GUAR SYED ALWI
Oleh : ALWI SUDI
Guar Syed Alwi sebuah perkampungan yang terletak di pinggir Bandar Kangar iaitu pusat pentadbiran dan ibu negeri Perlis. Kampung ini berada di bahagian selatan dan jaraknya lebih kurang dua kilometer dari pusat Bandar. Lokasinya ialah di sebelah timur Jalan Raja Syed Alwi (dikenali dengan Jalan Kuala Perlis lama). Kedudukannya dilaluan utama menjadikan kampung ini begitu mudah diresapi dengan perkembangan dan perubahan yang berlaku. Lantaran itu kampung ini lebih awal menerima kemajuan dan sentiasa bersedia menerima apa jua perubahan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan. Sesuatu yang menarik dan unik di kampung ini ialah generasi tuanya boleh dikatakan keseluruhannya bertutur dalam bahasa Siam.


Kampung Guar Syed Alwi
NAMA GUAR SYED ALWI
Dalam usaha mengenalpasti asal-usul nama kampung ini beberapa orang tua telah ditemu bual.
Orang sumber pertama yang ditemui ialah Tuan Haji Jasin b. Taha dan abangnya En. Bulat b. Taha. Menurut mereka Kampung Guar Syed Alwi dibuka kira-kira dua ratus tahun dahulu iaitu di awal abad ke-19 menurut En. Bulat b. Taha orang yang tertua di kampung tersebut dan merupakan generasi ketiga dari kalangan peneroka perkampungan itu.
Beliau menyatakan kampung ini dibuka oleh sekumpulan orang Melayu yang berasal dari Satun (Setul) Thailand lebih kurang dua ratus tahun dahulu.
Antara mereka yang awal berpindah dan menetap di sini ialah Lebai Donan, datuk kepada En. Bulat dan Tuan Hj. Jasin, Lebai Senawi, Lebai Wahab, Lebai Man, Tok Jusoh, Lebai Saman, Lebai Samad dan beberapa orang lagi. Mengikut cerita Lebai Napiah bin Hj. Ali seorang lagi penduduk asal kampung Guar Syed Alwi, orang-orang Melayu yang berpindah dan membuat petempatan di sini adalah terdiri dari ‘Puak Skon’ dari Kampung Long Kut’ (Sungai Korek) Satun, Thailand. Sambung Lebai Napiah, ketika itu orang Semenanjung dan orang Siam terutama di bahagian sempadan bebas keluar masuk. Lebai Napiah menyatakan mereka yang berpindah ke sini hanya berjalan kaki dengan meredah hutan belantara dan bukit-bukau sebelum tiba di mukim Kurung Batang. Mereka membuat pertempatan sementara di Padang Ling Ching Kurung Batang sebelum berpindah dan menetap di Guar Satun (Guar Syed Alwi). Menurut Lebai Napiah mereka ini berpindah dari kampung asalnya kerana melarikan diri dari diambil menjadi askar Siam. Tetapi dari sumber lain termasuk cerita dari Tuan Hj. Jasin menyatakan kumpulan tersebut meninggalkan kampung halaman mereka kerana kepayahan hidup dan penghijrahan mereka, adalah semata-mata untuk merubah penghidupan dan mencari harta kekayaan. Walau apapun sebab dan munasebabnya, semua sumber yang ditemutanya bersependapat mengatakan orang Melayu Satunlah yang menerokai kampung ini kira-kira dua ratus tahun dahulu.
Menurut Tn. Hj. Jasin b. Taha semasa orang-orang Melayu Satun sampai, tempat ini dipenuhi dengan hutan rimba, masih dihuni binatang buas. Pemilihan tempat ini dibuat kerana tanahnya lebih tinggi manakala tempat lain berkeadaan lembah berair.

Tuan Hj. Jasin B. Taha ( kiri ) En. Bulat B. Taha (kanan)
Disamping itu kawasan ini belum ada orang yang mendiaminya. Setelah mendirikan rumah-rumah kediaman dan memugar hutan-rimba, penduduk di kawasan ini bersepakat dan bersetuju menamakan tempat ini dengan nama ‘Guar Satun’. ‘Guar’ ialah panggilan atau sebutan bagi tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitar, manakala ‘Satun’ pula adalah kampung asal mereka semua. Akhirnya orang-orang di sini bersetuju dengan nama tersebut untuk digunapakai.
Perubahan nama
Menurut cerita En. Bulat, perubahan atau pertukaran nama kampung ini berlaku semasa pemerintahan Raja Perlis keempat iaitu Tuanku Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuanku Syed Safi Jamalullail yang memerintah Perlis pada tahun 1905 sehingga tahun 1943. Zaman pemerintahan Tuanku Syed Alwi yang agak lama membolehkan baginda melakukan beberapa kemajuan dan perubahan walaupun diawal pemerintahan baginda kedudukan kewangan negeri merosot dan menyukarkan pentadbiran baginda.
Tuanku Raja Syed Alwi, dan rakyat jelata mengenali dan menyebut baginda Raja Syed Lawi pernerintahan yang sangat mengambil berat hal rakyat serta mukim-mukim di bawah kekuasaan baginda. Di samping itu baginda juga amat gemar berangkat menyaksikan temasya dan upacara yang diadakan di setiap mukim. Justeru bagi memudah dan menyenangkan baginda dan rombongan beberapa buah Tandiap atau rumah persinggahan (rehat) dibina dibeberapa tempat di seluruh negeri Perlis.
Di Utan Ail terdapat suatu temasya atau festa iaitu “Festa Mengambil Madu Lebah Tualang” yang diadakan setiap tahun. Tuanku Raja Syed Alwi beserta dengan pembesar- pembesar negeri akan berangkat menghadiri festa atau temasya tersebut. Sebagaimana termaklum, perhubungan dari Istana Arau ke Utan Aji memakan masa yang lama kerana tiada jalan perhubungan dan kenderaan. Dengan menaiki gajah, baginda yang diiringi oleh Tuan Syed Alim AI-Jafri pembesar kanan baginda, Dato Wan Teh, Tengku Abdullah dan beberapa orang lagi akan singgah di ‘Tandiap’ di Kampung Guar Satun, berehat dan bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan ke festa di Utan Aji yang tidak jauh dari situ. Oleh kerana baginda sering berkunjung ke kampung tersebut, populariti serta sayang dan kasih rakyat terhadap baginda maka Guar tersebut lebih dikenali dengan nama ‘Guar Syed Lawi’ (Alwi). Manakala nama asal yang diberi oleh peneroka awal semakin dilupakan dan akhirnya nama Guar Satun hanya menjadi nostalgia kepada generasi tua sahaja. Kesimpulannya jelas membuktikan nama ‘Kampung Guar Syed Alwi’ yang digunapakai sekarang adalah bersempena dari nama pemerintahan negeri Perlis ke IV iaitu Tuanku Raja Syed Alwi. Nama baginda juga banyak diabadikan pada nama lain seperti bangunan, jalan serta tempat.
Penduduk
Sebagaimana dinyatakan, pendudukan awal kampung Guar Syed Alwi keseluruhannya adalah terdiri dari orang-orang Melayu Satun (Setul). Sepanjang tinjauan saya, semua yang ditemui menyatakan persetuiuan dan mengesahkan pernyataan tersebut. Antara bukti yang dapat memperjelaskan pernyataan tersebut ialah seluruh penduduk awal dan generasi ketiga yang terdapat pada hari ini menggunakan pertuturan harian mereka dalam bahasa Siam. Selain dari itu hubungasn kekeluargaan di antara penduduk Guar Syed Alwi dengan orang-orang Melayu Satun masih erat terutama bila berlaku kenduri-kendara, sakit demam dan kematian mereka saling kunjung mengunjungi. Tetapi agak malang, kata Lebai Napiah ‘Ikatan kekeluargaan’ itu semakin longgar disebabkan generasi kini sudah tidak dapat bertutur dalam bahasa Siam dan sikap kunjung mengunjungi tidak banyak dilakukan.
Dewasa ini kampung Guar Syed Alwi bukan lagi merupakan komuniti orang Melayu Satun keseluruhannya. Menurut perangkaan kasar yang diberi oleh En. Aziz Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Guar Syed Alwi, bilangan rumah adalah sebanyak 500 buah meliputi rumah kampung dan rumah-rumah di Taman Jali, Taman Syed Alwi dan Taman Sri Bahagia. Manakala bilangan penduduknya adalah dianggarkan seramai 3,100 orang, 90 peratus adalah Melayu, 9 peratus orang Cina dan 1 peratus orang India.

Sek. Keb. Jalan Raja Syed Alwi
PERHUBUNGAN DAN KEMUDAHAN
Sebelum terbinanya Jalan Kangar ke Kuala Perlis sebahagian darinya dinamakan Jalan Raja Syed Alwi melalui Kampung Guar Syed Alwi, Utan Aji, Kayang dan terus ke Kuala Perlis, perhubungan kampung ini dengan Kangar hanya dengan berjalan kaki. Kenderaan yang wujud ketika itu ialah kereta lembu dan diikuti kemudian dengan kereta kuda. Bagi penduduk Guar Syed Alwi adalah tidak tersangat sukar kerana lokasinya berdekatan. Untuk sampai ke Kangar mereka hanya berjalan kaki melalui batas-batas sawah dan denai. Sekiranya ada barangan berat yang hendak dibawa ke Kangar mereka menggunakan anuk (penaik) yang ditarik oleh lembu atau kerbau. Dengan terbina dan siapnya Jalan Raja Syed Alwi maka perhubungan menjadi semakin mudah bagi penduduk kampung berulang-alik ke Bandar bagi menjalankan urusan jual- beli dan lain urusan dengan pihak kerajaan.
Hari ini Kampung Guar Syed Alwi telah dilandai dengan pelbagai perubahan dan kemajuan selaras dengan kemajuan dan kemudahan yang dikecapi oleh kampung-kampung lain di Perlis khasnya. Dalam lawatan saya ke kampung ini saya dapati semua jalan-jalan kampung berturap dengan tar, semua rumah mempunyai bekalan air dan letrik. Selain dari itu terdapat sebuah masjid yang indah, sebuah dewan dan yang terbaru ialah Sekolah Rendah Jalan Raja Syed Alwi, sebuah sekolah moden yang dilengkapi dengan serba kemudahan, dan mula beroperasi pada tahun 2000. Sebelum sekolah ini dibuka kanak-kanak sekolah rendah belajar di Sekolah Kebangsaan Sri Perlis manakala peringkat menengah pula mereka akan belajar di Sekolah Menengah Perlis dan Sekolah Menengah Putra. Berhampiran dengan Kampung Guar Syed Alwi ini, terletaknya Jabatan Kerja Raya, Pejabat Perkhidmatan Haiwan, Institut Latihan Perindustrian, Sekolah Menengah Sains dan Maktab Perguruan Perlis.
PEKERJAAN PENDUDUK
Setibanya orang-orang Melayu Satun ke lokasi ini, mereka telah memilih tempat yang sesuai untuk dijadikan tapak rumah kediaman. Tumpuan utama pemilihan ialah di bahagian utara dan selatan guar, kerana bahagian ini tanahnya lebih rendah dan pamah. Rumah-rumah dibina dengan menggunakan kayu di tempat itu juga. Selepas ini mereka mula pemugaran tanah untuk dijadikan huma untuk ditanam padi, jagung, keledek dan sayur-sayuran. Secara beransur-ansur huma-huma dipugar dijadikan sawah padi. Manakala dibahagian tanah tinggi ditanam pula dengan pokok buah-buahan. Bila getah diperkenalkan di Tanah Melayu penduduk di Guar Syed Alwi juga turut menggantikan kebun buah-buahan kepada tanaman getah yang lebih menguntungkan. Pada ketika itu pekerjaan utama penduduk di sini ialah bersawah padi dan menanam sayur-sayuran, beras yang dihasilkan dijual kepada peniaga-peniaga Cina di Bandar Kangar.
Kemajuan yang dicapai telah merubah corak sosio-ekonomi Negara. Pada penghujung kurun ke-20, sektor pertanian tidak lagi menjadi kegemaran generasi muda hari ini. Justeru, sawah-sawah padi hanya diusaha oleh golongan tua sahaja. Generasi baru lebih menumpukan kepada pekerjaan yang dapat menjamin perolehan yang lumayan dan tetap. Sehubungan itu mereka memilih untuk berkhidmat dengan kerajaan, bekerja di sektor swasta, menjalankan kerja- kerja perbengkelan, menjadi kontraktor dan berniaga.
PENUTUP
Kampung Guar Syed Alwi yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan merupakan kawasan yang padat dengan penduduk. Taburan rumah agak tersusun kedudukan tetapi amat berdekatan di antara sebuah rumah dengan sebuah rumah yang lain. Mengikut kata-kata salah seorang penduduk kampung itu, ‘Jarak rumah di Kampung Guar Syed Alwi bertemu tangga.’ Begitulah hampir dan sesaknya rumah di kampung ini terutama di bahagian depan jalan ke Behor Pulai. Berdasarkan pertambahan penduduk yang tinggi sebenarnya, kampung ini tidak lagi mampu menampung pertambahan penduduk lebih daripada yang terdapat sekarang ini. Perhatian serius perlu diberi terhadap keselamatan penduduk sesuatu bencana terutamanya kebakaran. Pihak JKKK, Pertubuhan Belia, Ketua Kampung dan lain-lain organisasi setentunya telah memikir dan bersedia untuk mengatasinya.
Semangat kerjasama dan panduan kaum amat membanggakan, hal ini jelas terbukti dari kejayaan-kejayaan yang telah dicapai setakat ini. Diharap situasi yang sedia ada dapat dipertingkat dan dikekalkan untuk kesejahteraan penduduk Kampung Guar Syed Alwi khususnya dan Negara Malaysia amnya.

Masjid Guar Syed Alwi
TEMU BUAL:
- Encik Bulat b. Taha
- Tn. Hj. Jasin b.Taha
- Lebai Napiah b. Hj.Ali
- En. Aziz b. Ismail
- En. Rosli b. Mat
RUJUKAN
- Ahmad Ismail dan Yazid Mat
Perlis Indera Kayangan, Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat. Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis, 1992
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 14, 2002
