Oleh: Ramli Ismail
Kerbau adalah sejenis haiwan ternakan yang popular di Perlis suatu ketika dahulu. Pada masa dahulu memang banyak terdapat kerbau diternak di kampung-kampung. Malah sekitar tahun lima puluhan dan enam puluhan, kerbau dilepas bebas di kampung-kampung khususnya selepas musim penuaian padi.
Penduduk Perlis di kampung-kampung begitu gemar menternak kerbau kerana ianya mempunyai pelbagai kegunaan. Selain dagingnya untuk dimakan, yang seringkali disembelih untuk kenduri perkahwinan atau seumpamanya, kerbau juga digunakan untuk membantu kerja-kerja di sawah.
Para petani menggunakan kerbau untuk menarik alat pembajak yang dipanggil ‘tenggala’. Petani-petani lebih gemar menggunakan kerbau untuk bekerja di sawah kerana kerbau mempunyai kekuatan lebih berbanding lembu. Bagi menarik tenggala, para petani hanya memerlukan seekor kerbau sahaja, sedangkan jika menggunakan lembu, memerlukan dua ekor.
Selepas tanah sawah dibajak, untuk meratakan tanah tersebut, petani-petani menggunakan sejenis alat lain yang dipanggil ‘penyisir’. Penyisir digunakan untuk meratakan kerbau untuk ditarik dan meratakan tanah berkenaan bagi membolehkan sawah terbabit ditanam dengan seberapa baik.
Paling istimewa apabila kerbau-kerbau berkenaan memahami bahasa arahannya dikeluarkan oleh tuannya semasa menjalankan kerja-kerja di sawah. Di antara bahasa tersebut ialah ‘cah’, arahan berjalan ke hadapan, ‘sah’, arahan berhenti, ‘muah’ arahan berputar dan ‘kiri’ arahan belok kiri, dan ‘kanan’ arahan belok ke kanan. Bahasa kerbau berbeza daripada bahasa lembu.
Apabila padi ditanam, pokok-pokok padi berkenaan berubah dan masak. Para petani terlibat melakukan pula kerja-kerja penuaian. Buah padi yang dituai, diisi ke dalam karung atau guni untuk dibawa pulang ke rumah dan disimpan di dalam jelapang atau kerubung.
Bagi membawa karung-karung atau guni-guni padi tersebut, para petani juga memerlukan pengangkutan. Tetapi pada masa dahulu tidak ada motosikal ataupun lori untuk mengangkut padi-padi tersebut. Justeru mereka mencipta sejenis peralatan yang dipanggil ‘andong’ diperbuat daripada kayu, tanpa roda untuk mengangkut padi. Andong juga perlu ditarik untuk menggerakkannya. Justeru, sekali lagi tenaga kerbau digunakan.
Begitulah besarnya peranan kerbau kepada petani-petani di Perlis suatu masa dahulu. Bermula dari kerja-kerja menyediakan tapak semaian, hinggalah kepada kerja-kerja penyediaan tapak untuk ditanam padi, dan seterusnya untuk mengangkut padi dari sawah ke rumah, semuanya perlu menggunakan alat pengangkutan yang ditarik oleh kerbau.
Sementara itu kerbau juga digunakan oleh masyarakat Melayu Perlis untuk menarik alat memerah air tebu. Alat berkenaan juga diputar daripada kayu yang boleh dipusing sambil mengapit batang tebu. Disebabkan agak berat untuk menarik alat berkenaan, maka sekali lagi tenaga kerbau diperlukan.
Kerbau ditambat pada masa pokok padi mula ditanam sehingga buah padi dituai. Ini bertujuan untuk mengelak kerbau-kerbau berkeliaran turun ke dalam sawah dan memakan pokok-pokok padi tersebut.
Bagaimanapun apabila lepas musim penuaian padi, kerbau-kerbau pun dilepas di kampung-kampung dan dibebas lepas. Salah satu sebab kerbau-kerbau dilepaskan adalah untuk membolehkan kerbau-kerbau jantan bergaul dengan kerbau-kerbau betina bagi menggalakkan pembiakan kerbau.
Seringkali kerbau-kerbau yang dilepas bebas tersebut akan berjumpa antara satu sama lain. Bagi memudahkan kerbau-kerbau itu dikenali oleh para pemiliknya, kebanyakan pemilik kerbau menggunakan sejenis alat yang mengeluarkan bunyi pada leher kerbau mereka. Alat tersebut dipanggil ‘kelentung’ dengan mengeluarkan bunyi berbeza. Ia diperbuat daripada kayu. Pemilik lebih mudah mengenali kerbau mereka melalui bunyi kelentung tersebut.
Selain menggunakan tenaga kerbau untuk bekerja di sawah, masyarakat zaman dahulu juga menggunakan kerbau untuk bertenaga. Temasya paling meriah ketika itu ialah temasya laga kerbau. Temasya laga kerbau paling ketara di Perlis sekitar tahun tiga puluhan dan empat puluhan.
Salah satu tempat yang popular sebagai gelanggang laga kerbau pada masa itu ialah di tapak Sekolah Agama Perempuan Kangar, Persiaran Jubli Emas, berhampiran Masjid Alwi sekarang. Di situ dibina pagar untuk gelanggang laga kerbau dan sekelilingnya dipina ‘hang’ yang sama ada di atas pokok atau bertiang bagi menjaga keselamatan penonton serta menyaksikan temasya laga kerbau. Di samping seronok melihat kerbau berlaga, ada juga yang berjudi ketika itu tidak menjadi kesalahan sebagaimana undang-undang sekarang.
Pada musim padi dituai, kebanyakan penduduk Perlis mengadakan majlis kenduri perkahwinan atau kenduri berhajatan. Ketika itu banyak kerbau disembelih untuk dimakan dagingnya sebagai lauk hidangan di majlis kenduri tersebut. Kerbau mempunyai dua jenis, iaitu kerbau biasa warna kulitnya hitam dan kerbau balar yang kulitnya berwarna putih kemerahan.
Rasa daging kerbau biasa dan kerbau balar juga dikatakan tidak sama. Daging kerbau biasa dikatakan lebih keras berbanding kerbau balar yang dagingnya lebih lembut.
Bagaimanapun kerbau balar memang sukar diperolehi. Kini semua jenis kerbau memang sukar diperolehi di Perlis. Jika ditanya anak-anak muda sekarang, kebanyakannya mereka menjawab tidak tahu kerana tidak pernah melihat kerbau sebenar, selain daripada melihat gambar-gambar kerbau dalam buku atau seumpamanya.
Penduduk Perlis kini tidak lagi gemar menternak kerbau kerana kawasan ragut semakin berkurangan. Untuk lepas bebas kerbau seperti masa lalu semakin sukar kerana kebanyakan sawah padi ditanam dua kali setahun, tidak ada masa dan ruang sawah menjadi kosong untuk tempat kerbau bergerak secara berkumpulan dalam sawah, sambil memakan rumput.
Lagipun tenaga kerbau sudah tidak diperlukan lagi untuk menarik tenggala atau penyisir ataupun andok. Para petani masa kini menggunakan jentera pembajak untuk membajak sawah mereka sementara bagi mengangkut guni-guni padi pula menggunakan lori.
Justeru kerbau di Perlis sekarang semakin pupus, dan tidak mustahil satu masa nanti anak-anak generasi akan datang di Perlis hanya mengetahui nama sahaja ada kerbau pernah diternak di negeri ini, tetapi mereka tidak mengenalinya, sama seperti mereka tidak dapat melihat gajah yang pernah menjadi haiwan kenderaan di Perlis suatu ketika dahulu.
Sumber Artikel
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil. 21 2009

