPKAN KEMBALI
Oleh : REJAB F.I
Gendang Perlis merupakan kesenian asal yang terdapat di negeri Perlis. Kesenian ini telah luput tiga dekad yang lampau iaitu dalam tahun-tahun enam puluhan, semenjak temasya laga kerbau diharamkan.
Pada tahun-tahun enam puluhan dan sebelumnya, bagi masyarakat di negeri Perlis, terutama di kampung-kampung, termasuk golongan istana; temasya laga kerbau merupakan suatu unsur penghiburan rakyat dan istana, diganding bersama dengan temasya laga ayam atau menyabung ayam.
Ketika pemerintahan Jepun dan dalam masa naungan Siam, temasya laga kerbau atau menyabung ayam adalah bebas; tidak menjadi suatu kesalahan dan diharamkan seperti pada masa kini.
Di mana-mana saja, terutama di kampung-kampung sering diadakan temasya laga kerbau. Ketika temasya itu diadakan, berlakulah unsur-unsur ‘penyabungan’, mengikut besar atau kecil temasya tersebut. Jika orang yang berkemampuan atau berada terutama dari kalangan istana, penyabungan itu bernilai ratusan ringgit (kini bernilai ribuan ringgit). Kerana itu terdapat kalangan yang kalah terpaksa bergadai-golok untuk membayar penyabungannya.
Ketika diadakan temasya laga kerbau itulah wujudnya persembahan Gendang Perlis. Gendang tersebut khusus dimainkan ketika kerbau sedang berlaga. Memandangkan di negeri Perlis menggunakan pukulan gendang ketika temasya laga kerbau diadakan, maka gendang tersebut dinamakan Gendang Perlis.

Dua orang pemukul Gendang Perlis :
Encik Shaari Mohamad (kanan), dan Encik Hamid Mat.
TEMASYA LAGA KERBAU
Temasya Laga Kerbau begitu popular dalam zaman pemerintahan Tuanku Raja Syed Saffi (T.M. 1897 – 1905) dan Tuanku Raja Syed Alwi (T.M. 1805 – 1943).
Temasya tersebut lazimnya diadakan pada peringkat mukim. Terdapat beberapa orang juara laga kerbau yang terkenal seperti Haji Talib di Kampung Santan,Tuk Epok di Kampung Hujung Bukit (Nesam) dan Man Taruk Labu Di Behor Lateh.
Kerbau yang menjadi juara pada tiap-tiap mukim akan bertanding pula di peringkat negeri. Tempat utama temasya laga kerbau itu diadakan ialah di padang berhampiran Masjid Alwi, Kangar. Ketika itu raja dan pembesar-pembesar negeri akan berangkat menyaksikan temasya tersebut. Di mukim pula diadakan di ‘Tandiak’ (rumah rehat raja) terutama sekali di Padang Pauh, dalam Mukim Paya. Setiap tahun temasya hiburan diadakan di situ.
Sekeliling gelanggang kerbau berlaga dibuat pagar yang kukuh daripada kayu dan buluh supaya kerbau-kerbau yang sedang berlaga itu tidak merempuh orang ramai. Tempat pemukul gendang lazimnya dibuat ‘ran’ atau ‘hang’ di atas pokok. Kerana itu terelaklah mereka daripada diserbu oleh kerbau-kerbau yang sedang berlaga.
Kerbau-kerbau yang menjadi juara diberi nama atau gelaran tersendiri seperti ‘Hujan Panas’, ‘Kumbang Sembilu’, ‘Mas Perak’ dan ‘Gunung Runtuh’ (kerbau inilah yang paling handal).
Setiap kerbau yang menjadi juara akan dijampi dan dibubuh bisa dihujung tanduknya. Kerana itu sekali tandukkannya menyebabkan lawannya lari atau jika tertusuk tubuhnya akan rebah di situ juga. Kerbau tersebut akan disembelih, darahnya digunakan untuk ‘jamu’ kepada hantu atau jembalang yang membantu tuannya.

Ilustrasi oleh : Muslim Saadan, PPANPs
PERSEMBAHAN GENDANG PERLIS
Kerbau yang digunakan untuk menjadi juara laga kerbau ini dipilih khas daripada jenis kerbau yang sihat, bersaiz besar dan tanduknya runcing.
Kebetulan sekali, bersempena Perayaan Jubli Emas Tuanku Raja Perlis yang diadakan pada 4 Disember 1995 lalu, Gendang Perlis dihidupkan kembali; dipersembahkan dalam majlis perasmian Muzium Negeri yang diadakan pada 7 Disember 1995.
Usaha menghidupkan kembali Gendang Perlis ini dilakukan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis iaitu Kumpulan Gendang Perlis di Kampung Santan, kira-kira 4 kilometer dari Kangar.
Sepertimana yang disebut terdahulu, kesenian ini sebenarnya merupakan persembahan gendang silat khusus dipersembahkan ketika diadakan ‘Temasya Laga Kerbau’. Ketika kerbau sedang berlaga, Gendang Perlis mengiringi temasya tersebut.
Akan tetapi, kini Gendang Perlis dipersembahkan kembali di rumah-rumah kenduri perkahwinan. Lazimnya diganding bersama dengan ‘Silat Pulut’ iaitu para pesilat bersilat dengan cara berjenaka; bukan lagi untuk laga kerbau.
ALATAN
Kelainan Gendang Perlis jika dibandingkan dengan gendang silat biasa ialah tidak menggunakan tiupan serunai. Pemukul gendang menggunakan kayu, bentuknya melengkung. Gendangnya pula lebih kecil daripada gendang silat iaitu:-
Gendang Ibu Panjang 54 sm Lilitan 70sm
Gendang Penganak Panjang 50sm Lilitan 60 sm
Gendang tersebut biasanya diperbuat daripada kayu nangka atau cempedak, sementara kulitnya menggunakan belulang lembu. Pemukulnya diperbuat daripada daripada kayu kemuning atau limau hantu.
Kumpulan Gendang Perlis yang baru diwujudkan ini dipimpin oleh Haji Kassim bin Noh, dari Kumpulan Silat Seri Indera, Kampung Santan, Perlis. Dua orang pemukul gendang terdiri daripada Encik Hamid bin Mat, 51 tahun (Pengibu) dan Encik Shaari bin Mohamad, 70 tahun (Penganak).
Menurut Encik Hamid, beliau mula belajar memukul gendang tersebut ketika berusia 12 tahun; dipelajari daripada gurunya Lebai Jasin.
IRAMA GENDANG PERLIS
Irama atau rentak Gendang Perlis ini dinamakan :
Gerum panjang Bunyi pukulan derumnya lama.
Sesat Pukulannya pendek untuk mencari anak (tingkah).
Sumbang Pukulan di kedua-dua belah gendang.
Maduk Pukulannya berselang-seli.
Dahulu ketika dijemput mempersembahkan Gendang Perlis ini, mereka cuma dihadiahkan bunga telur atau sepinggan ‘pulut sibar’. Kini bayaran yang diberikan berupa wang atau cenderahati.
Pakaian yang dipakai biasanya pakaian Melayu, bersongkok atau bertengkolok, terutama sekali para pesilat yang mempersembahkan silat di rumah-rumah kenduri perkahwinan.
Jika dipersembahkan dalam temasya laga kerbau, ahli-ahli pemain Gendang Perlis ini akan berasa bimbang dan takut melihat kehebatan kerbau berlaga. Kerana itu, untuk menghilangkan darah gemuruh, mereka menggunakan jampi yang berbunyi :-
Hei darah gemuruh, darah kelipan,
Darah setitik dalam junjung,
Jangan kau ke sana ke mari,
Tetap kau di istana yang lama,
Berkat doa lailahaillallah……….
Dijampi pada ‘sepiak’ pinang. Pinang itu dimakan, barulah dimulakan persembahan Gendang Perlis.
PENUTUP
Kita harap Gendang Perlis akan kembali berkembang menggandingi kesenian-kesenian lain yang sedia ada di negeri Perlis seperti Canggung, Hadrah, Gendang Terinai, Alu Bunyi, Beduan dan Berendoi.
RUJUKAN
‘Sejarah Perlis’ Haji Buyong Adil, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.
Haji Kassim Mohd. Noh, (74 Tahun), Kampung Santan, Perlis.
Encik Hamid Mat (51 Tahun), Kampung Tambun Tulang.
Encik Shaari Mohamad (70 Tahun), Kampung Bongkok, Perlis.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8, 1996
