SEJARAH DAN STRUKTUR
MAJLIS PERBANDARAN KANGAR
Oleh : OMAR BIN YAACOB
Sejarah awal Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Perlis bermula sebelum zaman merdeka lagi. Sebelum tahun 1956, Kerajaan Tempatan di Negeri Perlis terletak di bawah "Town Board Enactment F.M.S. Cap 137" melibatkan tujuh kawasan pekan. Pekan-pekan tersebut Kangar, Arau, Kuala Perlis, Simpang Empat, Kaki Bukit, Padang Besar dan Pauh.

Bangunan MPK sekarang di Persiaran Jubli Emas, Kangar
Luas keseluruhan kawasan ketujuh-tujuh pekan tersebut ialah 2.848 kilometer persegi dengan bilangan penduduk sejumlah 13,910 orang. Kawasan ini ditadbirkan oleh Lembaga Kesihatan atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat pada masa itu dengan panggilan "Sanitary Board"
Pengerusi Lembaga berkenaan adalah Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri dengan dibantu oleh 11 orang Ahli Lembaga yang berkuasa memberi nasihat kepada Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri tersebut.
Dari segi kewangan, anggaran perbelanjaan dan hasil disediakan sama seperti jabatan kerajaan yang lain iaitu sebahagian daripada Pentadbiran Kerajaan Negeri di samping sebahagian lagi oleh Kerajaan Tempatan.
Pada tahun 1956, Tuanku Syed Putra Ibni AI-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis telah melantik satu Suruhanjaya untuk mengkaji dan membuat syor mengenai Kerajaan Tempatan di Negeri Perlis. Ini diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis (State Council) ketika itu.
Hasil daripada kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya tersebut, beberapa perubahan berlaku dalam kerajaan tempatan di negeri ini dari semasa ke semasa hingga wujud Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sebagaimana yang dilihat sekarang. Bangunan pejabat asal MPK ialah sebuah bangunan kecil bersebelahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang.
Melalui cadangan yang dibuat oleh Laporan Suruhanjaya 1956, pekan-pekan yang selama ini diletakkan di bawah "Sanitary Board" telah disusun semula di bawah empat penguasa tempatan yang memainkan peranan di kawasan masing-masing.
Penguasa-penguasa Tempatan itu ialah Majlis Bandaran Kangar (MBK), Lembaga Bandar, Padang Besar dan Pauh, Majlis Tempatan Kaki Bukit dan Majlis Tempatan Simpang Empat. MBK mentadbir tiga buah pekan iaitu Kangar, Arau dan Kuala Perlis.
Mulai 1 Januari 1957, Majlis Bandaran Kangar diberi taraf Otonomi Kewangan. Ahli-ahli Majlis tertinggi terdiri daripada seorang Yang Dipertua dari kalangan pegawai kerajaan. Tiga orang pegawai kerajaan lain menjadi Ahli Rasmi, tiga orang awam yang dilantik oleh kerajaan negeri dan 12 orang ahli yang dipilih melalui pilihan raya.
Sejak tahun 1965, dengan Penguatkuasaan Undang-Undang Darurat, pilihanraya bagi memilih Ahli-ahli Majlis telah digantung. Semua Ahli Majlis Bandaran Kangar mula dilantik oleh Kerajaan Negeri. Amalan ini berterusan hingga sekarang.
Pada tahun 1979, keluasan kawasan yang termasuk dalam operasi Majlis Bandaran Kangar ialah 2.352 kilometer persegi. Bilangan penduduk yang tinggal di dalam kawasan tersebut berjumlah 12,300 orang dan bilangan rumah adalah 2,429 buah.
Tugas utama Majlis Bandaran Kangar ketika itu melibatkan Perancangan Bandar dan Kesihatan Awam seperti mengangkut sampah, najis, mencuci longkang dan membersih parit. Majlis juga membekalkan lampu-lampu jalan dalam kawasan operasinya. Orang ramai lebih mengenalinya dengan panggilan MBK.
Melalui penyusunan semula Penguasa-penguasa Tempatan di Negeri Perlis yang terdiri daripada Majlis Bandaran Kangar, Lembaga Bandaran Padang Besar dan Pauh, Majlis Tempatan Simpang Empat dan Majlis Tempatan Kaki Bukit, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah diwujudkan pada 1 Januari 1980.

SENARAI NAMA YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN KANGAR
adalah seperti berikut:
1) YAB Dato' Jaffar bin Hassan
(1 / 1 / 1984 - 4 / 3 / 1981- juga Menteri Besar Perlis)
2) YAB Dato' Ali bin Ahmad
(5 / 3 11981 - 3118 11985 - juga Menteri Besar Perlis)
3) YBhg. Dato' Indrajaya Haji Mahmud bin Haji Hashim
(1 / 9 11985 - 31 /12 11986)
4) YAB Dr. Abd. Hamid Pawanteh
(1 / 1 / 1987 - 31 / 12 / 1988 - jnga menjadi
Menteri Besar Perlis - kini Tan Seri)
5) YB En. Bahari bin Taib (kini Dato’)
(1 /1 / 1989 – 27/ 10 /1990)
6) Tuan Haji Taib bin Ismail
(28/10/1990- 4/4/1995)
7) Dato' Johari bin Mohd. Darus
(1 / 7 / 1995 - Sekarang)

Bangunan lama MPK berhampiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Kangar
Di Antara Objektif MPK :
Memperbandarkan seluruh Negeri Perlis supaya dapat memberi dan meningkatkan perkhidmatan kepada penduduk dalam konteks kebersihan, pengawalan penyakit, kesihatan awam dan pengindahan serta rekreasi.
Di samping itu, MPK juga dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kemudahankemudahan dan perkhidmatan yang mencukupi bagi keperluan-keperluan sosial, kesihatan, kebersihan dan rekreasi perbandaran.
Turut dimainkan peranan oleh MPK ialah menggalak dan memudahkan pembangunan terutamanya dalam bidang perumahan dan perniagaan; mengekal dan menguatkan peranan bandar Kangar sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan serta menggalak dana mengawal pembangunan bagi kemudahan pelaksanaan dasar kerajaan.
Ahli Majlis yang dilantik pula terdiri daripada wakil parti UMNO, MCA, MIC dan Gerakan, iaitu empat buah parti gabungan dalam Barisan Nasional (BN) di Perlis. Di samping itu, terdapat juga pegawai-pegawai kerajaan daripada beberapa buah agensi yang berkaitan dengan peranan perbandaran dilantik sebagai ex-officio menganggotai majlis. Kini, terdapat 24 orang ahli MPK mewakili pihak-pihak tersebut.
Kerajaan negeri membuat pemilihan melantik mereka untuk mewakili kumpulan pemimpin masyarakat, tokoh politik, ahli akademik, ahli perniagaan selain daripada pegawai kerajaan tersebut yang memainkan peranan sebagai penggubal dasar dan penentu keputusan yang akan dilaksanakan.
Selain daripada membentuk dasar, para Ahli Majlis juga memainkan peranan sebagai pembuat keputusan dan menyelesaikan masalah-masalah tertentu berkaitan dengan fungsi MPK mengikut bidang masing-masing.
Mesyuarat Jawatankuasa Majlis diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali mengikut keperluan dan keadaan. Bidang tugas dan keahlian Jawatankuasa yang diwujudkan adalah seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 28, Akta Kerajaan Tempatan.
Pengurusan MPK dibahagikan kepada bahagian dan unit, Yang DiPertua Majlis bertindak sebagai Pengerusi Eksekutif, manakala Setiausaha Perbandaran pula menjadi Ketua Eksekutif. Tiap-tiap jabatan diketuai oleh seorang Ketua Bahagian atau Unit.

Seperti yang dijelaskan oleh YDP, Dato' Johari b. Mohd. Darus, bahawa MPK mempunyai tugas dan misi yang berat seperti pemberi perkhidmatan, mengawasi kebersihan yang terbaik bagi para pelanggan, juga
"......menjadi agenda utama MPK bagi tahun-tahun yang akan datang untuk mencapai matlamat negeri bersih dan indah selaras dengan matlamat negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara dalam taman pada tahun 2005. ....... menjadi tanggungjawab semua lapisan pemimpin dan rakyat untuk memberi sumbangan dan usaha sama yang padu bagi mencapai matlamat tersebut".
Rujukan
1. Buletin MELATI, Bil. 1/66, 2/66 dan 1/98, Terbitan Majlis Perbandaran Kangar.
2. Temubual dengan Yang Dipertua MPK semasa Kempen Kesedaran Kebersihan Kawasan Arau. 14.12.97.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998
