
Raja Singgora dan pegawai-pegawainya akan meneliti bunga emas ini sebelum dibenarkan dihantar ke Bangkok. Dari Singgora rombongan Perlis ini membawa bunga emas dengan kapal laut ke Bangkok.
Bunga ini berbentuk seakan-akan sebatang pohon bunga berdahan bertingkat-tingkat, diperbuat daripada emas dan perak yang bermutu. Daun-daunnya diperbuat daripada kepingan emas dan perak yang ditempa nipis seperti daun nilai dan panjangnya lebih kurang 2.5 cm. Pohon yang menerus ke atas ini berdahan empat. Setiap dahan mempunyai tiga ranting yang diselitkan dengan sehelai daun di pangkalnya dan empat helai lagi diletakkan di setiap ranting.
Di hujung ranting diletakkan kuntum-kuntum bunga yang tiap-tiap satunya berkelompok empat. Biasanya di puncaknya diletakkan lambing seekor burung merbuk. Batang pohon itu diperbuat daripada kayu cengal bersalut emas dan kepingan perak yang ditempa nipis.
Replika Bunga Emas yang kini dipamerkan di Muzium Diraja Arau.
Pohon yang tinggi tidak kurang daripada 1.8 m, termasuk tapaknya, asalnya mempunyai nilai yang berbeza antara satu negeri dengan negeri lain, bergantung pada kemewahan dan jumlah penduduk negerinya. Bunga emas dari Negeri Perlis ditafsirkan bernilai RM2,000. Sementara Negeri Kedah bernilai melebihi RM5,000.
Persembahan Bunga Emas dan Perak
Persembahan bunga emas dan perak oleh Negeri Perlis bermula sejak daripada masa pemerintahan Raja Syed Hussin dan berakhir semasa awal pemerintahan Raja Syed Alwi.
Semasa pemerintahan Raja Syed Hussin, Negeri Perlis telah mempersembahkan ufti sebanyak 10 kali, semasa Raja Syed Ahmad dipersembahkan sebanyak 8 kali, manakala pemerintahan Raja Syed Saffi sebanyak 3 kali. Semasa pemerintahan Raja Syed Alwi telah dipersembahkan hanya sekali sahaja ke Bangkok iaitu dalam tahun 1906. Inilah kali terakhir dihantar ke Bangkok. Jumlah yang dihantar ke Bangkok ialah 22 kesemuanya. (Lihat Jadual di sebelah).
Bunga emas dan perak kali kedua semasa Raja Syed Alwi iaitu pada tahun 1909 telah dihantar ke London melalui Singapura. Ini merupakan kiriman terakhir sejarah bunga emas Perlis.
Penghantaran bunga emas ke London ini adalah mengikut Perjanjian Bangkok (1909) antara Inggeris dan Siam. Ini ternyata dalam perjanjian itu yang menyatakan “perpindahan kuasa, pertuanan, naungan, pentadbiran kawalan dan barangan apa pun berpindah dari kerajaan Siam ke Inggeris.”
Perarakan Bunga Emas ke Perkarangan Istana Arau sempena Hari Pertabalan Raja Syed Alwi (1949) – Bunga Emas adalah sumbangan rakyat tempatan.
Jadual Pengiriman Bunga Emas Semasa Pemerintahan Raja Perlis kepada Raja Siam (1845–1906)
- Syed Husain Jamalullail, Raja Perlis I (1839–1873) – 3 kali kepada Raja Nang Klao (Rama III) dan 6 kali kepada Raja Mongkut (Rama IV).
- Syed Ahmad Jamalullail, Raja Perlis II (1873–1897) – 1 kali kepada Raja Mongkut (Rama IV) dan 8 kali kepada Raja Chulalongkorn (Rama V).
- Syed Saffi Jamalullail, Raja Perlis III (1897–1904) – 3 kali kepada Raja Chulalongkorn (Rama V).
- Syed Husain Jamalullail, Raja Perlis IV (1905–1943) – 1 kali kepada Raja Chulalongkorn (Rama V).
Jumlah: 22 kali kiriman bunga emas ke Bangkok.
Makna dan Nilai Sejarah Bunga Emas
Menurut Dato’ Yazid Mat rupa bentuk asal bunga emas ini sukar dilihat oleh rakyat negara ini kerana menjadi simpanan pihak Diraja Siam di Bangkok. Yang dapat kita lihat ialah replikanya sahaja seperti terdapat di Muzium Kota Kayangan (Kuala Perlis), Muzium Negara di Kuala Lumpur dan beberapa muzium kita yang lain.
Persembahan bunga emas oleh rakyat Perlis (dari tahun 1843 hingga 1909) boleh dikatakan membebankan rakyat yang hidup sederhana. Ia menjadi tanda “berkasih-kasihan” Perlis-Siam di samping janji perlindungan dari Siam sekiranya Perlis diserang musuh (seperti ancaman Bugis dan Burma di Kedah yang berjiran).
Bila Inggeris campur tangan di negeri-negeri utara Semenanjung, Perlis dimasukkan di bawah Inggeris (Negeri Melayu Tidak Bersekutu) dan bila merdeka (1957) dimasukkan dalam negara Persekutuan Tanah Melayu bersama 10 negeri lain.
Episod pengiriman bunga emas Perlis ke Negeri Siam (1843–1906) seperti juga negeri-negeri lain di utara Semenanjung menjadi igauan pedih rakyat negeri ini bila berhadapan dengan satu kuasa besar dan berjiran pula. Sama-samalah kita renungi.
Rujukan
- Yazid Mat / Ahmad Ismail, Perlis Indera Kayangan: Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat (1992), PPANPs Kangar.
- Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Jilid 1; DBP, Kuala Lumpur (1994).
- Perbincangan dengan Dato’ Yazid Mat di PPANPs Kangar, 13 April 2005.
Jurnal Jawatankuasa Gerakan Membaca Perlis Bil: XVII,2005
