Accessibility Tools

RUMAH TRADISIONAL MELAYU PERLIS

RUMAH TRADISIONAL MELAYU PERLIS

Oleh : WAN NAN WAN MAHMUD – (FAWANA)

Pada keluaran bilangan 6 yang lalu dikemukakan bentuk ‘Rumah Bumbung Panjang’ sebagai membicarakan Rumah Tradisional Melayu Perlis. Dalam keluaran ini akan dikemukakan pula satu lagi ciri rumah tradisional orang Melayu di negeri ini yang rata-rata masih wujud. Mungkin suatu masa nanti rumah jenis ini juga akan terhakis ditelan perubahan-perubahan zaman yang mungkin akan diganti dengan rumah-rumah berbentuk moden yang beraneka rupa mengikut selera dan kemampuan.

 

RUMAH BUMBUNG PERAK

 

Untuk membuat keputusan apakah sebutan ‘Bumbung Perak’ itu ambilan dari Negeri Perak, tidaklah dapat ditentukan dengan tepat dan terperinci. Tetapi banyak pendapat yang bersetuju dengan ambilan itu. Alasan ini dapat diperkukuhkan oleh kerana sebelum wujudnya ‘Rumah Panjang Perak’ di Negeri Perlis ini iaitu pada penghujung tahun 30-an, sememangnya sudah ada dua jenis bentuk rumah tradisional orang Melayu di negeri ini iaitu ‘Rumah Bumbung Panjang’ seperti yang dikemukakan terdahulu dan ‘Rumah Bujang’ (akan dikemukakan kemudian Insya-Allah).

Untuk menguatkan hujah tentang ambilan sebutan ini ialah dengan melihat bentuk rumah-rumah moden sekarang seperti rumah-rumah berkonkrit dan banglo. Rata-rata adalah ambilan daripada bentuk rumah negara jiran (Thailand) dan juga ala barat yang diubahsuai. Maka atas hujah ini, besar kemungkinan bahawa ‘Rumah Bumbung Perak’ adalah ambilan dari Negeri Perak yang berkemungkinan juga bentuk rumah demikian wujudnya lebih awal di Negeri Perak.

 

RUMAH IBU

Rumah ibu kebanyakan dibangunkan dalam tiga ruang persegi (panjang sebanyak tiga ruang dan lebar juga tiga ruang) berukuran 6 – 8 kaki. Namun demikian, ada juga yang dibangunkan dalam 3 x2 ruang (tiga ruang panjang dan dua ruang bahagian lebar).

 

Bentuk Bumbung

Bentuk bumbungnya ialah pada dua ruang belakang. Bumbungnya dibangunkan secara melintang, manakala pada ruang hadapan yang dipanggil ‘anjung’ dibangunkan bumbung-bumbung kecil (mengikut jumlah yang ada – lihat gambar) dua atau tiga di antara penyambung setiap bumbung tersebut dipasang pancur untuk mengalirkan air hujan.

 

Ketinggian

Bolehlah dianggap ‘Rumah Bumbung Perak’ ini sebagai rumah yang agak lebih moden. Kebanyakan tiang empat segi yang diperbuat daripada kayu keras seperti Temak, Tampang, Cengal atau Merbau berukuran 4 x 4 inci atau 5 x 5 inci. Bahagian kaki tiang diletakkan pelapik (pengalas tiang) yang diperbuat daripada simen. Saiz ketinggiannya terpulang kepada pilihan pemilik rumah itu sendiri.

Ketinggian ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian bawah rumah setinggi antara 5 – 6 kaki, biasanya dibiarkan kosong sahaja. Sebahagian lagi ialah bahagian atas rumah berukuran antara 7 – 8 kaki dari lantai.

 

Lantai dan Dinding

Papan nipis yang disusun rapat dan terpaku kuat digunakan sebagai lantai. Manakala dinding pula pada peringkat awalnya dibuat daripada bilah buluh yang dianyam berkelarai (berbunga). Apabila papan dan kayu menjadi kemudahan asas, kebanyakan dinding rumah jenis ini menggunakan papan sepenuhnya, termasuk juga tingkap, pintu, papan sisik dan sebagainya.

 

RUMAH DAPUR

Bagi melengkapkan ia menjadi sebuah rumah yang sempurna, dibangunkan sebuah lagi bangunan tambahan (satu atau dua ruang) di belakang rumah ibu yang berukuran ruangnya sama seperti rumah ibu juga. Bumbungnya melintang dan selari dengan bumbung rumah ibu tadi. Juga dipasang pancur bagi memudahkan pengaliran air hujan pada penyambung antara bumbung rumah ibu dengan rumah dapur.

Bahan-bahan yang digunakan adalah sama seperti bahan rumah ibu juga. Bendul adalah kayu persempadanan antara rumah ibu dengan rumah dapur.

 
 
ATAP

Pada peringkat awal, daun rumbia digunakan sebagai atap. Setelah zink dan asbestos menjadi salah satu bahan utama untuk digunakan, maka zink dan asbestos dijadikan atap menggantikan daun rumbia. Ianya lebih ekonomi, kemas dan bersih.

 

RUMAH TANGGA

Pemilihan bangunan rumah tangga terpulang kepada pilihan pemilik rumah menentukannya. Tidak ada ketetapan khas dalam membangunkan rumah tangga ini. Ianya boleh didirikan setentang dengan ruang pertama (ruang anjung) atau ruang yang kedua (lihat gambar). Rumah tangga biasanya dibangunkan lebih rendah, berbumbung, berlantai dan berdinding separas pinggang. Digunakan sebagai tempat berehat dan berbual-bual.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8, 1996