BERAS KUNYIT
PENYATUAN YANG MENYUBURKAN AKAR TRADISI MELAYU
Oleh: ADNAN JAHAYA
Beras dan kunyit adalah perkara yang berbeza. Bagaimanapun kedua unsur itu begitu berpen garuh apabila keduanya disatukan sebagai 'beras kunyit'. Beras kunyit amat sinonim bagi masyarakat Melayu di Malaysia. Malah bagi negeri Perlis, ia menjadi penyubur tradisi Melayu yang berakar umbi sejak zaman-berzaman.
Beras kunyit dianggap begitu berkuasa membentuk penyatuan bangsa Melayu malah ia turut mempengaruhi sistem perubahan tradisional. Bagaimanapun tiada bukti jelas tentang keupayaan luar biasa beras kunyit hingga ia diangkat sebegitu rupa.
Arus modenisasi yang melanda negara ini adalah saingan kepada beras kunyit untuk terus dihormati. Bagaimanapun beras kunyit tidak pernah dipencilkan oleh generasi Melayu ortodoks.
Beras kunyit diwujudkan basil adunan beras jawi dan serbuk kunyit. Selepas digauli, beras yang berwarna putih akan berubah warna menjadi kuning. Kesepaduan beras dan kunyit menyerlah semangat dalam tradisi Melayu.
Beras kunyit sering digunakan dalam tradisi menyambut pengantin, menyambut tetamu dan beberapa adat resam lain termasuk bayi yang hendak memijak tanah buat kali pertamanya.
Ketika menyambut pengantin, tuan rumah atau wakil tuan rumah akan menabur beras kunyit kepada pengantin atau pasangan pengantin serta orang-orang yang mengiringnya. Beras yang ditabur ke udara dan jatuh menimpa kepala pengantin menandakan restu pihak tuan rumah.
Begitu juga dengan menyambut tetamu yang jarang berkunjung ke rumah. Beras kunyit akan ditabur kepada tetamu terbabit menandakan rasa ikhlasnya. Tetamu pula akan membiarkan beras kunyit itu kekal di atas kepala menandakan keikhlasannya menjadi tetamu.
Beras-beras kunyit yang berguguran ke bumi tidak akan dipungut kerana ia akan dibiarkan menjadi makanan ayam atau dibawa semut ke sarang mereka. Beras yang ditabur itu tidak pernah dianggap sebagai pembaziran atau penghinaan kepada makanan. Kekadang ada ibu bapa yang menyediakan beras kunyit untuk menyambut anak yang pulang dari jauh.
Bagi adat 'pijak tanah' untuk bayi, beras kunyit menjadi sebahagian daripada unsur yang digunakan selain tanah kering, besi, timah dan kuih-muih yang manis.
Semua unsur itu penting bagi membentuk keperibadian kanak-kanak dan beras kunyit hanya menjadi sandaran adat manakala unsur lain dikatakan akan mempengaruhi jati diri bayi berkenaan apabila dewasa. Beras kunyit akan menjadi pemerhati bagi adat pijak tanah yang bermula daripada bacaan doa selamat dan berakhir dengan bayi berkenaan memijak tanah kering yang diletakkan dalam dulang. Selepas adat itu, bayi akan dibenarkan memijak tanah dan boleh dibawa ke mana-mana tanpa sekatan.
Bagi maksud perubatan, beras kunyit digunakan untuk menghalau hantu dan syaitan yang mempengaruhi pesakit.
Hempasan beras kunyit dengan sekuat tenaga itu akan bermula pada bahagian kepada pesakit dan berakhir di hujung kaki. Hempasan yang kuat bertujuan.......
Berbeza dengan adat menyambut pengantin atau tetamu, penggunaan beras kunyit adalah dalam bentuk berbeza.
Beras kunyit dalam sistem perubatan akan digunakan secara kasar dan keras. Bomoh atau wakilnya (termasuk waris pesakit) akan menghempaskan atau membaling beras kunyit secara kasar ke atas pesakit. Sebelum itu, jampi serapah akan dilakukan oleh bomoh.
Hempasan beras kunyit dengan sekuat tenaga itu akan bermula pada bahagian kepada pesakit dan berakhir di hujung kaki. Hempasan yang kuat bertujuan menghalau hantu dan syaitan pada badan pesakit.
Hantu dan syaitan dikatakan akan terkejut dengan kehadiran beras kunyit dan akan meninggalkan badan pesakit. Banyak yang percaya kelebihan beras kunyit dalam perubatan kuno tetapi tiada bukti jelas tentang keberkesanannya.
Kebiasaannya, penyediaan beras kunyit bukanlah begitu rumit. Bahan yang perlu ada hanyalah beras dan serbuk kunyit. Biasanya beras yang digunakan tidak melebihi setengah cupak.
Sesungguhnya beras kunyit masih kental peranannya tetapi khidmatnya mulai berkurangan. Beras kunyit sudah jarang dilambung ke udara ketika menyambut pengantin.
Kadangkala yang menggantikan beras kunyit adalah kertas berwarna-warni yang tidak membawa apa-apa maksud. Khidmat pengacara yang petah berbicara juga digunakan bagi mengalu-alukan kehadiran pengantin.
Dalam bidang perubatan moden, beras kunyit dipinggirkan sama sekali kerana ia tidak mempunyai peranan. Dalam perubatan moden, tiada hantu atau syaitan dalam tubuh pesakit. Yang ada hanyalah kuman dan serangan penyakit yang boleh mengundang maut kepada pesakit.
Adat pijak tanah juga semakin jarang dilakukan dan tidak diamalkan lagi kerana ibu bapa moden menganggap ia amalan yang tidak membawa manfaat.
Walau apapun pandangan masyarakat, beras dan kunyit adalah dua unsur yang amat penting bagi masyarakat tanpa mengira keturunan dan agama. Beras adalah sumber makanan begitu juga kunyit yang menjadi penyumbang kecantikan makanan.
Jika beras dan kunyit masih diperlukan dalam kehidupan manusia sudah pasti beras kunyit merupakan unsur yang tidak pernah kurang pentingnya bagi menyubur tradisi masyarakat Melayu.
SABDA JUNJUNGAN YANG BERMAKSUD :
"Andainya kamu melakukan dosa sehingga dosamu mencapai langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah
memberi ampun kepada kamu."
Riwayat Ibn Majah
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bill 11, 1999
