Accessibility Tools

SEJARAH AWAL ZAKAT DAN FITRAH DI PERLIS

Oleh: Shukor bin Mat

Sekiranya kita berada di Kangar berhampiran dengan Bank Rakyat, akan ternampak sebuah bangunan kayu kecil bersebelahannya yang berhampiran dengan lampu isyarat. Bangunan ini asalnya Pejabat Pentadbiran Zakat dan Fitrah Perlis yang telah dibina pada tahun 1371 H bersamaan tahun 1951 M iaitu usianya hampir enam puluh tahun. Kini bangunan tersebut telah dijadikan Pusat Kursus Dakwah oleh Jabatan Agama Islam Perlis.

Mengikut catatan Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim (Bekas Menteri Besar Perlis), beliau telah mendapat idea baru mengenai cara untuk memanfaatkan wang zakat dan fitrah selepas selesai kerja pembinaan Masjid Alwi Kangar. Tegasnya beliau terfikirkan bahawa ada baiknya wang zakat fitrah yang dikeluarkan oleh orang-orang Perlis kepada Tok-tok Lebai, Tok-tok Haji dan guru-guru agama di kampung-kampung yang hilang lesap tanpa kesannya itu diambil alih oleh kerajaan untuk kebajikan umat Islam di Perlis. Pada pandangan beliau wang ringgit dan harta benda boleh dikumpulkan dengan banyak sekiranya zakat padi dikutip bersama-sama dengan beras fitrah, harta perniagaan dan binatang ternakan. Buah fikiran ini telah dimaklumkan oleh Tan Sri Sheikh Ahmad kepada Tuan Syed Hamzah dan Tuan Haji Ahmad Hakim yang menjadi orang-orang yang sangat rapat dengan Raja Syed Alwi iaitu Raja Perlis pada masa itu. Berikutnya Tuan Syed Hamzah, Tuan Haji Ahmad Hakim, Tan Sri Sheikh Ahmad dan Dato’ Wan Ahmad Wan Daud telah mengadap Raja Syed Alwi. Raja Syed Alwi telah bersetuju dengan cadangan Tan Sri Sheikh Ahmad supaya kerajaan mengutip zakat dan fitrah dalam negeri Perlis dengan membuat peraturan-peraturannya (undang-undang).

Pada 20hb. Rejab 1351H (1932M) Raja Syed Alwi Jamalullail telah mengisytiharkan kutipan zakat di seluruh Perlis. Oleh itu Perlis State Council mengeluarkan satu peraturan yang dinamakan Peraturan Zakat dan Fitrah. Melalui kuatkuasa undang-undang tersebut maka kutipan zakat padi pun dijalankan di seluruh Perlis. Pengurusan kutipan zakat tersebut diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Perusahaan, dilantik oleh Raja Syed Alwi sendiri iaitu:

  1. Tuan Syed Hamzah Syed Saffi Jamalullail
  2. Tuan Syed Hussin
  3. Tuan Hj. Mohd. Noor Hj. Mohd. Kadzi
  4. Tuan Sheikh Ahmad Mohd. Hashim
  5. Che Mat Hj. Kassim
  6. Wan Ahmad Wan Daud
  7. Tuan Hj. Ahmad b. Hj. Mohd Kadzi
  8. Tuan Syed Idrus Syed Alwi Jamalullail
  9. Tuan Syed Hassan Syed Mahmud Jamalullail
  10. Cik Abdullah b. Ahmad
  11. Tuan Hj. Ismail (Dato’ Setia Bakti)

Dalam tahun pertama penubuhannya, jawatankuasa ini telah mengadakan dua kali Perjumpaan Agung bersama-sama dengan Penghulu-penghulu Mukim, Imam-imam dan Orang-orang sepuluh masjid seluruh Perlis. Hanya kutipan zakat padi sahaja dimulakan selepas diluluskan peraturan kutipannya, manakala kutipan fitrah dimulakan kemudian iaitu pada tahun kedua setelah dibenarkan oleh Jawatankuasa Perusahaan.

Setelah mencapai usia tiga tahun kerja kutipan zakat dan fitrah dilaksanakan, Jawatankuasa Perusahaan telah bersetuju membina sebuah sekolah Arab. Pada mulanya penubuhan sekolah tersebut dibuat dengan menyewa sebuah rumah di Jalan Pauh (Jalan Syed Hussin), Arau yang kemudiannya menjadi Sekolah Arab terbesar di Perlis dikenali dengan nama Al-Madrasah Al-Alawiyah Al-Diniah Arau. Sebuah Sekolah Arab Bahagian Perempuan telah juga dibina dan ditempatkan di Kangar. Kedua-dua sekolah Arab tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Pejabat Zakat dan Fitrah Perlis.

Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis telah banyak mendirikan Sekolah-sekolah Arab di lain-lain tempat seperti Simpang Empat Kayang, Batu Lima Jalan Kuala Perlis, di Pekan Paya, di Padang Pauh dan Gurin, Arau. Selain daripada Sekolah-sekolah Arab, Pejabat Zakat dan Fitrah juga telah mendirikan Taman Kanak-kanak di Jejawi Perlis. Akhirnya kerana masalah kewangan semua sekolah dan taman kanak-kanak tersebut telah ditutup. Murid-murid Sekolah Arab telah dipindahkan ke Madrasah Al-Alawiyah Al-Diniah Arau dan ke madrasah bahagian perempuan di Kangar.

Selepas dua puluh tujuh tahun pelaksanaan kutipan zakat dan fitrah oleh kerajaan Perlis, didapati banyak masjid-masjid telah dibina iaitu selain daripada Masjid Alwi di Kangar, ialah masjid batu di Jejawi dan Repoh. Pejabat Zakat dan Fitrah telah memberikan elaun tahunan kepada 341 orang pegawai masjid dan elaun tiap-tiap tiga bulan sekali kepada 28 orang penjaga-penjaga masjid.

Bagi melatih guru-guru agama dan bahasa Arab dan juga pegawai-pegawai agama, Pejabat Zakat dan Fitrah telah menghantar 9 orang pelajar untuk belajar di Mesir, 2 orang ke India dan 2 orang ke Kolej Islam Malaya. Mereka diberikan biasiswa dan bantuan kewangan. Biasiswa juga telah diberikan kepada 7 orang bekas-bekas penuntut Sekolah Didikan Jejawi untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris.

Bantuan untuk golongan fakir miskin diberikan oleh Zakat dan Fitrah Perlis dalam bentuk tahunan dan bulanan. Bantuan tahunan diberikan kepada beribu-ribu orang di setiap kariah masjid, manakala bantuan bulanan diberikan kepada orang-orang susah dan tidak berdaya dan juga bantuan kepada muallaf-muallaf yang baru memulakan kehidupan baru. Bantuan bulanan dan tahunan diberikan kepada guru-guru agama iaitu 9 orang guru agama yang mengajar di Sekolah Rakyat di Perlis diberi elaun bulanan begitu juga dengan 14 orang guru agama yang mengajar di madrasah-madrasah kampung diberi elaun bulanan. Selain daripada itu seramai 50 orang guru-guru agama yang mengajar di seluruh Perlis diberi elaun tahunan.

Mengikut arahan seperti yang telah ditetapkan, Zakat dan Fitrah Perlis telah mengeluarkan perbelanjaan kepada amil-amil zakat, menguruskan pengkebumian orang-orang miskin tidak berwaris terutama sekali yang mati di hospital, membantu musafir yang keputusan wang belanja dan memberikan wang untuk menjaga dan membaiki bangunan-bangunan milik Zakat dan Fitrah seperti pejabat zakat, madrasah, rumah-rumah guru dan gudang-gudang padi zakat.

Ahli-ahli Jawatankuasa Zakat dan Fitrah yang dilantik oleh DYMM Raja Perlis hendaklah beragama Islam dan akan menyandang jawatan itu tidak lebih daripada tiga tahun Hijrah. Tetapi semua Ahli Jawatankuasa boleh dilantik semula menjadi Ahli Jawatankuasa apabila tamat tempoh perkhidmatannya. Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis mengandungi seorang Pengerusi, seorang Setiausaha, seorang Bendahari dan tidak kurang daripada 8 orang Ahli-ahli Jawatankuasa yang lain. Lantikan dibuat mengikut Bab (3) di dalam Undang-undang Zakat dan Fitrah Perlis tahun 1369H (1949M).

Sejak tertubuhnya Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis (Jawatankuasa Perusahaan), ahli-ahlinya sering bertukar ganti dari tahun ke tahun kecuali 3 orang Ahli Jawatankuasa sahaja yang dilantik oleh DYMM Raja yang tidak putus-putus masanya berkhidmat di dalam jawatankuasa tersebut. Ahli-ahli Jawatankuasa yang dimaksudkan itu ialah Tuan Hj. Ahmad b. Hj. Muhammad yang berkhidmat sebagai Pengerusi, Tan Sri Sheikh Ahmad b. Mohd. Hashim menjadi Setiausaha dan Dato’ Wan Daud sebagai Pemeriksa Kira-kira dan Bendahari.

Pentadbiran Zakat dan Fitrah Perlis telah membahagikan Perlis kepada 3 kawasan operasi iaitu utara, tengah dan selatan. Tiap-tiap kawasan operasi tersebut dikawal oleh seorang inspektor. Terdapat 72 kariah masjid di Perlis yang diuruskan oleh 72 orang amil yang dilantik oleh Pejabat Zakat dan Fitrah Perlis. Di dalam keseluruhan kariah itu cuma 3 buah kariah sahaja yang dikutip fitrah tanpa zakat kerana tidak ada bendang di dalam kariahnya iaitu kariah Kuala Perlis, Seberang Tok Pi dan Padang Besar yang bersempadan dengan Thailand.

Pada peringkat awal pungutan zakat oleh kerajaan telah berlaku salah faham di antara penduduk kampung yang beragama Islam di Perlis terutama sekali di Mukim Utan Aji. Kekecohan ini bermula apabila seorang Haji yang hidupnya semata-mata bergantung kepada hasil zakat dan fitrah yang dikutipnya. Dia telah menghasut orang-orang di daerahnya supaya tidak memberikan zakat dan fitrah mereka kepada Jawatankuasa yang dilantik oleh DYMM Tuanku Raja. Perbuatan ini hampir-hampir mencetuskan rusuhan di dalam negeri Perlis. Akhirnya Haji berkenaan telah ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah dan menerima hukumannya. Selepas peristiwa itu tidak lagi timbul masalah dan salah faham di dalam kutipan zakat dan fitrah di Perlis.

Perlis menjadi negeri perintis sebagai negeri yang mula-mula sekali mengutip zakat dan fitrah melalui Peraturan dan Undang-Undang yang lengkap. Tiap-tiap tahun Setiausaha dan Bendahari Zakat dan Fitrah Perlis menyediakan penyata kutipan zakat dan penyata perbelanjaannya yang dimuatkan di dalam akhbar untuk tatapan umum.

Ramai orang di Semenanjung Tanah Melayu mengetahui mengenai penyelarasan kutipan zakat di Perlis melalui akhbar tempatan sehingga menarik perhatian Sultan Iskandar dari Perak menghantar Raja Mudanya iaitu Raja Abdul Aziz untuk meninjau kutipan zakat. Setelah Raja Abdul Aziz menjadi Sultan Perak baginda berangkat ke Perlis untuk meninjau lebih dekat lagi mengenai cara kutipan zakat di Perlis melalui taklimat yang diberikan oleh Tan Sri Sheikh Ahmad (Menteri Besar Perlis) iaitu sebagai Setiausaha Kehormat.

Selepas itu datang pula Tuan Sheikh Mahmud dari Kedah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majmo’ Islam Kedah untuk belajar mengenai kutipan zakat dan fitrah Perlis. Begitu juga apabila Sultan Selangor melawat Perlis baginda menjemput Tan Sri Sheikh Ahmad memberikan taklimat mengenai kutipan zakat di Perlis untuk diperkenalkan di Selangor.

Oleh kerana negeri Perlis biasa mengalami kemarau panjang, Tan Sri Sheikh Ahmad telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Zakat dan Fitrah supaya mengadakan Kumpulan Wang Simpanan daripada wang baki yang tidak habis dibelanjakan pada setiap tahun. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk membeli harta dan tanah bendang bagi menambahkan hasil kutipan zakat dan fitrah. Wang ini juga boleh digunakan untuk perbelanjaan pada musim padi tidak menjadi.

Buku Rancangan 5 Tahun Yang Kedua 1961 - 1965 bertajuk “Perlis Maju Kehadapan” menyatakan: “Pejabat Zakat dan Fitrah, tidak pula kurang memainkan peranan yang penting di dalam usaha meninggikan Syiar Islam. Kutipan yang berjumlah setahun RM200,000/- (dua ratus ribu ringgit) telah dibelanjakan untuk memberi bantuan kepada fakir-fakir miskin, muallaf-muallaf, pegawai-pegawai masjid dan guru-guru agama kampung.”

Sumber Artikel

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil. 21 2009