Accessibility Tools

SEJARAH PENUBUHAN PASUKAN POLIS NEGERI PERLIS

Oleh : Mokhtar A.K.

 

Negeri Perlis merupakan satu-satunya negeri Melayu di mana Pasukan Polis berkembang tanpa wujudnya unit atau bimbingan daripada sebarang legasi ketenteraan asing. Sehingga tahun 1909, Perlis berada di bawah pemerintahan Siam sebelum diserahkan kepada British melalui Perjanjian Inggeris-Siam.

Semasa pemerintahan Raja Syed Alwi, Kapten Meadows Frost dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Perlis dan memainkan peranan penting dalam menyusun pentadbiran Pasukan Polis Negeri Perlis.

Pada tahun 1909, Pasukan Polis Negeri Perlis mempunyai seramai 57 anggota yang terdiri daripada 30 orang Melayu dan 27 orang Sikh serta mengendalikan tiga buah balai polis iaitu Kangar, Arau dan Sanglang.

Pada peringkat awal penubuhannya, pasukan polis menghadapi pelbagai masalah termasuk kekurangan disiplin, rasuah dan kelemahan pentadbiran. Laporan tahunan British turut mencadangkan penambahbaikan bagi meningkatkan kecekapan pasukan.

Che Mat bin Kassim menyertai Perkhidmatan Polis Negeri Perlis pada tahun 1910 selepas menerima latihan kepolisan di Kuala Muda, Kedah. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Polis Melayu Perlis.

Melalui kepimpinan Che Mat bin Kassim, mutu perkhidmatan polis semakin meningkat dengan penekanan terhadap disiplin, penghapusan amalan rasuah serta peningkatan kecekapan anggota dalam menjalankan tugas.

Pada tahun 1912, sebuah Balai Polis baharu dibuka di Kaki Bukit bagi mengawal laluan masuk dari Singgora, Thailand dan memperkukuhkan keselamatan sempadan negeri.

Che Mat bin Kassim berkhidmat selama 37 tahun sehingga tahun 1946 dan dikenang sebagai tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan serta pemodenan Pasukan Polis Negeri Perlis.

Pada tahun 1959, Pasukan Polis Perlis disatukan dengan Kontinjen Kedah sebelum ditubuhkan semula sebagai Kontinjen Polis Perlis pada tahun 1989.

Kini Perlis mempunyai dua daerah polis iaitu Kangar dan Padang Besar yang menguruskan lapan buah balai polis di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

Sumber Artikel

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil. 16