Accessibility Tools

PERSIARAN JUBLI EMAS PERLIS

Oleh: Omar Yaacob

Penghuni-penghuni di kawasan Bandar Kangar yang berusia lebih 60 tahun berpendapat tapak awal Pusat Bandar Kangar terletaknya dari bangunan Hotel Ban Chong (Berhadapan Lorong Wan Abdullah) hinggalah ke tebing Sungai Perlis, kini tapak lampu isyarat ke Pengkalan Asam/Behor Temak. Jalan raya ini Jalan Besar Kangar (Main Road Kangar) kini menjadi sebahagian daripada Persiaran Jubli Emas dinamakan sempena Hari Perayaan Jubli Emas pemerintahan Tuanku Raja Perlis, Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (tahun 1995). Laluan ini adalah yang paling sibuk di Bandar Kangar pada hari-hari bekerja.

Di sebelah kiri jalan utama ini dahulunya terdapat Pejabat Penerangan dan Pasar Kangar. Kedua-dua bangunan ini telah dirobohkan dan didirikan bangunan dua tingkat yang kini menjadi premis Majlis Perbandaran Kangar. Pasar Kangar berpindah ke Seberang Sungai Perlis bersebelahan jalan besar ini. Pasar ini pula dirobohkan pada bulan Ogos 2010 dan operasinya berpindah ke Pasar Besar Sena di Jalan Padang Behor.

Di sebelah kanan jalan raya ini terdapat bangunan Balai Polis (kini Polis Cawangan Trafik), Bazar Melayu (kini masih wujud tetapi keadaannya agak uzur dan tidak menarik), pejabat-pejabat kerajaan termasuk Mahkamah, Bangunan Setiausaha Kerajaan (Pejabat Jam Besar) dan sederet kedai-kedai baru berusia kurang 8 tahun. Sejarah mencatatkan bahawa bangunan bandar Polis ini merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis pada tahun 1930-an.

Ke kanan lagi terdapat Kompleks Hospital Besar Kangar yang masih wujud dengan banyak tambahan blok baru. Kini kompleks ini dikenali sebagai Hospital Tuanku Fauziah.

Arah ke selatan terdapat 10 deret kedai kayu yang dirobohkan sebelum tahun 2000 untuk memberikan ruang pembinaan Perlis Waterfront (gambar 3 dan 4). Kompleks di tepi Sungai Perlis ini baru disiapkan dengan terbinanya beberapa kedai makanan yang selesa dan menarik. Ia menjadikan satu mercu tanda yang terbaru di Bandar Kangar.

Pawagam Empire dan Perubahan Kawasan Sekitarnya

Bersebelahan tapak ini dahulunya wujud pawagam Empire milik Shaw Brothers. Sebelum tahun 1960-an, Pawagam Empire ini adalah satu-satunya pusat hiburan rakyat di Perlis di mana berbagai filem Melayu, Inggeris, Cina, Hindi dan Tamil ditayangkan. Tiga kali tayangan diadakan setiap hari iaitu pada jam 3.00 petang, 7.00 malam dan 9.30 malam.

Selepas tahun enam puluhan Pawagam Empire mendapat saingan daripada dua buah lagi pawagam di Bandar Kangar iaitu Pawagam Kapitol di Jalan Penjara dan Pawagam Mahkota di Jalan Jubli Perak. Kini semua pawagam ini telah ditutup selaras dengan perkembangan dunia hiburan di mana-mana pun yang menyaksikan televisyen dan alat-alat hiburan yang lebih canggih memainkan peranan utama.

Di atas tapak Pawagam Empire kini didirikan bangunan kedai-kedai yang belum lagi beroperasi. Di sebelahnya terdapat bangunan lama satu tingkat iaitu Pejabat Persatuan India Perlis (MIC Perlis). Dihadapan lagi ialah bangunan Perodua Laytak yang dahulunya tapak stesen minyak BP. Mulanya pula ialah tapak bangunan kayu milik Kaum Ibu UMNO Perlis. Pada tarikh kemerdekaan (31 Ogos 1957) bangunan ini menjadi Ibu Pejabat UMNO Negeri Perlis.

Jalan Home Guard dan Kawasan Sekitarnya

Sebelum tahun 1960-an, jalan utama Persiaran Jubli Emas ini berakhir dekat tebing Sungai Perlis (arah ke Pengkalan Asam/Behor Temak). Ada jalan tanpa bertar arah ke kanan, menjadikan sebahagian Jalan Home Guard berdekatan Dataran Dato’ Sheikh Ahmad. Nama Jalan Home Guard di situ yang sudah lama dirobohkan sebelum nama Jalan Home Guard jalan yang tanpa tar ini dinamakan Jalan Gudang.

Dipercayai pada zaman penjajahan dahulu terdapat satu stor atau gudang getah yang telah terbakar.

Peranan Persiaran Jubli Emas Sebagai Laluan Utama

Jelaslah bahagian Pusat Bandar Kangar yang dilalui oleh Persiaran Jubli Emas menjadi kawasan utama dan sibuk di Bandar Kangar. Jalan-jalan raya yang lain yang bersebelahan Persiaran ini turut menerima bilangan kenderaan dan orang ramai yang bertambah.

Justeru pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) terus menerus memainkan peranan membaik pulih infrastruktur seperti tempat rekreasi, jalan raya dan bangunan agar perkembangannya selaras dengan kawasan sekitar dan memenuhi keperluan penghuninya yang semakin ramai. Lebih-lebih lagi Kangar kini merupakan Bandar tumpuan di Utara Semenanjung yang kawasan sekitarnya menyediakan kemudahan menyambung pendidikan tinggi, ke pusat-pusat pengajian tinggi di sini (UiTM, UNIMAP, INSTP, Institut Perguruan dan berbagai lagi) di samping bandar persinggahan bagi pelancong yang ingin ke Langkawi atau Thailand.

MPK dari masa ke semasa mengemukakan draf struktur pembangunan Bandar ini dan sedia menerima pandangan dan teguran orang ramai demi membaiki apa yang terkurang daripada perkhidmatan yang disediakan. Pihak penghuni Bandar Kangar tentunya akan terus mengharapkan banyak kemudahan seperti dinikmati oleh bandar-bandar lain yang bertaraf ibu negeri.

Rujukan

  1. Ramli Ismail. Warisan Indera Kayangan: di sini bermulanya bandar Kangar. Bil. 9. Perlis: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, 1997.
  2. Shukor Mat. Warisan Indera Kayangan: 350 tahun wujud bandar Kangar bersempena Tahun Melawat Perlis 2003-2005. Bil. 14. Perlis: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, 2002.
  3. Draf rancangan struktur Majlis Perbandaran Kangar, 1985-2005, Edisi 1989. Majlis Perbandaran Kangar.
  4. Abd. Aziz Ahmad. Temu bual oleh Ramli Ismail. Kangar: Toko Buku Indera Store. [n.d.].
  5. Yusof Ibrahim. Temu bual oleh Ramli Ismail. Kangar: [s.n.], [n.d.].
  6. Mokhtar A.K. Temu bual oleh Ramli Ismail. Kangar: [s.n.], [n.d.]

 

Sumber Artikel 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.22 2010