Accessibility Tools

SEJARAH KASTAM DI PERLIS

SEJARAH KASTAM DI PERLIS

Oleh: RAMLI ISMAIL

Sejarah awal kewujudan aktiviti perkastaman secara tradisional di Perlis dipercayai bermula sejak abad ke 16 lagi. Menurut catatan buku sempena perasmian Kompleks Kastam Negeri Perlis, Jalan Kampung Pondok, Kangar, pada waktu itu Sultan Muzaffar Shah II yang memerintah Negeri Kedah antara tahun 1544 hingga 1602 telah menjadikan Kuala Perlis sebagai "pelabuhan" utama bagi Negeri Kedah.

 

 

Seorang pedagang Portugis, Fernão Mondes Pinto yang singgah di Perlis pada waktu itu telah merakamkan kunjungannya di Kuala Perlis melalui catatannya "Anchored at the mouth of the Perlis River near Alor Setar to trade, 1539" antara lain mencatatkan bahawa "kerana kesibukan, ramailah pedagang yang berkunjung dan melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan di Kuala Perlis pada waktu itu".

Seorang ahli sejarah tempatan, Allahyarham Cikgu Ahmad Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mat Tawarikh pernah memaklumkan, sebahagian besar pedagang yang menggunakan Kuala Perlis adalah dari Negeri China. Di samping itu, terdapat juga pedagang­ pedagang dari Semenanjung Arab, Gujerat dan India menggunakan pelabuhan tersebut sebagai tempat menjual barang dagangan mereka sebelum ianya dibawa pula ke China dan Kemboja.

Pada masa itu perdagangan laut merupakan jalan perdagangan utama di mana rangkaian pelabuhan Kuala Perlis, Kuala Sungai Baru dan Kuala Sanglang menjadi pelabuhan yang sibuk dan penting. Terdapat juga aktiviti pemindahan barang di antara Pulau Pinang dan Kangar melalui pelabuhan Kuala Perlis.

Di sebelah utara, Pekan Padang Besar yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand semakin berkembang ekoran bermulanya perkhidmatan keretapi antara Sistem Perkhidmatan Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersatu dengan Sistem Keretapi Siam pada 1 Julai 1918.

Aktiviti perkastaman secara moden mula dipraktikkan di sini dengan dagangan dari Siam yang hendak dieksport ke Tanah Melayu dan Singapura menggunakan keretapi wap, diikrarkan ter­lebih dahulu di Stesen Kastam Padang Besar yang dibuka secara rasmi pada akhir 1918.

Pentingnya aktiviti perkastaman di Padang Besar dapat dibuktikan dengan termetrainya "The 1922 Agreement of Facilitation The Working of Railway Traffic" antara Kerajaan British dengan Kerajaan Siam. Perjanjian yang ditandatangani pada 6 November 1922 ini adalah berhubung dengan kerjasama Kastam di antara Tanah Melayu dan Siam di Stesen Keretapi Padang dan Golok. Putera Purachatra Kampaeng-berj menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Siam manakala Tanah Melayu diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi British bagi Negeri-Negeri Melayu pada masa itu, Sir Lawrence Nunns Guilemard.

Pejabat Kastam di Kangar dipercayai wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Menurut seorang tokoh tempatan, Wan Ahmad bin Che Abdullah, selain daripada Pejabat Tanah, Pejabat Kastam merupakan satu-satunya Jabatan Kerajaan yang paling banyak memungut basil bagi negeri Perlis. Pejabat Kastam pada masa itu terletak berhadapan dengan bekas Balai Polis Kangar. Di samping itu, terdapat pejabat luar kastam di Arau, Padang Besar, Kaki Bukit, Kuala Perlis, Sungai Baru dan Kuala Sanglang.

Wan Ahmad berkata, pejabat-pejabat luar kastam menempatkan kerani dan Pegawai Luar Kastam atau "Outdoor Officer". Mereka lebih dikenali dengan panggilan "Chinteng". Selain daripada berfungsi sebagai pemungut basil dan cukai, mereka juga bertanggungjawab ke atas kawalan penjualan candu yang halal penggunaannya pada masa itu.

Selepas kemerdekaan negara dari penjajahan British pada 31 Ogos 1957, pentadbiran Kastam telah beberapa kali mengalami perubahan dari segi struktur dan organisasinya. Kastam Negeri Perlis pernah diletakkan di bawah pentadbiran Kastam Wilayah Utara yang beribu pejabat di Pulau Pinang. Pada tahun 1978, Kastam negeri Perlis diletakkan pula di bawah pentadbiran Kastam Kedah/Perlis yang berpusat di Alor Setar.

Pertumbuhan ekonomi negara yang begitu menggalakkan di akhir dekat 80-an turut menye­ marakkan aktitiviti ekonomi di negeri Perlis. Pembukaan kawasan perindustrian di Chuping, Jejawi, Padang Besar dan Kuala Perlis mengakibatkan keperluan perkhidmatan perkastaman turut meningkat. Pertumbuhan ekonomi negara yang stabil pada kadar 8% setahun pada masa itu, juga membawa kepada pertambahan aktiviti import dan eksport di Padang Besar dan Kuala Perlis. Serentak dengan perkembangan menggalakkan itu, satu mekanisma pengawalan basil negara perlu dimantapkan di negeri Perlis.

Berdasarkan kepada perkembangan-perkembangan tersebut, Kerajaan Pusat telah mengambil keputusan untuk memisahkan pentadbiran Kastam bagi Negeri

Perlis dan Kedah. Pada 1 Januari 1990, pentadbiran Kastam negeri Perlis dengan rasminya dipisahkan daripada pentadbiran Kastam negeri Kedah.

Dengan menyewa satu ruang pejabat seluas 334.43 meter persegi di Tingkat 1, Menara Kemajuan yang kemudian bertukar kepada nama Bangunan KWSP di Jalan Bukit Lagi, Kangar. Kastam negeri Perlis mula beroperasi di mana pada hari pertama tujuh orang pegawai melaporkan diri dengan Encik Zamzam bin Abdul Rahman ditauliahkan sebagai Pengarah Kastam negeri Perlis yang pertama.

lbu Pejabat Kastam dan Eksais Diraja Malaysia menyedari betapa perlunya pentadbiran Kastam Perlis mempunyai sebuah bangunan sendiri yang lengkap dan selesa kemudiannya telah meluluskan pembinaan sebuah Kompleks Kastam bagi memberi perkhidmatan yang lebih sempurna kepada pelanggan jabatan. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 7 Februari 1994 di kawasan seluas 6.59 hektar di Jalan Kampung Pondok, bersebelahan Taman Guru Jaya, Kangar. Projek membabitkan kos sebanyak RM5.226 juta itu siap sepenuhnya pada 27 Mei 1995.

Kompleks tersebut dilengkapi dengan kemudahan seperti stor pencegah, pejabat pentadbiran, gimnasium, gelanggang tenis, bengkel, surau, tempat pemeriksaan rapi dan tempat meletak kenderaan untuk kakitangan serta para pelanggan jabatan. Kompleks terbabit mula digunakan secara rasmi pada 1 Jun 1995.

Kini perkhidmatan Kastam di Perlis juga mempunyai pejabat cawangannya di Kuala Perlis, Padang Besar dan Wang Kelian membabitkan 285 anggota keseluruhannya diketuai oleh seorang Pengarah.


 

RENUNGAN 

"Pandanglah kepada orang yang lebih rendah daripadamu; kerana yang demikian lebih baik agar kamu tidak memperkecilkan pemberian Allah kepadamu." (Maksud al Hadith)

"Siapa menziarahi kubur kedua atau salah seorang ibu bapanya sekali pada setiap Jumaat, nescaya diampunkan dosanya dan dia dituliskan sebagai orang yang berbakti kepada

kedua ibu bapanya." (Maksud al Hadith)

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 11, 1999