KEGIATAN MEMUNGUT MADU LEBAH TUALANG DIWARNAI TRADISI
Oleh: ADNAN JAHAYA
Industri madu lebah kini telah memasuki era modenisasi namun selagi lebah masih bersarang secara bebas, kegiatan memungut madunya diwarnai dengan tradisi yang istimewa.
Lebah adalah serangga yang boleh diternak namun nilai madunya dikatakan lebih unggul jika diperolehi daripada lebah liar yang bersarang di belantara.
Meskipun lebah boleh bersarang di pelbagai tempat terutama pokok namun serangga itu begitu sinonim dengan pokok tualang. Perkataaan “lebah tualang” dan “tualang lebah” membuktikan hubungan lebah dan pokok tualang begitu akrab.
Ketika pokok tualang semakin pupus di negeri ini, tradisi memungut madu lebah masih segar. Jika penternak lebah mempunyai jadual harian yang tetap tetapi pencari madu lebah secara tradisional hanya bergantung di mana sarang itu ditemui.
Jika ada sarang lebah ditemui, mereka akan merancangnya bila waktu yang sesuai untuk mengambilnya apatah lagi lebah yang bermukim di pokok tualang atau nama saintifiknya “koompasia excelsa”.
Pokok tualang adalah antara pokok yang tertinggi di belantara malah ada laporan yang menyebut bahawa ketinggian pokok itu adalah yang ketiga di dunia. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga hampir 100 meter manakala saiz batangnya juga besar dan tidak boleh dipanjat begitu sahaja.
Bagi pemburu lebah tualang atau nama saintiftknya “Apis Dorsata”, mereka perlu membuat persiapan rapi sebelum mengambil madu lebah.
Salah seorang pemungut madu lebah, Rahmat Saad, 70 berkata, suatu ketika dahulu pokok tualang tumbuh di merata tempat dan antaranya ialah di Kampung Surau. Beliau yang menetap di Kampung Mengkuang Layar dekat sini berpengalaman selama hampir setengah abad dalam kegiatan memungut madu lebah.
Rahmat yang lebih dikenali sebagai “Abdul Rahman” di kampungnya berkata, antara langkah pertama yang diambil bagi memungut madu lebah di pokok tualang ialah membuat sigai. Sigai dibuat secara melilit akar yang kuat di sekeliling batang pokok berkenaan bermula dari bawah hingga ke cabang di mana lebah bersarang.
Sigai berfungsi sebagai tangga dan pemegang bagi memudahkan pemanjat tiba di atas pokok yang besar itu dengan selamat dan pantas. Pemungut lebah akan mencari akar yang kuat terutama di kawasan bukit untuk dijadikan sigai.
Kegiatan memungut madulebah di pokok tualang diadakan pada waktu malam yang gelap. Waktu malam adalah paling sesuai untuk memungut madu kerana lebah tidak dapat menyerang dengan mudah dan keadaan gelap.
Selain sigai, pemungut lebah juga perlu menyediakan jamung, tali dan timba. Jamung digunakan bagi menghasilkan bara api ketika proses menghalau lebah dari sarangnya manakala tali digunakan bagi menaikkan jamung dan timba ke atas pokok serta menurunkannya.
Jamung diperbuat daripada pokok mentawan, sejenis tumbuhan menjalar yang batangnya hanya sebesar jari kelingking. Pokok-pokok mentawan itu dikumpulkan dan kemudiannya diikat dengan akar minyak bagi membentuk ruas.
Ketika memanjat pokok tualang pada waktu malam, pemungut madu lebah akan membawa tali yang panjang serta mancis bersamanya. Apabila tiba berhampiran sarang, tali akan
dihulurkan ke bawah dan seorang pembantu akan mengikat jamung yang kemudiannya akan ditarik ke atas.
Jamung itu kemudiannya dibakar di atas pokok tualang dan pantun “olek lebah” dilagukan.
Antara pantun yang sering dilagukan berbunyi:
Daun serai lapik belanga,
Daun selasih dalam semai,
Kita bercerai bukan lama,
Sampai musim kita mai.
Pantun itu cuba menggambarkan bahawa antara manusia dan lebah adalah rakan yang akrab dan pujian sentiasa diberikan kepada lebah supaya kerja-kerja memungutnya berjalan lancar.
Bagi mengosongkan sarang lebah supaya madunya dapat diambil, pemungut akan mengetuk jamung yang telah berbara di atas cabang pokok berkenaan. Bara api yang luruh ke tanah bagaikan hujan akan mempengaruhi lebah supaya meninggalkan sarang.
Lebah akan mengikuti bara api yang jatuh ke tanah. Bagi pemungut lebah mereka menamakan bara api itu sebagai “bintang”. Lebah yang tertarik dengan cahaya bintang akan mengosongkan sarangnya dan mengikuti bintang yang jatuh ke bumi. Percikan bara api jamung yang dibuat dengan pokok mentawan tahan lama dan tidak mudah padam.
Apabila kerja-kerja mengosongkan sarang selesai, pemungut madu lebah akan mengarahkan pembantunya mengikat sebuah timba yang kemudiannya ditarik dengan tali ke atas cabang pokok.
Timba itu akan digunakan bagi mengisi sarang lebah yang akan ditanggalkan daripada dahan pokok. Timba akan diturunkan perlahan-lahan menggunakan tali bagi mengelakkan ia tersangkut hingga menyebabkan madunya tumpah.
Kebiasaannya bagi sebatang pokok tualang akan terdapat banyak sarang lebah malah ada sehingga 70 sarang. Pemungut madu lebah yang berada di atas pokok akan berpindah ke sarang lebah yang lain selepas selesai kerja-kerja menurunkan sarang lebah yang telah dikosongkan serangga itu.
Bagi para pembantu yang berada di bawah pokok, mereka akan mengasingkan sarang lebah dengan madunya. Sarang lebah yang sudah kekeringan madu selepas diperah akan dijadikan lilin.
Suatu ketika dahulu, para pemungut madu lebah menjalani upacara ritual termasuk mengadakan kenduri di bawah pokok tualang. Seekor kerbau balar disembelih di situ dan masyarakat kampung dipanggil menikmati kenduri berkenaan.
Mengikut kepercayaan, upacara itu diadakan bagi mengeratkan hubungan manusia dan lebah. Penganjur kenduri berharap lebih banyak sarang lebah akan wujud di pokok tualang dan secara tidak langsung menambah rezeki mereka.
Bagaimanapun para pemungut madu lebah kini tidak lagi mengamalkan upacara itu atas kesedaran agama. Mereka juga yakin bahawa lebah akan bersarang di mana sahaja terutama di pokok-pokok tualang walaupun tiada kenduri dilakukan.
Bagi orang yang berpengalaman seperti Rahmat, beliau mempunyai kaedah tersendiri untuk menentukan di mana terdapat sarang lebah. Jika terjumpa seekor lebah yang menghisap madu bunga, beliau akan menyentuh belakang serangga itu. Beliau akan melihat serangga yang
terkejut itu terbang. Lokasi sarangnya ialah berdasarkan arah mana lebah itu terbang dan dari situ pencarian sarang lebah bermula.
Sesungguhnya, memungut madu lebah secara tradisional memerlukam kepakaran. Harga sebotol madu lebah kadang kala tidak setimpal dengan usaha untuk mendapatkannya.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 14, 2002
