ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT
MEMINANG
Oleh : ABD. GHANI
ADAT BUDAYA adalah akar kehidupan kita. Menjadi kewajipan kita untuk menggali umbinya, menyaring nilai murni yang tidak bercanggah dengan kemuliaan agama untuk dinobatkan dalam kehidupan masa kini. Adat perkahwinan contohnya, harus tetap dilestarikan. Perkahwinan merupakan ikatan yang suci dan agung dalam kehidupan manusia. Justeru menjejaki gerbangnya, elok kita lalui liku-liku yang penuh beradat ini.
Mulai dengan merisik, merasi, melamar, meminang, mengandam, berinai kecil, akad nikah, berinai besar, majlis khatam Al-Quran dan akhirnya persandingan. Inilah di antara adat-adat yang terpenting di dalam sesebuah perkahwinan.
Dalam keluaran yang lalu, telah dikemukakan adat merisik, merasi dan melamar. Kali ini akan mengutarakan pula adat meminang, yang tidak kurang juga pentingnya untuk menuju gerbang perkahwinan.
Setelah lamaran diterima, istiadat pertunangan akan menyusul pada tarikh yang dipersetujui. Rombongan meminang biasanya diwakili keluarga terdekat pihak lelaki.
Dalam adat ini, hantaran tepak sirih merupakan satu bingkisan paling utama, penuh bermakna dari bingkisan-bingkisan lain yang dipersembahkan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Daun sirih terpilih ini akan digubah dan disusun indah beserta kelengkapannya sekali.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang adat ini, saya berkesempatan menemubual Encik Saidin bin Shafie, 58 tahun dari Kampung Padang Gelam, Sanglang, Perlis. Menurut beliau, di antara barang-barang hantaran yang dibawa oleh pihak lelaki ialah :
- Sirih junjung berserta sebentuk cincin.
- Satu set bahan persolekkan.
- Kuih-muih tradisional
- Buah-buahan yang digubah indah.
- Sepasang kain baju, sehelai tuala, telekung dan sejadah.
Barang-barang hantaran ini akan didahului oleh sirih junjung, barulah diikuti oleh hantaran-hantaran lain. Biasanya, bilangan hantaran ini berangka ganjil. Bilangan genap dipercayai memberi implikasi yang tidak baik terhadap masa depan perkahwinan yang sedang dirancangkan itu. Hantaran ini mungkin berjumlah 5, 7, 9 dan seterusnya. Bilangan yang biasa dibawa ialah 7 dan 9. Ini bergantung kepada kemampuan pihak lelaki.
Jelas Encik Saidin, rombongan lelaki akan disambut mesra setibanya di rumah pihak perempuan. Semua bingkisan tadi diletakkan di tengah-tengah majlis, di hadapan para hadirin. Ketika inilah wakil pihak lelaki akan memainkan peranannya. Sirih junjung akan diletakkan di hadapan wakil pihak perempuan. Setelah semuanya sedia, wakil lelaki pun menghulurkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan. Serangkap pantun memulakan bicara:
Orang Jawa turun ke dusun,
Singgah sejenak di pinggir kota;
Kami bawa sirih tersusun,
Sudilah sepiak pembuka kata.
Wakil pihak perempuan akan menyambut tepak sirih itu lalu di makan sepiak dua. Campuran rumusan makan sirih di mana ada dicalit dua kapurnya, pinang sekacip, sedikit gambir dan sekuntum cengkih merupakan gambaran kehidupan berumah-tangga. Rasa kelat, pedas, manis dan pahit sirih menjadi bumbu dalam perkahwinan. Setelah sirih dimakan, wakil pihak perempuan akan membalas pantun tersebut :
Orang Dusun pergi ke huma,
Bawa ke pekan seikat keladi;
Sirih tersusun kami terima,
Sila nyatakan hasrat di hati.
Menurut Encik Saidin lagi, wakil rombongan tadi akan membuka tabir bicara, menyatakan hasrat yang dikendong mereka. Setelah seluruh keluarga mencapai kata sepakat, barulah pinangan diterima. Ketika itulah kedua-dua pihak akan membincangkan berbagai perkara terutamanya tempoh pertunangan, jumlah hantaran belanja, berapa dulang hantaran, serta perjanjian untuk menghadapi takdir jika pertunangan itu putus kerana sesuatu sebab.
Kalau dulu, tambah Encik Saidin, apabila pihak perempuan tidak bersetuju, cincin itu akan dikembalikan. Sebaliknya jika pihak lelaki tidak dapat meneruskan pertunangan kerana sesuatu hal, maka cincin pertunangan dan barang-barang hantaran tidak boleh diminta kembali. Bagi pihak perempuan pula, kalau si gadis berhasrat hendak memutuskan pertunangan, kecuali mati, pihak perempuan hendaklah mengembalikan segala hantaran dari pihak lelaki tadi sekali ganda.

Encik Saidin selanjutnya menjelaskan, rundingan seterusnya mengenai belanja kahwin. Perkara ini biasanya ditentukan oleh pihak perempuan berdasarkan ciri-ciri gadis tersebut dan taraf keluarganya. Jika gadis tersebut seorang yang terpelajar atau yang berkerja dan mempunyai kedudukan yang baik, wang hantaran kahwinnya lebih tinggi dari gadis biasa. Selalunya jumlah yang ditentukan itu akan diterima oleh pihak lelaki sekiranya difikirkan sesuai mengikut kemampuannya. Ada juga pihak lelaki yang meminta agar wang hantaran itu dikurangkan. Dalam hal ini, rundingan tadi boleh terhenti setakat itu sahaja jika kedua belah pihak tidak mahu bertolak ansur. Tapi apapun, faktor penentunya adalah keinginan kedua-dua belah pihak -hendak menjodohkan pasangan tersebut. Kalau kedua pihak inginkan perkahwinan itu berlangsung, segala rundingan menjadi mudah. Tetapi kalau pihak perempuan merasa berat hendak meneruskan perkahwinan tersebut, belanja kahwin yang tinggi dan tidak munasabah mungkin diletakkan sebagai salah satu helah untuk menolak. Rundingan tersebut terbantut dan tamat setakat itu sahaja atau penerimaan pinangan pihak lelaki mungkin berlaku secara terpaksa. Biasanya kedua pihak cuba menjadikan rundingan sempurna dengan satu penyeleaian yang memuaskan. Pihak perempuan meletakkan kadar yang munasabah, tidak membebankan dan cuba mengelak daripada timbulnya rasa kecil hati atau tidak puas hati di pihak lelaki hingga mungkin di katakan orang 'menjual anak'.
Ketika rundingan sedang berlangsung, si gadis dengan berpakaian indah duduk di dalam sebuah bilik. Setelah pinangan diterima, istiadat menyarung cincin pula dijalankan. Kakak atau ibu atau saudara terdekat pihak lelaki akan menyarungkan cincin ke jari manis si gadis. Dengan tersarungnya cincin di jari, rasmilah pertunangan tersebut. Apabila tamat upacara meminang dan menyarung cincin serta segala rundingan telah dipersetujui bersama, hidangan pun diangkat untuk dinikmati. Sementara barang-barang peminangan yang dibawa oleh pihak lelaki akan dibawa masuk ke dalam bilik untuk dibalas. Kebiasaannya pihak perempuan tidak akan membalas semua bilangan hantaran tersebut tetapi mengurangkan bilangannya dari bilangan asal. Namun ada juga yang membalasnya dengan bilangan yang sama atau lebih, bergantung kepada kehendak pihak perempuan.
Orang-orang dahulu mempercayai bahawa dalam tempoh pertunangan, seseorang itu dikatakan mudah ditimpa kecelakaan. Dan sinilah timbulnya ungkapan "darah manis". Seseorang yang sedang bertunang perlu berhati-hati dalam semua hal, ketika berjalan, berkerja atau sebagainya, jelas Encik Saidin mengakhiri perbualan.
Walau bagaimanapun, adat istiadat seumpama ini berbeda di antara satu ternpat dengan tempat yang lain. Apa yang pasti, sedikit demi sedikit adat tersebut sudah mulai dilupakan orang. Malah dalam masyarakat tertentu kini, adat istiadat ini hanya difahami dan diikuti oleh sesetengah orang sahaja. Masih ramai lagi masyarakat yang tidak tahu atau tidak memperdulikannya langsung. Malah di setengah tempat, pantang larang, petanda atau adat istiadat seperti ini telah mulai dilupakan.
BIBLIOGRAFI
1. Istiadat Perkahwinan Melayu, Satu Kajian Perbandingan - Amran Kasimin - DBP, Kuala Lumpur. 1989.
2. Temu bual dengan Encik Saidin Bin Shafie - Kampung Padang Gelam, Sanglang, Perlis.
"Umur kita seperti sebatang lilin yang sedang menyala.
Kian detik kian singkat,
kian detik kian dekat untuk padam"
• KATA PUJANGGA •
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 11, 1999
